S
ebaik tamat pengajiannya di sebuah institusi pengajian tinggi pada tahun 2014, Hanafi Mohd Jais memasang impian untuk menjadi ‘ahli keluarga seni’ dalam dunia pementasan teater tempatan.
Enam tahun berlalu, namun impian tinggal impian bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Drama kelas pertama dari Universiti Malaya (UM) dan Diploma Seni Persembahan Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor, yang berusia 33 tahun ini akhirnya pasrah setelah sekian lama menjadi ‘penunggu setia’ bagi impian yang terpaksa dikuburkan dan terpaksa mencuba nasib dalam bidang pekerjaan lain.
Bekerja sebagai penasihat takaful, perbezaan yang begitu ketara dengan apa yang dipelajarinya, Hanafi akur dia perlu merebut peluang yang ada memandangkan pengajian teater dan seni persembahan yang dipelajarinya itu berhadapan dengan persaingan agak besar dan lambakan siswazah.
Hanafi Mohd Jais atau Nafee Jayy
“Siswazah lepasan seni bukan sahaja susah untuk mendapat pekerjaan dalam kerajaan tetapi juga peluang terlibat dengan pementasan syarikat produksi. Saya pernah memohon jawatan pegawai kebudayaan gred B29 tetapi tidak lepas di sebalik ijazah dan diploma yang saya miliki.
“Bertahun saya menunggu tetapi langsung tidak ada jawapan termasuk pernah memohon jadi guru seni atau jurulatih seni di Putrajaya, itu pun gagal. Yang menyedihkan, siswazah bukan seni pula yang berjaya dalam temuduga bagi jawatan pegawai kebudayaan,” katanya kepada Bernama.
Biarpun agak kecewa dengan situasi tersebut, namun impian menjadi anak seni dalam dunia pementasan teater masih membara dalam jiwanya dan pelbagai cara dilakukannya untuk merebut peluang yang ada.
Penantian dan usahanya tidak sia-sia dan Hanafi yang kini dikenali dengan nama pentas Nafee Jayy bergerak secara bebas, menjadi kru produksi, mengadakan pementasan kecil selain turut menjadi pengacara majlis, juri bagi festival kesenian dan kebudayaan
“Bukan saya sahaja tetapi kawan-kawan lain turut sama sukar cari tapak dalam industri sama ada sebagai pelakon teater mahupun kru produksi namun ini tidak bermakna industri ini tidak relevan lagi,” katanya.
LAMBAKAN SISWAZAH
Bukan isu baharu, polemik lambakan siswazah seni berhadapan dengan kemelut sukar mendapat pekerjaaan sebaik menamatkan pengajian dalam jurusan yang dipelajari, hakikatnya, sudah lama kedengaran namun sehingga ke hari ini bagaikan tiada titik noktahnya.
Malah, situasi ini juga yang menjadi kebimbangan dalam kalangan penggiat seni senior mahupun persatuan yang melihat lambakan siswazah pada hari ini disifatkan mereka semakin membarah apabila pelbagai institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta menawarkan jurusan berkenaan.
Biarpun begitu, platform untuk anak-anak seni ini meneruskan kelangsungan dalam bidang berkenaan juga tidak mencukupi, begitu lompong dan isu ini juga pernah dibangkitkan pelakon dan pengarah serba boleh, Sharifah Amani atau mesra disapa Nani.
Walhal siswazah yang dilahirkan tidak dinafikan adalah antara pelapis yang hebat dalam pelbagai cabang seni bahkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi adalah daripada pengamal industri terkemuka, namun peluang untuk mereka menceburkan diri dalam dunia itu akhirnya tersekat selepas pengajian.
Hal yang lain pula dikongsi anak kelahiran Keningau, Sabah, Inspektor Frankie Billy Tadius, 33, yang kini berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Frankie Billy Tadius.
Frankie, lulusan Sarjana Muda Seni Persembahan Drama, UM dan kini bertugas sebagai pengarah pancaragam PDRM di ibu pejabat Kontinjen, Sarawak memberitahu Bernama, selepas tamat ijazah sarjana muda, dia menyambung pelajaran dalam ijazah sarjana bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Mahsa kerana berhasrat untuk menjadi tenaga pengajar teater.
Ketika mengikuti program ijazah sarjana itu, beliau menghadiri temuduga PDRM kerana keluarganya bimbang dia menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan kerana faktor umur.
“Itu yang membuatkan mereka meminta saya menghadiri temuduga PDRM dan lulus dalam ujian tersebut,” katanya sambil menambah, dia sempat menghabiskan pengajian ijazah sarjananya dan minat dalam dunia teater tidak pernah luntur dan berhasrat untuk menjadi pensyarah sambilan dalam masa lima tahun akan datang.
Hakikatnya, kemelut yang dihadapi siswazah seni menuntut kepada usaha penyelesaian bersepadu daripada pelbagai pihak khususnya dalam penyediaan tempat pementasan untuk mereka berkarya perlu diambil kira, kata presiden Persatuan Teater Malaysia Sakrani Shamsuddin, 56.
Keperluan tempat pementasan yang tidak dikenakan sebarang bayaran amat penting bagi membantu mereka membina tapak khususnya dalam kalangan pendatang baharu yang belum mempunyai nama dalam industri seni.
Ini kerana, beberapa tapak pementasan di Lembah Klang misalnya, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Istana Budaya danThe Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAc) dikenakan caj pementasan tertentu.
CIPTA NAMA DAHULU
“Tidak semua siswazah seni dapat peluang menjadi pelakon teater atau kru produksi bekerja dengan mana-mana persatuan teater, syarikat produksi kerana bilangan mereka ramai sehingga berlakunya lambakan sedangkan syarikat dan persatuan yang ada pun tidak banyak.
“Sebab itu, saya berpandangan kerajaan perlu menyediakan satu tempat pementasan percuma yang boleh digunakan oleh siswazah seni ini untuk mereka bertapak, menghasilkan karya teater untuk dipasarkan kepada masyarakat bagi membina nama dan modal,” kata Sakrani.
Polemik caj pementasan tinggi sehingga menyukarkan siswazah untuk mengadakan pementasan turut diulas pelakon dan pengarah terkenal, Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan yang berpandangan mereka boleh memulakannya dengan bajet sifar atau kos rendah bersama rakan-rakan.
Lebih dua dekad pengalaman dalam industri, beliau melihat kepentingan pendatang baharu mencipta nama terlebih dahulu bagi membuka ruang kepada mereka untuk mendapat pelbagai peluang lain dan kemudahan platfrom di media sosial boleh dimanfaatkan bagi tujuan tersebut.
“Ketika zaman saya dahulu, terpaksa buat teater tanpa henti. Lepas satu teater, buat dan buat lagi kerana kita perlu produktif supaya orang nampak kesungguhan kita baharulah mendapat sokongan,” katanya sambil menambah setiap pementasan perlu ada kualiti dan bukannya hanya semata-mata keuntungan.
Mengakui peluang pekerjaan buat siswazah ini agak terhad, beliau berkata lapangan yang boleh disertai mereka di sektor kerajaan hanyalah di Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya serta universiti yang menawarkan jawatan pegawai kebudayaan.
Biarpun begitu, peluang buat mereka sebenarnya masih ada misalnya, menjadi kru produksi atau menjadikan teater sebagai bisnes perniagaan dengan menjalankan pementasan, bengkel dan sebagainya.
Ketika ditanya mengenai dana atau bantuan yang sewajarnya diberikan kepada siswazah, Namron yang kini aktif di lensa skrin berpandangan penuntut jangan terlalu bergantung untuk mendapat bantuan.
"Kena mula dari bawah. Memang bagus jika ada dana tetapi sampai bila harus bergantung kepada bantuan atau pinjaman. Saya tidak pernah ada pinjaman sepanjang bergiat dalam teater kerana ia akan menjadi satu bebanan sekiranya gagal bayar balik.
“Sebaiknya, elak buat pinjaman pada peringkat awal dan kalau hendak mohon dana, boleh cuba. Tetapi, pengalaman saya mohon dana langsung tidak pernah dapat dan apa yang saya lakukan ialah kumpul bersama kawan-kawan yang kongsi minat sama, gabung buat satu pementasan dan tujuan masa itu bukan hendak cari duit lagi tetapi lebih kepada cipta dan pekenal jenama dahulu,” katanya
MASIH RELEVAN
Situasi yang berlaku ini menyebabkan ada berpandangan jurusan tersebut sudah tidak lagi relevan dan patut dihentikan, namun disangkal pensyarah kanan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nor Shuradi Nor Hashim (he) yang menyifatkannya perlu diteruskan.
Beliau berkata, sebagai contoh kursus latihan industri yang dijalankan para siswazah teater dari pelbagai universiti awam sering mendapat perhatian daripada syarikat, produksi serta organisasi badan bukan kerajaan dan swasta.
“Ini termasuk syarikat gergasi seperti Genting Highlands Resort dan Sunway Resort yang turut menawarkan siswazah teater menjalani latihan industri di tempat mereka ekoran keperluan kemahiran bidang artistik, pengurusan dan persembahan, di syarikat tersebut,” katanya.
Dr Nor Shuradi Nor Hashim
Jurusan itu juga masih lagi relevan untuk ditawarkan berdasarkan kajian yang dijalankan Kementerian Pengajian Tinggi dan Pusat Pembangunan Usahawan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), UPSI mendapati peratusan Kebolehpasaran Graduan (GE) bagi penuntut ijazah seni persembahan teater meningka daripada 95.6 peratus pada tahun 2021 kepada 98 peratus pada tahun 2022.
Peningkatan ini turut berlaku kepada penuntut diploma teater daripada 97.6 peratus kepada 98 peratus (2022).
"Maklum balas responden juga mendapati 94.8 peratus bersetuju program memenuhi keperluan asas yang diperlukan, 96.3 peratus menyifatkan program adalah relevan kepada keperluan industri semasa manakala 93.5 peratus mencadangkan supaya tawaran kursus membabitkan bidang media sosial, teater pendidikan, penyelidikan seni persembahan dan pengurusan ko-kurikulum sekolah.
"Selain itu, 92 peratus responden mencadangkan bahagian atau jawatan yang sesuai dengan kelulusan program ialah guru, pegawai kebudayaan, pensyarah, guru seni, pemasaran jualan, perkhidmatan profesional, profesion bidang lakonan, pengarahan, sinografi serta media skrin, " katanya.
PENDEDAHAN AGRESIF
Justeru, beliau berpandangan prospek kerjaya ini perlu disebarluaskan dengan lebih agresif supaya masyarakat lebih maklum mengenainya.
"Ada beberapa cara boleh dilakukan iaitu hebahan tentang prospek kemahiran berteater kepada masyarakat dengan menyediakan maklumat tepat mengenai kebolehan yang dimiliki pelajar teater. Ramai mungkin tidak menyedari kemahiran seperti kreatif, bekerjasama dan bercakap di depan umum sangat dicari dalam berbagai industri," katanya.
Selain itu, Nor Shuradi berkata, hebahan mengenai pencapaian pelajar siswazah teater boleh dibuat dengan berkongsi kisah kejayaan lulusan teater yang telah berjaya dalam pelbagai bidang.
"Seorang pelajar yang berjaya boleh memberi inspirasi dan mengubah persepsi masyarakat dengan menjadi pembicara tamu atau mentor.
“Di samping itu, menjalinkan hubungan dengan industri terkait serta berikan maklumat tentang kemahiran yang diperlukan oleh industri tersebut. Ini termasuk peluang berkarya, peluang menjalankan produksi, kunjungan ke perniagaan bersama siswazah teater dengan golongan industri," jelasnya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff