Khamis, 26 November 2020
PERBICARAAN SRC
28/07/2020 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Setakat tengah hari ini, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masih lagi membacakan penghakiman kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibicarakan atas tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 67, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC.

Mengenai pertuduhan menyalahgunakan kuasa, hakim berkata pasukan pembelaan Najib gagal mengetengahkan mengenai imbangan kebarangkalian untuk menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan. 

Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan RM42 juta menerusi penglibatan atau penyertaannya dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman yang dipohon daripada KWAP oleh SRC yang berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012. Najib merupakan perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018.

Mohd Nazlan kemudian membacakan penghakiman bagi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).

Mengenai pertuduhan CBT, Hakim Mohd Nazlan berkata keterangan di mahkamah mengesahkan terdapat penglibatan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, termasuk turut memberikan arahan mengenai akaun bank Najib kepada bekas Pengurus Perhubungan Ambank Joanna Yu.

Menyentuh mengenai isu tandatangan palsu pada dokumen yang dibangkitkan sepanjang perbicaraan itu, hakim bertanya siapakah yang mempunyai keberanian untuk memalsukan tandatangan ketua negara.

“Pihak pembelaan juga tidak mengemukakan saksi pakar  untuk mengesahkan kesahan tandatangan Najib pada dokumen yang didakwa palsu,” katanya.

Mohd Nazlan berkata Najib juga hanya menerima kata-kata Jho Low bahawa wang dalam akaun (Najib) adalah sumbangan kerabat diraja Arab Saudi. 

Beliau berkata Najib sepatutnya telah memeriksa dan mengesahkan fakta mengenai pemberian sumbangan tersebut kerana tidak ada perincian mengenai pemberian tersebut.

Beliau berkata Najib sebagai Perdana Menteri, dengan mudah menerima pengesahan daripada Jho Low sedangkan dia boleh membuat panggilan dan memeriksa faktanya dengan kerabat diraja Arab Saudi.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan