B
ercakap tentang bekerja tanpa gaji, kaum wanita lah di tempat teratas.
Mereka juga lah dibayar gaji yang kurang.
Saya katakan begitu kerana wanita mempunyai kadar penyertaan buruh sebanyak 56.5 peratus berbanding 83.1 peratus untuk kaum lelaki dan data ini menurut Laporan Tenaga Buruh Januari 2024 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Untuk wanita di luar tenaga buruh, yakni mereka yang tidak boleh atau tidak aktif atau tidak berminat mencari kerja, kerja rumah atau tanggungjawab keluarga adalah alasan paling lazim diberi iaitu 42.5 peratus.
Dan apabila wanita menjadi sebahagian daripada tenaga kerja, mereka dibayar gaji yang kurang sebanyak 33 peratus, berbanding lelaki, demikian menurut DOSM.
Untuk segala susah-payah mereka bekerja, kakitangan wanita di pejabat, sekolah atau kelab dihulurkan setangkai bunga ros bersempena sambutan Hari Wanita Antaraangsa, dengan temanya tahun ini, Wanita DiJulang Negara Gemilang.
Memanglah pemberian bunga ros itu suatu ingatan yang baik tetapi lebih bermakna sekiranya hari yang disambut meriah itu diumumkan dasar atau tindakan memberikan gaji yang sama rata dan mengiktiraf kedudukan wanita yang tidak diberi gaji.
KERJA PERCUMA
Satu langkah penting adalah untuk peka nilai kerja penjagaan. Ada kerja bergaji dan ada kerja tidak bergaji, tetapi satu diinilai lebih daripada yang satu lagi. Dalam perkataan lain, hanya kerana seseorang itu tidak menerima wang untuk kerja yang mereka lakukan, ia tidak bermakna kerja mereka tidak mempunyai nilai wang.
Kebanyakan kerja penjagaan atau pengasuhan di Malaysia tidak dibayar, kebanyakannya di atas bahu wanita yang diharapkan untuk menjaga/mengasuh, bukan sahaja anak tetapi juga ibu bapa mereka, saudara-mara warga emas atau kurang upaya.
Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
Banyak tugas yang penting ini, seperti yang dinyatakan oleh penyelidik-penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah iaitu Christopher Choong Weng Wai, Adam Manaf Mohamed Firouz, Alyssa Farha Jasmin, Nazihah Muhamad Noor dan Rachel Gong dalam tinjauan mereka Time Use, diterbitkan pada tahun 2019, dinilai rendah di sebalik hakikat ianya adalah “tulang belakang” ekonomi.
“Memandangkan aktiviti isi rumah tidak memerlukan urusniaga pasaran, mereka ini dipinggirkan dalam anggaran tradisional ekonomi, ” demikian mereka nyatakan dalam laporan berkenaan.
Menurut tinjauan penduduk 2017 Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, “Peranan Jantina Tradisional dalam Penjagaan/Pengasuhan dan Pencari Nafkah” melibatkan 3,044 subjek, 95 peratus wanita dilaporkan “terlibat sepenuhnya” dalam penjagaan/pengasuhan. Antara 57 peratus dan 69 peratus lelaki dilaporkan terlibat sepenuhnya, lebih kepada penjagaan warga emas daripada penjagaan/pengasuhan anak.
Secara puratanya, tinjauan Time Use mendapati wanita dan ibu menghabiskan sebanyak kira-kira 78.1 minit daripada masa mereka untuk penjagaan/pengasuhan. Lelaki dan bapa pula menghabiskan masa secara purata 68.7 minit sehari, lebih daripada separuh untuk pengangkutan.
Tanyalah kepada sesiapa, dan setiap orang yang tidak hidup sebagai pertapa, pasti mereka mempunyai kisah untuk dikongsi perihal seseorang yang melepaskan kerjaya mereka atau mengehadkan prospek kerjaya, untuk menjaga orang yang disayangi. Dalam kebanyakan kes, seseorang itu adalah wanita. Dalam kalangan kenalan saya, ada wanita yang tergolong dalam bahagian penjagaan/pengasuhan yang berlainan.
Seorang daripadanya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga dua orang anaknya yang berkeperluan khas. Penjagaan/pengasuhan kanak-kanak di Malaysia tidak dapat banyak membantu wanita itu, ruang pula terhad untuk anak-anak yang mempunyai kecacatan teruk, sementara kos pula terlalu tinggi.
Seorang lagi melepaskan kerjayanya untuk menjaga ibu yang menderita kanser hati.
Kedua-dua wanita ini terpaksa bergantung kepada kemurahan hati suami, memandangkan mereka tidak mampu bekerja.
Dan malahan sekiranya wanita-wanita ini tidak meninggalkan pekerjaan mereka, akibat beban penjagaan akan membuatkan mereka tidak boleh fokus kepada kerjaya mereka yang semakin berkembang dan melakukan tambahan kerja.
Sebagai contoh, rakan saya semasa zaman kanak-kanak, perlu menjaga ibu mentuanya yang sakit, di samping menjaga anak-anaknya sendiri, membuatkan beliau mempunyai masa yang sedikit untuk mengembangkan karier selepas waktu bekerja. Suaminya pula tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian.
Saya sendiri tergolong dalam kategori penjagaan. Meskipun ayah saya masih sihat dan aktif, kebanyakan kerja penjagaan untuk ibu saya yang berusia 85 tahun menjadi tanggungjawab saya. Sewaktu ibu dimasukkan ke hospital buat pertama kali pada tahun 2018, saya mengambil cuti dua minggu untuk menjaganya di hospital sehingga kesihatannya pulih.
Meskipun ibu saya masih aktif dan sihat pada kebanyakan masa, ibu sudah berusia dan selepas kemasukan pertama, sudah dua kali dimasukkan ke hospital. Saya tahu episod masuk hospital ini akan berulang kerana kudratnya semakin lemah.
Di sebalik insentif penjagaan anak dan rebat cukai untuk penjagaan/pengasuhan, lebih banyak lagi boleh dilakukan. Kebanyakan insentif cukai tidak mencukupi untuk menyokong kerja penjagaan serta bekalan. Sebagai contoh, bermula tahun 2022, kerajaan menyediakan rebat cukai sebanyak RM6,000 untuk penjagaan sokongan asas untuk anak atau pasangan atau ibu bapa, kurang upaya. Rebat cukai ini dan pelepasan lain sering kali tidak mencukupi untuk menampung kos kerja penjagaan.
Salah satu bantuan terbesar ialah menukar minda tentang kerja penjagaan/pengasuhan dengan harapan ia akan menjadi pemangkin penambahbaikan.
BERIKAN PENGHARGAAN
Menurut tinjauan yang dikendalikan oleh Ipsos, sebuah syarikat penyelidikan pasaran global, untuk Hari Wanita Antarabangsa, rakyat Malaysia beranggapan, kerajaan melayani kaum wanita di negara lebih baik daripada kaum lelaki dan juga di tempat kerja antara lain, kira-kira 10 peratus lebih tinggi daripada purata global. Tanggapan ini mungkin kerana semakin banyak yang diperkatakan tentang dasar serta insentif bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan kehidupan awam.
Semuanya berbalik kepada penjagaan atau pengasuhan yang kerjanya memang berat tetapi seakan tidak kelihatan.
Apakah kerja menjaga anak atau warga emas di rumah yang tidak dibayar, boleh dihitung nilainya, memandangkan nilai kerja itu tidak dapat dinafikan?
Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
Menurut pakar industri, sekiranya penyedia penjagaan di rumah dibayar, gaji mereka sekurang-kurangnya RM1,500 dan antara RM2,500 dan RM5,000 untuk penjaga warga emas. Semua menyatakan, majoriti kakitangan mereka adalah wanita dan mereka senang dengan keadaan itu.
Denis Lim, pengarah urusan Senior Garden Home di Melaka, memberitahu Bernama, secara umumnya wanita dianggap lebih penyayang dan sesuai untuk tugas penjagaan.
“Ini bukan stereotaip, tetapi secara umumnya, kaum wanita adalah lebih baik. Saya fikir ini sudah menjadi lumrah kejadian wanita itu. Mereka lebih penyayang, lebih sabar dan ia bukan sahaja soal penjagaan tetapi memberi kasih sayang, berbanding lelaki, ” katanya.
Presiden Pusat Penjagaan Orang Tua SRA Sharil Hussein berkata, industri lebih mengutamakan wanita sebagai kakitangan kerana kurang risiko pelanggaran seksual dengan penjaga wanita. Di pusat itu yang terletak di Kuala Selangor, kakitangan lelaki hanya dibenarkan menjaga pesakit lelaki.
“Bila seseorang (pesakit) perempuan bila nak buat rawatan dengan seorang petugas lelaki, biasanya kita sediakan seorang kakitangan lain untuk menemaninya, “ katanya.
Rumah penjagaan itu bukan sahaja menjaga warga emas tetapi juga mereka yang kurang upaya.
Bergantung kepada sesebuah pusat, kos penjagaan warga emas boleh mencapai sehingga lebih RM7,000 sebulan. Untuk penjagaan kanak-kanak, Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad berkata, yurannya adalah antara RM250 hingga RM3,000 sebulan.
Anisa Ahmad, presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM). --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
KESAKSAMAAN JANTINA
Ketika Malaysia melangkah ke arah status negara tua dengan 15 peratus penduduknya berusia 60 tahun ke atas menjelang 2035, kurangnya penghargaan untuk kerja penjagaan akan hanya mendatangkan masaalah besar kepada kehidupan kita.
Dengan mengiktiraf sumbangan wanitayang rata-ratanya tidak dibayar untuk tugas penjagaan/pengasuhan, dapat membantu negara menghadapi cabaran ini pada masa hadapan. Dengan memberi nilai kepada kerja penjagan/pengasuhan serta mengikis tanggapan bahawa hanya kerja berbayar sebagai berharga, ianya mungkin mengurangkan peranan jantina yang tegar serta menggalakkan perkongsian kerja penjagaan antara jantina di rumah.
Di samping itu, dengan penyertaan wanita dalam ekonomi, ini akan menyediakan pelbagai manfaat untuk negara. Setakat tahun 2019, penyelidikan oleh Bank Dunia mendapati Malaysia mampu mengembangkan pendapatan per kapitanya sebanyak 26.2 peratus, atau purata keuntungan pendapatan sebanyak kira-kira RM10,590 (AS$2,250), jika wanita terlibat sepenuhnya dalam ekonomi.
Dalam isu penglibatan wanita dalam ekonomi, penulis pernah membuat penyelidikan tentang isu ini dan berbual mengenainya dengan pakar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia. Apa yang dapat dirumuskan, tanpa wanita menyertai tenaga kerja, Malaysia mungkin menghadapi kekurangan pekerja, yang mungkin membantutkan pertumbuhan. Atau sekiranya kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja waktu yang panjang, siapa yang akan menjaga bayi mereka, atau nenek atau datuk? Dalam kedua-dua senario, Malaysia akan mengalami kerugian.
Suriani Kempe, aktivis hak wanita. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
Aktivis hak wanita Suriani Kempe bersetuju, langkah mempromosi kesaksamaan di samping perkhidmatan penjagaan yang mampu bayar dan mudah diperolehi.
“Pertelagahan saya dengan program terdahulu ialah ia tidak menangani isu ketidaksamaan asas dalam kerja penjagaan mengikut jantina. Ia seakan memberi wanita tambahan alat (untuk bekerja di mana-mana, sepanjang masa),” katanya.
“Apa yang program ini tidak lakukan ialah berubah atau memberitahu para suami, ‘Mari dan lakukan sedikit tugas penjagaan ini.’”
Buat masa ini, saya bekerja sepenuh masa, tetapi sekiranya tiada perubahan, saya jangkakan saya akan menjadi penjaga utama ibu saya untuk beberapa tahun akan datang. Saya mengharapkan bantuan, sama ada daripada kerajaan, waktu kerja anjal dan persediaan untuk menampung kerja penjagaan atau yang lebih mampu dibayar untuk ibu saya agar ibu dapat penjagaan yang diperlukan, menjelang akhir hayatnya.
Paling penting, saya berharap masyarakat tidak akan menganggap tindakan saya mengambil cuti untuk menjaga ibu saya sebagai saya di beri “layanan istimewa.” Tidak perlu juga menghulur bunga ros untuk saya.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff