<
span style="font-size:18px">Isu keciciran pelajar miskin dalam pengajian tinggi semakin ketara, khususnya selepas pandemik COVID-19, mencetuskan kebimbangan akan melebarkan lagi jurang sosial, ekonomi dan kekayaan sedia ada.
Dalam menangani isu itu, pelbagai langkah dilakukan, antaranya ialah cadangan untuk memberikan penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin. Namun, sejauh mana usaha ini dapat direalisasikan, dan ini dikupas dalam artikel terakhir daripada laporan dua bahagian.
KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Isu keciciran pelajar di peringkat pengajian tinggi, khususnya dalam kalangan keluarga miskin dilihat agak membimbangkan, mendorong kerajaan menimbang penajaan percuma kepada mereka yang layak.
Pakar melihat inisiatif itu tidak mudah dilaksanakan kerana membabitkan implikasi kewangan yang besar, namun tidak mustahil kata mereka, sementelah ada beberapa negara seperti Jerman, Perancis dan Finland yang telah melaksanakan inisiatif serupa dan boleh dijadikan model rujukan oleh Malaysia.
"Perbelanjaan dalam pendidikan harus dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan, dan adalah sukar untuk melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran jika tiada peruntukan yang sewajarnya diberikan.
“Justeru, pelaburan dalam pendidikan harus dijadikan agenda utama kerajaan kerana pulangannya kepada pembangunan negara amat signifikan untuk jangka masa lama," kata Prof Madya Dr Che Hasniza Che Noh kepada Bernama.
Kata pensyarah kanan di Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu itu, bagi memastikan agenda menepati sasaran, kerajaan perlu melihat pelbagai aspek termasuk menetapkan jenis “laba” yang bakal diraih daripada pelaburan tersebut.
IMPAK MENYELURUH
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini dilapor bercadang memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik berkata mekanisme dan dasar itu akan dibawa kepada jemaah menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan.
Mengulas lanjut cadangan itu, Che Hasniza menggariskan beberapa perkara yang perlu diitekankan oleh kerajaan, termasuk proses saringan yang ketat serta pemantauan berterusan hingga pelajar tamat pengajian.
“Hanya pelajar yang benar-benar layak dan memenuhi kriteria dipilih, dan mereka yang terpilih pula perlu membuktikan mencapai syarat asas pengajian, misalnya berjaya mencapai CGPA yang diperlukan (mengikut syarat penajaan) pada semester pertama pengajian.
“Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil kira hanya program pengajian tertentu yang mempunyai kebolehpasaran tinggi sahaja dibenarkan (menerima tajaan tersebut), kerana, jika pelajar tidak memperoleh pekerjaan (selepas tamat pengajian), pelaburan yang dibuat seolah-olah tidak mendatangkan hasil,” katanya.
Hal itu juga perlu bagi memastikan negara dapat melahirkan modal insan yang memenuhi keperluan industri.
Selain itu, kerajaan juga kata beliau, perlu tegas dengan pencapaian akademik pelajar termasuk menarik balik tajaan jika pelajar terbabit gagal mencapai Purata Nilai Akademik Gred Kumulatif (CGPA) yang ditetapkan.
KOMITMEN KERAJAAN
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan statistik yang agak memeranjatkan apabila kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pendidikan ke peringkat seterusnya.
Kajian pada 2019 itu membabitkan 560,000 calon SPM yang menduduki peperiksaan tersebut, namun selepas keputusan diumumkan hanya sekitar 170,000 orang memilih untuk meneruskan pendidikan, sementara bakinya mahu memasuki pasaran buruh.
Bernama, dalam laporan bahagian pertama sebelum ini, mengupas isu itu termasuk merungkai penyebab pelajar cemerlang daripada keluarga miskin cenderung memilih untuk bekerja daripada menyambung pendidikan serta impaknya jika situasi itu tidak ditangani segera.
Isu itu tidak boleh dipandang sebelah mata kerana menurut pakar, Malaysia dijangka kehilangan golongan profesional dalam tempoh 10 tahun lagi jika ramai pelajar kekal memilih untuk tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam masa terdekat.
Bagi Timbalan Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) Prof Dr Solehuddin Shuib, pemberian penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin adalah pilihan terbaik sebelum inisiatif itu dikembangkan kepada kumpulan lain.
“Kita boleh jadikan generasi pertama sebagai permulaan dan diikuti generasi seterusnya secara bersasar sebelum keseluruhan generasi pelajar diberi pengajian percuma." katanya.
Jelas beliau, pendidikan percuma menunjukkan betapa seriusnya sesebuah negara tentang aspek hubungan ilmu dengan rakyatnya.
Menurut beliau, melalui pendekatan yang tepat, anak-anak daripada setiap keluarga di Malaysia akan dapat “dibawa” ke menara gading dan “dikembalikan” kepada masyarakat dengan kelulusan dan kemahiran yang kompetitif, sekali gus berupaya membantu membangunkan tamadun dan Malaysia Madani.
Ujar Solehuddin, hakikatnya Malaysia berada di landasan tepat kerana menjadi antara negara yang amat memberikan perhatian terhadap pendidikan rakyat, dari peringkat sekolah hingga universiti, dan hal ini dapat dilihat menerusi peruntukan yang disyorkan di bawah rancangan lima tahun Malaysia serta belanjawan negara.
Misalnya, di bawah Belanjawan 2023, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi, iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun sebelumnya.
BANTUAN LAIN
Dalam pada itu, Solehuddin berpendapat kerajaan, pada masa sama, perlu memastikan bantuan kewangan mencukupi disediakan dan disalurkan dengan kaedah serta strategi yang lebih berkesan, memandangkan punca utama keciciran pelajar B40 adalah masalah kewangan.
“Selain itu, akses kepada pendidikan wajar dipermudahkan dan dipercepatkan di semua peringkat.
"Sokongan akademik seperti kelas tambahan, bantuan makanan dan galakan untuk belajar boleh diusahakan oleh pertubuhan kerajaan melalui dana yang disediakan oleh kerajaan dalam bentuk geran bantuan pembelajaran.
“Strategi terakhir ialah meningkatkan kesejahteraan keluarga B40 melalui tindakan holistik dan berterusan bagi mengatasi masalah sosial dan ekonomi," saran beliau.
Solehuddin berkata sudah sampai masanya sekolah-sekolah di luar bandar dan pedalaman yang uzur, kekurangan tenaga pengajar dan suasana pembelajaran yang tidak kondusif diberi perhatian supaya pelajar terus berminat melanjutkan pelajaran ke universiti.
Sementara itu, Che Hasniza berkata antara alternatif lain yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu golongan miskin dan B40 menabung untuk pendidikan anak mereka ialah dengan mewujudkan skim insurans mampu milik, iaitu kadar premium mengikut kemampuan keluarga.
Beliau juga bersetuju apabila diajukan pertanyaan apakah perlu pelajar miskin dan B40 diberi pengurangan atau pengecualian yuran pengajian.
"Ya, mereka perlu dikecualikan atau dikurangkan yuran pengajian dengan kriteria yang teliti serta melalui proses saringan yang ketat bagi memastikan langkah itu benar-benar mendatangkan impak yang positif," katanya.
Beliau percaya menerusi pendekatan yang tepat dan pelaksanaan yang berkesan, kesan positif yang bakal diterima bukan sahaja melibatkan pelajar dan keluarga mereka, tetapi juga sosioekonomi masyarakat B40 di negara ini.
"Kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar untuk meneruskan pengajian. Semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi zakat, korporat serta masyarakat berperanan dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA