Masalah keciciran pendidikan masyarakat Orang Asli pedalaman sudah lama berakar umbi walaupun pelbagai usaha dilakukan selepas lebih 60 tahun merdeka, antaranya oleh pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sehingga ke hari ini permasalahan tersebut masih lagi membelenggu masyarakat Orang Asli. Apa puncanya dan di mana silapnya? Wartawan Bernama, Kurnia Kamarudin dan Sakini Mohd Said ‘berkampung’ beberapa hari di pedalaman Gua Musang untuk cuba merungkai permasalahan ini.
Siri pertama daripada lima bahagian ini antaranya menyelami hati ibu bapa Orang Asli di Pos Simpor (Gua Musang) serta isu keciciran anak-anak mereka.
GUA MUSANG (POS SIMPOR) (Bernama) - Terik matahari begitu dirasakan biarpun kami berlindung di tepi rumah yang sekadar berdindingkan anyaman buluh dan berbumbungkan pelepah rumbia. Jarum jam menunjukkan hampir pukul 12 tengahari.
Dari luar rumah yang juga adalah rumah adat Orang Asli suku Temiar, Pos Simpor (Gua Musang) berkeluasan sekitar 243 meter persegi itu, kedengaran suara riuh perbualan kira-kira 30 orang kaum bapa, rancak berbual sesama mereka.
Namun, kerancakan suasana tiba-tiba menjadi ‘kaku dan sunyi’ sebaik muncul susuk seorang lelaki bertubuh sederhana, berkulit agak gelap. Semua mata tertumpu pada lelaki itu yang bernama Ayel Ajib, 55. Pada awalnya beliau kelihatan tenang namun sedikit demi sedikit wajahnya berubah dan air matanya mula bergenang, dahi berkerut serta mulut terkatup rapat seolah-olah seperti menahan beban perasaan amat berat.
Ayel Ajib, 55, (tiga, kiri) menceritakan insiden misteri anaknya yang hilang semasa tragedi Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi pada 2015. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
“Saya masih lagi trauma dan susah untuk ingat dan ceritakan kembali apa yang terjadi kepada anak saya walaupun sudah hampir lapan tahun peristiwa itu berlaku.
“Sedih, takut semua ada kerana saya terima jasad anak (tidak sempurna, rangka) dalam kotak bukan sepertimana jasad orang lain,” kata Ayel dengan suara bergetar kepada penulis ketika diminta berkongsi insiden kematian anaknya, Ika Ayel, 9, dalam satu tragedi menyayat hati pada 23 Ogos 2015.
Pertemuan kami di rumah adat itu diatur oleh wakil pemangku penghulu, Hamdan Ading, 40, yang juga Orang Asli Suku Temiar tinggal di Pos Simpor.
BOIKOT SEKOLAH AKIBAT TRAGEDI
Selepas hampir 50 hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan, hanya dua pelajar sahaja ditemui hidup iaitu Norieen Yaakob, 10 dan Miksudiar Aluj, 1. Mereka berdua ditemui di tebing Sungai Perias, kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi.
Manakala Ika dan tiga lagi murid, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang kesemuanya dari Kampung Gawin dan Kampung Penad, Pos Simpor ditemui mati manakala seorang lagi pelajar, Sasa Sobrie, 8, sehingga ke hari ini masih lagi belum ditemui.
Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) membawa keluar bungkusan berisi rangka kanak-kanak dipercayai antara tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang. -- fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sukar menerima kematian anaknya yang begitu tragis, Ayel yang mempunyai lima orang anak ini mengakui kemudiannya mengambil tindakan drastik dengan memberhentikan persekolahan tiga anaknya (Reney Tahun Lima, Jurey Tahun Empat dan Magroy Tahun Satu), juga murid SK Tohoi.
Malah, peristiwa hitam itu juga membuatkan Ayel bertekad untuk tidak menyekolahkan langsung anak bongsunya, Iswan Ayel yang sepatutnya ketika ini berada di Tingkatan 1.
Tragedi malang yang menimpa tujuh (7) orang anak Orang Asli Suku Temiar itu tersebar luas di Internet dan menggemparkan seluruh negara. Ia malah mengakibatkan majoriti ibu bapa di perkampungan berkenaan bertindak memboikot serta menghalang anak mereka meneruskan sesi persekolahan.
Defisit kepercayaan dan kekeruhan hubungan antara sekolah dan ibu bapa yang menjadi polemik ketika itu tidak hanya berlaku di SK Tohoi malah turut menular kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman lain seluruh negara.
PENTINGKAN PENDIDIKAN
Isu boikot sekolah ini sudah tentunya membimbangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Soal keciciran di SK Tohoi yang majoritinya anak-anak dari Pos Simpor bukan isu baharu kerana sebelum tragedi berkenaan, kadar peratusan kehadiran murid hanya antara 75 hingga 80 peratus.
Pelbagai cara dilakukan bagi memujuk ibu bapa agar menghantar semula anak mereka ke sekolah, namun ternyata sukar memandangkan banyak isu pendidikan di kawasan pedalaman masih lagi belum menemui titik penyelesaian.
“Saya tidak benci pendidikan cuma trauma, tetapi akhirnya terpaksa beralah. Anak-anak saya nak sangat sekolah kerana ramai kawan-kawan pergi sekolah.
“Cuma harapan sebagai bapa mangsa, tolonglah buat sekolah berhampiran dengan kampung kerana ia akan memudahkan kami untuk hantar dan lihat keadaan anak berbanding sekarang ini yang memerlukan mereka tinggal di asrama dalam umur enam tahun,” rayu Ayel.
Perkampungan masyarakat Orang Asli suku Temiar, Pos Simpor antara penempatan masyarakat Orang Asli paling jauh di pedalaman di Semenanjung Malaysia. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
SK Tohoi adalah sekolah paling hampir dengan penempatan mereka dengan jarak kira-kira 50 kilometer. Masa perjalanan anak-anak ke sekolah sekitar lima jam sekiranya cuaca baik dan sehingga 10 jam sekiranya hujan.
Pos Simpor adalah antara penempatan masyarakat Orang Asli paling jauh di pedalaman di Semenanjung Malaysia. Jaraknya dengan Gua Musang adalah sekitar 98 kilometer. Ia hanya boleh diakses melalui jalan balak selain udara sehingga memerlukan anak-anak bermula Tahun Satu iaitu pada usia tujuh tahun tinggal di asrama sekolah.
Terdapat 12 buah kampung di Pos ini dengan jumlah penduduk lebih daripada 900 orang iaitu Kampung (kg) Penad, Kg Sedal, Kg Sumbang, Kg Ceranok, Kg Dandut, Kg Jader Lama, Kg Pahoj, Kg Kledang, Kg Pos Simpor, Kg Halak, Kg Rekom dan Kg Tihok.
“Harapan sebagai bapa mangsa, tolonglah buat sekolah berhampiran dengan kampung kerana ia akan memudahkan kami untuk hantar dan lihat keadaan anak berbanding sekarang ini yang memerlukan mereka tinggal di asrama dalam umur enam tahun," -- Ayel Ajib
KEGAGALAN 3M
Pemangku penghulu Pos Simpor Mohd Syafiq Dendi Abdullah, 30, memberitahu Bernama, isu berkenaan memakan masa agak panjang kerana ramai ibu bapa takut serta bimbang tragedi hitam yang menimpa anak-anak mereka.
“Lebih dua tahun masalah ketidakhadiran ini berlaku dan trauma yang dihadapi membuatkan ada yang langsung tidak bersekolah sepertimana yang berlaku pada mangsa tragedi berkenaan, Norieen dan Miksudiar. Mereka tidak bekerja kerana tiada kelulusan selain takut berjumpa orang luar.
“Trauma dihadapi begitu kuat kerana melihat sendiri depan mata rakan lain mati….. Ada yang mati kerana dimakan biawak dan mereka tidak mampu menolong kerana tidak larat disebabkan beberapa hari tidak makan,” katanya yang turut menambah Norieen kini berumur 17 tahun manakala Miksudiar,18.
Sekolah Kebangsaan Tohoi, pernah menggemparkan negara dengan kehilangan tujuh murid Orang Asli suku Temiar dari Pos Simpor pada 2015. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Biarpun terdapat ibu bapa di Pos Simpor menghantar anak ke sekolah selepas banyak kali dipujuk guru sekolah, namun mereka masih dibelenggu perasaan takut.
Menurut Mohd Syafiq Dendi, runtunan hati mahu membina masa depan lebih baik anak melalui pendidikan, ibu bapa akhirnya ‘berkorban’ dan terpaksa membuang rasa gusar itu.
Buat masa ini, tahap pendidikan paling tinggi di Pos Simpor hanyalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kebanyakan mereka bekerja sama ada sebagai penoreh getah atau keluar dari kampung dan bekerja dalam sektor perkilangan juga sebagai pemandu lori.
Pemerhatian Bernama yang ‘berkampung’ di Pos Simpor selama beberapa hari mendapati, kebanyakan ibu bapa di sini semakin menyedari betapa pentingnya pendidikan untuk membawa mereka keluar daripada ‘kepompong kemiskinan’.
Masalah keciciran pendidikan anak Orang Asli semakin membimbangkan. --fotoBERNAMA (2022) HAKCIPTA TERPELIHARA
Malah, ada yang secara terbuka mengakui menyesal menghentikan persekolahan anak mereka sehingga menyebabkan tercicir dalam pendidikan serta gagal menguasai 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.
Ditambah dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia hampir tiga tahun lepas, ‘membarahkan’ lagi situasi yang berlaku dalam kalangan anak-anak Orang Asli.
TIDAK HANYA POS SIMPOR
Hakikatnya, masalah keciciran pendidikan masyarakat pedalaman Orang Asli atas sebab halangan geografi selain faktor sosioekonomi tidak hanya berlaku di Pos Simpor, malah dilaporkan berlaku di seluruh penempatan masyarakat Orang Asli pedalaman Semenanjung.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Nor dalam satu temu bual bertulis kepada Bernama memaklumkan, pihaknya mengenal pasti beberapa faktor keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak masyarakat Orang Asli.
“Secara umumnya, faktor yang mempengaruhi peratus transisi murid dari kaca mata JAKOA mahupun KPM antaranya melibatkan ekosistem sekolah, tiada ikon murid, sokongan dan dorongan ibu bapa, kegagalan Orang Asli beradaptasi dengan kaum lain dan sikap ibu bapa.
“Dari perspektif geografi, lokasi penempatan Orang Asli yang berselerak dan kebanyakannya jauh di pedalaman menyebabkan darjah aksesibiliti mereka kepada pendidikan agak rendah,” katanya.
Jalan balak yang rosak dan berlumpur tebal menyukarkan anak Orang Asli mendapatkan pendidikan berkualiti. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
KPM pula pada November 2021 dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, memaklumkan sebanyak 42.29 peratus murid Orang Asli tidak menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5 bagi tahun 2021 berbanding tahun 2020, sebanyak 58.62 peratus.
Permasalahan keciciran ini turut diakui dalam satu laporan terbitan Institusi bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang dilakukan oleh penyelidik, Wan Ya Shin bertajuk, ‘Education Policies in Overcoming Barriers Faced by Orang Asli Children: Education for All’.
Memetik laporan berkenaan, beliau berkata, “Berdasarkan data kadar keciciran sekolah rendah ke sekolah menengah (2016 - 2018) pelajar Orang Asli dan pelajar-pelajar lain dari Kementerian Pendidikan Malaysia 2019, di sebalik pengurangan kadar keciciran pelajar Orang Asli selepas Tahun Enam, kadar keciciran mereka masih lagi tinggi berbanding kadar pelajar-pelajar lain.
“Kadar keciciran pelajar lain di peringkat kebangsaan, secara konsistennya berada bawah empat (4) peratus sementara kadar pelajar Orang Asli atas 17 peratus dan meningkat kepada 26 peratus pada tahun 2017. ”
Sementara itu, di peringkat negeri, kadar keciciran pelajar Orang Asli pada tahun 2018 begitu ketara di Kelantan dan Terengganu dan kurang ketara di Perak, Kedah dan Johor.
Masalah keciciran pendidikan anak Orang Asli amat membimbangkan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Berdasarkan sumber JAKOA, pada tahun 2018, kadar keciciran selepas Tahun Enam adalah paling tinggi di Kelantan dan Terengganu dengan kadar peratusan 41 peratus, diikuti oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan (27 peratus), Negeri Sembilan dan Melaka (22 peratus) dan Pahang (19 peratus).
“Tiga negeri yang menunjukkan pencapaian terbaik adalah Johor dengan hanya satu (1) peratus kadar keciciran diikuti Perak dan Kedah, masing-masing tiga (3) peratus kadar keciciran. Perbezaan ini mungkin kerana tadbir urus sekolah di peringkat negeri dengan bimbingan serta tunjuk ajar yang disediakan di peringkat negeri dan daerah berbeza antara satu negeri dengan satu negeri yang lain.
“Mungkin juga wujud perbezaan penglibatan masyarakat sivil dan NGO dalam menyokong program pendidikan pada peringkat komuniti,” memetik laporan berkenaan.
TIADA DATA LENGKAP
Bagaimanapun, menurut Wan, kadar keciciran selepas Tahun Enam, tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar kerana data kanak-kanak yang tidak pernah ke sekolah atau tercicir tatkala di sekolah rendah atau menengah tidak dimasukkan dalam perangkaan.
Data tersebut jelas menampakkan kebimbangan masalah keciciran pendidikan masyarakat Orang Asli dan bagi pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sosial Sains, Universiti Malaya (UM) Dr Rusaslina Idrus, beliau juga sepertimana Wan yang melihat ada satu lagi permasalahan yang mungkin terlepas pandang.
“Ketika ini kita hanya ada data yang keciciran dalam pendidikan, maknanya mereka pergi sekolah tetapi tidak tamatkan pelajaran atau ketinggalan, bagaimanapun, negara tidak memiliki data golongan anak umur enam, tujuh tahun yang tidak pernah bersekolah langsung,” katanya.
Masalah keciciran pendidikan masyarakat anak Orang Asli membimbangkan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Beliau yang menjalankan pelbagai penyelidikan berkaitan isu Orang Asli termasuk yang terbaharu bertajuk ‘Contextualising Education Policy to Empower Orang Asli Children’ bersama dengan penyelidik, Wan, berkata data tersebut sangat penting termasuk mengenal pasti punca yang mengekang mereka tidak ke sekolah.
Isu kanak-kanak tidak memasuki alam persekolahan disebabkan tiada kemudahan asas adalah perkara serius kerana tidak memenuhi peruntukan Artikel 26 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Artikel 28 dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).
Selain bertentangan dengan dasar pendidikan wajib untuk semua kanak-kanak terutamanya pendidikan sekolah rendah yang mana Akta Pelajaran 1996 sebelum ini dipinda bagi mewajibkan semua kanak-kanak warganegara Malaysia berumur enam hingga 12 tahun harus berada di sekolah.
Dalam hal ini, amat penting JAKOA untuk memainkan peranannya dalam mengumpul data dan maklumat mengenai kanak-kanak yang langsung tidak bersekolah bagi membantu KPM merancang kaedah bersesuaian dalam memastikan tiada kanak-kanak Orang Asli terpinggir mendapat pendidikan.
Tidak boleh dipandang remeh memandangkan masalah keciciran pendidikan Orang Asli bukanlah isu baharu walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan, namun polemik tersebut masih lagi berlaku malah semakin membarah dengan insiden SK Tohoi dan COVID-19.
pic-10
“Insiden SK Tohoi memang menjejaskan defisit kepercayaan dan hubungan mereka dengan sekolah dan berdasarkan kajian kami, diakui kampung lain turut terkesan sama membuatkan masih ramai ibu bapa merasakan sekolah bukanlah tempat yang selamat.
“Biarpun sudah pulih daripada trauma, namun isu lain yang masih membelenggu permasalahan keciciran pendidikan anak ini harus diambil perhatian jitu memandangkan mendapatkan pendidikan merupakan hak semua warganegara Malaysia,” kata Rusaslina.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff