K
UALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2024 mengusulkan beberapa inisiatif bagi menangani isu yang membebani Malaysia sekarang, iaitu bagaimana mahu menghalang wanita daripada meninggalkan pasaran buruh serta menggalakkan mereka kekal atau kembali bekerja.
Dalam usaha memecahkan kebuntuan ini serta mencapai sasaran penyertaan 60 peratus tenaga kerja wanita (FLPR), Belanjawan 2024 meneruskan inisiatif tahun sebelumnya dengan melanjutkan insentif cukai bagi wanita yang kembali bekerja - TalentCorp’s Career Comeback Tax Exemption programme - hingga 31 Dis 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mencadangkan agar had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja atau dibayar secara langsung oleh majikan kepada pusat asuhan, dinaikkan daripada RM2,400 kepada RM3,000.
Insentif ini diperkenalkan ketika wanita tidak dapat kembali ke pasaran buruh sepertimana lelaki selepas diporak-perandakan oleh COVID-19, biarpun kaum Hawa merangkumi 61 peratus daripada lepasan universiti dan merupakan satu pertiga daripada tenaga kerja negara. Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh hanya kembali ke paras pra-COVID-19, iaitu 55.6 peratus pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pakar yang berkongsi pandangan dengan Bernama melihat inisiatif berkenaan sebagai permulaan yang bagus, namun berasa sedikit kecewa kerana menurut mereka, langkah yang diambil menerusi Belanjawan 2024 itu tidak menampung sepenuhnya keperluan wanita bagi membolehkan mereka kembali ke pasaran buruh.
“Hasrat itu bagus. Kita mahu galakkan serta mudahkan usaha bagi menyokong wanita kembali bekerja. Namun peruntukan yang disediakan dalam belanjawan tersebut tidak seperti yang diharapkan,” kata Dr Lai Suat Yan, pensyarah kanan Program Pengajian Gender Universiti Malaya.
Pakar ekonomi Datuk Dr Madeline Berma bersetuju. Katanya insentif yang dicadangkan kerajaan itu tidak seperti yang diharapkan oleh kebanyakan wanita, justeru tidak mencukupi bagi membawa kesan menyeluruh dalam menangani masalah yang dihadapi oleh kaum Hawa.
Katanya kepada Bernama, insentif terbabit sudahpun ditawarkan sebelum ini dengan hasil yang bercampur-campur. Sesetengah majikan menolak cadangan mewujudkan kemudahan pusat asuhan di tempat kerja sekalipun kerajaan memberikan insentif cukai.
“Segala yang bersangkut dengan wanita dan keluarga, dilihat (oleh majikan) sebagai kos, bukan pelaburan,” katanya, menambah kerajaan wajar menimbang mengenakan penalti kepada majikan jika mereka tidak menyediakan kemudahan pusat penjagaan anak.
Selain insentif semasa dalam Belanjawan 2024, Berma serta pakar lain ingin melihat belanjawan itu menangani pembentukan ekonomi ihsan di Malaysia, yang kata mereka dapat menyelesaikan isu-isu yang membuatkan wanita keluar daripada pasaran tenaga kerja.
KERJA IHSAN
Memastikan wanita kekal dalam pasaran buruh adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi. Dalam laporan 2020, para penyelidik Bank Dunia berkata dengan merapatkan jurang penyertaan tenaga kerja, Malaysia akan dapat meningkatkan pendapatan per kapita sebanyak 26.2 peratus - purata pendapatan tahunan bersih setiap rakyat Malaysia ialah sekitar US$2,230 (RM10,581.35).
Akan tetapi, wanita berkecenderungan berhenti kerja selepas beberapa tahun disebabkan oleh beberapa faktor. Menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2014, antara dapatan utama kajian adalah kebarangkalian untuk wanita keluar daripada pasaran buruh ialah 94 peratus jika dia mempunyai masalah penjagaan anak berbanding mereka yang ada kemudahan itu.
Sekalipun isu penjagaan anak adalah faktor utama wanita berhenti kerja, hal itu bukanlah satu-satunya penyebab kerana ada juga yang berbuat demikian disebabkan perlu menjaga ahli keluarga.
“Penghalang terbesar bagi wanita untuk kembali bekerja ialah kerja ihsan yang mereka lakukan. Selain anak-anak, ketika Malaysia menuju negara menua - siapa yang harus menjaga golongan tua?” soal Lai, menambah wanita juga diharapkan menjaga ahli keluarga yang kurang upaya.
Dianggarkan sekitar enam juta penduduk negara ini akan berusia 65 tahun ke atas menjelang 2040.
Menurut kajian rintis “Time Use” Institut Penyelidikan Khazanah yang dijalankan pada 2018, secara purata, wanita Malaysia menghabiskan masa mereka 63.6 peratus lebih banyak untuk kerja ihsan “tidak berbayar” dengan kaum Hawa meluangkan 3.6 jam (15.2 peratus) masa mereka berbanding 2.2 jam bagi golongan Adam (9.3 peratus).
Enggan mengimbangi tuntutan kerjaya dan kerja rumah, ramai wanita memilih berhenti kerja bagi menjaga keluarga. Justeru, tumpuan seharusnya bukan pada penyediaan bantuan penjagaan anak semata-mata tetapi juga penjagaan warga emas dan lain-lain.
“Bagi memastikan usaha ini berhasil, infrastruktur perlu ada,” kata Lai.
Ekonomi ihsan meliputi penubuhan kemudahan pusat penjagaan, swasta dan juga awam, mengiktiraf serta melatih pekerja penjagaan. UNDP serta pertubuhan-pertubuhan lain menggalakkan Malaysia menimbang untuk membangunkan ekonomi ihsan kerana negara ini sedang ke arah negara menua.
Antara pertubuhan itu ialah Asia Foundation. Penasihat Kanan Dasarnya Ahmad Ikram Abdullah memberitahu Bernama terdapat permintaan besar terhadap kerja ihsan yang profesional, yang katanya akan bertumbuh seiring peningkatan usia penduduk Malaysia.
“(Ekonomi ihsan menawarkan) penyelesaian kepada keperluan pekerja ihsan, namun pada masa sama, lihat juga aspek ini sebagai potensi dalam pertumbuhan ekonomi negara menerusi penawaran pekerjaan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau menjangkakan sektor swasta akan menjadi pemacu utama dalam pembangunan ekonomi ihsan.
Pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Zaireeni Azmi berkata dengan menarafkan kerja ihsan sebagai bidang profesional, secara langsung akan membawa kebertanggungjawaban kepada industri yang umumnya tidak dikawal selia, dan akan merangsang ekonomi menerusi gaji yang setimpal dengan kelayakan pekerja.
“Jika kalian jadikan ekonomi ihsan sebagai profesional, maka gaji tidaklah rendah. Sekarang gaji sangat rendah kerana kalian ambil orang yang tidak terlatih, yang tidak ada lesen,” katanya.
Para pakar bersetuju bahawa kerajaan perlu menyokong pembangunan ekonomi ihsan dengan mendapatkan data, menggubal dasar serta menyediakan rangka kerja untuk sektor itu. Kerajaan perlu menawarkan insentif kepada sektor swasta untuk membangunkan sektor berkenaan.
Buat masa ini ekonomi ihsan di Malaysia tidak ada pemusatan ataupun piawaian kerana pelesenan dan kawal selia terletak di bawah pelbagai undang-undang tempatan. Banyak kemudahan tidak berlesen yang beroperasi selain mereka yang memberikan perkhidmatan itu pula tidak bersandarkan sebarang kelayakan standard.
Bagaimanapun, andainya Malaysia memutuskan untuk membangunkan ekonomi ihsan secara formal, hal itu akan mengambil masa yang lama.
Sementara itu, para pakar mengusulkan agar insentif sedia ada dipastikan tidak sia-sia kerana masyarakat amnya berkecenderungan tidak cakna kewujudan bantuan untuk mereka.
Zaireeni yang merupakan penyelidik di Pusat Penyelidkan Wanita dan Gender (KANITA) USM, berkata insentif terbabit adalah inisiatif yang bagus, dan menambah tumpuan sekarang ialah memastikan insentif itu sampai kepada wanita yang memerlukan.
“Masalah kerajaan sekarang ialah maklumat tidak sampai kepada orang ramai. Yang tahu itu hanya kerana mereka ikuti pembentangan belanjawan,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan memantau dan mendedahkan kepada umum tentang bagaimana insentif itu digunakan.