Kesedaran Tentang "tanda Amaran" Penting Bagi Tangani Penipuan Pekerjaan

<
strong>Artikel ini adalah bahagian terakhir daripada laporan bersiri dua bahagian tentang rakyat Malaysia yang terjebak dalam penipuan pekerjaan atau penipuan asmara dan diseludup ke Myanmar.

 

MAE SOT, THAILAND/KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ia bermula pada Ogos tahun lepas dengan sebuah iklan di Facebook yang menawarkan gaji menarik - lumayan disebabkan kadar tukaran asing - untuk pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran di Singapura.

Adam Iskandar, Nur Akmar Hamsan, Nur Fitriani Abdullah dan Kamil Abd Hamid memohon pekerjaan itu kerana percaya dengan gaji yang dijanjikan iaitu sebanyak US$1,100 sebulan, mereka akan dapat membantu keluarga atau menyara diri sendiri.

Namun, yang berlaku ialah mereka menjadi “tahanan” di KK Garden, sebuah petempatan besar di Myawaddy, Myanmar. Berbulan-bulan mereka di situ bekerja sebagai penipu dalam talian. Menerusi mesej yang dihantar secara sembunyi-sembunyi, mereka meminta bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan di kampung halaman.

Mangsa yang diselamatkan memberitahu jumlah rakyat Malaysia di KK Garden, hos beberapa pusat penipuan yang didakwa dioperasikan oleh gengster dari China, meningkat kepada sekitar 1,000 orang sejak beberapa tahun belakangan ini.

Sepanjang berada di sana, kumpulan anak muda itu tertanya-tanya bagaimana mereka boleh menjadi mangsa penipuan pekerjaan dan pemerdagangan orang. Di manakah red flag atau tanda-tanda amarannya? Di mana silap mereka?

Adam, 20 dan Akmar, 19 yang mempunyai adik-beradik yang ramai - 15 orang jika digabungkan kedua-duanya - tidak melihat sendiri iklan itu. Sebaliknya mereka mempercayai rakan mereka, Muhd Farhan Azman yang dianggap “pakar” dalam bab bekerja di luar negara, yang memberitahu ada pekerjaan untuk mereka di Singapura. 

“Kami dapat tawaran ikut Farhan. Sebelum ini dia pernah kerja Singapura, jadi kitapun percayalah,” kata Akmar.

Bagaimanapun, Farhan juga terjebak dalam tawaran pekerjaan palsu yang memerangkap Nur Fitriani dan Kamil. Farhan diselamatkan pada Disember lepas.

Seperti yang semakin diketahui, penipuan pekerjaan yang berserta pemerdagangan manusia membabitkan rakyat negara ini semakin parah, mengancam keselamatan dan pertumbuhan negara jika tidak dikawal. Setakat 20 Feb lepas, pihak berkuasa menerima  572 laporan berhubung penipuan pekerjaan di luar negara.

--BERNAMA (2023) HAKMILIK TERPELIHARA

Selama bertahun-tahun Malaysia, dengan populasinya yang celik Internet dan berkemahiran berbahasa Inggeris selain ketersediaan penutur bahasa Cina, adalah destinasi bagi pekerja migran, bukan negara sumber. Kini keadaan sudah berubah dan penularan COVID-19 dipercayai adalah antara puncanya.

Ketika sekatan pergerakan global dilaksanakan, amat mudah untuk memperdaya rakyat Malaysia dan mengumpan mereka ke pusat penipuan yang terletak di Kemboja, Laos dan Myanmar. Pemberhentian pekerja yang dilaksanakan oleh banyak syarikat menyebabkan semakin ramai yang hidup dalam kesempitan, sementara sekatan pergerakan pula memudahkan aktiviti penyeludupan manusia dari Malaysia ke Myanmar kerana tidak banyak mata memerhati.

Pakar mengusulkan strategi yang menumpukan pada pencegahan berserta mekanisme jelas yang menggariskan prosedur yang perlu dipatuhi oleh perekrut dan pencari kerja, serta sistem sokongan untuk mangsa.

 

TANDA AMARAN

Adam dan Akmar menyangka mereka telah cukup berhati-hati semasa menerima tawaran kerja daripada Farhan. Sangka mereka semuanya okey: perekrut memberikan wang sebanyak RM1,700 untuk mereka membuat pasport dan membeli keperluan sebagai persediaan hidup di luar negara.

Namun, apabila sampai di lapangan terbang, mereka “menerima”  red flag pertama.

Destinasi mereka bukan lagi Singapura tetapi Bangkok, Thailand. Perekrut meyakinkan mereka bahawa itu perkara biasa.

Pekerjaan sebagai jurukemas di hotel di Singapura sudah dipenuhi, tapi jangan bimbang ada hotel di Thailand yang perlukan pekerja, kata ejen itu.

Ketibaan Adam dan Akmar di Bangkok disambut oleh ejen daripada syarikat yang kemudian mengiringi mereka ke sebuah van. Dari situ, lebih banyak red flag muncul. Mereka sentiasa dikawal ketat, dan pada penghujung perjalanan, tugas mengawal mereka diambil alih oleh individu berpakaian seragam dan bersenjata. Selepas tiba di Mae Sot, sebuah bandar di sempadan Thailand-Myanmar, mereka menyeberangi Sungai Moei dengan bot ke KK Garden.

Dalam perjalanan ke Mae Sot. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Masa tu kita orang dah jangka macam kena jual, ke apa kan... masa tu dah memang tak boleh buat apa, dah datang ke tempat orang. Duit pun masa tu cukup-cukup saja, jadi ikut sajalah,” kata Akmar.

Pentingnya tanda amaran ini ialah peluang untuk mangsa melarikan diri. Namun, mangsa perlu mengenal pasti tanda-tanda tersebut.

Pakar yang dihubungi Bernama berkata red flag wujud sebelum pertukaran destinasi pada saat-saat akhir berlaku, iaitu iklan pekerjaan itu sendiri.

“Satu daripadanya ialah penjelasan tentang pekerjaan yang samar-samar. Tidak ada maklumat lanjut, cuma ada ‘hubungi kami jika anda berminat’,” kata Judah Tana, aktivis antipemerdagangan manusia daripada badan amal Advance Projects, sebuah badan bukan kerajaan dari Australia.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (PUSMA) Zarina Ismail bersetuju, dan berkata perekrut sebenar akan menyertakan perincian pekerjaan dan latar belakang majikan. 

“Contoh di Facebook. Macam mana dia nak iklan di Facebook tu... dia mesti sertakan nama syarikat, gaji dia, jawatan apa, di mana tempat syarikat tu. Jadi, bila macam tu, kita boleh hubungi, (boleh e-mel), boleh tanya ‘Betul ke ada kekosongan jawatan,” katanya.

Tambah beliau, satu lagi tanda amaran ialah ketiadaan surat tawaran pekerjaan dengan nama dan alamat syarikat, jawatan serta gaji yang ditawarkan.

Zarina Ismail, presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia. Gambar ihsan.

Tanda amaran lain ialah keperluan pasport antarabangsa untuk ke mengembara dan bekerja di negara asing, yang mana ada sesetengah mangsa terlepas pandang seperti kes Nur Fitriani dan Kamil. Selepas mereka bersetuju menerima pekerjaan itu, ejen memberitahu yang mereka tidak perlukan pasport. Seperti mangsa lain yang berdepan situasi sama, mereka berkata mereka percayakan perekrut mereka.

“Macam mana ini boleh berlaku? Paling tidakpun anda sepatutnya tahu bahawa untuk ke luar negara anda perlukan pasport antarabangsa,” kata Adrian Pereira, Pengarah Eksekutif North-South Initiative, dengan nada kesal.

 

PENCEGAHAN

Menurut pakar, disebabkan kegiatan itu dilakukan secara dalam talian serta membabitkan rentas sempadan, bermakna dalang sebenar tidak perlu turun padang. Sebaliknya dalang hanya mengarahkan ‘bala tentera’ mereka melalui Internet dari lokasi yang terletak ratusan atau ribuan batu jauhnya. Pakatan rahsia dengan ahli politik menyebabkan kegiatan itu semakin sukar untuk dikesan. 

Justeru, mencegah orang ramai daripada terjebak dalam sindiket penipuan itu adalah penyelesaian terbaik, namun untuk melaksanakannya perlukan usaha keras.

Sekalipun ramai daripada mangsa ini mungkin naif, jahil atau terlalu mempercayai, ada juga yang sudah mengambil segala langkah wajar namun masih terperangkap. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa, tidak kira tahap pendidikannya atau luas pengalaman, kata aktivis.

Antara sebab ini berlaku ialah kebanyakan perekrut adalah orang-orang yang mereka percayai.

“Kebanyakan penyeludupan manusia dilakukan oleh pihak ketiga, iaitu ejen dalam negara itu sendiri. Bukan warga China yang datang dan tawarkan kerja kepada anda, tetapi orang tempatan, orang Malaysia sendiri, inilah yang membuatkannya lebih sukar,” kata Tana.

Sehubungan itu, sekalipun tawaran kerja itu sendiri adalah tanda amaran, orang yang merekrut merupakan rakan mereka - seperti kes Adam dan Akmar - menyebabkan tidak ada yang mempersoalkannya.

Perjalanan ke Mae Sot dari Bangkok perlu melalui tiga pusat pemeriksaan Tentera Thai. --fotoBERNAMA (2023) COPYRIGHT RESERVED

Dalam konteks ini, jawapannya adalah kesedaran yang lebih tinggi.

Tana menyarankan agar pihak berwajib menerima guna kaedah yang digunakan oleh sindiket bagi menyebarluaskan amaran dan pengetahuan tentang red flag.

“Maklumat dan teknologi... kita perlu guna media sosial untuk menentang mereka. Kita perlu mulakan kempen yang boleh tular,” sarannya.

Tambah beliau, menularkan kempen kesedaran dengan gimik seperti cabaran “Ice Bucket” serta tanda pagar aktivisme seperti Black Lives Matter dan Me Too antara yang boleh dilakukan.

Zarina pula berpendapat kerajaan perlu mewajibkan perekrut dalam talian mempamerkan nombor lesen bersama iklan mereka selain perincian tentang pekerjaan dan majikan.

Beliau berkata harus ada rangka kerja yang perlu dipatuhi oleh pencari kerja sebelum berlepas ke luar negara, seperti mewajibkan pengesahan daripada kedutaan bahawa syarikat itu wujud.

Tambah beliau, pekerja Malaysia di luar negara harus mendaftarkan diri mereka dengan agensi pekerjaan yang berlesen dengan Kementerian Sumber Manusia yang boleh memberikan maklumat dan bantuan kepada pekerja Malaysia di seberang laut.

“Semua agensi pekerjaan tahu prosedur yang perlu dilakukan dengan kedutaan Malaysia di luar negara,” katanya, menambah rakyat Malaysia di luar negara juga harus memaklumkan nombor telefon dan maklumat pekerjaan mereka kepada kedutaan Malaysia di sana. 

Semua pakar dan aktivis bersetuju menggantung kain rentang serta meletakkan papan iklan dengan mesej tentang kepentingan pasport serta red flag  penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia di pintu keluar/masuk negara, adalah kaedah yang baik untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam.

Bernama menghubungi Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil untuk mendapatkan ulasan, namun tidak mendapat sebarang respons setakat laporan ini ditulis.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum Sim Chon Siang yang memainkan peranan penting dalam membebaskan 96 rakyat Malaysia daripada sindiket penipuan pekerjaan, memberitahu Bernama beliau menyokong sebarang kaedah untuk memberi amaran kepada orang awam, khususnya golongan muda yang menurutnya adalah paling rentan kepada penipuan pekerjaan. 

“Anak-anak muda ni memang ada telefon bimbit, tapi dia guna untuk main ‘game’, dia tak tengok (baca) berita,” katanya.

 

PELUANG TERAKHIR

Sepanjang perjalanan itu, empat mangsa berkenaan berkata mereka ada terfikir untuk melarikan diri namun tidak boleh berbuat demikian kerana diawasi dengan ketat dan juga kekangan bahasa.

“Ada terfikir nak lari. Tapi bila dah jalan tu, kita nak buat macam mana? Dah kira tak ada peluang nak lepaskan diri,” kata Nur Fitriani, 19.

Nur Fitriani Abdullah, 19. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Pakar berkata jika terlepas pandang akan tanda amaran atau langsung tidak sedar tentang tanda amaran, serta mendapati mereka diperdaya dan diseludup, ia masih belum terlambat.

Mereka menasihati mangsa agar cuba mendapatkan pertolongan daripada orang ramai, mencetuskan kekecohan dan menarik perhatian pihak berkuasa, sama ada di Malaysia atau Thailand.

Kata Tana mangsa tidak sepatutnya berputus asa.

“Jika anda tiba di bandar ini, Mae Sot, dan anda dari negara lain serta datang dengan visa pelancong (namun) dijanjikan pekerjaan, cepat lari, selamatkan diri anda secepat mungkin.

“Pada waktu ini, mereka masih boleh melarikan diri, masih ada sedikit ruang untuk mereka membebaskan diri. Namun, sebaik sahaja mereka menaiki bot, maka tertutuplah peluang itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.