BFOKUS

KOMITEDKAH MALAYSIA TANGANI PERUBAHAN IKLIM?

03/09/2021 09:51 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin & Sakini Mohd Said

Isu pemanasan global yang memberi kesan kepada perubahan iklim dunia kembali meraih perhatian dan semakin hangat diperkatakan susulan tragedi besar dan bencana yang berlaku di dunia termasuk di Malaysia dengan yang terkini kejadian kepala air di Yan, Kedah. 

Artikel dua bahagian ini mengupas tentang isu tersebut dan kesannya kepada Malaysia, khususnya dari segi sosioekonomi.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- ‘Isyarat Kecemasan’. Itu mesej yang disimpulkan oleh  Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres berhubung Laporan Kumpulan Kerja Pertama Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

Laporan tersebut yang dikeluarkan oleh IPCC pada bulan lepas merupakan bahagian pertama Laporan Penilaian Perubahan Iklim IPCC Keenam yang akan dilengkapkan pada 2022. 

Menurut laporan tersebut, fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia amat memberi kesan kepada sistem iklim global, dan fenomena itu kini berada pada tahap membimbangkan. Jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan dengan bencana alam yang dahsyat.

Difahamkan rantau Asia Tenggara mencatatkan kedudukan teratas dari segi jumlah kejadian bencana alam dalam tempoh 30 tahun lepas dengan lebih 90 peratus daripadanya dikategorikan sebagai bencana iklim, dan Malaysia, sebagai sebuah negara di Asia Tenggara, perlu memberi perhatian yang lebih serius terhadap amaran itu.


Prof Dr Fredolin Tangang, Pakar Klimatologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Malah menurut Pakar Klimatologi daripada Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fredolin Tangang, di Malaysia sahaja, jumlah kejadian banjir meningkat sejak 20 tahun lalu dengan kerugian dianggarkan melebihi RM8 bilion.

Mengambil contoh Kuala Lumpur, beliau berkata kajian menunjukkan intensiti kejadian ribut petir dan hujan ekstrem meningkat sebanyak 30 peratus sejak 30 tahun lalu, sekali gus menyebabkan kejadian banjir yang semakin kerap.

Justeru, unjuran mengenai kejadian cuaca ekstrem di Asia Tenggara termasuk Malaysia akan bertambah teruk pada masa depan adalah membimbangkan, katanya.

Melihat pada semua senario itu, timbul persoalan sama ada Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi impak perubahan iklim tersebut. 

 

BENCANA LEBIH KERAP, SKALA BESAR

Mengulas isu itu kepada Bernama baru-baru ini,  Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata dalam konteks Asia Tenggara, dijangka berlaku peningkatan kitaran air yang akan menyebabkan kejadian cuaca melampau seperti hujan lebat, banjir dan kemarau yang lebih kerap.

Malaysia tidak terlepas daripada menerima kesan itu seperti yang ditunjukkan oleh  hasil kajian data hujan 40 tahun - ‘Study on Rainfall Change and Distribution in Malaysia’ - yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran pada 2018.


Peratus perubahan purata hujan bulanan daripada tahun 1999-2017 berbanding tahun 1978-1998. Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran

Perbandingan purata hujan bulanan bagi tempoh 1999-2017 dan 1978-1998 menunjukkan berlaku penambahan peratus hujan pada Januari iaitu sebanyak 46.4 peratus, Mac (9.8 peratus), Jun (2.9 peratus), Ogos (9.7 peratus), Oktober (1.6 peratus) dan Disember (12.3 peratus), sekali gus menunjukkan Januari dan Disember merupakan bulan yang sensitif dan akan menerima lebihan hujan bulanan di Semenanjung Malaysia. 

Sementara itu, purata hujan bulanan bagi bulan-bulan lain menunjukkan pengurangan, iaitu April (4.7 peratus), Mei (6.7 peratus), September (4.7 peratus) dan November (4.3 peratus). 

Susulan impak perubahan iklim serta faktor penyumbang lain seperti pengurusan sumber semula jadi dan perancangan pembangunan, kejadian bencana akan berlaku lebih kerap serta pada skala yang lebih besar.

Dua perkara utama akibat kesan perubahan iklim ini ialah kejadian banjir yang lebih ekstrem, sama ada banjir daratan dari segi peningkatan jumlah dan intensiti serta kekerapannya, dan banjir pantai yang diakibatkan oleh kenaikan aras laut yang turut menyebabkan penerobosan air masin ke daratan.

Pertembungan dua senario tersebut memungkinkan kejadian banjir yang lebih buruk seperti bencana bah besar pada 2014 di negeri pantai timur terutamanya di Kelantan.

 

KEHILANGAN KAWASAN PANTAI 

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), didapati kesan perubahan iklim memungkinkan banjir daratan yang lebih ekstrem terutama di lembangan Sungai Kelantan, Sungai Muda dan Sungai Muar.

Di samping itu, perubahan iklim juga memungkinkan kejadian kemarau panjang yang menyebabkan berlakunya kekurangan sumber air mentah untuk bekalan air. Dijangkakan lembangan Sungai Linggi, Sungai Pahang dan Sungai Muda akan terkesan oleh fenomena ini.

Sementara itu,  impak kehilangan tanah di pesisir pantai yang disebabkan oleh kenaikan aras laut boleh dilihat dengan lebih jelas, terutama di kawasan rendah seperti di Batu Pahat, Johor. 


Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) . -- Gambar ihsan Kementerian Alam Sekitar dan Air

Beberapa kajian telah dilakukan NAHRIM untuk menghasilkan Peta Inundasi Susulan Kenaikan Aras Laut di lokasi terpilih seperti Kedah, Terengganu, Sabah, lembangan Sungai Sarawak, Selangor, Perak dan Johor. 

Kajian itu bertujuan melihat kesan kenaikan aras laut terhadap kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk dan sosioekonomi yang tinggi, di samping turut menilai impak kenaikan aras laut kepada kawasan pelabuhan dan pertanian seperti Pelabuhan Klang, Batu Pahat serta Pulau Langkawi, dan seterusnya mencadangkan langkah-langkah adaptasi yang sesuai bagi lokasi yang dijangka terancam.

Peningkatan aras laut di Pulau Langkawi pula didapati akan memberi kesan kepada infrastruktur pelancongan sedia ada, sekali gus menjejaskan aktiviti pelancongan.

Kawasan seperti Kuala Teriang, Pekan Kuah, Pantai Cenang dan Kilim Geoforest Park menjadi skop utama kajian kerana kawasan terbabit mempunyai keadaan topografi yang rendah. Selain mengancam aktiviti sosioekonomi di kawasan berkenaan, kenaikan aras laut turut berpotensi menyebabkan kemusnahan kawasan hutan paya bakau di Kuala Teriang dan Kilim Geoforest Park.

“Kajian kesan peningkatan aras laut yang telah dijalankan di Pelabuhan Klang pula mendapati impak kerugian, jika berlaku kejadian banjir pantai, dianggarkan sebanyak RM1.4 bilion berdasarkan kehilangan kawasan hutan bakau, kawasan komersial, industri, perumahan dan pertanian.

“Menjelang 2100, kesan kenaikan aras laut di seluruh negara ialah 0.7 meter dan dijangka menyebabkan kehilangan kawasan pantai seluas 3,700 km persegi, menjejaskan seramai 1.5 juta penduduk serta anggaran kerugian sebanyak RM58 bilion.

“Sehubungan itu, integrasi di antara adaptasi perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana adalah penting bagi membantu kerajaan dan pihak berkepentingan menangani impak perubahan iklim dengan lebih holistik,” kata Zaini.

 

KOMITED DAN PROGRESIF


Kerja-kerja membina dan memperbaiki benteng pemecah ombak di persisir pantai giat dijalankan sebagai persediaan menghadapi monsun Timur Laut yang melanda negeri-negeri Pantai Timur pada November 2019 di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kerajaan menyedari impak perubahan iklim ini, dan telah berusaha mengukuhkan lagi pelaksanaan pelbagai langkah mitigasi dan terima guna secara menyeluruh dan bersepadu bagi mengurangkan impak perubahan iklim selain mengekalkan kelestarian pembangunan sosioekonomi negara. 

Di peringkat kebangsaan, Dasar Perubahan Iklim Negara menjadi panduan kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk mengintegrasikan perubahan iklim dalam pelaksanaan dasar masing-masing. 

“Sebagai peneraju pelestarian alam sekitar negara, KASA telah melaksanakan Pelan Strategik 10 tahun yang dikenali sebagai Pelan Strategik KASA 2020-2030: Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia. Pelan ini memusatkan 30 inisiatif utama KASA dengan 34 indikator dan 102 sasaran, berdasarkan empat teras utama iaitu pengukuhan tadbir urus, pertumbuhan hijau, kolaborasi strategik dan keterangkuman sosial.

"30 inisiatif ini juga secara langsung turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2030. Sejak ditubuhkan, KASA telah berjaya mencapai semua sasaran yang ditetapkan dalam pelan strategik itu dan akan terus komited dalam manifestasi iltizam warga kerjanya ke arah Malaysia Lestari 2030,” katanya. 

Selain itu, kerajaan juga akan mengambil pendekatan ‘stepwise adaptation’ dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Adaptasi Kebangsaan (NAP), menggunakan Dana Iklim Hijau (GCF).

Melalui pembangunan NAP, KASA berharap tindakan adaptasi atau terima guna perubahan iklim dapat diarusperdanakan dalam rancangan pembangunan negara bagi menyokong matlamat pembangunan negara yang berdaya tahan iklim.

Bandar raya seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor Baharu juga telah mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan daya tahan iklim melalui peningkatan tahap ketersediaan mengurangkan risiko bencana dengan penggunaan teknologi terkini seperti lebuh raya dwifungsi smart tunnel.

“Agensi kerajaan dan universiti tempatan juga turut membangunkan unjuran perubahan iklim jangka panjang bagi menyokong proses pembangunan dasar dan perancangan tindakan oleh kerajaan,” katanya.

Kajian dan penyelidikan perubahan iklim, kenaikan aras laut dan pusuan ribut akan dipertingkatkan dalam RMK12 bagi membolehkan hasil kajian dan penyelidikan dapat diadaptasikan dalam projek-projek pembangunan, terutama yang melibatkan banjir daratan dan pantai serta perlindungan tanah runtuh.

Perekayasaan teknologi dengan elemen perubahan iklim, terutamanya penambahbaikan standard dan prosedur kejuruteraan berkaitan air akan dipertingkatkan.

KASA melalui NAHRIM juga telah menyediakan panduan pelaksanaan adaptasi perubahan iklim melalui penerbitan “Climate Change Adaptation Framework for Water Sector” atau Kerangka Adaptasi Kebangsaan (NAF) yang akan memantapkan pelaksanaan adaptasi perubahan iklim di Malaysia.

Penggunaan teknologi Machine Learning (ML), Kecerdasan Buatan (AI) dan Analisis Data Raya (BDA) akan terus dipertingkatkan dalam pengurusan banjir dan kemarau.

“Dengan kerjasama MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia), NAHRIM telah memperkenalkan platform ICT pertama di negara ini berasaskan BDA iaitu NAHRIM Hydroclimate Data Analytic Accelerator (NHyDAA) pada 2018 yang membolehkan ‘uncover pattern’ hujan di masa hadapan dapat diunjurkan.

“Berasaskan pengalaman ini, projek kedua BDA iaitu ‘Malaysian Adaptation Index (MAIN)’ dijangka diperkenalkan dalam tahun ini dan berupaya memaklumkan tahap ketersediaan adaptasi setiap negeri di Malaysia bagi menghadapi kesan perubahan Iklim,” katanya. 

 

BAGAIMANA DENGAN GHG?


Sebuah stesen janakuasa elektrik berasaskan pembakaran arang batu melepaskan wap melalui cerobong asap setinggi 200 meter di Lumut, Perak. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas mengenai pengurangan  GHG, beliau berkata tindakan mitigasi perubahan iklim telah dan sedang dilaksanakan oleh negara, terutamanya dalam pengurangan GHG daripada sektor tenaga seperti penjanaan tenaga boleh baharu, peningkatan kecekapan tenaga, penggunaan kenderaan cekap tenaga berkecekapan tinggi, peningkatan kadar kitar semula bahan buangan serta sumbangan penyerapan GHG daripada mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus).

Berkaitan dengan Perjanjian Paris, Malaysia telah mengemas kini sasaran dalam pelan tindakan perubahan iklimnya dengan mengemukakan Nationally Determined Contributions (NDC) untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG tanpa syarat sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030 berbanding tahapnya pada  2005.

Sasaran NDC tanpa syarat telah dinaikkan daripada 35 peratus kepada 45 peratus, peningkatan 10 peratus daripada sasaran NDC pada 2016.

“KASA kini sedang membangunkan Pembangunan Rangka Kerja Pelaksanaan NDC di bawah peruntukan RMK12. Terdapat beberapa komponen di bawah rangka kerja ini termasuk pembangunan NDC Roadmap yang akan memuatkan antara lain sasaran pengurangan GHG sektoral hingga 2030 bagi mencapai NDC.

“Kementerian juga sedang membangunkan Integrated Assessment Model yang melibatkan pembangunan unjuran jangka panjang sektoral hingga 2050.

“Model ini berperanan untuk menyokong evidence-based policy dan model ini akan turut digunakan dalam komunikasi Pembangunan Strategi Rendah Karbon Jangka Panjang (LT-LEDS) yang akan dikemukakan kepada UNFCCC (Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya. 


Kerajaan Malaysia telah sedia membangunkan pelbagai dasar, strategi dan pelan tindakan bagi menangani impak perubahan iklim di luar jangkaan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Proses semakan semula Dasar Perubahan Iklim Negara (2009) juga sedang dilakukan KASA, selain membangunkan  kerangka undang-undang perubahan iklim negara dan merangka dasar ‘carbon pricing’ bagi menyokong agenda perubahan iklim negara.

Di peringkat agensi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga berperanan dalam membuat pemantauan kepekatan GHG melalui stesen Global Atmospheric Watch (GAW) di Lembah Danum, Sabah. Stesen GAW yang terletak di pedalaman itu merupakan stesen yang memberikan komitmen Malaysia kepada antarabangsa dalam perkongsian data gas rumah hijau negara.

Menerusi RMK12, MetMalaysia berhasrat memantau kepekatan GHG yang lebih meluas, melibatkan Stesen Langkawi, Cameron Highlands dan Sibu, Sarawak.

“Kerajaan telah sedia membangunkan pelbagai dasar, strategi dan pelan tindakan bagi menangani impak perubahan iklim, namun pelaksanaan perlu dipertingkatkan bagi menangani impak perubahan iklim di luar jangka. Ini termasuk penambahbaikan berterusan dalam aspek maklumat, teknologi, kewangan, kepakaran dan kemahiran teknikal. 

“Saya yakin, dengan perancangan dan hala tuju jelas yang telah ditetapkan, Malaysia akan menjadi ‘role model’ kepada negara-negara lain dalam dasar kesihatan bumi,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan