Pewujudan Akta Psikologi Perlu Disegerakan Demi Kesejahteraan Mental Masyarakat - Pakar

M
asalah kesihatan mental dijangka terus membebani rakyat negara ini dengan anggaran peningkatan kes sebanyak 10 peratus menjelang 2025.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2015, isu kesihatan mental merekodkan trend peningkatan sejak 2005, iaitu dari 11.5 peratus pada tahun berkenaan kepada 29.2 peratus pada 2015, atau, kata pakar, tiga daripada 10 rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Malangnya, di sebalik unjuran membimbangkan itu, negara masih kekurangan ahli psikologi bertauliah dan doktor psikiatri bagi menampung keperluan.

Ketiadaan akta khusus bagi mengawal selia perkhidmatan perubatan tersebut memburukkan lagi masalah kerana pada masa ini hampir siapa sahaja boleh menawarkan bantuan kaunseling dan rawatan psikologi kepada pesakit.    

 

PSEUDOPSIKOLOGI

Pakar psikologi dan juga pensyarah kanan Program  Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata bantuan perkhidmatan yang diberikan oleh mereka tanpa tauliah itu diistilahkan sebagai pseudopsikologi atau “psikologi  palsu”, iaitu penggunaan istilah psikologi namun tiada bukti saintifik.

Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali.

Lebih buruk lagi, “rawatan” yang diberikan boleh memudaratkan psikologi penghidap untuk jangka panjang.

Menurut beliau, pada masa ini, pseudopsikologi ditawarkan secara meluas di negara ini memandangkan wujud jurang besar di antara jumlah penyedia perkhidmatan bertauliah dan permintaan.

“Mereka (penghidap masalah mental) memerlukan literasi dan sokongan profesional untuk membantu (mereka) namun jumlah (pakar bertauliah) agak terhad.  Sekarang hanya (ahli) psikiatri serta beberapa profesion menolong seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal, pekerja sosial diaktifkan (ditauliahkan) melalui akta.  

"Namun bagi ahli serta pakar psikologi lain, mereka tidak dapat berperanan secara aktif kerana  pemerkasaan kerjaya mereka (melalui penguatkuasaan undang-undang) tidak berlaku,” jelas Shazli Ezzat yang juga Presiden Bakal Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) kepada Bernama.

Ditanya tentang perbezaan di antara akta kaunselor dan psikologi, Shazli Ezzat berkata akta kaunselor hanya tertakluk kepada profesion kaunselor yang fungsinya lebih bertumpu pada intervensi kepada  masalah biasa masyarakat.

Akta psikologi pula adalah lebih luas kerana berperanan melindungi pakar dan juga pesakit daripada terpedaya dengan perkhidmatan pseudopsikologi.

 

KEPENTINGAN AKTA PSIKOLOGI

Mengulas lanjut, Shazil Ezzat berkata secara ringkas, akta tersebut bertujuan mengawal selia perilaku pengamal dan melindungi ahli masyarakat yang menerima perkhidmatan itu.

Menurut beliau, gesaan agar diwujudkan akta psikologi bermula pada 2009 menerusi PSIMA, namun disebabkan isu kesihatan mental dilihat tidak begitu penting pada ketika itu, syor berkenaan tidak diketengahkan oleh penggubal undang-undang.    

"Pada 2018, perundangan psikologi hampir dibawa ke Parlimen untuk sesi perbahasan tetapi tidak berjaya.  PSIMA memerlukan penaung yang kuat untuk merealisasikan pewujudan akta ini,” kata beliau yang berharap Pejabat Perdana Menteri dapat memainkan peranan itu.

Jelas beliau lagi, pewujudan undang-undang khusus berkait psikologi akan secara langsung menjaga kepentingan masyarakat secara menyeluruh menerusi pembendungan masalah tingkah laku serta memberi ruang meningkatkan aktiviti melatih kemahiran psikologi,  seperti bantuan kecemasan psikologi, kecemasan kesihatan mental, strategi daya tindak, pengurusan emosi dan tekanan. 

Beliau juga percaya pelaksanaan akta psikologi akan dapat membantu pakar psikologi bertauliah memberikan perkhidmatan intervensi kepada pesakit, secara tidak langsung melindungi masyarakat daripada menerima perkhidmatan psedupsikologi, sekali gus membantu mengawal isu masalah kesihatan mental di negara ini daripada terus membarah.

 

AGAK KETINGGALAN

Berpandangan Malaysia sudah agak ketinggalan dalam bidang psikologi, Konsultan Bebas Psikologi Organisasi Dr Alizi Alias berkata bidang itu telah lama matang di negara maju, yang masing-masing mempunyai badan ikhtisas  atau badan profesional bagi mengawal selia pengamal dan keseluruhan aspek bidang psikologi termasuk kurikulum pengajian.

“Di United Kingdom, mereka ada British Psychological Society yang mengawal selia gelaran dan amalan ahli psikologi. Pengamal psikologi ini pula perlu berdaftar dengan kerajaan melalui Health and Care Professions Council.

“Di Amerika Syarikat ada American Psychological Association yang mengawal selia kurikulum dan undang-undang negeri lesen pengamal. Sama juga di Australia yang ada Australian Psychological Society dan Psychology Board of Australia, Indonesia ada Himpunan Psikologi Indonesia yang mewajibkan ahli memiliki pensijilan (Sertifikat Sebutan Psikologi) dan lesen (Surat Izin Praktik Psikologi),” katanya.

Dr Alizi Alias

Menurut beliau, pewujudan akta psikologi di Malaysia akan menyaksikan pengamal psikologi diwajibkan mempunyai kelulusan berdasarkan kurikulum tertentu selain berdaftar dengan badan profesional.

Lebih-lebih lagi negara ini sudah mempunyai Akta Kaunselor 1998, sementara bidang kerja sosial pula bakal diperkukuh dengan Akta Profesion Kerja Sosial, ujar beliau.

Menurut Alizi, pada awalnya ada cadangan mewujudkan akta psikologi bersekali dengan akta kaunselor, namun keutamaan diberikan kepada undang-undang kaunselor disebabkan jumlah mereka lebih ramai selain bidang kaunseling wujud lebih awal, iaitu dalam era 1940-an berbanding bidang psikologi pada 1970-an.

"Perjawatan pegawai psikologi di Jabatan Perkhidmatan Awam  juga telah wujud secara rasminya pada 1992 dan telah melalui banyak perubahan. Oleh itu, bidang psikologi boleh belajar daripada pengalaman dalam dan luar negara untuk memastikan akta ini, sekiranya diwujudkan, adalah yang terbaik dari segi ideal dan realiti," ujarnya.

 

TIDAK MENCUKUPI 

Menurut Alizi, penggubalan akta psikologi juga diyakini dapat memastikan keperluan kesihatan mental di negara ini mampu dipenuhi, memandangkan pada masa ini, bilangan pengamal psikologi profesional adalah terlalu sedikit. 

Katanya, pada 2021, Malaysia mempunyai kira-kira 500 doktor pakar psikiatri dengan nisbah seorang pakar untuk kira-kira 100,000 orang, iaitu jauh lebih rendah berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengesyorkan seorang pakar bagi setiap 10,000 orang.

"Pakar psikologi klinikal yang bekerja dalam perkhidmatan awam pula hanya berjumlah 48 orang manakala jumlah pakar psikologi klinikal berdaftar secara keseluruhan adalah 300 orang. Bayangkan 8,926 kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia pada akhir  2019 menguruskan 32.7 juta rakyat dengan nisbah 1 : 4,030 orang.

"Sebenarnya tugas kaunselor lebih tertumpu pada populasi normal yang mempunyai masalah berkaitan kehidupan harian, kekeluargaan, sosial dan tempat kerja atau memberi terapi sokongan kepada pesakit mental. Tetapi untuk mendiagnosis dan memberi rawatan profesional kepada pesakit mental, tugas ini terbeban pada pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal yang bilangannya sangat sedikit," jelas beliau.

Beliau berkata pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan peningkatan kes kesihatan mental dengan 1,142 kes pada 2021 berbanding hanya 631 pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 81 peratus.

Pewujudan akta psikologi memudahkan sumbangan pakar-pakar psikologi bukan klinikal membantu dari segi intervensi primer (pencegahan), sekunder (latihan) dan tertier (pemulihan berbentuk bukan klinikal).

 Lebih membimbangkan, masalah kesihatan mental turut berlaku pada golongan kanak-kanak.

“(Dilaporkan) seorang daripada 20 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun di Malaysia mengalami gangguan mental. Setakat ini, KKM telah merekodkan 424,000 kanak-kanak di Malaysia disahkan mengalami masalah mental," katanya.

Pada masa ini, hanya pakar psikologi klinikal dikawal oleh Akta Kesihatan Bersekutu.

Justeru kata beliau, pewujudan akta psikologi akan memudahkan sumbangan pakar-pakar psikologi bukan klinikal yang boleh membantu dari segi intervensi primer (pencegahan), sekunder (latihan) dan tertier (pemulihan berbentuk bukan klinikal).

"Akta ini akan membolehkan pakar-pakar psikologi bukan klinikal dan bukan kaunseling membantu mengawal faktor-faktor risiko, mengurus simptom awal dan mengubah dasar, budaya dan aktiviti untuk tujuan pemulihan di pelbagai latar seperti di tempat kerja, klinik, hospital, sekolah, universiti, mahkamah, penjara dan sebagainya.

"Ini mampu mengurangkan beban tugas doktor psikiatri, ahli psikologi klinikal serta kaunselor dari segi jumlah klien dan pesakit, ataupun menjadi sokongan dan bantuan pemulihan mereka yang sedang dalam rawatan penyakit mental untuk sembuh semula, atau paling tidak, mampu mengawal simptom di pelbagai latar yang ada," katanya.

Ringkasnya, pewujudan akta psikologi bermakna usaha menangani masalah mental tidak lagi terhad kepada ahli psikologi klinikal dan ahli psikologi kaunseling.

 

TANGANI STIGMA 

Alizi berkata hingga kini, stigma terhadap pesakit mental masih menebal, membuatkan individu berkenaan malu untuk mendapatkan rawatan atau berhenti daripada meneruskan rawatan, sekali gus menyukarkan usaha mencegah dan mengurus isu kesihatan mental.

Katanya, faktor utama yang menyumbang kepada keadaan itu ialah kewujudan pihak tidak terlatih dalam bidang psikiatri, psikologi, kaunseling atau kerja sosial yang berbicara tentang kesihatan dan penyakit mental menerusi penulisan buku dan juga perkongsian di media sosial atau ceramah di sekolah, jabatan kerajaan serta swasta.

Akta Psikologi bertujuan mengawal selia perilaku pengamal dan melindungi ahli masyarakat yang menerima perkhidmatan itu.

"Jika apa yang diulaskan itu menepati prinsip psikologi ilmiah tidak mengapa. Tetapi kebanyakannya adalah berdasarkan psikologi pop dan atau psikologi palsu. Malah, ada yang sudah terlatih dalam bidang kesihatan mental secara akademik dan formal pun boleh terjebak mempromosi pseudopsikolgi disebabkan tidak merujuk makalah ilmiah dan ketiadaan akta yang boleh memantau isu etika amalan psikologi.

"Keadaan ini  boleh mempengaruhi persepsi ibu bapa, keluarga, pelajar, guru, pentadbir sekolah, mahasiswa, pensyarah, pentadbir sekolah, pekerja, pengurus sumber manusia, majikan, malah institusi agama tentang apa itu penyakit mental dan bentuk pencegahan, pengurusan dan pemulihan selain rawatan yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga boleh menstrukturkan semula perjawatan pegawai psikologi supaya hanya melibatkan graduan psikologi, sementara lepasan kaunseling pula dijenamakan semula dengan nama yang menepati profesion mereka, iaitu pegawai kaunseling, kerana tidak semua kaunselor mempunyai ijazah sarjana muda dalam psikologi.

Katanya, pegawai psikologi yang tidak memiliki ijazah sarjana dalam bidang itu juga belum boleh bergelar pakar dan amalan mereka perlu dikawal menerusi akta psikologi. 

"Pekerja sosial juga perlu diiktiraf nama berdasarkan profesion mereka... contohnya, pegawai kerja sosial, supaya lebih mudah dikawal amalan mereka melalui akta dan etika kerja sosial kelak.

“Isu etika dan profesional ini sangat dititikberatkan di negara maju jika melibatkan (bidang) profesional yang berbeza walaupun nampak seperti sama. Malah, di negara-negara maju ada perbezaan antara seorang kaunselor dan seorang ahli psikologi kaunseling," katanya. 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.