BFOKUS

PENTAKSIRAN PENDEKATAN TERBAIK BANTU PERKEMBANGAN PELAJAR SECARA HOLISTIK BERBANDING UPSR - PAKAR

04/05/2021 03:59 PM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 29 April-- Memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sepenuhnya bermula tahun ini, disifatkan pendekatan terbaik dalam membantu perkembangan pelajar secara holistik.

Pensyarah Kanan Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berkata ia berikutan pentaksiran itu memberi penekanan merangkumi pelbagai aspek termasuk jasmani,  rohani dan intelek berbanding pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan.

‘’…dan apabila kita bertukar kepada PBS maka akan berkuranglah amalan perbandingan dan persaingan seperti 5A lebih baik daripada 4A , maka mungkin tidak akan berlaku situasi ramai murid yang mahu memperoleh 5A dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah).

‘’Cuma menjadi kerisauan banyak pihak ialah piawaian atau standardisasi yang ia telah lama menjadi amalan di sekolah, jadi bila berubah kepada pendekatan ini, amalan guru dan murid akan berbeza dan masyarakat mungkin ambil masa untuk menerima perubahan ini,’’ katanya kepada Bernama di sini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin semalam mengumumkan pemansuhan peperiksaan UPSR dan menggantikannya dengan PBS dan PBD secara menyeluruh.

Radzi berkata keputusan besar membabitkan pemansuhan UPSR yang diperkenalkan sejak 1988 itu sudah mengambil kira pandangan banyak pihak termasuk 1,700 peserta sesi libat urus dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Azlin Norhaini berkata menerusi  kaedah tersebut, guru boleh mengukur  pencapaian dan prestasi seseorang pelajar sepanjang sesi pembelajaran mereka.

Jelasnya, secara tidak langsung seseorang guru juga akan dapat mengesan kelemahan dan pada masa sama membantu meningkatkan potensi pelajarnya.

‘’Saya setuju, kita serahkan kepada sekolah untuk menguruskan ujian akhir tahun, pelajar tahun enam ini bagi tujuan kemasukan ke asrama dan sebagainya.

‘’…dan kemungkinan boleh diwujudkan pentaksiran yang lain untuk ditawarkan kepada pelajar yang layak atau berminat, contohnya  sekiranya mahu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) biarlah pentaksiran itu disediakan oleh SBP dan untuk ke SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) biarlah pihak SMKA yang buat pentaksiran untuk pelajar berkenaan,’’ tambahnya.

Mengulas lanjut, Azlin Norhaini berkata perkara paling penting bagi menjayakan usaha itu adalah kerjasama secara total dari sekolah dan guru, supaya tiada pelajar yang ketinggalan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

Katanya, KPM juga perlu membuat pemantauan proaktif terhadap sekolah bagi memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.

‘’Sekiranya sekolah atau guru tidak menganggap pentaksiran ini bertujuan untuk menambah baik proses pembelajaran  dan sekiranya KPM juga tidak membuat pemantauan dengan betul, maka jurang pencapaian akademik termasuk antara bandar dan luar bandar dikhuatiri akan semakin melebar.

‘’Sekolah dan guru perlu tahu tanggungjawab mereka masing-masing.  Selama ini kebanyakan mereka mengajar untuk skor peperiksaan (UPSR), jadi mereka berusaha untuk skor, jadi apabila penanda aras sudah tidak ada, apa pula KPI mereka untuk pendekatan ini? KPM perlu ganti KPI lain,’’ katanya.

‘’Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan semua pentadbir sekolah menjadikan diri mereka Learning Leaders (pemimpin pembelajaran) dan guru sebagai Learning Teachers (guru pembelajaran), iaitu pentadbir dan guru sentiasa belajar untuk menambah baik amalan mereka.

“Langkah ini amat penting kerana impak atau kesan suatu perubahan dasar itu, hanya dilihat selepas 10 atau 20 tahun.  Sebagai contoh, pada tahun 1970 apabila kita tukar bahasa pengantar sekolah daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Selepas 20 tahun, baru kita sedar kesannya iaitu pelajar kita lemah dalam BI.  Begitu juga dengan pemansuhan UPSR, kesannya hanya akan dirasai 10 atau 20 tahun akan datang, oleh itu  penambahbaikan dalam proses pembelajaran perlu dilaksanakan segera dan berterusan,’’ katanya.

UPSR merupakan program pengujian untuk menilai pencapaian kognitif pelajar pada akhir sesi sekolah rendah di Malaysia dan diambil oleh murid tahun enam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan