BFOKUS

KOMENTAR: MASA UNTUK TETAPKAN SEMULA HALUAN MALAYSIA PASCAPANDEMIK

13/09/2021 01:00 PM

Oleh Azman Ujang

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Selaras dengan jangkaan Malaysia mencapai imuniti kelompok menjelang akhir Oktober ini dan beralih daripada fasa pandemik COVID-19 kepada endemik, langkah seterusnya ialah menetapkan semula haluan Malaysia dalam kebiasaan baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik dan barisan pemimpin pembangkang, berikrar untuk mencari titik persamaan bagi menangani pandemik, merangsang ekonomi selain berusaha meredakan pergolakan politik yang berlanjutan sejak sekian lama, satu permulaan yang baik untuk melangkah ke hadapan buat masa ini. 

Perdana menteri juga berjanji Kabinet akan berorientasikan hasil, berasaskan tiga prinsip iaitu peka terhadap keperluan rakyat, bertanggungjawab dan amanah, serta mengembalikan keyakinan rakyat. 


Era pascapandemik merupakan masa dan peluang terbaik untuk menggubal tetapan semula negara. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Penekanan akan bersandarkan pada budaya kerja berprestasi tinggi dengan setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Semua menteri diberikan tempoh 100 hari untuk mencapai sasaran jangka pendek masing-masing.

Ketika semua menteri menjalankan tugas masing-masing untuk mengembangkan negara, kita juga bertanggungjawab memainkan peranan yang sama. Apatah lagi satu daripada prinsip yang digariskan oleh Ismail Sabri ialah peka kepada keperluan rakyat, justeru rakyat perlu bekerjasama menyuarakan keperluan mendesak mereka, khususnya ketika pascapandemik.

Era pascapandemik merupakan masa dan peluang terbaik untuk menggubal tetapan semula negara.

 


Datuk Seri Nazir Razak. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Datuk Seri Nazir Razak, anak lelaki bongsu Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak, menggesa agar sistem yang dilaksanakan oleh Allahyarham bapanya itu ditentu ukur semula.

“Yang kita perlukan ialah tetapan semula negara, baik pulih secara menyeluruh demokrasi, institusi dan sosioekonomi kita. Ini bukan kali pertama. Kita pernah lakukan perkara sama selepas peristiwa 13 Mei 1969 apabila sistem Westminster yang kita warisi tumbang pada pilihan raya umum ketiga.  

“Pihak yang terlibat dalam membuat tetapan semula itu percaya sistem tersebut boleh berjaya namun tidak akan bertahan untuk selama-lamanya, sistem berkenaan perlu ditambah baik, mungkin perlu diset semula sekali lagi. Malah, mereka menetapkan had masa 20 tahun bagi DEB (Dasar Ekonomi Baru),” kata Nazir.  

“Pada 1990, DEB dinamakan semula namun dilanjutkan dan sistem selebihnya pula diteruskan tanpa perubahan. Semakin lama keadaan itu berterusan, lagi teruk kesan sampingan negatif melunturkan kebaikan yang dihasilkan  oleh sistem tersebut,” tambah beliau.

“Masa telah berubah dan kita tidak harus meniru bulat-bulat apa yang kita lakukan pada 1970 ketika semuanya dipacu oleh Tun Razak sebagai ketua Majlis Gerakan Negara. Hari ini kita perlukan satu proses yang jauh lebih konsultatif, inklusif dan kurang elitis. Kita harus menggembleng agenda dalam nama majlis yang boleh kita namakan sebagai ‘Better Malaysia Assembly’ (BMA),” katanya.

 


Dr Lim Teck Gee, Penulis Ruang dan Penganalisis Dasar Awam. freemalaysiatoday.com

Penulis ruang dan penganalisis dasar awam Dr Lim Teck Gee berkata pada 1988, Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) diwujudkan bagi menggubal dasar ekonomi selepas 1990 untuk menggantikan DEB yang jangka hayat 20 tahunnya hampir tamat.

Beliau berkata syor-syor ‘di luar kotak’ tentang cara menggerakkan Malaysia ke era pasca-DEB dalam ekonomi dan juga sektor penting bukan ekonomi serta tadbir urus menjadikan laporan itu sesuatu yang mesti dibaca dan dirujuk oleh sesiapa yang berpotensi dilantik sebagai ahli majlis kebangsaan yang diwujudkan bagi menetapkan semula hala tuju pembangunan negara. 

Sebuah majlis yang sedemikian boleh berperanan sebagai satu badan peringkat tinggi bukan politik negara ini bagi memastikan akauntabiliti atau kebertanggungjawaban yang lebih baik dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Kabinet baharu kerajaan Malaysia mengangkat sumpah jawatan sehari sebelum negara meraikan Hari Kemerdekaan ke-64 dan agenda utama pastinya tentang kemunculan Malaysia pascapandemik dalam kebiasaan baharu. 


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Apa yang diperlukan oleh negara sekarang ialah sebuah kerajaan dwipartisan yang tidak mustahil dapat diwujudkan jika ahli politik akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong tentang landskap politik baharu yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kehendak peribadi dan keuntungan politik.

Seiring sambutan Hari Malaysia minggu depan, penubuhan ‘People’s Assembly’  atau ‘Majlis Rakyat’ merupakan jalan terbaik untuk menyatukan kepentingan berbeza pelbagai komuniti. Penubuhan majlis sedemikian untuk melengkapi dasar kerajaan boleh menjadi anjakan paradigma ke arah Malaysia Yang Lebih Baik.

 

-- BERNAMA

Datuk Seri Azman Ujang merupakan mantan pengerusi kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Bernama mengenai isu yang ditulis)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan