BFOKUS

VAKSIN COVID-19: MENGAPA MRNA JADI PILIHAN MALAYSIA?

07/07/2021 12:12 PM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

 

KUALA LUMPUR, 7 Julai,-- Malaysia boleh menjadi antara negara pengeluar vaksin,  sekiranya vaksin keluaran tempatan pertama yang sedang dibangunkan menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik atau ringkasnya mRNA untuk COVID-19, berjaya direalisasikan.

Mengikut rekod, vaksin Pfizer-BioNTech yang dibangunkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat iaitu Pfizer dan rakan niaganya dari Jerman, BioNTech, merupakan vaksin COVID-19 pertama  yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus merupakan vaksin pertama yang diterima Malaysia.


Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dengan keberhasilan vaksin itu yang disifatkan selamat diikuti vaksin jenis virus ternyahaktif daripada syarikat Sinovac, China, beberapa negara termasuk Malaysia, mula mengorak langkah menghasilkan vaksin dengan menggunakan teknologi mRNA.

Pensyarah Kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof berkata Malaysia setakat ini belum pernah menghasilkan vaksin untuk penyakit manusia dan sekiranya teknologi mRNA ini berjaya, ia bakal menjadi titik tolak dalam pemerkasaan industri pembuatan vaksin di negara ini.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang biologi molekul, genomik dan teknologi berasaskan sel mamalia, menjelaskan bahawa vaksin mRNA merupakan vaksin yang terdiri daripada bahan yang mengandungi maklumat genetik untuk menghasilkan protein virus yang dihantar ke dalam sel manusia menerusi suntikan.


Pensyarah Kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, UKM, Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof. - Gambar ihsan Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof

Protein virus yang dihasilkan itu seterusnya akan dapat dicam oleh tubuh seseorang individu itu untuk penghasilan antibodi yang sekali gus dapat memberi keimunan terhadap virus tersebut.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata penghasilan vaksin mRNA yang menggunakan kaedah partikel-nano lipid (Lipid nanoparticle atau LNP) melibatkan proses bebas-sel (cell-free process) yang secara teknikalnya, dijangkakan lebih cepat berbanding kaedah penghasilan vaksin jenis lain.

 ‘’Kedua-dua syarikat Pfizer dan Moderna menghasilkan produk vaksin COVID-19 melalui teknologi mRNA yang menggunakan partikel-nano lipid untuk membawa atau ‘membungkus’ mRNA .

“Pembungkusan mRNA dalam struktur LNP adalah penting untuk memastikan kestabilan dan keberkesanan bahan mRNA untuk masuk ke dalam sel dan seterusnya dapat menjalankan fungsinya bagi menghasilkan protein virus setelah disuntik ke dalam tubuh,’’ katanya kepada Bernama.


Nano-partikel lipid (LNP) vaksin mRNA.-- Sumber: Webinar atas talian bertajuk “The technology behind the new COVID-19 mRNA vaccines: LNP mRNA vaccine delivery.

Proses bebas-sel ini katanya, melibatkan tindakan enzim yang perlu untuk menukarkan  asid deoksiribonukleik (DNA) kepada mRNA melalui tindak balas ‘transkripsi in vitro’.

‘’Dalam konteks bebas-sel, ia merujuk kepada proses yang tidak melibatkan penggunaan kultur sel mamalia untuk memperbanyakkan virus seperti yang digunakan dalam kebanyakan teknologi penghasilan vaksin berasaskan virus berskala besar oleh industri biofarmaseutikal, contohnya vaksin jenis virus ternyahaktif dari Sinovac.

‘’Terdapat juga kaedah penghasilan vaksin berasaskan telur yang merupakan teknologi lama tetapi masih digunakan. Namun, ia mengambil masa lebih lama dan mungkin terdapat ketidaksesuaian genetik yang boleh menyebabkan vaksin yang dihasilkan mungkin tidak begitu berkesan,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut, Nurul Yuziana berkata vaksin mRNA turut disifatkan selamat berikutan formulasi yang digunakan untuk menghasilkan vaksin tersebut wujud secara semula jadi dalam tubuh manusia selain bahan lain yang telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).


Gambar hiasan. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

‘’Bahan lipid seperti lipid yang boleh terion, kolesterol dan lipid pembantu yang digunakan bagi membina struktur LNP untuk membungkus mRNA adalah bahan lemak yang wujud secara semula jadi dalam tubuh dan ia boleh disingkirkan secara alami atau digunakan semula di dalam tubuh manusia.

‘’Sementara bahan lain seperti PEG (Polyethylene glycol) yang diperlukan untuk memastikan kestabilan struktur LNP merupakan bahan yang biasa digunakan dalam produk ubat-ubatan dan mendapat kelulusan FDA,’’ katanya.

Bagi merealisasikan kejayaan penghasilan vaksin mRNA berasaskan partikel-nano lipid, Malaysia perlu mengambil peluang dengan memantapkan kepakaran dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutamanya bagi bidang biologi molekul dan kejuruteraan yang membabitkan teknologi mikrofluidik.

Selain itu, penyediaan fasiliti pengeluaran patuh Amalan Perkilangan Baik (GMP) dengan dilengkapi mesin berautomasi serta tenaga kerja kompeten, turut mendorong keberhasilan proses pembangunan vaksin mRNA.


Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Teknologi penghasilan vaksin yang merupakan produk biologik adalah tidak sama dengan pembuatan ubat sintetik. Ia merupakan aplikasi daripada bidang bioteknologi yang secara spesifiknya melibatkan penggunaan pelbagai kaedah biologi molekul, teknologi berasaskan sel dan kejuruteraan bioproses”.

‘’Saya mempunyai pengalaman sebagai saintis di syarikat Inno Biologics Sdn Bhd yang merupakan syarikat penghasilan produk biologik bagi protein kompleks seperti antibodi monoklonal dan eritropoietin melalui platform bioproses yang paling hampir dengan penghasilan vaksin. Dan ini membuktikan kita pernah mempunyai kepakaran teknikal dalam kalangan graduan tempatan dan pengalaman menggunakan teknologi dalam penghasilan biologik di Malaysia,’’ katanya.

Vaksin COVID-19 yang dibangunkan di Malaysia melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan melalui ujian praklinikal membabitkan haiwan mulai bulan depan dan dijangka siap menjelang 2024.


Gambar hiasan. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selain Malaysia, Thailand juga bakal melancarkan ujian klinikal ke atas manusia untuk vaksin COVID-19 buatan negara itu, selepas kajian praklinikal menunjukkan keputusan memberangsangkan.

WHO juga baru-baru ini dilaporkan akan membangunkan hab vaksin di Afrika Selatan bagi membolehkan syarikat di negara itu memulakan proses menghasilkan vaksin mRNA dalam tempoh sembilan ke 12 bulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan