Masalah keciciran pendidikan masyarakat Orang Asli pedalaman sudah lama berakar umbi walaupun pelbagai usaha dilakukan selepas lebih 60 tahun merdeka, antaranya oleh pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sehingga ke hari ini permasalahan tersebut masih lagi membelenggu masyarakat Orang Asli dan antara punca utama dibangkitkan adalah isu buli, diskriminasi terhadap kaum itu yang tidak ada titik noktahnya.
Akan tetapi, apakah benar dakwaan berkenaan? Ikuti pendedahan Wartawan Bernama, Kurnia Kamarudin dan Sakini Mohd Said yang ‘berkampung’ beberapa hari di pedalaman Gua Musang dalam siri keempat daripada lima bahagian.
GUA MUSANG (Bernama) -- Apabila abangnya Yahya Ferdy (bukan nama sebenar) memperolehi keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Farkra Ferdy (bukan nama sebenar), 15, sudah menanam cita-cita mahu juga berjaya seperti itu dan hatinya berbunga-bunga apabila dapat ke sebuah sekolah arus perdana di daerah ini.
Kegembiraan ini turut dikongsi ayah dan ibunya, Ferdy Along (bukan nama sebenar), 46, Amek Alung (bukan nama sebenar), 41, berketurunan Orang Asli suku kaum Temiar.
Namun keceriaan Farkra tidak berpanjangan dan ini dapat dilihat sendiri oleh ayah dan ibunya kerana setiap kali anak kesayangannya itu pulang dari asrama, wajahnya suram dan lebih suka memencilkan diri.
Farkra Ferdy (bukan nama sebenar), 15, (dua, kiri) yang menjadi mangsa buli di sekolah tekun mengulang kaji pelajaran bersama kakak dan rakan-rakannya. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Susah hati dan bingung keduanya melihat perubahan sikap anaknya itu berbanding ketika awal mendaftarkan diri di sekolah berkenaan selepas setahun tidak dapat ke sekolah akibat COVID-19. Farkra hanya dapat memasuki sesi persekolahan secara bersemuka pada Tingkatan Dua.
“Dia nak jadi macam abang dia Yahya, dapat 6A SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dia memang jenis suka membaca bila ada masa lapang. Tetapi sejak masuk sekolah menengah, kami perhatikan dia suka menyendiri, tidak selera makan, kadang-kadang menangis dan tidak mahu balik asrama selepas habis cuti sekolah,” kata Ferdy yang menambah, anaknya itu semasa bersekolah rendah tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah yang terletak sekitar 21 kilometer (km) dari rumah mereka di Kampung Kuala Wook.
Menjadi mangsa buli, itulah sebenarnya punca perubahan sikap Farkra, anak ke-12 daripada 13 beradik.
Perkara ini hanya dapat dirungkai Ferdy setelah hampir setahun anaknya berkelakuan pelik, yang mungkin turut menggigit perasaan anak-anak Orang Asli lain, hanya kerana darah keturunan yang berbeza.
SALAHKAH KAMI ANAK ORANG ASLI?
“Waktu sekolah rendah, semua anak Orang Asli, jadi tidak ada masalah tetapi apabila Farkra ke sekolah menengah, ada yang memanggilnya, jakun, sakai, rupa buruk macam Negro, busuk walaupun sudah berpakaian kemas dan wangi dan paling teruk bila ada mengatakan Orang Asli buat sekolah jadi kotor.
“Ejekan itu berlaku setiap masa. Dia juga pernah kena tumbuk, bajunya dibuang dari tingkat atas, dipaksa basuh tandas. Buli itu membuatkan dia malu dilahirkan sebagai anak Orang Asli dan mahu berhenti sekolah, tidak mahu kejar cita-cita jadi cikgu pedalaman,” kata Ferdy kepada penulis.
Keunikan dan keistimewaan raut wajah anak Orang Asli dijadikan bahan ejekan, buli oleh sesetengah individu tidak bermoral. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Terletak kira-kira 52 km dari bandar Gua Musang, Kampung Kuala Wook yang mempunyai lebih daripada 300 penduduk merupakan antara penempatan Orang Asli di pedalaman Semenanjung Malaysia dan tidak boleh ditemui di Google Maps, selain hanya boleh diakses melalui jalan balak dan udara.
Selain faktor geografi, keadaan jalan balak yang berlopak dan bahaya menyebabkan anak-anak daripada kampung ini ditempatkan di asrama SK Kuala Lah seawal Tahun Satu kerana paling hampir dengan penempatan mereka dengan jarak sekitar 21 km.
Menurut Ferdy yang juga wakil jurucakap Kampung Kuala Wook, buat masa ini terdapat lebih daripada 20 pelajar dari kampung itu yang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah arus perdana dan ada antaranya turut sama menjadi mangsa buli dan diskriminasi seperti dialami Farkra.
“Bagi anak-anak Orang Asli, mereka kebanyakannya lebih suka mendiamkan diri dan tidak mahu melaporkannya kepada guru kerana tidak mahu timbulkan masalah. Tetapi, apabila saya melihat Farkra semakin teruk dan mahu berhenti sekolah, saya rasa perlu berjumpa dengan pihak pengurusan guru.
“Hasil perjumpaan itu, siasatan dilakukan dan pelajar terbabit (pembuli) dibawa berbincang dan Farkra tidak lagi menjadi mangsa buli...Terima kasih kepada guru...Tetapi, dia masih lagi takut setiap kali hendak masuk asrama selepas tamat cuti sekolah nanti,” katanya kepada Bernama.
Keunikan dan keistimewaan raut wajah anak Orang Asli dijadikan bahan ejekan, buli oleh sesetengah individu tidak bermoral. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Walaupun sedih melihat impak buli ke atas anaknya itu, Ferdy bersama isteri tidak mahu berputus asa dan sentiasa memujuk, memberi semangat serta motivasi supaya Farkra kekal komited dan mencapai impian sebagai guru.
Mereka yakin semangat anaknya itu dapat dipulihkan dan insiden buli itu turut membuka mata Ferdy akan kepentingan mempunyai hubungan baik dengan sekolah untuk mengetahui perkembangan anaknya. Namun ia tidaklah semudah yang diharapkan.
“Ejekan itu berlaku setiap masa. Dia juga pernah kena tumbuk, bajunya dibuang dari tingkat atas, dipaksa basuh tandas. Buli itu membuatkan dia malu dilahirkan sebagai anak Orang Asli dan mahu berhenti sekolah, tidak mahu kejar cita-cita jadi cikgu pedalaman,” -- Bapa Farkra, Ferdy
SAMPAI BILA DIWARISI?
“Keadaan jalan balak sukarkan kami berjumpa guru selalu sepertimana mereka di luar yang mempunyai kemudahan jalan tar dan sebagainya. Namun, nasib baik talian telefon di sini bagus, begitu juga Internet, mudahkan komunikasi ibu bapa pedalaman dengan pihak sekolah.
“Bagi ibu bapa Kampung Kuala Wook, kami mahu anak-anak kami berjaya, ada karier sendiri, dapat bantu ibu bapa sebab pekerjaan menoreh getah susah nak jamin hidup selesa dan tanaman lain juga tidak boleh diharapkan sebab ancaman hidupan liar,” katanya.
Ketua wakil kecemasan wanita Pos Simpor, Senourei Johari, 26. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mengulas isu buli dalam kalangan anak Orang Asli, bagi ketua wakil kecemasan wanita Pos Simpor, Senourei Johari, 26, ia bukanlah isu baharu malah sudah lama berlaku bahkan budaya negatif itu boleh diibaratkan seperti diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.
“Tidak ada perubahan, ” kata ibu kepada dua orang anak ini.
Beliau menjelaskan, insiden buli, diskriminasi kaum lain terhadap anak Orang Asli di sekolah arus perdana sepertimana di Kampung Kuala Wook turut dialami anak penduduk perkampungan Orang Asli Pos Simpor, sekitar 98 km dari bandar Gua Musang.
Malah, amat menyedihkannya apabila ada antara kawan sekolahnya nekad berhenti kerana tidak tahan lagi dibuli, dihina dengan gelaran yang menyakitkan hati hampir setiap masa.
“Kami rasa malu dan tertanya-tanya apakah salah untuk berkawan dan mengapa kami tidak diterima? Cikgu pula, ada (bukan semua) yang tumpu mereka yang pandai sahaja, kelas tambahan pun untuk golongan itu, yang tak pandai dibiarkan saja. Ketika zaman saya, ramai jugalah yang berhenti,” katanya.
Biarpun situasi itu tidak lagi berlaku di pos berkenaan selepas pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya pada tahun 2019 - sekolah pertama anak orang Asli di Kelantan - Senourei menambah, cerita anak Orang Asli dibuli di sekolah arus perdana masih berlarutan sehingga kini.
Anak Orang Asli berhadapan cabaran hebat untuk mendapatkan pendidikan berkualiti termasuk dibuli dan didiskriminasikan. --fotoBERNAMA (2022) HAKCIPTA TERPELIHARA
Malah, keadaan ini turut diakui pemangku penghulu Pos Simpor Mohd Syafiq Dendi Abdullah, 30, yang melihat pembukaan SMK Panggung Jaya bagaikan ‘rahmat’ kepada pos berkenaan. Pos Simpor mempunyai lebih 900 penduduk daripada 12 buah kampung iaitu Kampung (kg) Penad, Kg Sedal, Kg Sumbang, Kg Ceranok, Kg Dandut, Kg Jader Lama, Kg Pahoj, Kg Kledang, Kg Pos Simpor, Kg Halak, Kg Rekom dan Kg Tihok.
Menurut bapa kepada tiga orang anak ini, insiden buli di sekolah arus perdana pernah menjadi isu hangat kalangan ibu bapa pos tersebut sebelum ini, malah beliau turut menjadi mangsa buli sehingga akhirnya mengambil keputusan berhenti sekolah.
“Saya berhenti sekolah ketika darjah empat dan ambil keputusan belajar di sekolah komuniti yang dikendalikan oleh satu NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Isu buli ini memang tidak boleh dipandang remeh kerana ia sangat beri kesan kepada sesiapa sahaja,” katanya.
WAJAR PERHATIAN SERIUS
Hampir setiap pertemuan dengan wakil kampung atau pos masyarakat Orang Asli negeri ini, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along, 35, menerima aduan yang sama iaitu insiden buli dan sikap rasis kaum lain terhadap golongan minoriti itu.
Situasi tidak sihat itu wajar diberi perhatian serius dan ditangani segera memandangkan ia sudah lama berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Orang Asli selain menyumnbang kepada keciciran pendidikan anak-anak mereka.
Kemiskinan antara faktor anak Orang Asli menjadi mangsa buli di sekolah arus perdana.
-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
“Masyarakat kami sering menjadi sasaran buli kerana dianggap lemah dan kumpulan minoriti apabila berada di sekolah arus perdana. Kami juga dapati alasan anak dibuli adalah disebabkan faktor bahasa, fizikal serta kemiskinan dihadapi.
“Ada melihat Orang Asli mudah dibuli kerana sikap kami yang pemalu, pendiam...Orang Asli apabila berada di persekitaran asing, tidak pernah dirasai kerana sebelum ini di pedalaman, pergaulan hanya sesama mereka, membuatkan anak-anak ini ambil masa mengenali dunia luar,” katanya.
Hakikatnya, isu buli serta diskriminasi terhadap anak Orang Asli bukan hanya di negeri Pantai Timur bahkan turut menular di kebanyakan penempatan masyarakat ini di Semenanjung yang biasanya di sekolah arus perdana berikutan minoriti mereka.
Perkara ini dikongsi bekas senator mewakili masyarakat Orang Asli, Datuk Isa Abdul Hamid.
Menurut beliau, isu buli sekolah arus perdana agak serius bagi kumpulan minoriti Orang Asli Negrito seperti di pedalaman Kelantan dan Terengganu dan biasanya serangan rasis ini lebih kepada bentuk lisan, psikologi berbanding fizikal.
(Untuk maklumat, masyarakat Orang Asli terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama iaitu Senoi (majoriti) dengan peratusan 55.09 peratus, diikuti Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus). Kumpulan kaum Orang Asli Senoi terdiri daripada etnik Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri, Mah Meri manakala bagi Melayu Proto (Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar, Orang Kuala) dan Negrito (Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh, Bateq).
Isu buli anak Orang Asli di sekolah arus perdana serius dan tidak boleh dipandang remeh kerana menyumbang peningkatan keciciran pendidikan kalangan mereka. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kegagalan mereka menempatkan diri dalam persaingan pendidikan arus perdana yang mana situasi ini semakin membarah, Isa berkata wajar diambil perhatian serius kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan juga Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Apatah lagi, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor dalam satu temu bual bertulis kepada Bernama juga memaklumkan, isu buli turut dikenal pasti antara faktor menyebabkan berlakunya keciciran murid Orang Asli dalam pendidikan.
“Secara umumnya, antara faktor yang menyebabkan keciciran masyarakat ini ialah kegagalan mereka untuk beradaptasi dengan kaum lain, kurikulum sekolah yang diajar tidak sesuai dengan budaya masyarakat Orang Asli, stereotype kaum lain terhadap Orang Asli dan sikap ibu bapa,” katanya.
Difahamkan pada tahun 2016, keciciran pelajar Orang Asli menurun daripada 20 peratus kepada 17 peratus dan pada tahun 2018, peratusan itu menurun lagi antara 13 ke 15 peratus. Pengiraan peratusan itu diambil berdasarkan jumlah pelajar Tahun Enam yang mendaftar masuk ke Tingkatan Satu setiap tahun.
Namun begitu, peratusan itu tidak mengambarkan keseluruhan realiti pendidikan Orang Asli terutama keciciran di sekolah menengah.
KEPERLUAN SILIBUS?
Berdasarkan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk ‘Analisis Trend Penyertaan Dan Keciciran Di Kalangan Pelajar Orang Asli’, daripada 100 murid yang memasuki Tahun Satu, hanya enam murid sahaja yang menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan Lima.
Manakala, analisis Unit Pendidikan JAKOA pula menunjukkan, pelajar Tingkatan Satu yang mendaftar masuk pada tahun 2014 adalah seramai 3,200 orang dan bilangan yang masih kekal hingga ke Tingkatan Lima pada tahun 2018 adalah 2,062 orang. Ini bermakna, seramai 1,138 pelajar atau 42.12 peratus lagi tidak menyambung pelajaran sehingga Tingkatan Lima.
Isu keciciran pendidikan anak Orang Asli di sekolah arus perdana akibat dibuli tidak boleh dipandang remeh.
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hakikat itu membuatkan Isa melihat isu keciciran yang disebabkan buli, rasis, perlu ditangani secara serius memandangkan data pendidikan anak Orang Asli 2020/2019 mendapati lebih banyak anak kumpulan ini bersekolah di arus perdana sama ada sekolah rendah atau menengah berbanding sekolah khusus Orang Asli.
“Sekolah Orang Asli hanya 99 buah, iaitu 97 sekolah rendah dan 2 sekolah menengah tetapi data menunjukkan ramai anak orang Asli mendapat pendidikan di arus perdana, contohnya untuk sekolah rendah arus perdana seramai 27,326 murid di 762 buah sekolah manakala SMK adalah seramai 12,980 pelajar di 527 buah sekolah.
“Jumlah mereka agak ramai di sekolah arus perdana, kerana itu isu seperti rasis, buli perlu ada solusi menanganinya selain polemik ini tidak hanya berlaku di pedalaman tetapi juga pinggir bandar seperti Sekolah Kebangsaan Mawai, Johor yang mencatatkan keciciran murid suku Kanaq agak tinggi hampir 90 peratus disebabkan kegagalan berdaya saing, berinteraksi dengan kaum lain,” katanya.
Antara pendekatan yang beliau cadangkan, yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini antaranya dengan menempatkan guru Orang Asli di sekolah arus perdana yang mempunyai ramai anak-anak Orang Asli.
Selain itu, kursus motivasi perlu diperbanyakkan secara berterusan bagi meningkatkan semangat anak ini supaya tidak mudah goyah apabila berhadapan sebarang cabaran pendidikan dan program berkenaan juga perlu dinilai kembali untuk melihat keberkesanannya.
Manakala, bagi pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sosial Sains, Universiti Malaya (UM) Dr Rusaslina Idrus, beliau melihat punca berlakunya isu diskriminasi dan buli adalah disebabkan ramai yang masih tidak mengenali masyarakat Orang Asli walaupun sudah lebih 60 tahun Malaysia merdeka.
pic-10
Beliau yang banyak membuat kajian mengenai masyarakat itu termasuklah yang terbaharu ‘Contextualising Education Policy to Empower Orang Asli Children’ bersama dengan penyelidik, Wan Ya Shin berkata, terdapat keperluan untuk memasukan topik sejarah, budaya Orang Asli ke dalam kurikulum pembelajaran sekolah.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk murid dan saling hidup hormat-menghormati, harmoni tidak kiralah apa bangsa sekali pun dan saya lihat sudah tiba masanya kita bukakan mata ramai pihak untuk mengenali lebih rapat masyarakat Orang Asli melalui kurikulum sekolah,” katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff