Usahawan Cilik TikTok Fasih Bahasa Mandarin Curi Hati Pelanggan

N
ik Izz Nur Arissa Nik Mohd Izafudin Shah, 12,  atau mesra dipanggil Iris, mula berjinak-jinak menjual softoys bundle menggunakan laman TikToknya sejak Februari lepas dan istimewanya, gadis cilik ini fasih berbahasa Mandarin.

Dalam masa hampir tujuh bulan sahaja, Iris berjaya mengumpul lebih 13,000 pengikut daripada pelbagai latar belakang dan umur dengan lebih 100,000 orang menyukai (like) videonya.

Setiap kali Iris bersiaran langsung menjual softoys bundle di laman TikToknya, akan turut berkumandang lagu dalam bahasa Mandarin, dendangan penyanyi dalam dan luar negara. Antara lagu itu yang Iris terjemahkan tajuknya, ialah ‘Till We Meet Again’, ‘Red Scarf’, ‘Your Name Engraved Herein’ dan ‘It Might Break Your Pinky Heart’.

Santai berbahasa Mandarin apabila melayani pelanggan berbangsa Cina, anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini ternyata berjaya mencuri perhatian ramai pengikut laman sosial. Tanpa rasa kekok serta disulami gelak tawa, Iris menjawab pertanyaan bakal pembeli yang berminat dengan softtoys bundle yang dijualnya dengan penuh ramah. 

 

BAPA PENIUP SEMANGAT 

 

Hampir setiap hari, dari pukul 9:30 malam hingga 12:00 malam, Iris melakukan TikTok secara langsung sambil ditemani bapanya Nik Mohd Izafudin Shah Nik Mat, 42, di rumah mereka yang terletak di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.

Menggunakan label jenama Iriz Collection, antara softoys bundle yang dijual dan mendapat permintaan menggalakkan ialah rantai kunci karakter kartun PAW Patrol, Garfield, Care Bears dan yang berbentuk anime dari negara Jepun seperti Sotoru Gojo, Jujutsu Kaisen dan Naruto.

Pelajar tahun 6 Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Tze, Tumpat, Kelantan ini dan anak sulung daripada empat beradik berkata, bapanya banyak membantu dirinya menjadi berani memulakan langkah untuk bersiaran secara langsung di TikTok.

"Pada mulanya ayah memaksa saya bersiaran bersamanya kerana menyedari saya terlalu lemah dalam berkomunikasi dengan orang ramai. Namun lama kelamaan ia menjadi kebiasaan malah saya sendiri tidak sabar untuk memulakan siaran langsung.

"Jika ditanya perasaan saya, sudah tentu saya berasa gementar memikirkan tanggapan pertama orang ramai namun kehadiran ayah banyak membantu saya dan memberi ilham, panduan serta peluang untuk sentiasa memperbaiki diri ketika bersiaran secara langsung," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menyifatkan media sosial bukan sahaja platform untuk mencari sumber pendapatan untuk perniagaan softoys bundle yang diusahakan keluarganya, Iris berkata ia juga menjadi titik tolak untuk dirinya mengasah bakat serta kemahiran berkomunikasi dengan lebih baik.

“Seronok setiap kali bersiaran, kawan-kawan di sekolah yang sentiasa memberi sokongan. Kadang-kadang mereka akan turut membeli hampir kesemua softoys bundle yang saya jual sebagai tanda sokongan.

"Walaupun begitu tanggungjawab sebagai pelajar tidak dilupakan. Saya akan memastikan kerja sekolah disiapkan terlebih dahulu sama ada di sekolah atau sebelum bersiaran," katanya sambil sesekali sibuk membaca mesej dan mengambil pesanan melalui telefon bimbitnya dalam bahasa Mandarin.

 

BAHASA CERMINAN PERPADUAN

 

Iris berkongsi, lazimnya selesai membuat ulasan dengan pelanggan berbangsa Cina, pelanggan yang lain turut teruja untuk bertanya apa yang dibincangkan kerana tidak mahu terlepas peluang melihat produk.

“Walaupun sesetengah pelanggan yang masuk live bukanlah untuk membeli dan hanya sekadar berbual kosong serta bertukar pendapat, namun ia memadai kerana secara tidak langsung dapat menambah kosa kata dalam Bahasa Mandarin,” katanya.

Lebih membuatkan Iris berasa terharu ialah apabila ada pelanggan yang memberi komen seperti “anda sangat hebat dan terima kasih mempelajari bahasa kami, kami pasti menyokongmu”.   

Iris pada awalnya bimbang dengan penerimaan pelanggan, namun kegusarannya hilang selepas menerima banyak maklum balas positif.

"Sangkaan saya ternyata meleset. Saya di kelilingi individu yang baik hati. Mereka (pelanggan berbangsa Cina) memberi respons yang baik setiap kali saya berkomunikasi.

"Bagi saya sesiapa sahaja boleh belajar dan menguasai apa-apa bahasa yang mereka minat kerana bahasa melambangkan perpaduan. Penguasaan pelbagai bahasa juga boleh mengeratkan hubungan masyarakat dan mewujudkan keharmonian tanpa mengira batas kaum dan agama," katanya menambah, yang turut menjual softoys bundle kepada jiran di kawasan perumahannya.

.

HARAPAN MASA DEPAN

 

Sementara itu, bapa Iris, Nik Mohd Izafudin Shah melahirkan rasa syukur atas kebolehan anaknya bertutur dalam bahasa Mandarin meskipun pada awalnya agak sukar untuk mempelajari bahasa itu. 

Beliau menghantar Iris ke taman didikan kanak-kanak (tadika) Cina sejak berusia empat tahun sebagai langkah awal mempelajari bahasa Mandarin sekali gus memastikan anaknya itu boleh menguasai bahasa itu dan belajar berdikari.

“Selain dalam bidang perniagaan, saya mengharapkan Iris dapat belajar cara dan budaya mereka (masyarakat Cina) bekerja, senang cerita 'kutip’ perkara baik untuk dijadikan panduan hidup. Kalau boleh saya mahu dia belajar seberapa banyak bahasa, bukan untuk saya tetapi sebagai bonus dalam kehidupan dia nanti," katanya. 

Bapa kepada empat orang cahaya mata berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu menambah, beliau sentiasa menegur sekiranya Iris melakukan kesilapan termasuk ketika sedang bersiaran langsung dan berharap segala nasihat dan tunjuk ajarnya dapat membantu kehidupan anaknya itu kelak.

Bercakap mengenai perniagaan softoys bundle, beliau berkata barangan itu diambil dari kilang dan akan diasingkan terlebih dahulu bagi memastikan kualitinya terjamin.

"Saya akan mengasingkan softoys. Sekiranya ada yang rosak saya akan mengasingkan dan tidak menjualnya. Selepas pengasingan, softoys dibasuh terlebih dahulu sama ada dengan cucian tangan atau mesin basuh dan sesekali dimanjakan menggunakan air suam bagi menjaga kualiti bulu softoys, ” katanya yang turut membekalkan softoys bundle kepada penjual dan pelanggan tetap pada harga berpatutan dan dalam keadaan bersih.

Menurut Nik Mohd Izafudin Shah lagi, pengusaha jambangan bunga dan patung kecil akan ‘memburu’ kedainya untuk mendapatkan bekalan jualan mereka terutama untuk majlis konvokesyen dan hadiah ulang tahun.

Beliau menambah, walaupun “Iriz Collection” masih baharu dalam dunia perniagaan softoys bundle kerana hanya bermula pada awal tahun ini, beliau optimis mencari peluang dan ruang untuk bertukar pendapat bersama pengusaha lain bagi memperbaiki serta meningkatkan prestasi perniagaannya itu.

“Secara umumnya perniagaan bundle dikategorikan sebagai barangan terpakai dan kebanyakkannya hanya masyarakat atau golongan marhaen yang menggunakannya. Namun persepsi tersebut berubah selari perubahan zaman.

"Untuk jangka masa panjang saya berharap perniagaan softoys bundle lebih maju dan dapat bersaing secara sihat... masyarakat kini mula membuka mata untuk memilih barangan dengan harga berpatutan.

“Saya juga mengharapkan perniagaan bundle boleh berkembang dan mampu setaraf jenama besar selari dengan kehendak dan kemampuan masyarakat," katanya yang berhasrat membuka sebuah gudang penyimpanan dan menjadi pembekal softoys bundle kepada penjual yang menjual secara kecil-kecilan.

 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.