N
ama Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman mungkin tidak berapa dikenali generasi muda negara ini. Namun, sebuah penempatan yang mengambil sempena nama Allahyarham iaitu Taman Tun Dr Ismail yang terletak antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, bukti penghargaan terhadap kepimpinan serta sumbangan beliau sebagai timbalan perdana menteri kedua Malaysia.
Untuk memperingati negarawan ‘Tonggak Perpaduan Negara’ ini , Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengadakan satu majlis hari ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini.
Ini bertujuan mendidik generasi muda mengenai sumbangan Dr Ismail dalam membangunkan negara dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan majlis yang dijangka dihadiri oleh 15,000 jemputan itu.
Bagi mereka yang dilahirkan sewaktu era kemerdekaan sehingga awal 1970an, pastinya masih ingat kepada Dr Ismail. Beliau adalah seorang pengamal perubatan lulusan Australia sebelum menceburi arena politik tanah air yang tegas dengan prinsip hak, maruah dan keadilan.
Dr Ismail mempunyai agenda unik dalam politik Malaysia terutamanya dalam membabitkan kerjasama antara kaum untuk bersama-sama memacu negara maju ke hadapan.
Mungkin juga politik Malaysia hari ini akan menjadi berbeza dengan apa yang berlaku ketika ini seandainya beliau yang pada ketika itu berada di kemuncak karier politiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, tidak meninggal dunia secara mengejut pada usia 58 tahun pada 1973 akibat serangan jantung.
NARATIF DI SEBALIK 'THE RELUCTANT POLITICIAN'
Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang Datuk Dr Ooi Kee Beng berkata beliau bangga dapat menghasilkan biografi Dr Ismail yang menjejak kisah kehidupan tokoh kelahiran Johor itu menceburi bidang politik serta pembangunan negara. Biografi itu bertajuk 'The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time'.
Buku yang dihasilkan pada tahun 2006 dengan kerjasama anak sulung lelaki Allahyarham, Tawfik Ismail, memaparkan ketokohan Dr Ismail sebagai seorang yang berprinsip dan komited untuk menegakkan keadilan dan maruah sepanjang memikul tugas yang diamanahkan.
Mengimbau kembali ketika beliau ditugaskan untuk menulis biografi Dr Ismail kira-kira 18 tahun lalu iaitu pada 2005, Ooi berkata, K. Kesavapany, pengarah kumpulan pemikir Singapura, Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) yang kini dikenali sebagai ISEAS – Institut Yusof Ishak, mahu menerbitkan siri buku dengan fokus pemimpin tertentu.
Pengarah Eksekutif Penang Institute, Datuk Dr Ooi Kee Beng yang juga penulis buku ''The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time' (Kredit- Penang Institute)
"Beliau (K. Kesavapany) terus ingat kepada saya kerana saya memang menulis pelbagai bahan politik dan sejarah.
"Tawfik pada masa itu, dengan galakan rakan lamanya Duta Verghese Mathews, memutuskan kertas peribadi ayahnya perlu diberikan kepada ISEAS. Kertas ini sekarang dalam simpanan perpustakaan ISEAS, antara perpustakaan terbaik di dunia untuk pengajian Asia Tenggara. Makanya sudah tentu ia tempat terbaik untuk menyimpan kertas berkenaan.
"Jadi, ISEAS memberikan tugas itu kepada saya, dan saya menyiapkan biografi berkenaan dalam masa setahun setengah. Ianya berdasarkan minat saya sendiri terhadap sejarah Malaysia, temu bual dengan mereka yang pernah bekerja dengan Dr Ismail juga rakan-rakannya. Saya juga bergantung kepada kertas peribadi dan penulisan lain, " beliau memberitahu Bernama dalam temu bual eksklusif secara maya baru-baru ini.
Buku setebal 311 halaman dengan lapan tajuk itu yang dibahagikan kepada dua bahagian bertajuk "Merdeka or Medicine" dan "Remaking Malaysia," memberikan naratif lengkap serta meluas mengenai karier politik Dr Ismail dari tahun 1950an sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1973.
Biografi yang diterbitkan oleh ISEAS, Singapura, itu juga berdasarkan kertas peribadi Dr Ismail yang mengandungi autobiografi yang belum siap, surat-menyurat serta laporan yang ditulis beliau sewaktu berkhidmat sebagai duta ke Amerika Syarikat, di samping sumber sekunder.
Buku itu juga mengandungi temu bual dengan pelbagai orang yang amat mengenali beliau iaitu keluarganya, kawan rapat dan mereka yang seangkatan dengan beliau seperti Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Lee Kuan Yew.
Menurut Ooi, 68, temu bual dengan mendiang pemimpin Singapura Lee Kuan Yew dan ahli perniagaan/taikun Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, Robert Kuok amat penting untuk projek ini kerana pandangan mereka bukan sahaja mengenai politik Malaysia tetapi juga mengenai Ismail yang sangat objektif.
"Untuk Robert (Kuok), saya pergi ke Hong Kong untuk mewancara beliau dan untuk menyiapkan buku ini, saya berulang alik antara Kuala Lumpur dan Singapura beberapa kali.
"Untuk penyelidik, kita memanglah memerlukan sumber tetapi tidaklah terlalu banyak. Bagaimanapun, kertas peribadi Dr Ismail walaupun tidak terlalu banyak tetapi tidaklah terhad kerana ada kira-kira lima beg plastik yang mengandungi kertas peribadi tersebut untuk dibaca bagi membantu penulisan buku berkenaan ," katanya.
DILUPAI
Berbanding perdana menteri pertama dan kedua iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan Tun Abdul Razak Hussein, yang mendapat liputan meluas dalam buku teks sejarah di sekolah, Dr Ismail hampir tidak mendapat perhatian dalam rujukan atau buku teks Malaysia dan mungkin ini menyebabkan kebanyakan generasi muda tidak mengenali beliau.
Pada muka surat 275 biografi Dr Ismail, Ooi menulis: "Konvensyen historiografi sering membenarkan Tunku (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj) dan Razak membayangi pencapaian Ismail apabila nama beliau sering disebut bersama dua pemimpin utama negara itu dan Tun Tan Siew Sin (bekas Presiden MCA).
Biografi bertajuk 'The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time' yang dihasilkan pada tahun 2006
"Akhirnya generasi muda Malaysia tidak belajar apa-apa tentang beliau dan yang menyedihkan mereka tidak berpeluang memahami idea dan jasa perjuangan Tun Ismail. Legasinya masih belum diterokai," tambahnya.
Walau bagaimanapun Ooi berharap buku biografi tersebut dapat memberi inspirasi kepada generasi muda terutamanya mereka yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin dengan memberi fokus kepada pembinaan bangsa berbanding politik yang tidak matang.
"Saya gembira dapat menulis buku ini. Beliau (Dr Ismail) meninggal pada usia muda dan berdasarkan budaya politik di Malaysia sekiranya anda meninggal muda, anda akan dilupakan. Memang beliau hampir dilupakan dan jika tidak kerana anak lelaki beliau, Tawfik yang amat menyayangi ayahnya, tidak mungkin kita dapat mengenali diri, perwatakan Dr Ismail yang banyak memberi inspirasi serta harapannya untuk Malaysia.
"Saya masih ingat ada seorang ahli Umno yang muda dan mendekati saya sambil memegang buku Dr Ismail. Beliau memberitahu saya bahawa buku itu memberi inspirasi kepada beliau untuk membentuk semula UMNO. Saya tersentuh dengan kata-kata beliau," kata Ooi.
Ooi yang juga mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam Sinologi dari Universiti Stockholm, Sweden, berkata sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air pada tahun 2004, nama Dr Ismail sudah dilupai.
"Saya berusia belasan tahun sewaktu Dr Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika berlaku rusuhan 13 Mei dan semuanya itu …. sebenarnya, saya ingat beliau dari TV. Itu sebabnya saya memilih potret beliau dengan paip tembakau untuk digunakan sebagai gambar muka hadapan buku, itu yang mengingatkan saya kepada beliau," katanya.
Untuk biografi itu, imej Dr Ismail yang diambil daripada sisi dengan sebatang paip tembakau dan latar belakang kuning keemasan, menghiasi muka hadapan buku berkenaan. Buku itu menerima anugerah penulisan terbaik (bukan fiksyen) di Augerah Konvensyen Penerbitan Asia 2008 selain turut dipentaskan oleh Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac) berdasarkan penceritaan mengenai Dr Ismail dalam buku berkenaan.
PERCAYA KEPADA KESAKSAMAAN KAUM
Perkara lebih menarik yang ditulis Ooi mengisahkan sumbangan besar Dr Ismail sewaktu beliau menyandang portfolio Hal Ehwal Luar Negara diikuti Keselamatan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Dalam Negeri.
Bergandingan dengan Razak, beliau memainkan peranan penting dalam pemisahan Singapura dari Malaysia (kerana perbezaan ideologi), berunding di belakang tabir dengan rakan sejawatan Singapura termasuk Goh Keng Swee, yang pada masa itu menteri kewangan, dan Eddie Barker, menteri undang-undang.
Menurut Ooi, sewaktu wawancaranya dengan Lee Kuan Yew, bekas pemimpin Singapura itu menggambarkan Dr Ismail sebagai lain daripada yang lain dan merupakan pemimpin Melayu yang paling dipercayainya dalam UMNO.
Turut disebut di dalam buku biografinya ialah pendirian Dr Ismail tentang kesaksamaan kaum yang sudah dijiwainya sejak kecil lagi berdasarkan latar belakangnya yang membesar dengan saudara perempuan angkatnya berbangsa Cina dan bergaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai bangsa antaranya adik-beradik keluarga Kuok (Philips dan Robert), Leslie Cheah, dan adik-beradik Puthucheary (James dan Dominic, kedua-duanya peguam).
Cara tokoh ini dibesarkan telah mendedahkan beliau kepada kepelbagaian budaya masyarakat ketika itu sekali gus memudahkannya untuk bergaul ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Melbourne, Australia apatah lagi beliau merupakan orang Melayu pertama yang mendapat pendidikan di sana.
Menariknya, legasi yang beliau tinggalkan bukan sekadar sumbangan politik tetapi pembinaan bangsa dengan menjalinkan persahabatan tanpa memilih kaum. Kepercayaan beliau dalam kekuatan kepelbagaian membolehkan Dr Ismail cekal mengemudi negara ini ketika Malaysia melalui ujian paling getir.
Tan Sri Robert Kuok
PENDIRIAN TEGAS
Robert Kuok di dalam buku biografi berkenaan dipetik berkata Dr Ismail 'seorang yang berpegang teguh kepada prinsip dan memintanya menggunakan kuasa politik untuk membantu anda bersamaan dengan meletakkan diri anda dalam penjara!'
Menurut Ooi, Dr Ismail juga tidak menyenangi sebarang bentuk rasuah walapun dalam jumlah yang kecil daripada orang yang pernah dibantunya.
"Ada satu insiden melibatkan pasangan Cina (pekebun) yang membawa sayur ke rumahnya dan beliau dengan marah meminta mereka beredar ... kerana Dr Ismail percaya rasuah selalu bermula dengan perkara kecil," katanya.
Perkara ini mungkin apa yang dipelajarinya di Australia kerana dalam kalangan generasi pertama pemimpin negara ini, hanya beliau yang lulus dan kemudiannya bekerja di Melbourne, Australia, dan bukan United Kingdom, sepertimana yang lain.
"Hakikatnya, beliau juga menghargai senaman fizikal meskipun beliau dilahirkan dengan penyakit jantung. Beliau mengamalkan gaya hidup aktif, banyak berjalan sewaktu mengikuti pengajian perubatan di Melbourne, Australlia.
"Secara peribadi, bagi saya, mereka yang memilih melakukan kegiatan fizikal secara bersendirian, untuk membina sahsiah diri. Ia memberi banyak masa untuk berfikir dan mengenali diri sendiri, " katanya.
MENINGGAL DUNIA SEBAGAI PEMANGKU PERDANA MENTERI
Secara tragis, perjalanan hidup Dr Ismail terhenti dengan tiba-tiba apabila beliau kembali ke rahmatullah pada bulan Ogos 1973 sewaktu berkhidmat sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Pemergian beliau diratapi seluruh negara dan meninggalkan kekosongan yang boleh dirasai bertahun-tahun selepas itu.
Bagaimanapun, kepimpinannya yang berwawasan akan terus memberi inspirasi kepada pemimpin masa depan terutamanya dalam mendokong nilai integriti, perpaduan dan khidmat yang mengutamakan negara.
"Abdul Razak melantik beliau sebagai timbalannya pada September 1970 dan kedua-duanya kemudian berkongsi takdir, mengetahui salah seorang akan meninggal dunia secara tiba-tiba ketika masih menyandang jawatan.
"Menurut Robert (Kwok), Dr Ismail seakan tahu beliau akan meninggal dan berhasrat meletak jawatan atas sebab kesihatan ketika Razak sedang bersiap untuk ke Ottawa bagi mesyuarat Komanwel.
"Bagaimanapun, beliau mengalami kegagalan jantung pada 1 Ogos, 1973 sewaktu menjadi pemangku perdana menteri ketika Razak berada di Ottawa," katanya.
Sebagai seorang pemimpin yang berwawasan abad ke-20, biografi Tun Dr Ismail Abdul Rahman jelas menunjukkan keunggulan seorang negarawan yang berdedikasi untuk perpaduan dan kemajuan Malaysia.
Kerana itu, Ooi berpandangan Dr Ismail dengan sifat yang ada padanya mungkin boleh menjadi Perdana Menteri terbaik Malaysia sekiranya beliau hidup lebih lama.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
-- BERNAMA