Cegah Bunuh Diri Dengan Sokongan, Bukan Hakimi Mereka

A
da ketika, semasa memandu dan ternampak kenderaan berat di laluan bertentangan, Anne (bukan nama sebenar) diselubungi keinginan yang membuak-buak untuk melencongkan keretanya ke lorong itu agar bertembung dengan kenderaan berat berkenaan.

Atau semasa merokok di beranda kediamannya, dia kerap terfikir betapa mudahnya untuk dia terjun dari bangunan itu.  

Namun kemudian dia mengingatkan dirinya tentang anak-anak.

“Satu-satunya perkara yang menghalang saya (daripada meneruskan niat itu) adalah anak-anak. Lagipun belum tentu saya akan mati (jika berbuat demikian),” kongsinya dengan Bernama.

Berusia 40-an, wanita ini cuba membunuh diri sebanyak dua kali. Cubaan pertamanya ialah semasa berusia awal 20-an, beberapa bulan selepas dia berpindah balik ke rumah ibu bapanya setelah gagal menamatkan pengajian di universiti.

Anne yang mengalami kemurungan sejak remaja, berkata ketika itu dia berasakan dirinya sebagai seorang yang gagal, ditambah pula rasa kecewa selepas putus cinta dengan teman lelaki sekolej.

“Ketika itu saya cuma mahu perasaan itu lenyap,” ujarnya. 

Cubaan keduanya berlaku beberapa tahun kemudian selepas hubungan cintanya yang dijalin sejak sekian lama berakhir.

Kini berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak, Anne menyesali kedua-dua insiden itu, namun fikiran tentang bunuh diri masih ada di sebalik rawatan yang diterima dan pengambilan ubat-ubatan. Dia reda dengan keadaannya dan berusaha untuk meneruskan kehidupan sebaik mungkin. Katanya masa untuk melakukan perubahan yang benar-benar membawa makna telahpun berlalu. 

Akan tetapi, apabila mengimbau kembali saat itu, dia dapati dirinya berharap orang tuanya serta mereka yang di sekeliling lebih berempati dan memberi sepenuh sokongan terhadap dirinya, yang pada waktu tersebut dalam ketakutan, tertekan dan tidak pasti tentang masa depannya. 

“(Selepas cubaan kali pertama), pakar terapi meminta saya dan ayah menghadiri sesi kaunseling bersama-sama. Dia datang (dengan saya) cuma sekali. Selepas itu, hal berkenaan tidak lagi disebut,” katanya.

 

DIANGGAP TABU

Malangnya, bukan Anne seorang sahaja yang berdepan situasi itu. Sokongan sebelum, semasa dan selepas cubaan bunuh diri amat penting, namun aktivis serta pakar kesihatan mental berkata rata-rata, khususnya dalam kalangan pertengahan usia dan generasi lebih tua, berasa malu dan mempunyai stigma tentang bunuh diri, sekali gus menyukarkan pencegahan dan pemulihan.

Bunuh diri merupakan topik tabu (yang dilarang) dalam masyarakat, terutama di Malaysia yang masih konservatif. Menurut pakar kesihatan mental, keadaan ini adalah tipikal dalam kebudayaan Asia yang melihat isu kesihatan  mental sebagai satu kelemahan.

“Terlalu banyak perkara yang dipandang ringan oleh ibu bapa… apabila anda tidak mampu mengawal emosi, seolah-olah anda telah gagal,” kata  Dr Yang Wai Wai, ahli psikologi klinikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sejak sekian lama Malaysia memperuntukkan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah dengan mereka yang berbuat demikian dihukum penjara selama setahun dan/atau denda, berbanding melihat perbuatan itu sebagai tanda seseorang yang memerlukan pertolongan. Kerajaan menyahjenayahkan bunuh diri pada Jun tahun ini.

Malaysia merekodkan 981 kes bunuh diri pada 2022 dan 1,142 kes pada 2021, iaitu hampir sekali ganda berbanding angka pada 2020 yang mencatatkan 631 kes, demikian menurut Kementerian Kesihatan.

Dr Keith Tye Sue Kiat, ahli psikologi dan kaunselor di Institut Jantung Negara, berkata sesetengah keluarga enggan menerima hakikat apabila diberitahu ahli keluarga mereka cuba membunuh diri.

“(Keluarga) akan cakap (pesakit) tidak ada masalah mental dan cuma seorang yang lemah, serta malas dan tidak kuat beramal ibadat,” katanya.

Selain budaya, satu lagi penghalang besar dalam pencegahan bunuh diri ialah hakikat bahawa perbuatan itu dilihat sebagai tabu dalam mana-mana agama.

Penasihat Agama Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Mohammed Noor Mohammed Deros memberitahu Bernama mereka yang cuba membunuh diri berkecenderungan hilang kepercayaan dan harapan.

Kata beliau, ini membuatkan mereka yang datang daripada masyarakat atau keluarga alim, berasa cuak untuk mendapatkan bantuan kerana takut dihakimi telah hilang keyakinan terhadap Tuhan.

“Orang ramai ingat jika kamu bunuh diri, tidak kira sebaik manapun kamu, semuanya terhapus, segala pahala, kebaikan kamu terhapus,” katanya, menambah hal itu tidak benar dalam Islam.

Beliau memetik hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Rasulullah SAW, al-Tufail bin Amr al-Dausi, tentang seorang lelaki warak yang mengalami kemurungan dan bertindak membunuh diri dengan cara memotong jari-jarinya lalu mengalami pendarahan yang akhirnya membawa maut.

Dalam hadis, dinyatakan al-Tufail melihat sahabatnya itu di dalam mimpi, dan dia dalam keadaan sejahtera  kecualinya tangannya yang berbalut. Apabila ditanya bagaimana Allah SWT melayaninya, sahabatnya itu menjawab dia dilayan dengan baik kecuali tangannya, dan berkata “ Aku diberitahu bahawa ‘Kami tidak akan membaiki apa yang telah kamu rosakkan.’

Apabila al-Tufail bercerita kepada Nabi Muhammad SAW tentang mimpinya itu, Rasulullah bersabda, “Ya Allah, ampunilah juga tangannya.”

Muhammed Noor yang juga Naib Presiden MIASA, berkata hadis itu menunjukkan dalam Islam, bunuh diri tidak menghapuskan pahala atau iman seseorang.

Sehubungan itu katanya, mana-mana kaunselor yang memberikan bantuan kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri, sama ada berlatarbelakangkan agama ataupun tidak, tidak harus menumpukan pada aspek keimanan. Paling penting ialah mengembalikan harapan serta menyelamatkan nyawa.

“Pertama sekali kita perlu tunjukkan bahawa masih ada kebaikan di dunia ini, kerana apabila mereka telah sampai di peringkat mahu membunuh diri, mereka sudah tidak lagi percaya akan kebaikan dalam diri orang lain dan mempersoal  ‘Adakah mereka berniat baik? Adakah mereka mempunyai agenda tertentu?” ujarnya.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022, semakin ramai remaja yang dilaporkan mempunyai fikiran bunuh diri dan cuba membunuh diri. Menurut tinjauan itu, 13.1 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun dilaporkan mempunyai fikiran bunuh diri, sementara 9.5 peratus cuba berbuat demikian. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

 

JURANG USIA

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022, semakin ramai remaja yang dilaporkan mempunyai fikiran bunuh diri dan cuba membunuh diri. Menurut tinjauan itu, 13.1 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun dilaporkan mempunyai fikiran bunuh diri, sementara 9.5 peratus cuba berbuat demikian. Remaja perempuan lebih berkemungkinan mempunyai pemikiran sebegitu (18.5 peratus) dan cubaan bunuh diri (13.4 peratus) berbanding budak lelaki. 

Pada masa sama, aktivis berkata generasi muda lebih berkesedaran tentang isu kesihatan mental dan idea bunuh diri berbanding ibu bapa atau datuk nenek mereka. 

Program kesihatan mental di sekolah dan kesedaran dalam kalangan guru, iaitu guru akan meminta pelajar memberitahu mereka jika berasa cemas atau mengalami tekanan emosi, juga amat membantu.

“Anak-anak kita lebih banyak bercakap tentangnya, mungkin disebabkan oleh pengaruh media, dan mereka juga lebih terbuka serta berbincang dengan anda, sedangkan jika bercakap dengan ibu bapa, mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Dr Yang  yang juga pensyarah kanan di UKM.

Beliau berkata perkembangan ini adalah bagus kerana orang muda lebih rentan terhadap masalah kesihatan mental dan seterusnya membunuh diri.

Hal ini kerana remaja melalui beberapa titik peralihan, iaitu mereka berkembang dari segi fizikal, mental dan emosi serta menempuh beberapa perkara penting dalam hidup seperti peperiksaan utama dan menamatkan pengajian. Tambahan pula, beberapa tahun belakangan ini merupakan tempoh sukar, terutama buat remaja yang terlepas fasa penting dalam bersosial disebabkan oleh sekatan pandemik.

“Tempoh remaja itu juga adalah tempoh anda mencari identiti diri. Justeru, apabila kesemua faktor ini digabungkan, hampir sukar bagi sesetengah orang untuk mengenali apa yang lebih baik untuk mereka,” kata Dr Yang.

Beliau menekankan kepentingan mengenal pasti tanda-tanda amaran, dan kemudian mendengar, memberi sokongan serta membantu mereka membina kemahiran atau strategi bersesuaian bagi mencegah bunuh diri. Sepertimana hal berkaitan kesihatan, intervensi awal adalah yang terbaik, katanya.

“Amat penting untuk mengenal pasti (corak bermasalah dalam kelakuan) seseorang anak muda, bagi tujuan menyokong atau membantu mereka,” tambahnya.

Apabila difikirkan kembali, Anne sedar dia tidak betul-betul membina kemahiran untuk bertahan apabila berdepan masalah.

Dalam cubaan kedua menamatkan riwayatnya, dia hampir-hampir tidak dapat diselamatkan. Dia menelan semua ubat-ubatan yang dijumpai di dalam rumah orang tuanya sebelum tidak sedarkan diri.

Selama dua hari ibu bapanya membiarkan dia dalam keadaan begitu kerana menyangka dia terlebih tidur disebabkan oleh masalah kemurungan.

Baginya, kalaulah ada yang memberi sedikit perhatian, pastinya amat membantu dia ketika itu yang dalam keadaan amat terdesak untuk mendengar kata-kata sokongan.

“Semasa saya berada di hospital selepas cuba membunuh diri, ada seorang doktor yang bertugas memeriksa pesakit di wad. Dia bertanya kepada saya kenapa saya dimasukkan ke hospital. Saya kata saya cuba bunuh diri. Dia mendengar masalah saya dan kemudian menepuk mesra lengan saya. Saya masih ingat tentang itu,” katanya.

 

 

 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.