Letakkan TVET Di Bawah Satu Kementerian, Tangani Kecelaruan Ekosistem

P
rogram Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  yang bertujuan memperkukuh pasaran buruh negara, telah dilaksanakan sejak sekian lama, namun di sebalik potensi besar yang ditawarkan oleh bidang itu ramai lepasan TVET menceburi sektor lain selepas tamat pengajian.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong meletakkan ketidakseragaman pendekatan serta sikap ‘in silo’ (bersendirian) kebanyakan agensi dan institusi TVET sebagai punca ketidakpadanan pekerjaan itu, dan ini disokong oleh Pengerusi Persatuan Pembangunan TVET Nasional Mohamad Yaacob.

Bercakap kepada Bernama, Mohamad berkata ketika ini terdapat 12 kementerian dan agensi berbeza yang mengendalikan institusi berkaitan TVET di seluruh negara, namun tidak kesemuanya menuruti Sistem  Pensijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), iaitu sistem yang diiktiraf oleh pemain industri di negara ini.

SPKM digubal berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangun hasil dapatan daripada pemain industri dan agensi berkaitan, bermakna sijil yang dikeluarkan di bawah SPKM memenuhi keperluan industri.

 

PEMBAZIRAN PERUNTUKAN

Mohamad yang merujuk laporan agensi perundingan antarabangsa Boston Consulting Group pada 2009, berkata disebabkan oleh tindakan agensi berkenaan menawarkan pensijilan dan kurikulum pembelajaran mereka sendiri, lepasan yang dikeluarkan institusi terbabit menjadi “pilihan kedua” pihak industri berbanding lulusan SPKM.  

Kepelbagaian sijil dan kurikulum itu juga menimbulkan kecelaruan dalam ekosistem TVET, dan lebih merugikan ialah berlaku pembaziran daripada peruntukan kira-kira RM6 bilion setahun untuk bidang itu disebabkan oleh pertindihan lebih 6,000 kursus yang ditawarkan, katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini terdapat 3,231 pusat bertauliah yang melaksanakan SPKM, dan hingga Jun 2023, institusi terbabit telah melahirkan sebanyak 689,961 pekerja mahir dan 1,509,356 pekerja separa mahir.

Salah seorang peserta bersedia menghidupkan enjin kereta yang siap dipasang semasa menyertai pertandingan automotif sempena Karnival TVET Zon Timur, baru-baru ini. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Antara institusi yang menjalankan SPKM sepenuhnya ialah kesemua 21 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) serta 32 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang telah berjaya melahirkan ramai graduan TVET berprestasi tinggi,” katanya.

Pada masa sama, ada institut di bawah satu agensi kerajaan yang sebahagiannya melaksanakan SPKM dan separuh lagi menjalankan pensijilan sendiri seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Ini belum diambil kira institusi latihan kemahiran swasta yang menawarkan sijil kemahiran dan kurikulum tidak berlandaskan SPKM,” katanya, menambah ribuan lepasan institusi terbabit memasuki pasaran tenaga kerja setiap tahun.

 

IMPAK KEPADA KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Pengiktirafan SPKM yang termaktub dalam Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652), menawarkan lima tahap pensijilan, iaitu  Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, 2 dan 3; Tahap 4 atau Diploma Kemahiran Malaysia; dan Tahap 5 iaitu Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.

Berdasarkan Seksyen 22 (3) Akta 652, sesuatu sijil di bawah SPKM harus diukur menurut NOSS, iaitu dokumen yang menggariskan keperluan kompetensi bagi pekerja mahir, dan dokumen ini disemak semula setiap lima tahun oleh pihak industri. 

Sehubungan itu kata Mohamad, kegagalan pusat latihan termasuk kolej komuniti serta kolej vokasional (KV) menawarkan sijil di bawah SPKM memberi kesan kepada kebolehpasaran lulusan institusi terbabit.

“Apa yang terjadi apabila mereka tamat belajar ialah pihak industri kurang berpuas hati dengan sijil yang mereka ada memandangkan ada graduan lain yang lebih layak kerana memiliki SPKM dan patuh NOSS. Sudah tentunya graduan sebegini lebih diminati untuk diambil bekerja oleh industri dan majikan.

"Disebabkan sukar mendapat pekerjaan kerana pihak industri lebih memilih graduan yang ada kelayakan SPKM, sudah tentu graduan ini terpaksa bekerja dalam bidang yang bukan melibatkan kemahirannya. Ini merugikan negara kerana kita amat memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir di samping mengurangkan kebergantungan pada tenaga buruh asing,” ujar beliau.

Pengerusi Persatuan Pembangunan TVET Nasional, Mohamad Yaacob.

Jelas beliau, NOSS dibangunkan mengikut Kerangka Pekerjaan (OF) yang menggariskan struktur pekerjaan secara menyeluruh, merangkumi bidang kerja dan tajuk perjawatan mengikut tahap bagi sesebuah industri yang secara langsung menentukan kadar gaji.

Ringkasnya kata beliau, NOSS digubal bagi melahirkan pekerja yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak industri yang seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Jelas Mohamad, setiap tahun Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia membangunkan 10 hingga 20 tajuk baharu NOSS agar seiring dengan pergerakan teknologi dalam industri. 

“Namun mengapa terdapat kementerian atau agensi lain yang membangunkan semua ini sendiri dan bekerja secara in silo, walhal mereka boleh sahaja mengguna pakai  apa yang telah dibangunkan JPK? Di sini kita lihat ada ketidakseragaman dan pembaziran kewangan,” kata beliau.

 

ANTARA DUA DARJAT

Isu sijil “dua darjat” ini diakui oleh lepasan institusi yang berkenaan.

“Selepas tamat belajar selama dua tahun (2019-2021) dalam bidang automotif di sebuah KV di Perak, saya mula mencari pekerjaan dalam bidang itu di sekitar Tanjung Malim. Ketika itu baru saya sedar akan persaingan dengan lulusan yang memiliki SKM. Mereka ini lebih ‘laku’,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Din.

 "Namun begitu, setelah berusaha keras, akhirnya saya diterima bekerja sebagai operator membaiki rangka kenderaan, dan setelah hampir setahun lebih bekerja barulah gaji saya mencecah RM2,000 sebulan," kongsinya ketika dihubungi.

Sepatutnya sesebuah KV menggunakan Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) yang mengutamakan pembelajaran secara praktikal (hands-on) berbanding teori, namun Bernama dimaklumkan oleh beberapa bekas pelajar bahawa mereka lebih banyak mengikuti pembelajaran secara teori di dalam kelas, iaitu tidak berdasarkan kehendak NOSS.

Berlainan pula ceritanya dengan Muhammad Mustaqim Zahari, 27, yang berkelulusan SKM Tahap 3 daripada Pusat GiatMara Tampin, Negeri Sembilan.

Pengunjung melihat pameran inovatif yang diusahakan pelajar TVET pada Ekspo Institusi Pendidikan TVET@ KPLB di Dataran Amanjaya Mall. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dia yang menamatkan pengajian pada 2019, berkata tidak sukar untuknya menyambung pembelajaran peringkat diploma di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kemaman, Terengganu kerana memiliki SKM, dan selepas menerima diploma serta sijil kompetensi, dia ditawarkan bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru, Johor.

"Tidak lama saya bekerja di kilang tersebut, saya dapat pula tawaran lain untuk bekerja sebagai jurulatih bagi petugas dan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) di TNB ILSAS Malim Nawar, Perak sekitar tahun ini. Gaji yang ditawarkan juga cukup lumayan iaitu sekitar RM3,000 sebulan.

"Di sini, saya melihat graduan TVET yang memiliki SKM dan patuh NOSS amat dikehendaki pihak industri dan majikan. Diharapkan semua pusat latihan kemahiran dapat mempertingkat pensijilan dan diploma kemahiran yang ditawarkan, selaras dengan keperluan industri dan JPK," katanya.

 

HANYA SATU KEMENTERIAN TERAJUI

Dalam pada itu, Mohamad yakin isu yang membelenggu bidang TVET ini boleh diatasi sekiranya pengurusan diletakkan di bawah satu kementerian seperti yang dilaksanakan di beberapa negara maju, antaranya Jerman, Switzerland, Austria dan Finland.

Beliau mengusulkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) diberi tanggungjawab itu memandangkan kementerian berkenaan mempunyai ekosistem yang lengkap dan memenuhi keperluan industri.

"Contohnya, JPK diwujudkan bagi menilai dan mengesyorkan secara berterusan keperluan kemahiran pada masa kini dan akan datang untuk tenaga kerja mahir dan separuh mahir. 

“Di bawah JPK, terdapat sembilan bahagian dan unit membabitkan pembangunan TVET seperti Bahagian Pentauliahan serta Bahagian Standard Pekerjaan dan Kurikulum TVET,” jelasnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud mencuba menaiki kenderaan Go-Kart yang dibangunkan pelajar sempena lawatan kerjanya ke Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra, baru-baru ini. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

 Selain itu, di bawah KSM juga ada Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) yang ditubuhkan menurut Akta 652, dengan fungsi menasihati menteri tentang perkara-perkara berhubung dengan akta. JPK pula berfungsi sebagai sekretariat  MPKK.

"Semua ahli yang bernaung di bawah MPKK adalah pemain utama industri TVET, antaranya wakil daripada Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Malaysia serta beberapa persatuan mewakili sektor swasta seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia,” tambahnya.

Beliau percaya jika pengurusan TVET diletakkan di bawah satu kementerian, ekosistem TVET akan lebih teratur, sekali gus mengelakkan pertindihan kursus dan pembaziran sumber.

PERLU IKUT ARUS TEKNOLOGI

Bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran Mohammad Rizan Hassan, kerjasama kerajaan dengan pihak industri perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan bukan hanya bersifat kosmetik atau kerjasama secara dasar semata-mata.

Isu kebolehpasaran dan ketidakpadanan kerja yang terus menghantui graduan TVET juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor lain, antaranya penggunaan peralatan dan teknologi usang yang kurang menepati keperluan semasa pihak industri, terutamanya di institusi TVET awam.

Mengambil contoh industri automotif, beliau berkata masih wujud pusat latihan menerima guna peralatan atau mesin berasaskan enjin karburator, walhal teknologi terkini enjin motosikal telahpun menggunakan sistem suntikan bahan api (fuel injection), sistem hibrid dan kenderaan berasaskan elektrik (EV).

"Apatah lagi, masih ada tenaga pengajar pusat latihan TVET yang tidak dipertingkatkan kemahiran bagi mengendalikan mesin-mesin berteknologi tinggi, khususnya di pusat latihan kemahiran yang bekerjasama dengan pihak industri yang membekalkan peralatan terbabit.

“Sebagai contoh, dulu mesin pembuatan am hanya guna lengan artikulasi dua paksi dan mudah dikendalikan. Namun kini sudah ada mesin dengan lengan artikulasi enam paksi yang lebih kompleks untuk dikendalikan," katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohammad Rizan Hassan.

Sekiranya tenaga pengajar sendiri tidak dilatih menggunakan mesin berteknologi tinggi sebegini, dikhuatiri akan turut merencatkan perkembangan modal insan bagi manfaat industri TVET kerana pelajar tidak dapat belajar mengendalikan  teknologi terkini.

Oleh itu, Mohammad Rizan mencadangkan supaya kerajaan segera mengubah pendekatan sedia ada bagi membolehkan peralatan pembelajaran dapat dikemas kini berdasarkan keperluan semasa industri, terutamanya di institusi TVET awam, sementara tenaga pengajar pula dapat dilatih menggunakan mesin-mesin berteknologi tinggi tersebut.

Kerajaan juga diharap dapat membantu institusi TVET swasta yang turut bertungkus-lumus menyediakan platform dan peralatan pembelajaran dengan menawarkan geran padanan yang boleh meringankan beban institusi terbabit.

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.