#BookTokMalaysia Suburkan Budaya Membaca Rakyat Malaysia

<
strong>Oleh Nur Syuhada Nordin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika negara dilanda pandemik COVID-19 ada meninggalkan kesan positif kepada kehidupan harian rakyat di negara ini iaitu dari segi tabiat membaca yang sebelum ini dilaporkan begitu lemah.

Jualan buku dan pinjaman buku digital dilaporkan naik mendadak sehingga lebih dua kali ganda berbanding sebelum PKP.

Sebagai contoh, pinjaman buku digital Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada bulan Mac 2020 meningkat hampir 40,000 buah berbanding sekitar 15,000 buah pada bulan-bulan biasa.

Malah data kajian Pasukan Analisi Picodi.com, agensi kepenggunaan yang menjalankan kajian mengenai minat membaca dan membeli buku dalam kalangan rakyat Malaysia mendapati, negara ini berada di tangga keenam paling aktif dalam membeli buku secara dalam talian daripada senarai 41 buah negara yang dikaji.

Untuk rekod, kajian dan dapatan dilakukan sebelum ini menunjukkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di Malaysia adalah rendah apabila masa yang diperuntukkan untuk aktiviti berkenaan kurang tiga jam seminggu.

Jumlah itu amat jauh ketinggalan berbanding kecenderungan rakyat India yang memperuntukkan lebih 10 jam seminggu untuk membaca begitu juga rakyat Thailand dan China yang memperuntukkan masa antara lapan sehingga sembilan jam seminggu.

Kemeriahan dan kerancakan budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini dilihat semakin ketara apabila kumpulan komuniti pembaca di Malaysia menggunakan platform TikTok untuk berkongsi serta mempromosi buku di pasaran.

Menggunakan tanda pagar #BookTokMalaysia di media sosial tersebut, kumpulan komuniti itu kini meraih seramai 173.4 juta pengikut setakat 9 Mei 2023, sekali gus membuktikan budaya membaca masih subur di negara ini.

 

BERKONGSI VIDEO SECARA KREATIF

Siti Nur Hamizah Kamarudin.

Menariknya dalam komuniti #BookTokMalaysia, ia tidak hanya tertumpu kepada penjualan buku semata-mata sebaliknya turut menggunakan media sosial berkenaan sebagai platfom untuk mengulas buku yang ada di pasaran dengan pendekatan lebih santai.

Salah seorang pencipta kandungan, Siti Nur Hamizah Kamarudin, 23, menggunakan kaedah sudut pandangan atau Point of View (POV) yang biasa digunakan pencipta kandungan filem atau drama ketika membuat ulasan di TikTok.

Dengan melakonkan semula sesuatu plot dalam buku yang diulasnya, anak keempat daripada lima beradik ini tidak menyangka apa yang dilakukannya berjaya menarik perhatian peminat komuniti buku selain turut membangkitkan rasa ingin tahu mereka tentang keseluruhan cerita buku berkenaan.

Beliau yang juga bekerja sebagai pembantu akauntan memulakan aktiviti mengulas buku dengan membuat vlogging (video blogging) dan menggunakan medium media sosial, Instagram, terlebih dahulu sebelum mula beralih menggunakan TikTok pada tahun 2021 selepas tertarik dengan pendekatan yang digunakan di #BookTokMalaysia.

“Ini sekadar kerja sampingan dan saya dapati pengikut #BookTokMalaysia suka menonton video POV berdurasi pendek sebab lebih menghiburkan. Penonton saya menjadi lebih ramai jika saya membuat video ulasan buku genre seram yang penuh mendebarkan.

“Saya sangat setuju penggunaan #BookTokMalaysia mampu mencapai audiens yang tepat kerana ia adalah satu platform yang boleh mengumpul peminat, pembaca buku dan pengguna TikTok yang boleh berinteraksi apa-apa sahaja mengenai buku. Kaedah ini boleh dikatakan sebagai inovasi dalam ulasan buku,” katanya kepada Bernama.

Pendekatan kreatif yang digunakan Siti Nur Hamizah, anak kelahiran Selangor ini, turut mendapat pujian dan perhatian syarikat penerbitan buku malah ada syarikat yang memintanya untuk mengulas buku terbitan mereka di pasaran. 

Memperuntukkan empat buah buku dalam sebulan untuk diulas, beliau yang masih bujang menyasarkan buku yang berbentuk genre seram dan novel fiksyen untuk diulas. Berdasarkan pemerhatiannya, majoriti peminat buku yang menonton POVnya adalah dalam kalangan belia yang berumur 18  hingga 25 tahun.

 

INSPIRASI KAFE

Pernah mencecah satu juta tontonan POV buku ulasannya, Siti Nur Hamizah berkata, perkembangan memberangsangkan ini diharap dapat memeriahkan lagi industri buku negara dan mampu menarik minat sesiapa sahaja dalam pelbagai peringkat umur. 

Dengan perkembangan positif ini, beliau mengharapkan pendekatan berkenaan dapat mengembangkan lagi industri buku di negara ini serta menarik minat sesiapa sahaja, tidak mengira peringkat umur. 

Selain itu, pengaruh #BookTokMalaysia ini juga turut memberi inspirasi kepada pengulas buku, Nurdayana Batrisya Mohamad Nasir, 22, untuk membuka kafe buku yang terletak di No 53A - 1 KL Traders Square, Jalan Gombak, Kampung Kuantan (Kuala Lumpur).

Dibuka pada Jun 2022,  kafe yang diberi nama Orchids LIbrary, menjadi medan perbincangan peminat buku untuk membicarakan buku terkini, buku yang disukai mereka serta mendapatkan sudut pandangannya akan sesebuah buku yang dibaca Nurdayana Batrisya. 

"Kafe ini turut menjadi tumpuan remaja dan peminat buku yang ingin membaca atau mengetahui sesebuah buku dalam keadaan santai sambil menikmati pelbagai jenis hidangan dan minuman yang dijual di sini. 

"Dekorasi kafe ini juga yang santai dan sesuai dengan cita rasa anak muda hari ini turut menarik perhatian pelanggan untuk menangkap gambar bersama buku-buku di dalam kafe ini,” katanya.

Dalam hal ini, beliau bersetuju bahawa media sosial sangat berpengaruh menyuburkan budaya membaca khususnya dalam kalangan golongan muda

Malah beliau pernah didatangi seorang pelanggan yang mengucapkan terima kasih kerana mengembalikan semula semangatnya membaca buku.

Nurdayana Batrisya sama sekali tidak menyangka minatnya terhadap buku sejak kecil dan mengulas buku dalam kaedah santai serta mengikut cita rasa anak muda ketika ini menarik perhatian ramai termasuklah individu terbabit untuk kembali mencintai buku.

 

PENULIS REBUT PELUANG

Bagi penulis buku tempatan Lilian Li, 24, #BookTokMalaysia banyak membantu mempromosikan bukunya iaitu ‘House of Koi’.

Buku beliau dialporkan mendapat sambutan hangat daripada komuniti peminat buku di media sosial berkenaan.

“Saya masukkan dalam TikTok yang saya tak lagi jual buku saya di kedai buku dan komuniti pembaca tampil untuk membantu saya jual buku saya. Ramai pembaca menghubungi saya bahawa mereka sudah lama mencari mahu membeli buku saya di kedai buku. Saya gembira mereka jumpa buku saya di #BookTokMalaysia. 

“Bagi saya sememangnya #BookTokMalaysia banyak memberi manfaat kepada semua penulis untuk berkongsi hasil karya serta pengalaman mereka sebagai penulis tempatan. Sokongan serta minat yang ditunjukkan rakyat Malaysia semakin memberi penulis tempatan inspirasi untuk terus berkarya, “ katanya.

Syarikat buku juga tidak ketinggalan menggunakan pendekatan berkenaan seperti yang dikongsi Ketua Jabatan e-dagang Karangkraf Mall, Norhaslinda Izham yang berkata, impak media sosial membantu meningkatkan hasil jualan dengan sangat berkesan.

“Sebenarnya dalam kalangan syarikat penerbitan, sudah lama melihat potensi #BookTokMalaysia di TikTok sebelum ia tular. Ini kerana TikTok adalah medium hiburan khusus buat remaja dan mampu mendedahkan mereka dengan dunia buku secara halus dan menarik. 

“Kerana pengaruh itu, membuatkan kami turut tidak melepaskan peluang mewujudkan #BookTok di laman sesawang syarikat penerbitan kami yang mengkhususkan buku yang hangat dibincangkan di media sosial,” katanya. 

Bagi pensyarah kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Novel Lyndon, beliau melihat pendekatan sedemikian mampu menarik minat orang ramai untuk membaca buku ilmiah yang diketahui agak sukar difahami kerana isi kandungannya berat, laras penggunaan bahasanya dan agak analitikal. 

Namun, dengan kaedah pengulasan kreatif yang dihasilkan melalui video, teknik POV di media sosial berkenaan oleh pempengaruh atau pencipta kandungan, membolehkan komuniti peminat buku memahami akan isu yang ingin disampaikan oleh penulis sekali gus mempelbagaikan genre pembacaan mereka. 

“Misalnya, buku literasi kalau disajikan dalam #BookTokMalaysia secara inovatif dan kreatif, saya percaya ia bakal menarik minat pembaca. Konsepnya, menyajikan buku daripada konvensional dengan teknologi,” katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA
 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.