Etika Berpakaian Di Premis Kerajaan Selaras Prinsip Kelima Rukun Negara

<
span style="font-size:20px">KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kisah ahli masyarakat tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan masuk ke premis kerajaan untuk berurusan kerana isu pakaian bukan perkara baharu, dan insiden pada penghujung bulan lepas membabitkan seorang wanita dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor, mencetuskan kembali polemik tentang perkara itu.

Perbahasan yang turut melibatkan ahli politik dan pemimpin kerajaan itu antara lain mendesak agar etika berpakaian bagi orang awam yang mahu berurusan di pejabat kerajaan disemak semula, selain ada juga yang menyelar pihak polis kerana tidak bertolak ansur. 

Dikatakan wanita itu berseluar pendek paras paha ketika tampil mahu membuat laporan tentang satu kemalangan jalan raya.

Ketika mengulas hal itu, Ketua Polis Negara Tan Sri  Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata polis boleh memberi kelonggaran, namun ia berdasarkan jenis kecemasan.

“Kita mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa orang ramai yang berurusan di pejabat kerajaan dalam keadaan tertib dan sopan,” kata Acry Sani, dipetik daripada laporan itu. 

 

ETIKA BERPAKAIAN SELARAS RUKUN NEGARA

 

Mungkin ramai sudah lupa bahawa etika berpakaian di premis kerajaan itu adalah selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan yang bertujuan memupuk kesepaduan rakyat menerusi sikap bersopan santun dan bertatasusila.

Mengulas mengenainya,  pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad berkata prinsip kelima Rukun Negara itu berkait rapat dengan persoalan adab, etika, akhlak serta moral dalam menghubungkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. 

"Sikap beradab dan menghormati peraturan adalah sebahagian daripada pengertian dan ruang lingkup prinsip Rukun Negara yang kelima ini. Prinsip ini perlu dihayati dan diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia bagi menjamin keharmonian hidup dalam negara ini," katanya kepada Bernama.

Justeru, bersandarkan prinsip itu, etika berpakaian tersebut tidak harus dipertikaikan ataupun disemak semula, tegas beliau.

Malah katanya tidak ada sebab untuk ahli masyarakat melanggar peraturan yang arahannya dipaparkan di setiap pejabat kerajaan.

 "Perbuatan perlanggaran tersebut berlaku kerana kejahilan individu terhadap peraturan yang telah sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak isu itu timbul disebabkan kelonggaran penguatkuasaan di sesetengah premis dan memberi persepsi kod berpakaian tersebut tidak lagi terpakai.

 

KESAN PELANGGARAN RUKUN NEGARA 

 

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata jika prinsip itu dilanggar atau tidak lagi menjadi pegangan rakyat, ia boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Akan berlaku pertengkaran dan pergaduhan yang memudaratkan keamanan masyarakat kerana aspek saling menghormati dan bertolak ansur sudah tidak ada," jelasnya.

Menurut beliau, prinsip kelima itu turut terpakai dari segi lontaran pandangan, yang mana seseorang itu, walaupun berdasarkan pada amalan kebebasan bersuara, harus berfikir dan menimbang kesan daripada pendapat yang diutarakannya, terutama jika individu tersebut adalah pemimpin politik atau ketua komuniti.

"Dalam memberi pandangan juga kita terikat dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan. Isu melonggarkan peraturan pakaian di premis kerajaan sepatutnya tidak timbul. Peraturan dan etika tetap menjadi peraturan dan etika. Apa yang sewajarnya dilakukan oleh semua pihak ialah memberi penerangan mengenai kewajaran mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan. 

"Premis kerajaan dan kakitangannya bersedia berkhidmat untuk rakyat. Apa salahnya jika yang datang mendapatkan khidmat juga mematuhi peraturan premis. Saling menghormati akan menimbulkan keadaan yang harmoni,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar pihak kerajaan meningkatkan kempen kesedaran tentang garis panduan yang perlu dipatuhi orang awam ketika datang ke premis kerajaan untuk sebarang urusan.  

Menurutnya, aspek ini harus didedahkan kepada masyarakat sejak awal, bermula di sekolah.

"Tegur secara berhemah agar yang salah diperbetulkan lebih awal. Jangan terlewat dalam mendidik berkenaan hal ini sehingga mereka menganggap tidak mengapa peraturan dilanggar kerana tidak ada tindakan yang dikenakan," katanya.

 

DASAR AWAM

 

Sementara itu, peguam Ahmad Ishrakh Saad berkata biarpun garis panduan berpakaian di premis kerajaan tersebut  tidak digubal secara jelas dalam undang-undang bertulis, ia wujud secara tersirat.

"Selama ini, dasar awam ini diterima pakai oleh rata-rata rakyat Malaysia dan tidak pernah dijadikan isu pertikaian," katanya.

Ditanya sama ada perlu garis panduan itu dikuatkuasakan menerusi undang-undang bertulis, beliau berkata amalan semasa sudah memadai.

Ini kerana kata beliau, jika digubal dalam bentuk undang-undang, ia akan menjadi terlalu "rigid” atau ketat, sekali gus hilang aspek fleksibel yang perlu ada dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

 "Adalah lebih sesuai untuk kerajaan mengambil langkah yang bersifat sederhana dalam menangani isu ini. Selain itu, jika digubal dalam bentuk undang-undang, kemungkinan timbul kesukaran untuk menetapkan takrifan sebenar 'pakaian yang sopan dan tertib' di bawah undang-undang, kerana ia bersifat subjektif, mengikut persepsi pihak tertentu berdasarkan cara hidup mereka. 

"Ini juga mungkin boleh menimbulkan polemik mengenai hak kebebasan individu yang dijamin di bawah Perkara 5, 8, 10 Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata alasan yang digunakan oleh wanita dalam kes berkenaan iaitu ia adalah haknya untuk berpakaian sedemikian, tidak mengatasi hak jabatan kerajaan yang telah menetapkan garis panduan untuk berurusan di premis mereka.

“Etika berpakaian di premis kerajaan bukan sahaja ditetapkan di negara ini tetapi juga negara lain seperti Jepun, Korea dan Indonesia," ujarnya.

"Apa yang perlu dibuat ialah menambah baik garis panduan sedia ada bagi mengimbangi keperluan pematuhan etika berpakaian dan kesejahteraan rakyat, yang mana kedua-duanya perlu proportionate (bersekadar).

"Selain itu masyarakat Malaysia harus mempamerkan tahap kematangan dan toleransi yang tinggi, terutamanya dalam melaksanakan hak mereka untuk berpakaian dengan mengambil kira konteks dinamik negara ini yang bersifat ketimuran dan mementingkan asas-asas kesopanan, ketertiban dan hormat menghormati," tambah beliau.

Pada masa sama, Ahmad Ishrakh menyarankan agar setiap isu sama yang mungkin timbul lagi pada masa akan datang, ditangani secepat mungkin bagi mengelakkan perbahasan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.