<
strong>Oleh Muhammad Basir Roslan
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kesihatan tulang adalah aspek penting untuk keseluruhan kesihatan dan kesejahteraan seseorang individu, namun ramai yang terlepas pandang hakikat ini.
Tulang yang kuat menyokong tubuh manusia di samping melindungi organ penting dan membolehkan manusia bergerak.
Apabila kita semakin menua, tulang kita secara semula jadi menjadi kurang padat dan keadaan ini meningkatkan risiko osteoporosis. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA.
Kalau hendak diikutkan banyak fungsi penting tubuh badan kita ditentukan tulang yang sihat.
Apabila kita semakin menua, tulang kita secara semula jadi menjadi kurang padat dan keadaan ini meningkatkan risiko musculoskeletal (pelbagai keadaan yang menjejaskan tulang, sendi, otot dan tulang belakang menyebabkan kesakitan jangka panjang dan kecacatan fizikal) dan osteoporosis, keadaan kehilangan kepadatan tulang, mengakibatkan kerapuhan tulang dan mudah patah.
PEMBUNUH SENYAP
Pakar Perunding Ortopedik, Artritis dan Pakar Bedah Sukan ALTY Orthopaedic Hospital, Dr Ruslan Nazaruddin Simanjuntak.
Menurut Dr Ruslan Nazaruddin Simanjuntak, Pakar Perunding Ortopedik, Artritis dan Pakar Bedah Sukan di ALTY Orthopaedic Hospital, di Jalan Ampang (Kuala Lumpur), meskipun osteoporosis adalah keadaan perubatan yang lazimnya dikaitkan dengan orang yang semakin berusia, namun ia juga boleh menjejaskan kumpulan usia yang lebih muda.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa osteoporosis masih kurang didiagnos dan dirawat di Malaysia dan berkongsi statistik sekitar 77 peratus wanita Malaysia menghidapi osteoporosis pasca menopaus tidak didiagnos.
Bukan itu sahaja, kelaziman osteoporosis di Malaysia dianggarkan antara 15 hingga 20 peratus, menjadikannya salah satu isu kesihatan utama di negara ini.
"Osteoporosis adalah bahaya kerana ramai yang tidak sedar mereka menghidapinya sehingga mereka mengalami patah tulang dan perlu menjalani rawatan tertentu,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah, Pasaran Penggantian Pinggul 2023 meramalkan sekitar enam juta patah tulang pinggul di seluruh Asia menjelang tahun 2050 dan laporan itu seharusnya diambil berat oleh rakyat Malaysia.
"Memandangkan statistik yang sedemikian, kerajaan boleh mula mengambil langkah dengan mendidik orang awam tentang osteoporosis.
“Sementara itu, orang awam perlu digalakkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tulang bagi mengesan tanda bukan sahaja osteoporosis tetapi juga keadaan perubatan lain seperti artritis, " katanya.
MELABUR DALAM TEKNOLOGI MODEN
ALTY adalah hospital khusus tunggal di Malaysia yang menyediakan penjagaan untuk mereka yang menghidapi masalah antaranya ortopedik dan muskuloskeletal. Foto ihsan ALTY Orthopaedic Hospital
Dalam memperkatakan isu kesihatan tulang, ALTY adalah hospital khusus tunggal di Malaysia yang menyediakan penjagaan untuk mereka yang menghidapi masalah, antaranya ortopedik dan muskuloskeletal.
Hospital ini melabur sebanyak RM15 juta daripada keseluruhan pelaburan RM200 juta untuk menyediakan kemudahan lengkap dengan teknologi diagnostik termaju bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang berkesan dan tepat pada masanya.
"Kami percaya teknologi diagnostik termaju yang ada di ALTY akan memainkan peranan untuk mencegah serta merawat penyakit berkaitan tulang dalam kalangan rakyat Malaysia serta pesakit dari sekitar rantau ini.
"Perkhidmatan khusus ALTY juga disokong pasukan berpengalaman pakar bedah ortopedik yang mahir dalam pelbagai rawatan melibatkan pembedahan dan bukan pembedahan untuk masalah ortopedik dan muskuloskeletal, " jelas Dr Ruslan.
Menurut beliau, hospital berkenaan baru-baru ini memperolehi Sistem Pengimejan Lanjutan EOS yang boleh mempercepatkan proses mendiagnos masalah ortopedik, yang sudah tentu dapat meningkatkan hasil rawatan yang dikehendaki.
Dr Ruslan menambah, ALTY adalah hospital pertama di Malaysia untuk menawarkan sistem EOS dan beliau mendakwa ia memancarkan radiasi lebih rendah berbanding sistem pengimejan lain.
"Sistem ini melibatkan kos kira-kira RM4 juta dan boleh mengambil imej 3D keseluruhan badan bagi membantu para doktor membuat diagnosis yang lebih tepat dan memerhatikan bagaimana rawatan dijalankan. Ianya kurang berbahaya dan invasif bagi kanak-kanak yang menderita kecacatan tulang belakang seperti scoliosis yang memerlukan pengimejan yang kerap,” jelasnya.
Sistem EOS menawarkan 50 hingga 85 peratus kurang radiasi berbanding sistem X-Ray tradisional dan sehingga 95 peratus kurang dos berbanding imbasan tomografi berkomputer (CT) asas, selaras dengan prinsip ALARA (As Low As Reasonably Achievable) untuk meminimumkan pendedahan pesakit kepada radiasi.
PELANCONGAN PERUBATAN
pengarah eksekutif ALTY Orthopaedic Hospital, Anwar Anis.
Sementara itu, pengarah eksekutif ALTY Orthopaedic Hospital, Anwar Anis berkata, dengan teknologi yang terkini, hospital berkenaan berpotensi untuk menarik pesakit dari luar Lembah Klang dan malahan luar Malaysia.
“Ia juga membantu Malaysia sebagai hab penjagaan kesihatan di rantau ini terutamanya dalam bidang kardiologi, ortopedik dan pembedahan invasif minimum.
“Di ALTY, menerusi inisiatif pemasaran antarabangsa kami, kami berharap untuk menyokong kedudukan Malaysia sebagai salah satu hab teratas di rantau ini bagi rawatan serta penjagaan ortopedik.
“Kaedah rawatan termaju ALTY mampu meningkatkan hasil, mengurangkan keperluan duduk lama di hospital selepas pembedahan dan mempercepatkan pemulihan. Ini sudah tentu dapat menarik lebih ramai pesakit, ” katanya menambah, ALTY setakat ini sudah memberi rawatan kepada pesakit dari negara seperti Indonesia, Australia dan Singapura.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA