K
afe kecil yang terletak di atas sebuah kedai serbaneka itu bukanlah sangat menghidangkan kopi, sebaliknya tempat berlangsung “Projek Swap”, satu usaha untuk menangani budaya pembaziran dalam kalangan masyarakat negara ini.
Di ruang tengah, terdapat helaian pakaian di atas meja sementara jeket, kot digantung di rak pakaian dan yang mejadi tumpuan sudah tentunya pakaian yang lebih ‘formal’ yang menghiasi jarring-jaring tingkap. Tidak kurang juga meja aksesori yang menempatkan pelbagai kasut dan barang kemas kostum.
Ramai juga wanita berlegar di ruang kafe itu, mencari-cari yang berkenan di hati. Setiap beberapa minit, ada yang masuk dan keluar, menjinjing beg besar dipenuhi pakaian. Seorang gadis yang begitu bergaya bergegas ke arah rakannya dengan tersenyum lebar, sambil tangannya menunjukkan dua utas gelang. Kedua-duanya serentak ketawa keseronokan.
Di ruang belakang kafe, sekumpulan sukarelawan sibuk mengasingkan pakaian yang baharu diterima.
Kebanyakan pelanggan adalah warga kota, berusia 20an dan 30an. Mereka datang dengan tujuan yang murni, sukakan pakaian dan gemar tawar-menawar.
Wanita berlegar di ruang kafe itu dan mencuba pakaian, mencari-cari yang berkenan di hati. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
Duduk di ruang rehat kafe, Mandy How, seorang pengatur cara perisian memerhatikan persekitaranntya dengan penuh minat.
“Tempat ini bagaikan pengalaman membeli-belah yang baharu,” katanya, sambil menghirup secangkir teh. Ini kali kedua Mandy ke program Projek Swap.
Seperti ramai pengunjung wanita lain, beliau menjadikan alam sekitar sebagai pendorong kuat untuk menghadiri majlis berkenaan, komitmen yang amat dihargai oleh pengasas Projek Swap, Jayda Chong.
Bekas penolong pengurus pemasaran itu mengasaskan Projek Swap pada tahun 2018 kerana bimbang melihat budaya pembaziran masyarakat Malaysia serta mahu mengurangkan sisa fesyen, yang dianggap bencana alam sekitar yang semakin merebak.
PEMBAZIRAN FESYEN
“Semua pakaian ini mungkin berakhir di tapak pelupusan sampah,” Chong memberitahu Bernama.
Menurut SWCorp dan KlothCares, 31 peratus atau 432,901 tan metrik sisa yang dijana di Malaysia pada tahun 2021 adalah sisa fabrik. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan dunia menghasilkan anggaran 100 bilion pakaian setiap tahun, dan daripada jumlah itu sebanyak 92 juta tan berakhir di tapak pelupusan sampah. Sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada tapak pelupusan sampah mengandungi pakaian dan tekstil yang dibuang. Hanya satu peratus dikitar semula.
Menburukkan lagi keadaan, kebanyakan fabrik pada hari ini, dihasilkan menerusi, apa yang dipanggil pakar sebagai “fesyen pantas,” diperbuat daripada gentian sintetik, yakni daripada bahan bakar fosil. Ini bermakna seperti plastik, sebaik sahaja pakaian ini dibuang, ia tidak akan mereput, sebaliknya menyumbang kepada pemanasan global.
Tahun ini (2023) direkod sebagai terpanas sejak tahun 1940, dengan rekod panas mengatasi rekod dingin. Para saintis berkata, dunia kini berada di ambang kritikal ketika bumi menjadi semakin panas.
--Nina Muslim/BERNAMA
Projek Swap berharap dapat memberi sumbangan menyekat perubahan iklim, walaupun kecil sumbangan itu, dengan mengurangkan jumlah pakaian yang dibuang di tapak pelupusan sampah. Mereka menggalakkan orang awam menukar pakaian berkualiti mereka tetapi tidak digunakan, atas apa jua sebab, dengan pakaian orang lain.
Dengan bayaran masuk RM50, yang digunakan untuk membayar kos operasi dan sewa tempat, setiap pengunjung boleh membawa balik 15 barang, sama ada pakaian, kasut atau barang kemas kostum.
“Perkara paling memuaskan hati saya ialah memberikan pakaian saya kepada orang lain kerana saya mempunyai banyak pakaian dan saya enggan membuangnya. Pakaian itu bukanlah lama sangat untuk dikitar semula,” kata Victoria Lee, seorang pemilik perniagaan berusia 37 tahun.
Mungkin juga ada yang beranggapan Projek Swap ini seakan jualan lambak. Namun menurut Chong, anggapan itu tidak tepat kerana fokus mereka adalah untuk menukar sejumlah barang berbanding membelinya satu-satu. Sebaik sahaja ditukar, pemilik baharu mempunyai pilihan untuk datang balik dan menukarkannya dengan barang lain pada pertemuan akan datang.
Untuk makluman, terdapat beberapa kumpulan di negara lain yang melakukan perkara yang sama. Projek Swap pernah bekerjasama dengan kumpulan yang sama di Malaysia, iaitu the Fashion Revolution oleh pempengaruh Melissa Tan.
TUKAR-MENUKAR PAKAIAN
Sejak penubuhannya, kumpulan ini menganjurkan 28 kali, atau sekitar enam atau tujuh kali setahun dan bilangan yang kurang sewaktu tahun-tahun pandemik. Setakat ini, Projek Swap berjaya tukar-menukar antara 6,000 hingga to 7,000 helai pakaian, dan Chong menganggap jumlah ini tidak mencukupi untuk memberi impak.
“Tidak ramai yang tahu tentang perkara ini. Semestinya tidak mencukupi,” katanya menambah, pihaknya berusaha untuk menyebarkan usaha yang mereka lakukan. Sekatan pandemik dari tahun 2020 hingga 2022, menjejaskan usaha kumpulan ini.
Bagaimanapun, keadaan semakin bertambah baik dan semakin ramai orang datang ke program Projek Swap, setiap kali ia diadakan.
Bernama sempat menemu bual beberapa orang pelanggan dan kebanyakannya menyebut tentang alam sekitar dan kemampanan. Ada juga yang menyatakan keseronokan membeli dan tawar-menawar dan mencari sesuatu yang menarik.
Pemilik perniagaan Victoria Lee memberitahu Bernama, apa yang beliau suka tentang tukar-menukar ialah beliau dapat mengurangkan pembelian dan dalam masa yang sama masih dapat memenuhi keperluan fesyennya.
“Tabiat saya sebelum ini suka sangat membeli sewaktu ada promosi jualan, apa sahaja,” katanya yang datang ke program Projek Swap itu dengan rakan perempuannya, Faustina Gui.
Beliau menambah, setiap kali datang pasti dapat apa yang sesuai dengan cita rasanya.
Namun bukan semua yang bernasib baik.
Margaret Gunasegran, 37, dan rakan Hesti Kuniawaty, 30, mencuba pakaian di program the Swap Project di Petaling Jaya baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
Di sebalik aspirasi, Projek Swap berdepan dengan beberapa isu, dan satu daripadanya ialah had pilihan. Mereka yang tidak mempunyai purata ketinggian, berat dan saiz, agak sukar mendapatkan pakaian menurut gaya yang mereka idamkan.
Sebagai contoh, Margaret Gunasegran, 37, yang pertama kali berkunjung ke Projek Swap berkata, beliau hanya menjumpai dua perkara yang beliau suka dan muat dengan bentuk badannya. Bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat computer, beliau datang dengan rakannya, Hesti Kurniawaty.
Beberapa kali, seorang sukarelawan datang membawa blaus atau pakaian untuk Margaret cuba, namun dia menolak. Di sebalik rasa kecewa itu, Margaret memberitahu Bernama beliau merancang untuk datang lagi dan mencuba nasib.
“Anda boleh dapat saiz yang anda mahu kerana saiz pakaian adalah saiz AS atau Eropah, yang tak ada dalam pasaran Malaysia,” katanya menambah, bayaran masuk yang rendah bermakna apa yang beliau dapat daripada program berkenaan sudah boleh dikira baik.
“Memuaskan kerana anda tidak membazir wang sewenang-wenangnya,” katanya.
Satu lagi isu ialah had gender. Kebanyakan pengunjung adalah wanita, yang bermakna sebahagian besar barang adalah pakaian wanita. Di ruang kafe terdapat beberapa orang lelaki, duduk di satu penjuru, berasa bimbang mereka menceroboh apa yang dilihat sebagai tempat khas untuk wanita.
Kebanyakan lelaki itu adalah pasangan atau ahli keluarga wanita yang datang, dan tiada seorang pun lelaki itu yang menyertai program berkenaan. Beberapa orang menyatakan minat tetapi tidak mahu membuang masa mencari apa yang diminati.
Chong mengakui memang ada had dalam soal pilihan dan beliau sedang berusaha untuk menambah inventori, saiz dan pilihan gaya. Ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada mereka yang datang untuk tukar-menukar pakaian. Beliau juga berkata, mungkin akan mengadakan program khusus untuk lelaki.
“Jika lebih ramai orang menyertai program ini, tentunya akan ada lebih banyak pilihan,” katanya.
MENUKAR PENDAPAT
Isu lain ialah orang awam yang salah faham dengan konsep tukar-menukar dan perkara ini adalah di luar kawalan kumpulan ini.
Komala Nair dan anak perempuannya, Mishall Nair memang gemar tukar-menukar pakaian tetapi mengakui perkara itu adalah sesuatu yang baharu di Malaysia. Komala mempersalahkan pemikiran generasi lebih tua yang menyamakan membeli barang baharu sama dengan status.
“(Mereka tanya) ‘Kenapa ambil pakaian orang? Kita bukan miskin,’ meskipun kita miskin tetapi ego masih ada, tetapi sekarang menerusi media sosial, menerusi anak-anak saya, saya mula faham,” katanya.
Mishall Nair (kiri), 36, dan ibu Komala Nair, 68, menunjuk pilihan mereka di program The Swap Project baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
Mishall, 36, yang bekerja dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berkata, sesetengah orang mungkin berasa gusar tentang tukar-menukar, bimbang tentang perkara yang tidak diketahui. Ini adalah kali ketiga beliau menyertai program Projek Swap.
Beliau cuba berkongsi program berkenaan dengan beberapa pihak tetapi tidak ramai yang berminat.
“Ada yang berpendapat lebih elok pergi membeli dan dapat apa yang mereka hendak daripada datang ke program ini dan bawa pakaian mereka yang berkualiti dan tidak dapat apa yang mereka mahu tukar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan amalan mampan semakin popular dan akan menjadi perkara biasa pada masa akan datang, selagi perkara ini diperluaskan.
“Pakaian ….. memenuhi tapak pelupusan sampah. Pada pandangan saya generasi lebih muda sudah didedahkan dengan perkara ini. Ramai rakyat Malaysia mahukan amalan mampan,” katanya.