Gas Asli Pastikan Lampu Di Rumah Terus Menyala

K
ekayaan sumber gas asli yang ditemukan di ketiga-tiga wilayah - Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak - di negara ini, membolehkan penduduk menikmati bekalan tenaga mampu milik yang berterusan sejak lebih empat dekad lalu.

Pasaran gas domestik Malaysia bermula di Sarawak pada awal 1960-an, menerusi penghantaran gas menggunakan saluran paip bagi kegunaan domestik dan komersial, sebelum disusuli Semenanjung Malaysia pada 1984. 

Di Semenanjung Malaysia, gas asli disalurkan ke seluruh wilayah melalui sistem paip sepanjang 2,500 kilometer yang dibangunkan oleh Petronas Gas Berhad (PGB), dikenali  paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), yang dibina menerusi tiga fasa dari 1984 hingga 1998.

Sistem ini menjadi asas dan juga pendorong pembangunan industri gas asli di Semenanjung Malaysia.

Di bawah sistem PGU,  gas dari medan luar pesisir di pantai timur Semenanjung Malaysia dirawat dan diproses di loji pemprosesan PGB.

Akses kepada gas asli menerusi PGU menjadi pemacu dalam penjanaan elektrik dikuasakan oleh gas, selain sebagai pendaya bagi pemain industri, terutama yang melibatkan penggunaan intensif tenaga.

Bagi meningkatkan pengagihan, Gas Malaysia Berhad membangunkan Sistem Pengagihan Gas  Asli dari PGU untuk menampung permintaan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pusat komersial dan pelanggan domestik.

Kini, rantaian nilai yang membentuk industri gas sudah matang dan kukuh, melibatkan penyertaan banyak syarikat Malaysia.

 

RENDAH PELEPASAN KARBON DAN BOLEH DIPERCAYAI 

Gas asli merupakan bahan api hidrokarbon paling bersih, dan ia tidak berwarna, berbau ataupun bertoksik.

Selain daripada itu, gas asli juga adalah gas dengan pelepasan karbon terendah yang boleh “dipercayai”, menjadikan bahan api fosil ini sumber tenaga lestari.

 Tambahan pula, gas ini adalah bahan api opsyen yang ekonomi bagi kebanyakan perniagaan, kerana menawarkan kecekapan agak tinggi serta harga kompetitif.

Dalam konteks tempatan, gas asli lazimnya digunakan bagi penjanaan tenaga yang membekalkan elektrik ke rumah dan perniagaan, selain digunakan untuk memasak.

Di sesetengah negara lain, gas asli digunakan secara meluas bagi memanaskan dan menghangatkan ruang.

Selain itu, gas asli juga digunakan sebagai bahan mentah dalam pelbagai perindustrian yang mengeluarkan produk seperti pakaian, cat dan pelarut, selain material kompleks seperti bahan kimia khusus serta bahan bergred tinggi.  

Di peringkat global, gas asli menyumbang satu pertiga dalam penjanaan tenaga elektrik dunia memandangkan bahan ini mudah disimpan dan boleh dihantar menerusi saluran paip atau dicairkan dan dihantar menggunakan kapal.  

Di Malaysia, gas asli adalah antara bahan api yang digunakan secara meluas, terutama bagi menjana tenaga elektrik kerana stesen jana kuasa berasaskan gas dapat dihidupkan dan dimatikan dengan cepat, sekali gus mempermudah respons kepada permintaan dan juga sebarang ketidakstabilan grid kuasa.  

Bagi memastikan bekalan elektrik tanpa gangguan, boleh dipercayai serta cekap kos di negara ini, kerajaan memutuskan untuk mempelbagai dan mengimbangi campuran bahan api penjanaan dengan meningkatkan penggunaan gas serta tenaga boleh baharu (TBB).  

Jika dahulu gas adalah bahan api dominan dalam penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia, merangkumi dua pertiga daripada elektrik yang dihasilkan, kini kira-kira 40 peratus daripada keperluan elektrik Malaysia ditampung oleh gas asli, yang turut bermakna “menyalakan” lampu-lampu di rumah kita.

Bagaimana gas digunakan oleh sektor perkilangan?

Bagi sektor industri, gas digunakan dalam proses perindustrian dan sebagai bahan mentah untuk industri petrokimia. Antara proses industri utama yang menggunakan gas adalah bagi pemanasan, pengeringan dan pensterilan.

Dalam konteks bahan mentah, komponen gas asli, iaitu metana, propana dan butana menjalani proses selanjutnya bagi menghasilkan produk asas dan bahan mentah seperti metanol, ammonia, urea, etilena, propilena dan derivatif seperti olefin, glikol dan lain-lain.

 

GAS ASLI DEMI MASA DEPAN LEBIH BAIK DAN BERSIH 

Seiring dengan aspirasi kerajaan ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050, dilaksanakan usaha-usaha untuk menggunakan sumber tenaga lebih bersih, yang bermakna wujud anjakan ke arah tenaga boleh baharu dan bahan api fosil lebih bersih.

Dalam konteks ini, penggunaan arang batu akan dihentikan secara beransur-ansur. 

Bermula 2033, tidak ada lagi loji kuasa berasaskan arang batu akan dibina, dan menjelang 2050, arang batu tidak lagi akan digunakan untuk menjana elektrik yang menyalakan lampu di kediaman kita.

Pada masa sama, TBB akan beransur-ansur meningkatkan penguasaan dalam pasaran campuran tenaga Malaysia.

Dalam tempoh peralihan ini, gas dijangka memainkan peranan penting, khususnya untuk mengimbangi keterputus-putusan TBB (sehinggalah wujud teknologi, kemudahan, pemodenan grid, penyelesaian penyimpanan tenaga, pengurusan permintaan fleksibel serta dasar dan peraturan yang menyokong) bagi membolehkan TBB mencapai potensi penuh.

Selain itu, peranan gas juga kritikal dalam tempoh pemberhentian penggunaan arang batu seawal 2029 - langkah ini akan membantu menurunkan kadar pelepasan karbon negara - sekali gus meningkatkan kebergantungan pada gas.

Sehubungan itu, lebih banyak gas digunakan, dan pastinya dalam bentuk lebih bersih bagi meneruskan peranan jangka panjang dalam menyediakan jaminan tenaga buat negara, sambil membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau dan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, kerana gas asli adalah lebih cekap dan kadar pelepasan karbon pula 50 peratus lebih rendah berbanding arang batu.

Dalam tindakan balas terhadap penambahbaikan peranan serta jangkaan yang lebih tinggi terhadap bahan api itu, industri gas mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan jejak karbon menerusi teknologi pengurangan pelepasan, seperti penyimpanan dan penggunaan tangkapan karbon serta pembakaran (flaring) gas metana. 

 

PERMINTAAN TENAGA PADA MASA DEPAN DAN IMPLIKASI

Pertumbuhan ekonomi dan populasi serta proses pembandaran yang pantas akan turut menyumbang kepada peningkatan permintaan tenaga kira-kira dua peratus setahun.

Setakat 2023, Malaysia paling banyak menggunakan tenaga daripada gas asli, iaitu bersamaan kira-kira 41 juta tan minyak.

Seperti yang dilaporkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di bawah senario peralihan bertanggungjawab, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam bekalan tenaga primer, mengetengahkan kepentingan gas asli dalam perjalanan peralihan tenaga negara (56 peratus gas asli, diikuti oleh 22 peratus TBB menjelang 2050).

Keadaan ini susulan komitmen kerajaan untuk menghentikan penggunaan loji kuasa arang batu menjelang 2040 dan merealisasikan sasaran kapasiti TBB sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

Permintaan tenaga primer diunjur meningkat ketara. Menjelang 2050, ia dijangka meningkat sebanyak 60 peratus berbanding paras pada 2018.

Dari segi penjanaan elektrik, diunjurkan mencapai 194.70 bilion kilowatt per jam pada  2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak  5.53 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Pada masa sama, pengeluaran gas asli di Semenanjung Malaysia sedang mengalami kemerosotan, disebabkan oleh tidak ada penemuan medan baharu, cabaran pembangunan medan baharu serta kemerosotan pengeluaran daripada medan gas matang.

 Sebuah pasaran gas yang rancak dengan Akses Pihak Ketiga adalah penting bagi memastikan kemampanan, yang seterusnya memberi isyarat positif kepada pelabur dan menjamin pelaburan berterusan dalam industri  huluan dan infrastruktur  

Akan tetapi, berikutan kemerosotan sumber domestik, maka peningkatan permintaan perlu ditampung oleh import gas asli cecair yang diperoleh pada harga pasaran.

Bagi memastikan keberkesanan usaha liberalisasi pasaran gas dan TPA, pembaharuan sektor kuasa yang turut merangkumi penetapan harga berasaskan pasaran, adalah kritikal.

Menurut Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa, hampir satu perlima daripada permintaan Malaysia terhadap bahan api menjelang 2050, dalam senario (sasaran peningkatan suhu) 1.5 darjah Celsius, adalah berasaskan TBB, iaitu daripada tenaga bio, tenaga TBB guna terus dan hidrogen - satu anjakan besar berbanding satu peratus sekarang.

Tenaga elektrik akan merangkumi hingga 40 peratus daripada penggunaan tenaga akhir, mencerminkan permintaan elektrik tambahan yang diperlukan bagi menggerakkan sektor pengangkutan dan pengeluaran hidrogen hijau.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, penjanaan elektrik adalah punca pelepasan gas rumah hijau kedua terbesar (ini termasuk pelepasan daripada penjanaan elektrik yang digunakan oleh sektor pengguna akhir lain), menyusuli sektor pengangkutan. 

Pada 2021 sahaja, sebanyak 60 peratus daripada bekalan elektrik datang daripada pembakaran bahan api fosil, kebanyakannya arang batu dan gas asli.

Kini, kesan pencemaran semakin dirasai, antaranya peningkatan suhu global serta cuaca yang tidak menentu.

Peralihan ke arah sumber tenaga bersih dan TBB dapat membantu secara signifikan bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan pencemaran.

Dalam tempoh enam bulan pertama 2023, pelepasan karbon dioksida oleh sektor kuasa dunia bertumbuh hanya 0.2 peratus, kebanyakannya disebabkan oleh peningkatan terhadap pemasangan TBB (angin dan solar), mengatasi pertumbuhan permintaan yang lembab. 

 

GUNA TENAGA DENGAN CEKAP

Seperti yang dinyatakan dalam NETR, kerajaan berikrar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus merentasi seluruh sektor ekonomi menjelang 2030, serta merealisasikan perlepasan karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

Selaras dengan ikrar itu, pada Oktober 2023, penggubal dasar meluluskan undang-undang yang menuntut pengguna tenaga besar melaksanakan langkah-langkah penjimatan tenaga ketika negara berusaha mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon. 

Undang-undang itu bertujuan memastikan peraturan berkaitan kecekapan tenaga Malaysia seiring dengan piawaian antarabangsa. 

Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga itu diunjur menjimatkan 2,017 juta gigajoul tenaga bersamaan RM97.1 bilion menjelang 2050.  

Kerajaan menggalakkan penggunaan peralatan cekap tenaga dalam usaha mengurangkan bil elektrik.

Bermula 10 Dis 2023, orang ramai diberikan rebat hingga RM400 bagi pembelian peralatan cekap tenaga seperti penyaman udara dan peti sejuk.

Bagi sektor perindustrian, pembangunan teknologi cekap tenaga menjadi pemacu penting dalam membantu negara merealisasikan sasaran penjimatan tenaga, termasuk penjimatan purata 21 peratus menjelang 2040 dan 22 peratus menjelang 2050 di bawah NETR.

 

BERDEKAD MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI

Ramai yang tidak tahu industri gas asli merupakan pemacu pertumbuhan sosioekonomi Malaysia sejak berdekad lalu.

Sebagai sektor perindustrian yang sangat maju, industri gas asli dicirikan oleh produktiviti yang agak tinggi serta pekerjaan dipacu teknologi.

Secara individu, industri gas Malaysia bernilai lebih RM10 bilion pada 2017, dan membawa masuk lebih RM135 bilion setahun dari segi faedah ekonomi, serta mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan bagi ekonomi lebih luas, demikian menurut kajian Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.

Kajian itu menganggarkan setiap RM10 hasil yang dikeluarkan oleh industri gas asli menjana lebih RM25 dalam ekonomi lebih luas, sementara setiap 10 pekerjaan yang diwujudkan pula menghasilkan lebih 25 pekerjaan dalam ekonomi lebih luas.

Industri gas memberikan pelbagai faedah kepada Malaysia dan menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan, penubuhan industri sokongan tempatan serta perolehan asing yang menyokong dan memperbesar ekonomi domestik.

Keadaan ini, terutamanya, disebabkan oleh hakikat bahawa industri itu menjana aktiviti ekonomi merentasi spektrum industri sokongan dan jaringan pembekal.

Sehubungan itu, setiap ringgit yang dibelanjakan untuk gas di Malaysia menjana hasil berlipat kali ganda dalam ekonomi, dengan kesan bersih sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar meningkat berkali ganda berbanding nilai asal.

 

RUMUSAN

Sebagai rumusan, gas amat penting dalam peralihan tenaga (sebagai jaminan bekalan), menjana faedah ekonomi limpahan yang besar serta membolehkan pengguna akhir lebih cekap dalam penggunaan tenaga, seterusnya membantu mengurangkan pelepasan karbon dan bil elektrik lebih "mesra poket”.

Ringkasnya, gas asli adalah bahan api penting dalam peralihan tenaga kita, memastikan jaminan bekalan dan boleh dipercayai sambil memupuk pertumbuhan ekonomi.

Penggunaan yang cekap oleh pengguna akhir mengupayakan mereka mengurangkan jejak karbon serta menguruskan kos tenaga elektrik dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang untuk menampung keperluan tenaga mereka.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.