<
strong>
Kemelut Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) yang merupakan satu-satunya ‘tangki oksigen’ yang masih berbaki di kawasan hutan paya bakau banjar selatan, kini menjadi tumpuan bicara dalam kalangan aktivis dan penduduk sejak akhir Mei lepas. Bagaikan telur di hujung tanduk, apakah masih ada harapan untuk KSNP bertahan? Bahagian pertama laporan khas ini mengupas persoalan itu. Baca bahagian kedua di sini
KUALA SELANGOR, 16 Jun (Bernama) -- Semakin membimbangkan!
Hutan paya bakau di Kuala Selangor yang merupakan zon penampan semula jadi pesisiran pantai serta benteng tsunami, kini bukan sahaja diancam kemusnahan tetapi turut berisiko untuk lenyap ditelan kerakusan pembangunan di sekelilingnya.
Terbaharu, Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) yang berkeluasan kira-kira 292 hektar dan terkenal sebagai lokasi transit burung migrasi menjadi sasaran seterusnya apabila ada pihak mengemukakan cadangan untuk meneroka dan membangunkan kawasan itu.
Cadangan membangunkan kawasan Taman Alam yang kaya dengan khazanah bakau serta flora dan fauna untuk dijadikan pusat pelancongan bertaraf antarabangsa itu mengundang kerisauan pakar serta pencinta alam dan penduduk sekitar.
Hutan paya bakau Taman Alam Kuala Selangor diancam kemusnahan. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Walaupun belum ada ‘hitam putih’ daripada kerajaan negeri Selangor mengenai cadangan itu, pembangunan tersebut, jika direalisasikan, pasti memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar kerana KSNP merupakan satu-satunya ‘tangki oksigen’ yang masih wujud di kawasan hutan paya bakau banjar selatan daerah berkenaan.
Ini bukan kali pertama KSNP yang terletak di muara Sungai Selangor dan bersebelahan dengan Bukit Melawati itu ‘diusik’. Dalam tempoh 2007 hingga 2008, kawasan tersebut pernah menjadi “mangsa kerakusan” pengusaha akuakultur yang meneroka secara haram sebahagian kawasan bakau di situ bagi mengusahakan projek kolam udang dan ikan.
Meskipun berjaya dihentikan hasil tindakan pantas Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang menguruskan KSNP sejak 35 tahun lalu, aktiviti guna tanah secara agresif di sepanjang kawasan hutan paya bakau yang dianggarkan melebihi 10 kilometer berdasarkan kiraan Google Earth itu, amat membimbangkan.
Justeru, ada keperluan mendesak agar ekosistem semula jadi Taman Alam Kuala Selangor ini terus dipertahan.
BAGAIKAN TELUR DI HUJUNG TANDUK?
Semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2019, dimaklumkan KSNP dalam proses akhir untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tujuan hutan lipur, hutan pelajaran dan hutan penyelidikan.
Namun dengan perkembangan yang berlaku ketika ini, 1,001 persoalan timbul mengenai status terkini KSNP yang dibuka kepada orang ramai sejak 1987, sama ada telah diwartakan sebagai HSK atau sebaliknya. Sekiranya telah diwartakan, bagaimana dengan ura-ura pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan itu?
Pengurus Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Taman Alam Kuala Selangor (KSNP), Maichal Isthyben. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengurus MNS KSNP Maichal Isthyben turut tertanya-tanya tentang nasib Taman Alam yang sudah dianggap sebagai “rumah keduanya” itu, terutama apabila ada pihak yang datang membuat tinjauan awal, dipercayai bagi menjayakan projek pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Kenapa tidak ada pemberitahuan daripada kerajaan negeri Selangor kepada MNS selaku pihak yang bertanggungjawab mengurus kawasan ini selama lebih tiga dekad? Bahkan hingga ke hari ini langsung tidak ada wakil daripada kerajaan negeri turun menjelaskan mengenai cadangan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan kedatangan wakil syarikat yang merancang projek pembangunan itu pada akhir bulan lepas bertujuan menjalankan kerja ukur tanah dan penandaan sempadan di kawasan tersebut.
Katanya pihak berkenaan mendakwa telah mendapat kelulusan bagi kebenaran memasuki dan memulakan kerja daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
Malah katanya wakil syarikat itu turut menunjukkan gambar surat kelulusan JPNS yang ditandatangani Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, bertarikh 23 Mei 2022, kepada pengarah syarikat yang bergelar “Tan Sri” berkenaan.
PERSOALAN STATUS
Surat kelulusan JPNS yang ditandatangani Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid Kepada pengarah syarikat yang bergelar “Tan Sri”. --Ihsan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS)
“Kami memang terkejut apabila ada beberapa wakil pihak pemaju yang datang untuk ukur tanah dengan menunjukkan surat kebenaran tersebut yang jelas menyatakan cadangan pembangunan KSNP sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa,” kata Maichal.
Menurutnya, surat kebenaran itu memeranjatkan bukan kerana MNS telah lama melindungi, menjaga serta mempromosikan KSNP sebagai kawasan pendidikan paya bakau, penyelidikan dan ekopelancongan, tetapi juga atas dasar peranan Taman Alam berkenaan dalam menjaga kesejahteraan manusia dan alam sekitar.
Sehubungan itu, beliau berharap JPNS serta kerajaan negeri lebih telus dan tampil memberi penerangan lanjut berkaitan cadangan tersebut kepada MNS dan penduduk sekitar termasuk menyatakan dengan jelas status sebenar hutan berkenaan.
Hingga ke hari ini status KSNP masih menjadi polemik dalam kalangan ahli MNS serta penyelidik tempatan yang membuat kajian di situ kerana dikatakan tanah kerajaan negeri itu telahpun bertukar status kepada HSK apabila isu cadangan pembangunan berkenaan mula dibicarakan.
Malah, beberapa penyelidik tempatan yang ditemukan sedang membuat kajian di situ tidak mahu ditanya lanjut oleh Bernama mengenai penyelidikan mereka di KSNP kerana bimbang kajian mereka terjejas sekiranya benar Taman Alam itu sudah berstatus HSK.
Ini kerana kemasukan ke HSK memerlukan permit daripada Pejabat Hutan Daerah.
Kemasukan ke HSK memerlukan permit. -- Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Memasuki HSK tanpa kebenaran adalah satu kesalahan menurut Seksyen 47 (1) dan (4) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993), dan jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi negeri Selangor yang telah melakukan pindaan ke atas Seksyen 47 (4) Akta Perhutanan Negara 1984, kesalahan memasuki HSK tanpa kebenaran boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan hingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tahun lepas, seorang pegawai program MNS telah dipanggil berbincang dengan pegawai JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia) dan JPNS mengenai usaha untuk jadikan KSNP sebagai hutan simpanan.
“Namun hingga ke hari ini MNS langsung tidak diberitahu perkembangan usaha tersebut sehinggalah baru-baru ini kecoh diperkatakan KSNP sudah menjadi HSK selepas tersebar cadangan pembangunan berkenaan.
“Kami yang mengurus KSNP sepatutnya tahu status kawasan ini kerana jika berlaku kejadian tidak diingini pastinya MNS akan dipersalahkan. Lagipun bukankah pertukaran status sesebuah kawasan kepada HSK akan diumumkan secara rasmi, tetapi kenapa tidak (kedengaran) dalam soal KSNP?” soalnya.
JADIKAN TAPAK RAMSAR
Maichal berkata jika benar KSNP sudah bertukar menjadi HSK, hutan tersebut perlu dinyahwartakan terlebih dahulu sebelum boleh dibangunkan, dan proses penyahwartaan pula perlu melalui banyak peringkat termasuklah penyiasatan awam bagi mendapatkan maklum balas orang ramai.
Negeri Selangor merupakan negeri pertama di negara ini yang menguatkuasakan kaedah penyiasatan awam susulan penambahbaikan terhadap Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang dilakukan oleh kerajaan negeri pada 2011.
Menurut Maichal, bagi MNS, pewartaan KSNP sebagai HSK amat dialu-alukan kerana sudah sekian lama ia berusaha menjadikan kawasan itu sebagai hutan simpanan atau taman negeri seperti yang dilakukan oleh Johor menerusi Perbadanan Taman Negara Johor.
Malah, MNS juga sudah lama berusaha untuk menjadikan kawasan itu sebagai tapak Ramsar yang turut bertujuan melindungi khazanah alam, habitat dan hidupan liar.
Kepentingan Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) dikekalkan kerana ia merupakan lokasi penting laluan ‘East Asian-Australian Flyway’ burung migrasi dalam tempoh Oktober hingga Mac. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ini kerana KSNP bukan hanya terkenal sebagai lokasi penting laluan ‘East Asian-Australian Flyway’ burung migrasi dalam tempoh Oktober hingga Mac, tetapi juga kaya dengan khazanah flora dan fauna endemik seperti burung upeh yang kini diancam kepupusan, rama-rama mangrove tiger butterfly dan juga lotong kelabu yang hanya boleh ditemukan di Kuala Selangor, dikenali Trachypithecus selangorensis.
Selain itu, kawasan berkenaan turut menjadi habitat spesies memerang terancam seperti memerang licin (smooth-coated otter), memerang kecil (Asian small-clawed otter) dan memerang hidung berbulu (hairy-nosed otter).
MNS berharap dengan adanya status HSK atau tapak Ramsar, ekosistem hutan paya bakau di taman alam itu akan dapat dilindungi sepenuhnya kerana di situlah sahaja hutan paya bakau banjar selatan daerah berkenaan masih wujud.
Namun, perkhabaran tentang cadangan pembangunan itu menimbulkan persoalan berhubung rasional pertukaran kepada status HSK tersebut yang sepatutnya bermatlamat utama melindungi dan memulihara kawasan hijau.
“Apa tujuan sebenarnya mereka jadikan KSNP sebagai hutan simpanan? Ini isu besar kerana hutan simpanan adalah untuk dilindungi, bukan dibangunkan, dan tidak kiralah pembangunan tersebut sebahagian sahaja, langkah itu tetap mengancam kelestarian alam.
“Kerajaan negeri sewajarnya menolak terus cadangan tersebut sekiranya benar-benar hendak menjaga khazanah alam ini biarpun (cadangan) masih dalam proses penelitian,” katanya.
RESORT MEWAH DALAM HUTAN
Sambil menunjukkan cadangan pelan pembangunan KSNP yang diperolehnya kepada Bernama, Maichal berkata beliau difahamkan kawasan itu akan dibangunkan untuk kegiatan ekopelancongan dengan pembangunan resort mewah yang meliputi beberapa zon termasuk di kawasan bakau.
Antara fasiliti yang dicadangkan dalam projek itu ialah pusat jualan produk tempatan, pusat spa, yoga & taici, kolam air panas serta beberapa jenis bilik penginapan termasuk chalet yang dianggarkan berjumlah 200 unit.
Cadangan pelan pembangunan KSNP untuk kegiatan ekopelancongan dengan pembangunan resort mewah yang meliputi beberapa zon termasuk di kawasan bakau. -- Sumber pengurus Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) Maichal Isthyben.
“Hutan Taman Alam terdiri daripada dua jenis iaitu hutan sekunder di bahagian depan manakala bahagian belakang merupakan hutan paya bakau. Kalau dilihat pada cadangan pelan, pembangunan turut melibatkan kawasan paya bakau.
“MNS bukannya anti pembangunan kerana kami faham pembangunan memang tidak dapat dielakkan, namun kenapa tidak dilakukan di tanah negeri yang banyak terbiar berbanding merosakkan ekosistem alam bakau yang sangat penting bukan sahaja bagi penduduk di situ tetapi juga kita semua,” katanya.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati seakan tidak tahu mengenai status sebenar KSNP ketika diajukan persoalan itu.
“Setakat yang saya tahu KSNP belum diwartakan (sebagai HSK) dan masih lagi dalam proses... kena ‘double-check’ (semak) dengan JPNS,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Bagaimanapun beliau mengakui kerajaan negeri ada menerima cadangan daripada sebuah syarikat pemaju yang mahu membangunkan sebahagian daripada KSNP menjadi sebuah ‘resort dalam hutan’, namun menurut Juwairiya hal itu belum lagi diputuskan.
“Memang ada pemaju nak cadang (pembangunan) tetapi kerajaan negeri belum setuju atau lulus… itu yang kita perlukan maklumat lebih terperinci bahagian mana dimaksudkan untuk dibangunkan, adakah kawasan itu menjejaskan hutan paya bakau, sejauh mana hendak dibangunkan.
“... kita tidak akan setuju kalau pemaju hendak bangunkan semua dan saya juga ada mengusulkan kebimbangan KSNP merupakan lokasi penghijrahan burung dan kerana itu semua perkara ini perlu dibentangkan, perlu diusulkan kepada JPNS dan kena teliti betul-betul supaya tidak menjejaskan hutan kita,” katanya.
SAH HUTAN SIMPAN
Bagaimanapun maklumat terkini yang diperoleh Bernama menunjukkan KSNP dalam proses pewartaan sebagai HSK dan hal itu disahkan oleh Pengarah JPNS yang berjaya dihubungi baru-baru ini.
Menurut Ahmad Fadzil, KSNP telah diluluskan sebagai HSK seluas kira-kira 292.18 hektar oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2018 dengan nama Hutan Simpan Melawati.
“Proses pewartaan hutan simpan ini sedang dilaksanakan dan telah berada di fasa kedua iaitu penyediaan Pelan Warta oleh JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia) Selangor.
“Fasa terakhir, JPNS akan mengambil tindakan untuk penyediaan Kenyataan Siar Warta melalui PTG (Pejabat Tanah dan Galian) Selangor yang dijangka selesai pada tahun ini juga,” jelasnya.
Pada masa yang sama, JPNS telah mengambil inisiatif awal dengan melantik jurukur berlesen pada penghujung 2021 untuk melaksanakan pengukuran halus dan penyediaan Pelan Akui (PA) bagi Hutan Simpan Melawati ini. Proses pengukuran telah dilaksanakan mengikut jadual kerja yang ditetapkan.
Setakat 12 April 2021, negeri Selangor mewartakan seluas 250,000 hektar HSK iaitu 31 peratus daripada keluasan darat negeri tersebut yang diuruskan di bawah prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan untuk kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Selangor sebelum ini menetapkan pewartaan 30 peratus atau lebih kawasan tanah negeri itu sebagai HSK, merangkumi 71 hutan simpanan yang melibatkan tiga jenis hutan utama, iaitu hutan darat seluas 142,156 hektar, hutan paya laut (18,998 hektar) dan hutan paya gambut (82,890 hektar).
Justeru, apakah perlu KSNP menjadi korban pembangunan yang bertentangan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjaga kepentingan hutan secara berkekalan?
-- BERNAMA