I
nsomnia, gangguan tidur yang membuatkan seseorang sukar tidur atau tidur tidak berkualiti, semakin meningkat di Malaysia.
Justeru kata pakar, mereka yang mengalami masalah itu perlu diberikan pendedahan, pendidikan dan juga rawatan sewajarnya.
“Berdasarkan pemantauan klinikal dan kehidupan seharian, memang berlaku peningkatan ketara kes insomnia di Malaysia,” kata Dr Hazli Zakaria, pengasas Alaminda Healthcare Berhad dalam temu bual dengan Bernama.
Bagaimanapun katanya, tidak banyak data tentang prevalens kes insomnia di negara ini.
Memetik statistik sebelum penularan COVID-19, beliau berkata kira-kira 35 peratus rakyat Malaysia dan 53 peratus tenaga kerja di negara ini tidur kurang daripada tujuh jam sehari.
Satu lagi kajian tempatan menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat mengalami masalah berkaitan tidur, katanya.
Individu berusia 18 hingga 60 tahun disarankan tidur sekurang-kurangnya selama tujuh jam pada waktu malam untuk mengelak risiko tidak cukup tidur.
PENTINGNYA TIDUR BERKUALITI
“Tidur bukan hanya untuk rehat kerana tidur memberikan pelbagai faedah kepada tubuh berbanding sekadar merehatkan badan. Masalahnya ialah kita tidak mengutamakan tidur yang berkualiti,” kata Dr Hazli, menambah keadaan itu pada akhirnya akan menjejaskan kualiti hidup seseorang.
“Tidur yang berkualiti membantu kita mengawal stres dalam kehidupan seharian, membolehkan kita memberikan tumpuan penuh, terutama apabila kita perlu membuat keputusan yang rasional.
Gangguan insomnia berlaku apabila seseorang mengalami masalah untuk tidur dan sukar mengekalkan tidur mereka. Foto oleh Freepik.
“Pendek kata, tidur yang cukup membantu kita menjalani kehidupan yang sihat, melakukan kegiatan fizikal dan berinteraksi dengan orang di sekeliling kerana kesemua aktiviti ini memerlukan tenaga yang diraih daripada tabiat tidur yang baik,” jelasnya.
Dr Hazli berkata insomnia boleh merujuk kepada gejala insomnia atau gangguan insomnia.
Gangguan insomnia berlaku apabila pesakit menghadapi masalah untuk tidur dan tidur yang tidak nyenyak, sementara gejala insomnia ialah keadaan yang merupakan simptom penyakit lain seperti kebimbangan.
“Kadangkala, keadaan ini juga adalah cara tubuh kita memberitahu tahap stres yang kita alami semakin teruk,” katanya.
Menurut beliau, seseorang hanya didiagnosis menghidap insomnia jika mengalami gangguan tidur sekurang-kurangnya tiga hari seminggu dalam tempoh tiga bulan berturut-turut.
JUMPA DOKTOR
Memandangkan insomnia adalah gangguan biasa dalam kalangan orang dewasa, Dr Hazli berkata amat penting bagi pesakit memahirkan diri dalam mendapatkan tidur berkualiti, selain tahu strategi menangani perubahan corak tidur.
“Selain itu, mereka juga harus berjumpa doktor bagi mengenal pasti punca insomnia, dan disusuli rawatan sama ada dalam bentuk ubat-ubatan atau kaunseling dan terapi.
Insomnia boleh menjejaskan prestasi kerja akibat kitaran tidur yang tidak stabil. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
“Ingat, pengambilan ubat tidur tanpa pengawasan doktor mendedahkan seseorang kepada risiko kebergantungan pada ubat tidur, yang biasanya berlaku apabila punca sebenar insomnia tidak dirawat dengan ubat yang betul, contohnya ubat bagi depresi atau kebimbangan. Sebaliknya ubat tidur diambil sebagai jalan mudah,” ujar beliau.
Katanya, juga amat penting jika pesakit ada pilihan ubat tidur yang tidak membuatkan mereka “ketagihan” sekiranya diambil untuk tempoh yang lama.
JEJAS PRESTASI KERJA
Bagi penghidap insomnia yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Arif, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pengurus operasi di sebuah bakeri di Selangor, apabila gangguan tidur yang dialaminya menjejaskan prestasi kerja.
Menurut anak muda berusia 22 tahun itu, pada kebanyakan hari dia hanya dapat tidur selepas pukul 4 atau 5 pagi yang menyebabkan dia sering sakit kepala berserta penglihatan kabur, sekali gus membuatkan dia tidak dapat menumpukan perhatian pada tugas.
Adalah penting bagi pesakit mempunyai pilihan pil tidur yang tidak menyebabkan mereka bergantung terhadapnya jika diambil untuk jangka masa lama. Foto oleh Freepik.
“Saya cuba untuk masuk tidur lebih awal seperti 9 malam, namun sia-sia kerana saya hanya akan terlelap kira-kira lima jam kemudian,” kongsinya kepada Bernama.
Menurutnya, dia mengalami masalah tidur sejak menuntut di sebuah kolej pada 2018, dan keadaan itu berterusan selepas mendapat pekerjaan di bakeri tersebut pada 2022.
“Ketika mula mengalami masalah ini, saya malu untuk bercerita dengan rakan, jadi saya diamkan sahaja,” ujarnya, menambah corak tidurnya juga sentiasa berubah.
“Jika hari ini saya dapat tidur selepas pukul 5 pagi, esoknya akan beranjak ke 7 pagi, kemudian 10 pagi dan begitulah seterusnya,” jelasnya.
Mohd Arif berkata selepas lima bulan bekerja di bakeri itu, dia memutuskan untuk berhenti kerja selepas prestasinya semakin merosot dan mahu mendapatkan rawatan bagi penyakitnya.
Menurutnya, dia kini menjalani rawatan di sebuah klinik swasta yang terkemuka di sini, dan berharap rawatan tersebut dapat mengembalikan kitaran tidur yang normal tidak lama lagi.
RAWATAN DAYVIGO
Sementara itu, Pengarah Urusan Eisai Malaysia, sebuah syarikat farmaseutikal berasaskan penyelidikan dan pembangunan, Kam Ai Teng memberitahu Bernama, opsyen rawatan yang ditawarkan sekarang lebih menumpukan pada cara membantu pesakit dapat tidur dengan cepat.
Akan tetapi katanya, tidur yang berkualiti memerlukan dua aspek, iaitu dapat tidur dengan cepat dan juga memastikan tidur yang nyenyak.
Dr Hazli Zakaria, Pengasas Alaminda Healthcare Berhad.
Jelas beliau, menerusi kajian selama bertahun-tahun, didapati neuropeptida dikenali sebagai orexin, memainkan peranan utama dalam memastikan individu kekal terjaga.
(Neuropeptida adalah pengutus kimia yang terbentuk daripada rantaian kecil asid amino yang disintesis dan dikeluarkan oleh sistem sel saraf dikenali sebagai neuron)
Dalam hal ini, Eisai Malaysia menghasilkan Dayvigo dengan fungsi utamanya ialah menyekat isyarat orexin, sekali gus mendorong rasa ingin tidur, dan cara ini berbeza dengan rawatan insomnia lain seperti benzodiapines dan z-drug yang berfungsi dengan mengaktifkan dan menggalakkan laluan isyarat tidur di dalam otak.
“Sebelum Dayvigo mendapat kelulusan pihak berkuasa, kami jalankan dua percubaan klinikal yang melibatkan penyertaan kira-kira 2,000 pesakit dari seluruh dunia.
"Berdasarkan ujian ini, subjek menunjukkan perubahan ketara dari segi mudah tidur dan kekal nyenyak, selain dilaporkan peningkatan dalam fungsi harian berbanding pengambilan plasebo (bahan atau rawatan yang direka bentuk tanpa sebarang nilai terapeutik),” katanya.
Tambah beliau lagi, menerusi kedua-dua ujian itu, Dayvigo juga didapati tidak mempunyai kaitan dengan insomnia berulang selepas rawatan dihentikan, selain tidak ada bukti tentang keadaan sarak (withdrawal effect) apabila pengambilan Dayvigo dihentikan.
“Eisai adalah pakar dalam bidang terapeutik bagi neurologi dan onkologi, iaitu cabang kajian penyakit yang masih kekurangan rawatan bersesuaian,” katanya, menambah syarikat itu merancang mengeluarkan produk berkaitan penyakit Alzheimer dan Parkinson’s pada masa depan.
-- BERNAMA