Mencari Penyelesaian 'bukit Sampah' Kapar

I
su pembuangan sampah secara haram di pekan Kapar,  daerah Klang bukan perkara baru, tetapi tapak lambakan yang terletak di belakang kilang Lay Hong itu begitu membukit tinggi dan melebar luasnya.

Sudahlah timbunan sampah setinggi tiang bendera, keluasannya dianggarkan lapan padang bola sepak dan terletak di bawah tiang pilon transmisi Tenaga Nasional Berhad (TNB). Tapak pembuangan haram ini menjadi terbiar sewaktu pandemik COVID-19 dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penduduk di kawasan berhampiran perlu berdepan dengan masalah jerebu serta asap yang sering menyelubungi tapak berkenaan dan menjejaskan kesihatan mereka.

Bernama ada membuat laporan mengenai tapak pembuangan ini pada bulan Mei lepas dan pihak berkuasa segera bertindak. Menurut penduduk, ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali berjanji tapak itu akan dibersihkan daripada semua sampah buangan.

Dua bulan berlalu, kerja untuk membersihkan sampah itu bukan suatu perkara yang mudah dan sukar untuk diselesaikan dalam masa terdekat. Majlis Perbandaran Klang (MPK) setakat ini mengangkut sebanyak 400 tan metrik sampah daripada tapak berkenaan dan  menggunakan berbelas buah jentera berat untuk mengorek sampah yang membukit. Namun, masih banyak lagi sampah yang tinggal.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengangkut keluar kira-kira 400 tan metrik sampah dari tapak pelupusan haram itu pada Mei lepas, namun operasi membabitkan lebih 50 buah jentera berat tersebut tidak membawa impak ketara kerana masih terlalu banyak sisa pepejal yang perlu dibersihkan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Alam Sekitar MPK Zaireezal Ahmad Zainuddin memberitahu Bernama, pihaknya hanya boleh memunggah sampah yang bersaiz besar, kebanyakannya yang boleh menyebabkan kebakaran.

“Cuma masih lagi ada sampah seperti carikan plastik atau resin plastik yang masih banyak lkat situ.

“Ni, kalau nak angkut semua susah sebab kalau kita korek lagi, bawah ni ada lagi sampah. Masalahnya, sampah ni terlalu banyak,” katanya ketika meninjau tapak pembuangan sampah haram itu bersama Bernama baru-baru ini. 

Pakar sebelum ini menganggarkan jumlah sampah di tapak berkenaan antara 30,000 hingga 50,000 tan metrik. Kos pembersihan mungkin jutaan ringgit.

Menurut Zaireezal, meskipun MPK belum mempunyai rancangan untuk membersihkan baki sampah buat masa ini, mereka tidak berputus asa untuk melakukannya.

“Masalahnya, duit. Kos pembersihan itu tinggi,” katanya.

 

MASALAH WANG

Memandangkan kos pembersihan sampah yang tinggi, pihak berkuasa tempatan berharap dapat meletakkan tugas itu kepada pemilik tapak berkenaan, kesemuanya ada 11 orang. Bagaimanapun, Zairezal berkata, pihaknya masih perlu menghubungi pemilik tiga lot, sementara yang lainnya sedang memikirkan pilihan yang mereka ada. 

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan, “melainkan jika dilesen, tiada seseorang boleh mengeluarkan atau melepaskan apa-apa benda berbahaya kepada alam sekeliling, pencemar atau buangan ke dalam udara dengan melanggar syarat-syarat yang boleh diterima, yang ditentukan di bawah Seksyen 21.” Kegagalan untuk menyelenggara tanah atau menggunakannya untuk tujuan lain boleh menyebabkan pemiliknya didenda dan tanah dilucuthak.

Pejabat Tanah Daerah Klang mengeluarkan surat amaran kepada pemilik tanah. Salah seorang daripada pemilik tanah itu, Tan Tiam dari Kekal Sejati Venture Sdn Bhd, menerima notis bertarikh 24 Mei 2023, yang memberi amaran supaya beliau membersih serta membuang sampah secara betul, mengemukakan bukti, antaranya kerja pembersihan dan pemulihan tanah dibuat. Semuanya itu mesti dilakukan selewat-lewatnya 22 Ogos (90 hari dari tarikh surat dikeluarkan).  

Jurucakap Sime Darby Plantation Berhad (SDP) dalam satu kenyataan memberitahu Bernama bahawa syarikat itu, yang memiliki sebahagian daripada tanah yang kini dipenuhi sampah, “pihak kami sedang berbincang dengan TNB untuk menyelesaikan isu pembuangan sampah secara haram, untuk memulihkan tapak dan memulih serta mengekalkan integriti persekitaran bahagian tanah berkenaan secepat mungkin.” 

Menerusi emel, TNB berkata, pihaknya memasang kamera litar tertutup untuk mengesan sebarang kesalahan dan meningkatkan pengawasan di kawasan berkenaan, termasuk menggunakan dron. Mereka juga memasang penghadang konkrit di jalan yang menghala ke tapak itu bagi mencegah mana-mana pihak masuk ke situ. Setakat ini, mereka belum mengesan sebarang kegiatan haram.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa kami melakukan segala yang terdaya untuk menangani isu ini. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan membersihkan tapak berkenaan seperti yang dikehendaki,” kata mereka.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memasang konkrit sekitar tapak pelupusan sampah haram bagi mencegah mana-mana pihak masuk ke situ. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun Tan masih berkeras enggan membersihkan sampah itu, dengan menegaskan bahawa beliau tidak bertanggungjawab di atas perbuatan membuang sampah secara haram itu. Beliau juga membuat laporan polis pada tahun 2020 apabila pertama kali mengesan kegiatan haram berkenaan. Beliau tidak dapat melakukan tindakan susulan dan mencegah perbuatan membuang sampah secara haram itu kerana PKP.

“Ini tanah saya, saya beli dengan harga RM100,000 dan kalau nak bersihkan, sekurang-kurangnya kos RM1 juta,” kata Tan, yang meninjau tapak pembuangan sampah itu dengan seorang anak lelakinya.

Pihak berkepentingan dan pakar berkata, langkah pembersihan tapak pembuangan sampah haram itu memerlukan kesungguhan politik, bukan soal kewangan.

“Kerajaan negeri perlu mempunyai kesungguhan politik untuk menyelesaikan masalah ini!” kata wakil rakyat Kapar Dr Halimah menerusi WhatsApp.

Pakar majlis tempatan juga seorang peguam Derek Fernandez memberitahu Bernama, Akta Kerajaan Tempatan 1976 membenarkan pihak berkuasa tempatan ‘menutup’ dan memasuki tanah untuk membersihkan sisa dengan serta merta sama ada kerana mahu mengurangkan gangguan atau ancaman kesihatan. 

“Kos pembersihan tanah boleh dituntut daripada aset syarikat pemilik dan malahan daripada hasil milelong tanah atau merampas aset lain syarikat selepas proses pemulihan penghakiman, ” kata beliau menerusi WhatsApp.

Penasihat undang-undang Sahabat Alam Malaysia Theiva Lingam mencadangkan penduduk menyaman pemilik tanah dan pihak berkuasa tempatan untuk masalah gangguan yang mereka alami sekiranya tindakan yang diambil tidak mencukupi dan tapak pembuangan sampah itu terus mengancam kesihatan serta persekitaran komuniti.

Menurut Zaireezal, tidak ada pelan bertindak sekiranya pemilik tanah gagal melakukan pembersihan sampah di tapak masing-masing selepas tamat tempoh yang ditetapkan. Beliau menambah, pihak majlis menunggu arahan daripada pihak atasan, iaitu mahkamah atau pihak berkuasa negeri atau Persekutuan, sebelum mengambil sebarang tindakan lain.

Namun untuk tindakan menerusi sistem perundangan melibatkan proses yang panjang dan berkemungkinan tidak mengurangkan kerosakan alam sekitar yang sedang berlaku.

Bernama turut menghubungi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mendapatkan komen.

Jurucakap untuk NRECC berkata mereka akan “mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Alam Sekitar mengenai perkara yang berbangkit, ” sementara KPKT meminta sedikit lagi masa sebelum memberi komen.

 

LANGKAH SELANJUTNYA

Kos pembersihan adalah salah satu isu utama pembuangan sampah secara haram, dan ia menyebabkan majlis perbandaran di banyak negara mengambil langkah pencegahan dan meningkatkan kesedaran komuniti serta penguatkuasaan. 

MPK merampas enam buah trak dan mendenda pemiliknya kerana pembuangan sampah secara haram di Klang pada tahun 2021 tetapi tidak mengheret syarikat ke mahkamah.

Dan sementara menunggu sebarang tindakan diambil, pakar sisa pepejal dan berbahaya Prof Agamutu Pariatamby menjelaskan tiada cara lain kecuali ke pihak atasan. 

“Sekiranya … sekarang tiada lagi sesiapa membuang apa-apa secara haram, sekurang-kurangnya anda sudah menang pertempuran pertama,” katanya. 

Selain menentukan siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang perlu membayar untuk kerja pembersihan, beliau berkata, pihak berkuasa perlu juga menimbangkan kaedah untuk memulihkan semula tanah. Kaedah semasa tidak mencukupi atau baik bagi alam sekitar.

Beliau memberitahu Bernama separuh berseloroh bahawa kaedah semasa pembersihan yang dibuat di Malaysia ialah “membuldos semua sampah ke laut.”

Tambah beliau, mengalih kepingan besar sampah dari tapak pembuangan haram, meratakan kawasan serta menimbus saki-baki sampah di bawah tanah, mungkin boleh  menyembunyikan sampah, namun ia bukan penyelesaian yang berkesan.

Pakar sisa pepejal daripada Sunway University Prof Agamutu Pariatamby menunjukkan sampel mikroplastik, iaitu bahan cemar lazim yang terhasil daripada plastik yang tidak dilupuskan dengan betul. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Ini pencemaran tanah kerana tapak pembuangan haram ini bukannya tapak pelupusan sanitari, tiada pelapis di bahagian bawah,” katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan Malaysia mengkaji perlombongan tapak pelupusan sampah, yang melibatkan kerja menggali serta memproses sisa pepejal. Sampah kemudiannya disisih untuk dikitar semula, untuk digunakan sebagai bahan bakar dan dianalisis untuk bahan berbahaya. Menurut beliau, kaedah berkenaan belum boleh diperolehi di Malaysia, dan menambah, beliau belum mendengar mana-mana syarikat menggunakannya.

Bernama menghubungi beberapa syarikat perlombongan tanah di Australia untuk mendapatkan lebih maklumat.

Jurucakap syarikat Australian, Soilcyclers Pty Ltd Shelby Jackman memberitahu Bernama menerusi emel bahawa manfaat perlombongan tapak pelupusan sampah termasuk pengurangan sisa serta penggunaan bahan sedia ada dengan lebih bermatlamat.

Beliau berkata, sisa disisih untuk pelupusan, digunakan semula atau dijual, “tanah kemudian diuji oleh Saintis Tanah yang boleh mengemukakan cadangan untuk kita meningkatkan semula kualiti tanah untuk kegunaan semula, sekiranya mungkin.”

Kedua-dua Agamutu dan Jackman berkata, bukanlah sukar untuk Malaysia mengamalkan kaedah berkenaan. 

“Ia adalah operasi yang mudah sebaik sahaja semua jentera ada,” kata Jackman.

Bagaimanapun, kos mungkin menjadi faktor penghalang untuk kebanyakan pihak majlis tempatan, yang berurusan dengan tapak pembuangan sampah kecil dan sederhana. Sebagai contoh, SoilCyclers mengenakan bayaran kira-kira AUS$15 (RM45) satu meter padu, bergantung kepada lokasi tapak dan keperluan tapak pembuanagn dan tanah. 

Agamutu, yang juga Saintis Alam Sekitar Universiti Sunway berkata, buat masa sekarang, perlombongan tapak pelupusan sampah hanya berbaloi untuk diusahakan sekiranya melibatkan pembersihan tapak pembuangan sampah yang diwartakan untuk pembangunan.

“Kebanyakan tapak pembuangan sampah haram yang ada kecil. Anda tidak boleh buat wang daripada perlombongan tapak pelupusan sampah, terlalu kecil,” katanya.

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.