BFOKUS

NASIB HSKLU: MASIHKAH ADA 'HARAPAN' UNTUK TERUS KEKAL?

28/04/2021 09:05 AM

Oleh Kurniawati Kamarudin & Sakini Mohd Said

Biarpun sudah setahun, namun cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) terus menjadi polemik khususnya dalam kalangan NGO alam sekitar mahupun masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan yang menetap di situ.

Pelbagai desakan dilaungkan komuniti ini bagi terus mendapatkan pencerahan jitu akan cadangan tersebut daripada kerajaan negeri Selangor dan tumpuan mereka bukan hanya kepada Menteri Besar tetapi juga Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Justeru, rencana akhir daripada empat siri ini membawa wartawan Bernama, Kurniawati Kamarudin dan Sakini Mohd Said berusaha mendapatkan penjelasan daripada JPNS akan polemik tersebut biarpun berhadapan pelbagai cabaran.

SHAH ALAM (Bernama) -- “Masih lagi menjadi tanda tanya”. Hari ke hari, persoalan itu yang terus membelenggu kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan masyarakat Orang Asli suku Temuan yang menetap di sekitar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan ‘nasib mahupun masa depan’ hutan berkenaan.

Selepas lebih setahun cadangan menyahwartakan 931.17 hektar daripada 957.63 hektar keluasan HSKLU dikemukakan kerajaan negeri Selangor awal Febuari 2020, namun hakikatnya sehingga 18 April, status keputusannya masih lagi kabur.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu laporan media awal Januari, 2021, dipetik sebagai berkata, "perbincangan berterusan mengenai cadangan tersebut mungkin memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan lagi."

Bagaimanapun, sehingga menjengah April (2021), satu kata ‘putus’ pun masih lagi belum kedengaran daripada pihak kerajaan negeri mengenai usaha tersebut, sekali gus menyebabkan pelbagai NGO alam sekitar berterusan mendesak untuk mengetahui pendirian kerajaan negeri.

Bagi komuniti ini yang komited memperjuangkan hutan itu dikekalkan, mereka mempersoalkan mengapa begitu sukar membuat keputusan walhal cadangan menyahwartakan HSKLU yang difahamkan untuk pembangunan bercampur, mendapat bantahan daripada banyak pihak.


Cadangan keluasan yang ingin dinyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan projek pembangunan bercampur. -- Gambar ihsan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

Penentangannya bukan sahaja dalam kalangan NGO alam sekitar, penduduk, bahkan agensi kerajaan persekutuan seperti Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan juga Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.

Selain itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada tahun lepas (2020) turut meluluskan usul menggesa kerajaan negeri mempertahankan status pewartaan hutan simpan dan memeliharanya dengan baik selepas disokong sebulat suara ahli dewan berkenaan daripada pelbagai parti politik.

Justeru, keadaan ini jelas menunjukkan ‘tentangan’ yang begitu hebat terhadap cadangan menyahwartakan HSKLU yang merupakan “paru-paru hijau” terakhir di selatan Selangor.

Hakikatnya, komuniti yakni masyarakat Orang Asli suku Temuan dan NGO alam sekitar masih tertunggu-tunggu kedudukan status HSKLU ini, bukan sahaja daripada kerajaan negeri tetapi juga Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), yakni agensi penting dalam pengurusan hutan simpanan kekal di negeri tersebut.

 

BUKAN MUDAH

"Realitinya, bukan mudah untuk menyahwartakan sesuatu hutan simpanan kekal (HSK)," tegas Pengarah JPNS Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid yang diulangnya banyak kali sepanjang sesi temu ramah eksklusif dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Malah, kerana ‘kesukaran’ itulah ada kes penyahwartaan status HSK mengambil masa sehingga bertahun-tahun lamanya.

Beliau menjelaskan, banyak proses yang perlu dilakukan dan antaranya tidak dapat memenuhi kriteria paling penting iaitu penggantian hutan simpanan dengan tanah lain yang setara nilai atau lebih luas saiznya.

Apatah lagi, beliau berkata dengan keluasan tanah yang semakin terhad di Selangor selain komitmen jitu kerajaan negeri yang tidak berbelah bahagi dalam memelihara khazanah alamnya dengan kekal komited untuk terus memastikan jumlah kawasan hutan simpan di negeri tersebut tidak kurang daripada 30 peratus pada masa akan datang.


Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Sakini Mohd Said

“Saya hendak jelaskan, bukan mudah menyahwartakan HSK. Ia bukanlah semudah petik jari boleh bagi terus kelulusan. Ini kerana, pelbagai proses, kajian perlu dilakukan dan sebab itulah ada yang mengambil masa sehingga bertahun-tahun lamanya.

“Tetapi, paling penting proses penyahwartaan tidak akan berlaku sekiranya syarat menggantikan HSK dengan tanah lain tidak dapat dipenuhi. Ini kerana, proses pengeluaran dan penggantian HSK perlu berlaku secara serentak dengan keluasan sama.

“Misalnya, jika hendak menyahwartakan HSK berkeluasan 100 hektar, memang kena gantikan 100 hektar atau lebih dan syarat ini adalah wajib di Selangor,” katanya.

Kesukaran menyahwartakan HSK di Selangor terbukti apabila hanya tiga sahaja hutan simpanan yang telah dinyahwartakan sepanjang sedekad bagi tempoh tahun 2010 sehingga tahun 2020 iaitu meliputi HS Bukit Lagong (3.164 hektar), HS Ulu Gombak (20.03 hektar) dan HS Rantau Panjang (1.589 hektar).

Malah, penyahwartaan yang melibatkan tiga HSK ini sedikit pun tidak menyusutkan matlamat Selangor untuk terus memastikan negeri tersebut tetap mempunyai 30 peratus atau lebih kawasan tanahnya yang ditetapkan sebagai hutan simpan.

Sehingga 12 April 2021, negeri Selangor mewartakan lebih kurang 250,000 hektar HSK iaitu 31 peratus daripada keluasan kawasan negeri tersebut yang diuruskan di bawah prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan untuk kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar.


Komitmen Kerajaan Negeri Selangor Dalam Pengurusan Hutan Simpanan Kekal (HKS). Infografik

Peratusan tersebut (31 peratus) yang ternyata melebihi sasaran ditetapkan bagi memastikan negeri ini terus mempunyai 30 peratus atau lebih kawasan tanahnya yang ditetapkan sebagai HSK adalah terdiri daripada 71 hutan simpanan yang melibatkan tiga jenis hutan utama iaitu hutan darat seluas 142,156 hektar, hutan paya laut (18,998 hektar) dan hutan paya gambut (82,890 hektar).

 

HSKLU TIDAK TERKECUALI

"Lazimnya, JPNS juga membantah penyahwartaan HSK terutamanya yang tidak berasas dan tidak mempunyai kepentingan pembangunan sosioekonomi. Malah, kami sentiasa berusaha menambah keluasan HSK sedia ada,” katanya.

Merujuk kepada HSKLU, beliau berkata kerajaan negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang Ke-30/2019 bertarikh 16 Oktober 2019 meluluskan seluas 931.17 hektar kawasan HSKLU untuk pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965.

Berdasarkan kerajaan negeri, penukaran status tanah hutan simpan ini adalah selari dengan Seksyen 11 (b), Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang menyatakan bahawa kerajaan negeri boleh mengeluarkan mana-mana kawasan tanah dalam hutan simpan jika mendapati kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan yang sedang dilakukan sekarang.

Namun begitu, sepertimana yang dijelaskan Ahmad Fadzil berulang kali bahawa dalam soal HSKLU, kerajaan negeri seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984, PERLU menggantikan tanah yang dikeluarkan daripada HSK dengan tanah lain yang lebih kurang sama luasnya.


Berdasarkan Seksyen 11 (b), Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, kerajaan negeri boleh mengeluarkan mana-mana kawasan tanah dalam hutan simpan jika mendapati kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan yang sedang dilakukan sekarang. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Sakini Mohd Said

“Selain syarat wajib mendapatkan penggantian, proses menyahwarta HSK juga perlu melalui proses kaedah penyiasatan awam. Kaedah tersebut merupakan antara penambahbaikan yang dilakukan kerajaan negeri pada tahun 2011 ke atas Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

“Istimewanya, negeri Selangor merupakan negeri pertama yang menguatkuasakan kaedah penyiasatan awam yang mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai hutan simpannya sebagai antara syarat menyahwartakan HSK.

“Ini jelas menunjukkan komitmen jitu kerajaan negeri yang tidak berbelah bahagi menjaga khazanah alamnya,” kata Ahmad Fadzil.

Ia juga sepertimana yang ditekankan Menteri Besar dalam setiap kenyataannya sebelum ini bahawa: "Dan saya bukan nak jadi MB yang mengurangkan kawasan hutan di Selangor, seperti janji saya di DUN dan janji saya di hadapan Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) pada hari lahir baginda," Amirudin dipetik berkata dalam satu laporan media.

 

GANTI LEBIH BAIK

Setakat ini, kerajaan negeri memaklumkan bahawa cadangan gantian hutan itu melibatkan dua kawasan di daerah Sabak Bernam iaitu Sungai Panjang (308.62 hektar), Sungai Panjang 2 (606.88 hektar) dan Sungai Kuala Selangor daerah Kuala Selangor (261.81 hektar).


Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid menunjukkan peta kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Selangor. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Sakini Mohd Said

Menariknya, bukan sahaja hutan gambut yang bakal digantikan ini mempunyai kualiti lebih baik daripada HSKLU tetapi difahamkan juga perwartaan Sungai Panjang akan membolehkannya digabungkan dengan Hutan Simpan Raja Musa yang sedia ada sekali gus menjadikannya hutan gambut terbesar di Semenanjung.

Ini juga sudah sangat jelas, sejajar dengan cadangan penggantian HSKLU yang sering kali ditegaskan Amirudin sebelum ini dan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian baru-baru ini juga turut memberi jaminan sekiranya penyahwartaan HSKLU dilaksanakan, kerajaan negeri akan menggantikannya dengan hutan yang lebih baik.

Hee turut dipetik berkata cadangan penyahwartaan HSKLU masih lagi dalam peringkat perbincangan dan kerajaan Selangor sedang meneliti pandangan pakar berkaitan sebelum keputusan berhubung status penyahwartaan hutan itu dilakukan termasuklah dalam soal ekonomi, pembangunan dan kebajikan Orang Asli.

Merujuk kepada status kualiti HSKLU, Ahmad Fadzil selaku pihak berkepentingan dalam pengurusan hutan tidak menafikan bahawa 40 peratus kawasan berkenaan sudah menjadi hutan rosot akibat daripada pencerobohan dan beberapa insiden kebakaran sebelum ini.

“Maksud rosot adalah hutan miskin dari segi kepelbagaian spesiesnya, ‘basal area’ yang kurang daripada 20 meter padu sehektar. Maknanya, 1 hektar hanya ada 5 hingga 6 batang pokok yang besar dan dua, tiga spesies sahaja sedangkan hutan biasanya mempunyai beratus-ratus spesies dalam keluasan tersebut, jadi ia terosotlah.

“Rosot juga bermaksud kawasan yang mempunyai dirian (pokok) tidak banyak, tidak berkualiti dan tidak ekonomi untuk dihasilkan. Di HSKLU, memang ada usaha penanaman semula hutan dan menampakkan hasil pemulihan.

“Namun, ia hanyalah tanaman jenis cepat tumbuh untuk tujuan ‘greenery’ (penghijauan) dan bukannya jenis pokok berkualiti yang mendatangkan hasil.

“Pokok yang ditanam di HSKLU adalah spesies flora seperti Tenggek Burung (Melicope lunu-ankenda) dan Mahang (Macaranga pruinosa) kerana sifatnya berdaya tahan dan mampu hidup di kawasan terosot. Ini kerana, hutan tersebut sudah banyak kali berlaku kebakaran dan bila terbakar tanah jadi teruk,” jelasnya.

 

BERISIKO TINGGI TERBAKAR

HSKLU yang diwartakan sejak tahun 1927 dan terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor, dilaporkan pernah mencatatkan beberapa insiden kebakaran dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarkan rekod dari tahun 2012 sehingga 2017, kerajaan negeri memaklumkan kawasan hutan di sini terbakar seluas 359.60 hektar atau 888.21 ekar yang sekali gus menjadikan sebanyak 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan HSKLU dikatakan mengalami kemerosotan akibat kebakaran berkenaan.

Malah, pada tahun 2014, satu kebakaran besar dilaporkan berlaku di hutan tersebut, melibatkan kawasan seluas 132 hektar berbanding tahun sebelumnya (2013) hanya sekitar 82 hektar dan 50 hektar, pada tahun 2012.

Dan terbaharu, insiden kebakaran telah direkodkan awal Mac tahun ini (2021) dengan melibatkan keluasan lima hektar. Perangkaan ini adalah berdasarkan Statistik Keluasan (ha) Kebakaran Hutan di dalam HSKLU 2012 hingga 2021, JPNS.

Beberapa siri insiden kebakaran ini menyebabkan HSKLU dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi (Zon Merah) di dalam Peta Zon Risiko Kebakaran seperti yang digariskan dalam Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan Bagi HSKLU dan HSKLSelatan (HSKLS) 2017-2021.

Justeru, insiden kebakaran dan potensinya yang berisiko terbakar pada masa hadapan dilihat antara faktor utama kawasan sekitar HSKLU terdedah kepada pencemaran udara yang tinggi selain memerlukan sejumlah peruntukan besar bagi mengatasi isu kebakaran hutan.

Dianggarkan sejumlah RM1 juta diperlukan dalam pelaksanaan program pencegahan dan operasi pemadanan kebakaran hutan dalam satu masa di mana kos tersebut turut meliputi projek pembinaan telaga tiub, pembinaan penghadang api ‘fire break’, pengaktifan telaga tiub, kos pengurusan, elaun petugas dan sebagainya.

 

KELANGSUNGAN SPESIES


Statistik Keluasan (Ha) Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) 2012-2021. Sumber: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

Biarpun demikian, persoalan paling penting sekiranya penyahwartaan ini dilaksanakan adalah apakah nasib kepelbagaian spesies flora dan fauna yang ada di sana.

Apatah lagi, difahamkan HSKLU masih kaya dengan kepelbagaian flora seperti pokok Meranti Bunga (Shorea Teysmanniana) dan Meranti Bakau (Shorea uliginosa) yang disenaraikan sebagai ‘terancam kritikal’ dan ‘terancam,’ di bawah senarai merah tumbuhan Malaysia - Dipterocarpaceae Semenanjung Malaysia.

Selain menjadi habitat fauna terancam seperti Beruang Matahari, Harimau Kumbang, Harimau Dahan, spesies endemik Tupai Terbang Terkecil (Selangor Pygmy Flying Squirrel) serta ikan laga yang sukar dijumpai iaitu Langat Red Fighting Fish.

“Dalam isu ini, kami melantik Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai persekitaran fizikal HSKLU dan juga cadangan tanah gantian.

“Tujuannya, untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa kerajaan negeri dan juga JPNS prihatin akan kelangsungan spesies yang ada di sana. Berdasarkan hasil kajian, didapati spesies terancam dan endemik yang ada di HSKLU turut ada di hutan paya gambut lain di negeri Selangor.

“Namun, itu tidak bermakna kami tidak menghiraukan kelangsungan spesies tersebut. Ini kerana, langkah mitigasi akan dilaksanakan,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan