Perspektif: Menghendap Bukan Cara Tunjuk Cinta

K
UALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Semasa menuntut di sebuah kolej di Amerika Syarikat, rakan sebilik saya ketika itu menjadi mangsa hendap seorang lelaki.

Dia, kita panggil saja Julia, bertemu dengan lelaki itu di sebuah majlis yang diadakan untuk pelajar Malaysia di universiti kami.  Bagi Julia yang langsung tidak cakna akan lelaki tersebut, pertemuan berkenaan tidak membawa sebarang makna. Namun lain kisahnya bagi lelaki itu yang benar-benar terpesona dengan Julia.

Tidak lama kemudian mimpi ngeri Julia bermula.

Mula-mula lelaki itu menghantar e-mel dengan kandungan ringkas “hai” kepada Julia, yang kemudian ditunjukkan kepada saya. Sekalipun tidak sukar untuk meneka alamat e-mel pelajar,  seseorang itu masih perlu mengetahui nama pertama dan nama keluarga si pemilik akaun sebelum dapat meneka dengan betul alamat tersebut.

Memandangkan rakan saya dikenali  bukan dengan nama sebenar, ini bermakna lelaki itu “menyelidik” atau mungkin mendapatkan alamat e-mel tersebut daripada orang lain, sekali gus menimbulkan rasa cuak.

Julia berasa tidak selesa dengan e-mel yang dihantar oleh lelaki itu, namun disebabkan tidak mahu dianggap biadab, apatah lagi lelaki berkenaan juga pelajar Malaysia, maka Julia membalas hantaran tersebut, namun tanpa menunjukkan kemesraan.

 E-mel demi e-mel terus diterima sekalipun Julia tidak lagi membalas komunikasi itu. Lelaki berkenaan semakin berani apabila mengekori Julia hampir ke mana sahaja dia pergi dan sentiasa memuji penampilan serta rupa paras Julia, membuatkan dia meminta lelaki itu berhenti mengganggunya. 

Namun, hantaran e-mel tetap berterusan.

Akhirnya kami berdua pergi ke Pejabat Hal Ehwal Pelajar universiti kami dan membuat aduan dengan menyertakan salinan semua e-mel termasuk permintaan Julia agar lelaki itu berhenti mengganggunya. Pegawai yang bertanggungjawab kemudian menghubungi lelaki itu dan mengingatkannya tentang tataetika pelajar serta memberi amaran agar tidak menghubungi rakan sebilik saya lagi.

Kes Julia ini sama seperti yang dialami oleh Acacia Diana, seorang jurugambar Malaysia. Bezanya, episod yang menimpa Julia hanya berlangsung sekejap dan tidak seteruk yang dialami Acacia. Wanita itu memanfaatkan bebenang X, dulu dikenali sebagai Twitter, untuk bercerita tentang pengalamannya menjadi mangsa hendap di alam maya selama hampir lapan tahun.

Hantaran Acacia Diana yang memperincikan perbuatan penghendapnya serta kesan terhadap kesihatan mental beliau. --Nina Muslim/Bernama

Menurut Acacia, lelaki itu menghendapnya sejak 2016, malah mengekori beliau hingga ke United Kingdom sebelum ditangkap dan didakwa di Malaysia baru-baru ini di bawah Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang baru saja dipinda bagi menjadikan perbuatan menghendap atau mengintai satu kesalahan jenayah. Pindaan itu berkuat kuasa pada 31 Mei tahun ini. 

Secara ringkas, Seksyen 507A yang baru dimasukkan dalam Kanun Keseksaan itu mentakrifkan perbuatan menghendap atau mengintai sebagai gangguan berulang yang bertujuan, atau berkemungkinan besar, mahu menimbulkan rasa cemas, bimbang atau takut seseorang akan keselamatan dirinya.  

Acacia meluahkan rasa ingin membunuh diri, tidak berdaya dan kecewa menerusi perkongsian dalam taliannya.

Tidak seperti Acacia, penghendap rakan saya cuma menghantar e-mel, kerana  kala itu tidak ada media sosial, selain  Pejabat Hal Ehwal Pelajar universiti kami juga amat prihatin. Sekiranya kejadian itu berlaku sekarang, penghendap Julia mempunyai pelbagai cara untuk menghubungi Julia tanpa mendedahkan identitinya selain memantau pergerakan Julia.

Sekalipun teknologi memudahkan  seseorang itu menghendap mangsanya, ada kaedah yang terbukti dapat meningkatkan perlindungan kepada mangsa serta mencegah jenayah tersebut.

 

SEBAB KEGIATAN MENGINTAI BERLELUASA

Perbuatan menghendap atau mengintai ini sangat lazim. Tinjauan yang dijalankan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pada 2020 mendapati 88 peratus responden (1,008 reponden merangkumi lelaki dan wanita) pernah diintai dengan kebanyakannya adalah kaum hawa. Walaupun rata-rata menyifatkan perbuatan itu salah, 31 peratus responden menganggap sebaliknya.

Saya berasa agak musykil apabila meneliti keputusan itu - kenapa satu pertiga daripada responden menganggap perbuatan menghendap bukan masalah besar sekalipun rata-rata mereka pernah mengalami situasi berkenaan.

“Amnya, lebih ramai wanita yang mengalami situasi ini berbanding lelaki, kerana apabila membicarakan tentang kawalan, tentang kuasa … sifat ini dilihat sebagai sebahagian kelakuan maskulin yang normal,” kata Prof Madya Noraida Endut, Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita, Universiti Sains Malaysia.

Pandangan itu dipersetujui oleh pakar-pakar lain. Pengarah Advokasi WAO Abinaya Mohan berkata ramai, sama ada lelaki atau wanita, masih melihat perbuatan menghendap yang tidak keterlaluan sebagai romantik atau sebahagian proses bermain cinta atau mengurat.

Akan tetapi, ada beberapa kes menghendap yang berakhir dengan kematian.

Pada 2021, seorang lelaki berusia 23 tahun menikam sehingga mati teman wanitanya dalam kejadian di Ipoh, Perak.  Perbuatan tersebut dilakukan di depan anak-anak wanita yang berusia 31 tahun itu. Mangsa pernah beberapa kali membuat laporan polis tentang lelaki itu menceroboh masuk ke rumahnya serta mengganggunya. Suspek pernah ditahan kerana menceroboh masuk ke rumah wanita itu, namun selepas dibebaskan, dia mengulangi perbuatannya.

“Kita berkecenderungan melihat wanita sebagai hak milik lelaki, jadi jika (si lelaki) berkehendakkan kamu atau jika (dia) mengekori kamu kerana itulah cara (dia) menunjukkan yang (dia) berminat terhadap kamu, maka kamu perlu membalas perasaan itu. Jika kamu tidak memberi respons, (dia) berasakan dia berhak melepaskan kemarahannya kepada kamu,” kata Abinaya.

Satu lagi aspek menakutkan tentang menghendap ialah ciri-ciri tersembunyi dan berbahaya kelakuan itu. Mangsa tetap terkesan sekalipun melibatkan perbuatan menghendap yang “ringan-ringan”.

Dalam kes Julia, dia berasa cemas, sukar tidur dan berasa dirinya sentiasa diperhati. Apabila Pejabat Hal Ehwal Pelajar memaklumkan kepadanya bahawa si penghendap itu mendakwa yang dia bukan menghendap tetapi merupakan teman lelakinya, Julia hampir-hampir hilang akal. Dia bimbang pihak berkuasa tidak percayakannya atau menganggap dia sendiri yang mengundang bala.    

Insiden itu hanya sekejap dan tidak menjejaskan pengajiannya, namun ramai mangsa yang tidak bernasib baik sepertinya. Mangsa menyatakan yang mereka tidak mampu memberi tumpuan kepada pekerjaan ataupun pengajian, berasa tidak selamat untuk keluar,  mengembara bersendirian atau bersosial.

Selain itu, acap kali juga mangsa dipersalahkan apabila cuba mendapatkan bantuan. Semasa Acacia berkongsi tentang pengalamannya dalam talian, rata-rata warga maya menunjukkan sokongan mereka. Bagaimanapun ada segelintir yang menuduh wanita itu cuba meraih perhatian dan menyalahkannya kerana tidak berusaha menyembunyikan diri apabila tahu diri dihendap.

Aktivis kesaksamaan gender dan wartawan penyiaranTehmina Kaoosji berkata beliau pernah didatangi orang di pejabat ketika syif kerjanya hampir tamat.

“Saya pernah mengalami situasi ini, bukan sahaja sebagai seorang wanita tetapi juga selaku personaliti yang dikenali umum disebabkan oleh tugas saya,” kata beliau.

Pendek kata, perbuatan menghendap juga boleh dilihat sebagai hukuman terhadap wanita kerana berani menongkah arus tradisional yang ditetapkan mengikut gender dan menjalani kehidupan sebagai tokoh masyarakat. 

Ujar Abinaya, wanita yang dihendap akan dijejaki oleh si penghendapnya, tidak kira sama ada ketika berada di dunia nyata ataupun alam siber.

 

LEBIH PROAKTIF

Kes Julia berakhir dengan penamat yang menggembirakan. Saya tidak tahu adakah kerana penghendapnya bimbang dibuang daripada universiti atau biasiswanya ditarik balik, namun dia berhenti mengganggu Julia selepas diberikan amaran oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar.

Kes Acacia yang merupakan kes pertama di bawah perundangan baharu antimenghendap, masih belum tamat. Seorang lelaki berusia 37 tahun telah ditangkap dan didakwa di bawah Seksyen 507A, Kanun Keseksaan kerana mengintai beliau. Sama ada undang-undang itu memadai atau tidak bagi menangani isu menghendap - jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjarakan hingga tiga tahun - masih belum dapat dipastikan. 

Mohamad Safiq, 37, (tengah) merupakan individu pertama didakwa atas kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan. Beliau dituduh menghendap dengan menghantar gangguan berulang terhadap seorang jurugambar wanita melalui tiga komunikasi di akaun Twitternya. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Abinaya meluahkan rasa bimbang tentang pelaksanaan undang-undang itu. Katanya beliau menerima aduan bahawa polis tidak mahu menerima laporan mangsa.

“Wujud ketidakpastian dalam kalangan pegawai polis di akar umbi  kerana mereka berpendapat perbuatan itu bukan satu jenayah… kerana (undang-undang) ini masih baharu. Justeru, kami berharap mereka akan meningkatkan kesedaran dan latihan,” katanya.

Beliau turut berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan membantu mangsa membuat laporan polis bagi menghalang pengintai maya mengganggu mangsa menerusi dalam talian.

Para pakar terbabit berkata petugas barisan depan yang lain seperti wartawan dan pekerja sosial juga wajar diberikan latihan kesedaran bagi membantu mereka memahami nuansa membabitkan perbuatan menghendap. 

“Sepertimana undang-undang yang menyediakan langkah bagi menangani keganasan berasaskan gender, contohnya gangguan seksual, amat mustahak diadakan kempen kesedaran berkala secara berterusan tentang kesan menghendap dan publisiti berhubung peruntukan undang-undang bagi memastikan keberkesanannya. Selain itu, pelaksanaan undang-undang ini perlu dipantau dalam jangka panjang bagi mengukur keberkesanan dan menangani sebarang lompang,”  kata Lai Suat Yan, pensyarah kanan Program Pengajian Gender, Universiti Malaya. 

Tidak dapat disangkal bahawa pihak berkuasa dan orang awam perlu berganding bahu bagi membanteras kegiatan menghendap. Tindakan yang diambil terhadap suspek dalam kes Acacia misalnya, bertitik tolak daripada hakikat kes Acacia tular serta gesaan orang awam.

Bagi kawan saya Julia, tindakan proaktif Pejabat Hal Ehwal Pelajar dalam membantu dan menyokongnya amat penting. Pegawai bertanggungjawab menerima aduannya, menyiasat dan mengambil tindakan pada kadar segera.

Noraida berkata kesedaran dan sokongan pihak berkuasa adalah penting. Begitu juga dengan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang takrifan dan isu membabitkan perbuatan menghendap itu, tambah beliau. 

“Hakikat yang kita tidak mendengar tentang kes sebegini adalah kerana mangsa, khususnya wanita, tidak pasti adakah perbuatan itu satu jenayah,” ujarnya.

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.