Komitmen MPOGCF Ke Arah Mitigasi Hubungan Manusia-Gajah

S
erangan gajah liar sehingga meragut nyawa seorang wanita Orang Asli di Kampung Simoi Baru, Pos Bertau, Lipis pada Disember 2022, pada hakikatnya bukanlah kes pertama membabitkan ancaman hidupan mamalia berkenaan.

Malah, konflik ‘orang besar’ itu dengan manusia sejak kebelakangan ini semakin kerap berlaku di beberapa buah negeri sepertimana dilaporkan media, yang tidak hanya mengakibatkan kehilangan nyawa malah kerugian harta benda serta hasil tanaman terutama bagi pengusaha ladang dan penduduk kampung.

Ini terbukti apabila buku bertajuk “On The Trail Of Our Elephants In The Centre Forest Spine” terbitan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 2021 mendedahkan lebih daripada 9,600 kes konflik manusia-gajah dilaporkan antara tahun 2006 hingga 2020 dengan serangan tertinggi dicatatkan pada 2009, sebanyak 1,108 kes.

Pelbagai usaha dilakukan Perhilitan bagi menangani konflik berkenaan dan terbukti berhasil apabila kes serangan hidupan liar itu menunjukkan trend penurunan selama tujuh tahun sejak 2010 sehingga 2016 dengan jumlah kes terendah direkodkan pada tahun 2016 iaitu sebanyak 327 kes. 

Tanaman pokok pisang musnah diserang gajah liar. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Namun begitu, konflik manusia-gajah sejak empat tahun kebelakangan ini dilihat semakin membimbangkan apabila ia kembali meningkat setiap tahun dengan jumlah kes sebanyak 341 kes pada 2017, 448 kes (2018), 496 kes (2019) dan 549 kes dilaporkan pada 2020.

Nilai kerugian akibat konflik berkenaan untuk tempoh enam tahun bagi 2015 sehingga 2020 adalah dianggarkan hampir RM30 juta terutama membabitkan hasil tanaman di kebun dan ladang termasuk kelapa sawit.

Dengan tahun 2019 mencatatkan kerugian tertinggi bagi industri sawit akibat konflik tersebut iaitu lebih daripada RM14 juta nilai keseluruhan dicatatkan, iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan kerugian dalam tempoh enam tahun berkenaan.

Justeru, banyak pihak termasuk pakar alam sekitar berpandangan konflik berlarutan manusia-gajah itu berpunca daripada hutan yang semakin mengecil akibat daripada penebangan hutan secara besar-besaran bagi aktiviti ekonomi yang menggugat habitat serta sumber makanan hidupan liar berkenaan.

 

MENCARI KAEDAH TERBAIK

Melihat isu yang bagai tiada titik noktahnya itu, banyak pihak khususnya mereka yang terkesan dengan krisis yang dibangkitkan, termasuklah penduduk kampung dan pengusaha ladang begitu menantikan kaedah penyelesaian tuntas dalam menangani konflik manusia-gajah daripada berterusan.

Menurut Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) Zamakhshari Muhamad ketika ditemu ramah Bernama, sejak yayasan mula beroperasi pada April 2021, antara perkara yang diberi keutamaan ialah isu konflik manusia-gajah selain pemuliharaan hidupan liar termasuk Orang Utan dan Harimau Malaya.

Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) Zamakhshari Muhamad ketika ditemu ramah Bernama. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menyedari konflik yang semakin membimbangkan ini, beliau berkata, yayasan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Perhilitan, penyelidik universiti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak industri perladangan dalam mencari kaedah terbaik menangani isu tersebut.

“Apabila bicarakan tentang isu gajah, sebahagiannya berkaitan dengan ladang kelapa sawit. Kami (MPOGCF) sebagai yayasan yang mewakili industri sawit akan terus berusaha mencari jalan menangani isu ini kerana kami tahu ia berkait rapat dengan rakyat Malaysia yang ramai terkesan disebabkan konflik yang berlaku.

“Peranan MPOGCF adalah menyokong usaha pemuliharaan berkaitan industri minyak sawit terutama biodiversiti dan alam sekitar dengan melaksanakan lima objektif utama dalam usaha tersebut,” katanya.

 


"Nilai kerugian akibat konflik berkenaan untuk tempoh enam tahun bagi 2015 sehingga 2020 adalah dianggarkan hampir RM30 juta terutama membabitkan hasil tanaman di kebun dan ladang termasuk kelapa sawit," -- Perhilitan


 

HIDUP BERSAMA SECARA HARMONI

Zamakhshari menjelaskan, usaha mencari solusi menangani konflik manusia-gajah sebelum ini dilakukan melalui beberapa langkah, namun masih belum menemui kejayaan 100 peratus, antaranya seperti memasang pagar elektrik serta membina parit bagi menghalang ‘orang besar’ memasuki kawasan ladang.

Biarpun begitu, usaha yang dilakukan di Sabah melalui konsep ‘hidup bersama secara harmoni” dengan gajah Borneo membuktikan ada jalan penyelesaian terbaik untuk jangka panjang bagi menangani konflik berkenaan.

Langkah yang dilaksanakan oleh Sabah Softwood Berhad (SSB), salah sebuah syarikat pengeluar pokok industri dan kelapa sawit berjaya mengurangkan konflik berkenaan dengan pembinaan Koridor Hidupan Liar sepanjang 17 kilometer sejak tahun 2013 bagi memenuhi keperluan gajah mencari makanan di sepanjang laluan berkenaan.

--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pelbagai spesies pokok termasuk buah-buahan ditanam di sepanjang koridor itu yang secara tidak langsung mengurangkan gajah ini berkeliaran masuk ke dalam ladang kelapa sawit dan berjaya mengurangkan kerugian dialami syarikat berkenaan akibat daripada serangan gajah sejak tahun 2004.

 “Melalui kerjasama dengan SSB dan Jabatan Hidupan Liar Sabah serta Universiti Putra Malaysia (UPM), kami sedang melaksanakan projek penanaman rumput napier (rumput gajah) di koridor gajah yang dibina untuk menggalakkan lagi gajah menggunakan koridor yang disediakan supaya gajah kurang memasuki kawasan ladang.

“Ini sebagai langkah mitigasi bagi mengurangkan konflik manusia-gajah serta menggalakkan kewujudan bersama manusia-gajah terutamanya dalam kalangan pemilik ladang kelapa sawit,” katanya.

Jelas beliau, konsep hidup bersama yang dilaksanakan SSB ini akan dipromosikan MPOGCF ke ladang-ladang sawit di Semenanjung dengan projek pertama melalui kerjasama TDM Plantation untuk ladang sawit di Kemaman dan Setiu, Terengganu.

Gambar hiasan. - Ihsan MPOGCF

“Projek dinamakan hidup bersama secara harmoni itu turut bekerjasama dengan Perhilitan Terengganu bagi memasang kolar satelit pada beberapa ekor gajah untuk dikaji trend dan laluan yang biasa digunakan gajah berkenaan sebelum dijadikan koridor.”

“Di laluan koridor itu juga akan ditanam rumpur napier bagi membolehkan gajah mencari makanan dan tidak lagi memasuki kawasan ladang,” katanya sambil menambah, konsep hidup bersama secara harmoni ini juga akan dapat memastikan haiwan terbabit kekal terlindung kerana mereka juga adalah sebahagian daripada warga Malaysia.

 

SANTUARI GAJAH BORNEO

Ditanya usaha lain yang dilakukan MPOGCF bagi menangani konflik manusia-gajah, Zamakhshari berkata, fokus pemuliharaan gajah Borneo sedang giat dijalankan dengan membina Santuari Gajah Borneo bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Santuari berkenaan akan menjadi tempat pemindahahan gajah liar yang sakit untuk dirawat dan dipulihkan sebelum dilepaskan ke tempat asal mereka sepertimana peranan yang dimainkan oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang. -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Santuari itu akan dilengkapi klinik gajah bagi memastikan gajah berkenaan mendapat rawatan yang terbaik dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta. Lawatan tapak ke klinik gajah di Lampang, Thailand akan dilakukan pada tahun ini untuk mendapat lebih pengetahuan mengenai reka bentuk klinik gajah yang akan dibina nanti,” katanya.

Dalam usaha mencapai objektif penubuhannya, MPOGCF turut memberi tumpuan usaha pemuliharaan hutan terutama hutan terosot melalui projek Penanaman Satu Juta Pokok di atas tanah seluas 2,500 hektar di Sabah.

Penanaman semula pokok itu bagi tujuan pemuliharaan habitat Orang Utan di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu-Segama Malua, Lahad Datu, Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah untuk tempoh 10 tahun dengan MPOGCF menyediakan peruntukan sebanyak RM28 juta sepanjang tempoh berkenaan.

Setakat ini, kata beliau, sebanyak 100,000 pokok berjaya ditanam dan usaha ini akan diteruskan berdasarkan jadual yang ditetapkan.

“MPOGCF juga turut bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk projek Central Forest Spine (CFS) bagi menyambung semula hutan yang terpisah dan dijangka bermula di Kelantan,” katanya sambil menambah, usaha pemuliharaan biodiversiti dan hidupan liar akan terus dipertingkatkan bagi membersihkan imej Malaysia serta membuktikan industri sawit negara mampan dan lestari.

 

KOMITMEN MPOGCF

Selain menggalakkan penyelidikan dan kajian pemuliharaan hidupan liar dan biodiversiti terancam Malaysia serta program penghutanan semula kawasan hutan terosot, MPOGCF mempunyai tiga lagi objektif iaitu membantu NGO dalam membiayai aktiviti pemuliharaan hidupan liar, biodiversiti dan amalan kelestarian yang terbaik di Malaysia, diikuti menggalakkan dan mempromosikan inisiatif pemuliharaan dan amalan kemampanan ladang kelapa sawit serta meningkatkan usaha pemuliharaan, biodiversiti dan kelestarian yang memberi manfaat kepada pengeluar dan pengguna minyak sawit Malaysia di seluruh dunia.

Industri minyak sawit yang mendapat pemintaan tinggi dunia berdepan persaingan tidak sihat apabila sering dilemparkan pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak berasas termasuk ancaman alam sekitar.

Gambar hiasan. --”fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Buat masa ini, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit pada tahun 2020 adalah sebanyak RM73.25 bilion dan melonjak kepada RM108 bilion pada tahun 2021.

Q3- “Menjadi tanggungjawab MPOGCF yang menerajui pemuliharaan alam sekitar memperbetulkan tanggapan negatif terhadap industri kelapa sawit yang menjadi penyumbang utama ekonomi dan pembangunan negara, ” tegas Zamakhshari

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.