BFOKUS

SEKTOR PERTANIAN NEGARA DAMBA ORANG MUDA UNTUK HADAPI ANCAMAN SEKURITI MAKANAN

05/08/2022 10:55 AM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

 

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Di sebalik pelbagai inisiatif kerajaan seperti Program Agropreneur Muda (PAM) bagi menggalakkan penyertaan belia dalam sektor pertanian untuk meremajakan kembali industri kritikal yang semakin senja itu, statistik menunjukkan usaha tersebut dipandang sepi oleh golongan sasaran.

Setakat ini, daripada keseluruhan penggiat, hanya 15 peratus atau kira-kira 240,000 adalah golongan muda tempatan. Kekosongan lain diisi sama ada oleh warga emas ataupun pekerja asing, yang mana menurut Jabatan Imigresen, setakat 30 Jun 2019, kira-kira 70 peratus daripada 156,334 pekerja asing aktif di negara ini adalah dalam subsektor tanaman.  

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah pada Jun lepas, pihak industri memaklumkan mereka memerlukan kira-kira 46,000 pekerja asing bagi menampung keperluan, yang mana kata beliau, kekosongan itu boleh diisi oleh warga tempatan.

“PAM (yang diperkenalkan pada 2016) masih belum lagi dapat memenuhi matlamat kerana belia masih berpandangan konvensional bahawa sektor pertanian kotor, bahaya, sukar dan tidak menjanjikan masa depan yang cerah,” kata Pensyarah Kanan (Keusahawanan), Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Perlis Dr Atikah Nor Johari kepada Bernama.

 

PETANI MUDA PENTING

Ulasnya, penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian bukan sahaja penting sebagai komuniti pelapis yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental untuk meneroka dan menjayakan industri, tetapi juga sedia menerima teknologi moden seperti Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kaedah pertanian terkini termasuk precision farming dan smart farming

Tambahnya, agropreneur muda memiliki ciri-ciri perlu bagi mendepani cabaran semasa sektor pertanian kerana mereka dilihat lebih bersedia menanggung risiko, berinovasi serta berkeupayaan menerima guna teknologi baharu.

“Golongan veteran (petani berusia) digolongkan sebagai kelompok yang kurang mampu mengaplikasi teknologi moden dalam aktiviti pertanian. 

“Berikutan pelbagai cabaran dalam sektor pertanian ketika ini, agropreneur muda akan lebih terdorong untuk beralih kepada pengetahuan menggunakan inovasi serta teknologi dan mereka inilah yang akan mengubah sektor pertanian negara,” jelas beliau. 

Hakikatnya, kerajaan sedar akan sambutan dingin orang muda terhadap sektor itu yang ditegaskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi komitmen mereka untuk menarik golongan berkenaan, khususnya yang berusia 18 hingga 40 tahun, menceburi bidang tersebut.

Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing dan meningkatkan penggunaan teknologi, sementelah sudah terbukti penggunaan teknologi berupaya meningkatkan pengeluaran dan kualiti produk, sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan.

Malah, di kebanyakan negara maju, penggunaan teknologi termasuk IoT serta kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang luar biasa dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan mereka. Apatah lagi ketika dunia pada masa ini berdepan ancaman krisis makanan.

 

PERTANIAN “SERAMPANG DUA MATA”

Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid dipetik oleh media sebagai berkata penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian boleh mengurangkan pengangguran, meningkatkan bekalan makanan dan mengatasi kemiskinan. 

Ringkasnya, pertanian boleh berperanan sebagai  “serampang dua mata”.

Mengulas lanjut, Atikah Nor menyarankan kerajaan melaksanakan usaha tuntas termasuk mengenal pasti serta menilai kembali langkah dan strategi yang sudah atau bakal dilaksanakan bagi menyuntik minat belia menyertai sektor itu, pada kadar segera.

“Majoriti golongan muda juga didapati kurang berminat dengan sektor pertanian kerana beranggapan pekerjaan tersebut lebih sesuai untuk golongan veteran, orang kampung, mereka yang susah serta hanya sebagai batu loncatan sebelum mendapat pekerjaan lain.

“Kita bimbang sekiranya keadaan ini berterusan, akan memberi impak kepada sekuriti makanan negara biarpun Malaysia pada ketika ini belum lagi berhadapan isu krisis makanan. Justeru, perancangan sewajarnya perlu dilakukan segera,” ulasnya.

Kebimbangan itu ada kewajarannya kerana buat masa ini negara masih lagi bergantung pada import untuk menampung keperluan makanan domestik. Hal ini juga pernah mendapat perhatian Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang mahu gerakan besar-besaran dilaksanakan bagi memenuhi keperluan bekalan makanan negara.

 

PENDEDAHAN AWAL

Menurut Atikah Nor lagi, sudah tiba masa golongan muda, terutama siswazah, membabitkan diri dalam sektor pertanian dan kejayaan mereka diketengahkan demi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakan sebaya tentang potensi sektor pertanian, khususnya subsektor makanan.

“Apabila ramai usahawan tani muda berjaya, maka lebih ramai kumpulan belia yang akan meneroka dunia pertanian, sekali gus akan dapat membantu menangani masalah pengangguran dan isu sekuriti makanan negara,” kata Atikah Nor.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mass Hareeza Ali@Hamid berkata pendedahan awal berkaitan potensi pertanian kepada mahasiswa mampu memberi impak besar dalam usaha kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda yang moden.

Beliau berkata penglibatan mahasiswa menerusi penyelidikan dengan kerjasama bersepadu daripada tenaga pengajar serta pihak universiti, mampu menghasilkan produk pertanian bermutu tinggi.

“Sememangnya penglibatan mahasiswa memainkan peranan penting ke arah kelangsungan sekuriti makanan negara. Penyertaan mereka dalam aktiviti pertanian dilihat kecil, namun masih mampu memberi impak sangat besar kepada komuniti setempat dan keseluruhannya. 

“Misalnya di UPM, kita mendedahkan pelajar kepada projek tanaman cili fertigasi menerusi program Agro Top @ UPM yang berpotensi meningkatkan motivasi pelajar untuk aktif secara langsung dalam bidang agro,” katanya, menambah usaha serupa wajar diguna terima oleh institusi pendidikan tinggi lain. 

--BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan