La House Bahulu Gulung Angkat Air Tangan Golongan Ibu

L
a House Bahulu lahir daripada keazaman pengasasnya Norela Abdul Rahim untuk mengekalkan warisan kuih tradisional di samping memperkenalkan inovasi yang mampu meraih hasil jualan yang tinggi.

Bermula sebagai pekerja pembuat bahulu, dia kini boleh berbangga dengan hasil usaha yang dimulakan sejak sekitar empat tahun lalu dengan dibantu suami Hassan Ibrahim, 48, dan anak sulungnya, Muhammad Syukri, 25.

Berbanding bentuk bahulu yang lazim dijual seperti bahulu cermai, ikan dan kemboja yang  lebih popular dalam kalangan masyarakat tempatan, usahawan berusia 49 tahun ini memilih bahulu gulung yang lebih terkenal dalam masyarakat Jawa di Johor.

Ketika diminta berkongsi sejarah penubuhan La House Bahulu, Norela berkata pada mulanya, dia hanya membuat kuih bahulu itu secara suka-suka kerana tidak boleh pergi bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

"Pada masa itu saya bekerja sebagai pembuat bahulu dengan sebuah kedai tidak jauh dari rumah saya. Namun akibat PKP, saya hanya duduk di rumah. Memang saya jenis tidak boleh duduk diam, maka saya mula membuat perniagaan bahulu dari rumah dengan dibantu suami dan anak, Muhammad Syukri, " katanya kepada Bernama ketika ditemui di bengkelnya, baru-baru ini.

 

 

AIR TANGAN IBU

Penulis yang berkesempatan menyaksikan sendiri proses membuat kuih tradisional ini begitu teruja melihat warna kuning keemasan bahulu gulung yang dibakar menggunakan ketuhar elektrik dan aroma bau semerbak wangi membuatkan tidak sabar untuk menikmatinya.

Bahan asas bahulu gulung ini adalah tepung gandum, telur, ditambah campuran esen vanila serta perisa oren yang diadun elok menggunakan mesin adun dan yang menariknya kesemua pekerja usahawan ini terdiri daripada kaum ibu.

Itulah kelainan bahulu gulung dihasilkan oleh La House Bahulu yang bertempat di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor ini.

Nilai jualan tahunan terus meningkat setiap tahun dan pada 2023, Norela berjaya meraih kira-kira RM700,000.

Ditanya mengapa dia lebih gemar untuk mengambil golongan ibu sebagai pembantu tukang masak di dapur kilangnya, Norela berkata, mereka begitu cekap melakukan tugas yang sukar dan mencabar terutama sekali proses membakar bahulu gulung. 

"Jika kita lihat ibu-ibu kita bila memasak di dapur sangatlah cekap dan pantas walaupun perlu melakukan banyak tugasan. Begitu juga dengan kerja memasak bahulu ini, kita perlu tangkas masukkan adunan bahulu tadi ke dalam loyang besi untuk dibakar terus ke dalam ketuhar yang panas.

"Setakat ini kita ada enam orang ibu yang bekerja dengan kita, dan kita juga sentiasa terima pekerja separuh masa yang akan dibayar gaji harian sekiranya kekurangan tenaga kerja. Kalau boleh perniagaan ini saya niatkan untuk membantu golongan ibu dan pemuda sekitar sini menjana pendapatan sampingan bagi meningkatkan ekonomi mereka," jelasnya.

 

 

PANAS BAHANG KETUHAR

Jika bercerita tentang cabaran utama menyiapkan bahulu gulung, sudah pastinya berdepan dengan suhu panas ketuhar adalah satu tugasan yang bukan semua orang mampu melakukannya, demikian kongsi Norela.

Biarpun dia sendiri berpengalaman membuat bahulu selama tujuh tahun, namun kadang kala dia sendiri tidak dapat menahan bahang panas ketika melakukan kerja itu.

"Jika kita tidak pasang semua kipas (dua kipas berdiri dan empat kipas dinding) yang ada di sini, memang kita boleh jatuh pengsan. Bayangkan suhu yang diset pada ketuhar adalah sekitar 220 ke 240 darjah celsius dan kita perlu sentiasa berdiri di depan pintu ketuhar bagi memastikan bahulu dalam loyang benar-benar masak, sebab bukan masuk serentak.

“Bila dah masak, kita keluarkan dan masukkan adunan baharu. Jadi memang tidak boleh leka,” katanya, menambah mereka yang bertugas di depan ketuhar akan bermandi peluh dan perlu sentiasa minum air kosong.

“Namun saya bersyukur pekerja kita amatlah cekap, biarpun kebiasaannya kulit boleh melecur dan luka-luka sebab perlu sentiasa berhadapan suhu panas ketuhar dan mengendalikan mesin adun, namun mereka tetap cekal dan tabah," katanya.

Proses pembakaran bahulu pula akan dilakukan secara bergilir-gilir, dengan lapan loyang boleh dimuatkan pada satu-satu masa. Sebaik masak satu loyang, loyang yang lain akan dimasukkan.

Walaupun bengkel itu mempunyai tiga buah ketuhar, Norela berkata, bagi memenuhi tempahan harian, cukup hanya satu ketuhar digunakan.

Kebiasaannya hampir 300 loyang bahulu perlu dimasak setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan. Kebanyakannya untuk tempahan selain dijual di bengkel.

Sebelum raya Aidilfitri tahun ini, pihaknya pernah menerima lebih 1,200 tempahan yang perlu diselesaikan dalam masa sehari. 

Proses menggulung bahulu bukanlah mudah kerana perlu dilakukan secara berhati-hati.

"Bayangkan kami perlu mula mengadun bahan masakan sekitar pukul 8 pagi, dan kemudian membakar semua bahulu, menggulung dan memasukkannya ke dalam pek plastik sehinggalah selesai sekitar lewat malam. Pada asalnya kami memang tidak yakin mampu dibuat, tapi demi kepuasan hati pelanggan maka kami tetap gigih menyiapkannya," katanya menambah, semasa musim perayaan, waktu kerja bermula sebelum subuh.  

Selain tukang masak bahulu, beliau turut mempunyai sekitar tujuh orang pekerja bagi membantu menguruskan sebarang tempahan dan promosi produk di laman media sosial iaitu La House Bahulu (facebook), Lahouse_bahulu (Tiktok), La House Bahulu (Shopee) dan lahousebahuluofficial (Instagram).

 

MENGGULUNG BUKAN MUDAH

Selain berdepan suhu panas ketuhar bahulu, Norela menambah, satu lagi tugas yang bukan mudah adalah untuk menggulung bahulu sebaik ia dimasak,

Ini kerana menurutnya, bahulu tidak boleh digulung terlalu padat bagi mengelakkan bahulu cepat rosak disebabkan tiada pengudaraan yang baik. Selain itu, inti jem yang digunakan seperti nanas adalah berasid dan memerlukan bahulu digulung dengan kepadatan yang sesuai bagi mengelakkan bahulu cepat berkulat. 

"Sebaik loyang bahulu dikeluarkan dari ketuhar, ia akan diletakkan secara berhati-hati di atas kertas pelapik untuk digulung. Kita perlu tunggu bahulu suam sedikit kemudian barulah kita sapu inti jem secara sekata. 

"Untuk menggulung bahulu, kita hanya tekan perlahan-lahan bahulu ketika menggulungnya secara berhati-hati bagi mendapatkan bentuk gulungan yang cantik apabila bahulu dipotong untuk dinikmati," tambahnya.

Menurut beliau, untuk menyiapkan satu tong adunan yang dapat menghasilkan 30 gulung bahulu, biasanya mengambil masa sekitar 30 minit.

"Tempoh bakar dalam ketuhar tidak lama, sekitar dua minit sahaja kerana kita tetapkan suhu tinggi. Untuk menggulung pula tak sampai seminit,” ujarnya.

“Biasanya petang dah siap semua, melainkan jumlah tempahan terlalu banyak maka kita akan bekerja hingga malam,” kongsi Norela.

Setakat ini terdapat lapan perisa inti jem ditawarkan, dengan yang paling popular adalah nanas, strawberi dan bluberi. Selain itu, coklat dan kacang juga turut mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tetap mereka. 

Jem dibeli daripada pembekal namun diubahsuai bagi menepati kehendak pelanggan, seperti tahap kemanisan dan kemasinan atau masam.

Pelanggan boleh membeli secara satu gulungan (RM9) ataupun memilih dari tiga set yang ditawarkan. Set A (RM45) meliputi lima gulung bahulu dan pilihan perisa adalah atas permintaan pelanggan, manakala Set B (RM85) sebanyak 10 gulung, dan Set C (RM125) iaitu 15 gulung bahulu. Semua set ini tidak dikenakan caj penghantaran. 

"Setakat ini memang kita hantar sekitar satu Malaysia, dengan permintaan paling tinggi di sekitar Lembah Klang. Kita juga ada pelanggan di luar negara termasuklah Singapura. 

"Sebaik bahulu siap dimasak dan di pek pada belah pagi, kita akan terus menghantarnya pada belah petang menerusi servis van penghantaran memandangkan bahulu biasanya hanya mampu bertahan sekitar seminggu dari tarikh ia dimasak. Oleh itu pelanggan digalakkan menyimpannya dalam peti sejuk supaya ia dapat bertahan lebih lama," katanya lagi. 

Menurut Norela, ketika ini 80 peratus daripada jualan adalah menerusi tempahan dalam talian sementara baki adalah jualan di bengkel.

 

KEKALKAN MAKANAN WARISAN

Bercerita lanjut tentang perniagaan bahulu gulungnya, Norela berkata, modal asas yang digunakan adalah sekitar RM10,000 iaitu untuk membeli sebuah ketuhar dan mesin adun, serta membeli bahan masakan.

"Ketika itu, bengkel masih belum ada lagi namun selepas perniagaan semakin maju, saya belanjakan hampir RM100,000 pula untuk membina bengkel di sebelah rumah saya, selain menambah jumlah ketuhar, mesin adun, dan pekerja bagi membantu perniagaan," tambahnya lagi.

Di peringkat awal operasi, dia hanya mampu menjual sekitar 60 hingga 80 gulung sehari, namun hasil promosi berterusan, terutama melalui media sosial dan platform pasaran dalam talian, jualannya meningkat setiap tahun dan pada tahun lepas beliau berjaya meraih kira-kira RM700,000.

"Bahulu kami mendapat perhatian sebenar pada tahun 2022 dan pada tahun itu kami mencatat jualan sekitar RM500,000,” kongsinya lagi menambah, biarpun perniagaannya baru berusia empat tahun, namun permintaan yang diterima pelanggan cukuplah menggalakkan.

Dia dan suaminya juga turut bercadang untuk membesarkan lagi perniagaannya bagi membolehkan bahulu gulung yang merupakan makanan tradisional yang diperkenalkan oleh masyarakat Jawa, terus menjadi lebih popular pada masa akan datang.

Sementara itu Muhammad Syukri pula berkata, La House Bahulu memilih untuk terus menjual produk itu memandangkan permintaan yang cukup tinggi tatkala tiba musim perayaan.

 "Kalau boleh memang kita ingin kekalkan produk makanan warisan sebegini supaya ia kekal relevan dalam hati rakyat khususnya golongan muda. Sebab itu kita akan sentiasa jalankan penyelidikan dan pembangunan resipi supaya ianya boleh diterima ramai orang.

"Jika dulu kebiasaannya bahulu perlu dibuat cukup manis, tapi kami ambil pendekatan kurangkan sedikit rasa manis dengan mengurangkan kandungan gula dalam adunan tepung supaya bahulu yang terhasil lebih gebu serta mampu bertahan lama. Inti jem juga ditambahbaik dari segi rasanya, contohnya jam nanas tinggi kandungan asid maka kita ubahsuai sedikit supaya lebih manis dan kurang berasid," katanya, menambah La House Bahulu merancang menambah beberapa perisa tambahan bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Dalam pada itu, dia turut berharap supaya lebih banyak pihak termasuk badan industri kecil dan sederhana (IKS) dapat membantu pengusaha sepertinya, demi memajukan lagi industri penghasilan bahulu gulung di Malaysia.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.