Ke Mana Mereka Selepas SPM?

<
strong>Oleh Afifitri Muhammad & Siti Nazwa Abdul Rahman

Trend pelajar tidak menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia tetapi memilih kerjaya sebagai pempengaruh dilihat agak meresahkan dewasa ini. Artikel pertama laporan khas dua bahagian ini mengupas isu tersebut. 

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pendidikan adalah tonggak utama dalam mencorak modal insan negara termasuk melahirkan tenaga kerja profesional, namun, kecenderungan pelajar tidak menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin meresahkan.

Kajian Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI pada Mac lepas mendapati hanya 51 peratus daripada 1,000 lepasan SPM berusia 18 hingga 20 tahun yang ditemu bual, mahu ke institusi pendidikan tinggi, 39 peratus memutuskan untuk bekerja, sementara baki 10 peratus lagi tidak ada sebarang perancangan. 

Daripada 490 responden yang tidak mahu menyambung pengajian, termasuk 100 orang yang tidak ada perancangan, 34 peratus memilih menjadi influencer atau pempengaruh dan affiliate (rakan sekutu) media sosial, 26 peratus terlibat dalam ekonomi gig seperti e-panggilan, 22 peratus mahu memulakan perniagaan dan baki lapan peratus lagi tidak ada sebarang perancangan tentang masa depan mereka.

Isu lepasan SPM enggan meneruskan pengajian semakin ketara pasca-COVID-19, dan situasi ini dijangka berterusan, lebih-lebih lagi kerap kali dilaporkan betapa mudahnya untuk menjana pendapatan menerusi kerjaya sebagai pempengaruh dan pemain industri e-panggilan.  

Akan tetapi, apakah pekerjaan ini mampu menjamin masa depan mereka?

 

BEKERJA DI USIA MUDA

Mengulas mengenai kajian yang dilakukannya, pensyarah di Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti UCSI Dr V. Subramaniam berkata evolusi pekerjaan ketika ini yang banyak melibatkan teknologi, membuatkan golongan muda lebih cenderung memilih pekerjaan yang tidak terikat dengan sistem majikan. 

“Berdasarkan kajian itu, kita dapati anak muda ketika ini gemar mencari pekerjaan yang masanya lebih fleksibel dan ‘stress-free’, contohnya menjadi pempengaruh atau pekerja ekonomi gig yang akan dapat ganjaran lumayan dengan kerja keras mereka. 

“Mereka dilihat sudah muak menghafal informasi selain tidak mahu lagi menerima tekanan dalam pelajaran, di samping berasakan tiada masa depan sekiranya menyambung pelajaran ke peringkat tinggi,” katanya kepada Bernama.

Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selain itu, faktor kewangan juga menyumbang kepada keengganan lepasan SPM menyambung pendidikan, memandangkan kosnya adalah tinggi, merangkumi perbelanjaan pembelajaran dan komitmen lain seperti sewa rumah, bil utiliti dan lain-lain.

Kos sara hidup yang tinggi di bandar-bandar besar yang menempatkan majoriti institusi pengajian tinggi, menambah rasa berat pelajar, terutama daripada keluarga B40, untuk meneruskan pengajian mereka selepas tamat SPM.

“Pendek kata, pelajar bukan sahaja perlu menanggung kos pengajian yang berpuluh ribu ringgit, tetapi juga memikirkan cara untuk meneruskan kelangsungan hidup di universiti,” katanya.

 

JEJASKAN TENAGA PAKAR DALAM NEGARA

Jika isu ini dibiarkan membarah,  Subramaniam berkata ada risiko untuk negara mengalami kekurangan tenaga pakar, khususnya dalam bidang sains dan teknologi yang merupakan keperluan utama perindustrian.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia bakal kehilangan golongan profesional dalam masa 10 tahun lagi jika hanya segelintir pelajar memilih melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

Ujar Subramaniam, jika situasi itu berterusan, negara terpaksa bergantung pada pakar asing sekali gus meningkatkan kos perindustrian negara. 

“Bayangkan apabila negara terpaksa mengimport tenaga pakar dengan harga lebih tinggi, sedangkan negara ada keupayaan untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang sama,” kata beliau.

Dr V. Subramaniam. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Keperluan terhadap tenaga pakar akan terus meningkat memandangkan dunia kini menerima guna Revolusi Industri 4.0 ( IR4.0) yang menekankan pada penggunaan sains dan teknologi.

Mengulas isu sama, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Zainal Madon berkata situasi itu, jika dibiarkan berterusan, akan memberi impak sangat besar terhadap pasaran tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal dan vokasional.

Ketika ini negara banyak bergantung pada tenaga kerja asing, terutama dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan.

“Negara bukan hanya memerlukan pekerja sambilan tetapi juga pekerja mahir, separa mahir dalam  sektor pekerjaan lain. Keputusan tidak melanjutkan pelajaran, sama ada berbentuk akademik atau TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional),  perlu dipandang serius oleh semua pihak,” katanya.

Kajian Universiti UCSI itu mendapati 59 peratus responden tidak mahu menyambung pengajian TVET.

 

JAMIN MASA DEPAN?

Zainal turut membangkitkan tentang potensi ekonomi gig untuk jangka masa panjang bagi anak muda terbabit.

“Kita tidak nafikan pekerjaan tersebut dapat memberi kebaikan, tetapi itu untuk jangka masa pendek… bagaimana pula dengan jangka masa panjang? Adakah mampu bertahan dan menjamin masa depan mereka dengan kedua-dua bidang tersebut,” katanya, menambah kerjaya sedemikian turut bergantung pada momentum pekerjaan dan kesihatan.

Beliau juga tidak menyangkal golongan berkenaan mungkin terpengaruh dengan kepopularan dan gaya hidup mewah yang dikongsikan oleh selebriti media sosial terbabit.

Sementara itu, pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad tidak melihat isu lepasan SPM menjadi pempengaruh akan memberi kesan besar kepada masyarakat.

“Pada saya, ia tidak memberi pengaruh besar kepada institusi kekeluargaan dan masyarakat… misalnya, mungkin ada keluarga yang tidak menyokong anak mereka menjadi pempengaruh dan menghalang. Saya lihat ini tidak akan memberi kesan besar kepada institusi kekeluargaan dan masyarakat secara umum,” katanya.

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.