K
eharmonian serta perpaduan amat penting bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia dan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan adalah teras kepada mewujudkan suasana sedemikian.
Namun selepas lebih 50 tahun ia diperkenalkan, prinsip ini seakan terhakis jika dilihat kepada kepincangan perilaku sesetengah ahli masyarakat, baik di alam nyata mahupun di dunia siber yang begitu mudah menghamburkan kata-kata kesat, menghina dan berkelakuan tidak manis, baik sesama bangsa sendiri ataupun bangsa lain.
"Sebagai warganegara, kita perlu mengutamakan keamanan dan kestabilan negara. Perpecahan dan pergaduhan kaum boleh berlaku jika etika kesopanan dan kesusilaan tidak dipraktikkan.
"Ia wajar dipupuk dari bangku sekolah lagi supaya asas bersikap dan berperilaku sopan menjadi budaya dan darah daging rakyat Malaysia apatah lagi bagi mewujudkan masyarakat MADANI yang diidamkan, " demikian tegas pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad dalam temu bual dengan Bernama.
Menurut beliau, setiap individu wajib mengamalkan sikap sopan dan susila dalam pergaulan serta menghormati budaya rakan-rakan berlainan agama dan bangsa bagi memastikan Malaysia terus aman di samping mengelakkan pertelingkahan kaum yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.
TATATUSILA DALAM MEDIA SOSIAL
Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat iaitu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970, bersempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13.
Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, dari sudut sejarah, setahun sebelum pengisytiharan itu, Malaysia dilanda rusuhan kaum yang meninggalkan detik hitam dalam sejarah negara dan tragedi berdarah 13 Mei 1969 itu mengingatkan seluruh rakyat Malaysia akan pentingnya memelihara perpaduan.
Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad.
“Sebab itu satu daripada prinsip Rukun Negara menekankan aspek kesopanan dan kesusilaan. Dari segi makna atau pengertian, sopan bermaksud hormat, berbudi bahasa dan berperangai baik manakala susila pula berkait rapat dengan makna sopan iaitu adat istiadat yang baik dan keadaban.
“Oleh yang demikian, makna dan falsafah sebenar Rukun Negara yang kelima ini menuntut rakyat Malaysia sentiasa menjaga adab supaya masyarakat kekal hidup aman dan harmoni," jelasnya.
Seiring dengan ledakan teknologi, kehidupan masyarakat juga berubah dengan ramai menggunakan laman media sosial dan biarpun di platform maya, etika tatasusila serta kesopanan tetap perlu dijaga ketika memberikan sebarang luahan, komen dan hantaran di media sosial.
Mengulas mengenai perkara ini, Mohd Nizam berkata, ada ketikanya mata pena lebih tajam daripada ungkapan lisan dengan zaman kini menyaksikan keghairahan masyarakat dalam memberi komen dan ulasan di media sosial, justeru penting untuk etika berkenaan disuburkan.
"Sebahagian masyarakat tidak segan silu mengejek dan mencemuh individu tertentu. Ini kerana mereka dapat ‘menyorok’ di sebalik akaun media sosial. Jika diajak berbicara secara berdepan kebanyakan daripada mereka akan menjadi lebih sopan.
"Antara petua tatasusila untuk mengubah sikap ini ialah empati. Setiap daripada kita seeloknya memiliki sifat itu sebelum menulis sesuatu. Empati bermaksud kita meletakkan diri kita dalam situasi individu yang kita ingin kritik. Kita tanya diri kita, “Kalau ada orang kata sebegini kepada diri saya, adakah saya akan suka?” Kita juga perlu fikir apakah impak jika kita menulis sesuatu yang sensitif, sinis dan fitnah di media sosial," katanya.
CERMINAN PERIBADI
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah, Politik & Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Shazwan Mokhtar berkata, etika kesopanan dan kesusilaan amat penting bagi membina insan yang berbudi pekerti.
Masyarakat yang maju, jelas beliau, bukan hanya tertakluk kepada peningkatan teknologi atau ekonominya sahaja tetapi nilai kemanusiaan perlu tinggi bagi membolehkan setiap individu memberi manfaat kepada sesama insan serta alam sekitar.
"Semestinya kita tidak mahu membentuk masyarakat yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan iaitu yang kosong jiwanya seperti robot. Begitu juga di medan sosial setiap perkataan atau penulisan mencerminkan peribadi seseorang.
“Penting untuk kita mewujudkan suasana harmoni tanpa sebarang keraguan atau prejudis yang mudah sahaja timbul dengan kata-kata atau tulisan. Mungkin niat seseorang itu baik tetapi setiap kata dan tulisan boleh membawa konotasi yang berbeza," katanya.
Dr. Mohd Shazwan Mokhtar
Berhubung tahap tatasusila masyarakat pada masa ini yang semakin mengurangkan pendekatan nilai murni dalam jiwa dan lemah kawalan ketika berdepan sesuatu situasi, contoh kes buli di jalan raya, Mohd Shazwan berkata, keutuhan tatasusila rakyat Malaysia perlu disemai dan dipupuk.
"Pada hari ini kita perlu terus memastikan keutuhan tatasusila masyarakat Malaysia pelbagai bangsa termasuk dalam soal penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara itu sendiri. Sememangnya adab dan nilai susila yang diterapkan perlu bermula seawal di peringkat keluarga hinggalah kepada masyarakat.
"Kesedaran untuk mendidik dan menjadi suri teladan yang baik kepada generasi muda amat penting supaya menjadi norma dalam amalan seharian mereka.
“Percakapan kita melambangkan peribadi kita. Peribadi melambangkan latar keluarga kita. Ia merangkumi didikan secara formal mahupun tidak. Begitu juga dengan pendidikan di peringkat sekolah yang perlu mengutamakan pembentukan perwatakan. Perkara ini tidak wajar diambil ringan," katanya.
Ketika melayari alam maya, Mohd Shazwan berkata, masyarakat harus menjaga adab serta tatasusila dengan memastikan setiap yang disampaikan di media sosial adalah perkara yang benar dan tidak menimbulkan keraguan.
"Zaman ini menyaksikan laman sosial menjadi saluran pantas masyarakat mendapatkan maklumat secara segera, tidak kurang juga menjadi tempat mereka meluahkan pandangan dan perasaan. Justeru pengguna media sosial perlu berhemah dan bijak untuk menentukan yang mana ‘kaca’, yang mana ‘permata’.
"Walaupun ada sesetengah pihak menganggap isu ini remeh, namun konflik atau penyalahgunaan media sosial boleh menggugat keselamatan negara termasuk hubungan dan toleransi antara kaum, kestabilan politik dan ekonomi. Tanpa adab dan tatasusila yang wajar, satu hantaran di media sosial pun boleh meruntuhkan keharmonian yang kita kecapi hari ini," katanya.
DEBAT PERPADUAN
Dalam memastikan hubungan pelbagai kaum dalam kalangan rakyat negara ini, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan yang membolehkan ahli masyarakat berkomunikasi dan saling mengenali, antaranya menerusi program yang berbentuk kenegaraan, seperti Pertandingan Debat Perpaduan yang diadakan hampir setiap tahun oleh Kementerian Perpaduan Negara.
Mengangkat tema “Menjiwai Rukun Negara”, Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan 2024 yang membabitkan institusi pendidikan tinggi, disifatkan oleh pemerhati sebagai satu inisiatif yang cukup baik untuk mengukuhkan penghayatan mahasiswa universiti.
"Debat ini boleh digunakan sebagai medium untuk membentuk intelektual pelajar universiti bagi mencapai matlamat yang dimahukan, kerana daya intelektual itu perlu untuk mereka mempraktikkan prinsip-prinsip Rukun Negara, bukan setakat di majlis formal atau rasmi tetapi dalam konteks kehidupan seharian,” tegas Mohd Shazwan.
Perpecahan dan pergaduhan kaum boleh berlaku jika etika kesopanan dan kesusilaan tidak dipraktikkan
Menurut beliau, pertandingan seumpama itu dapat membentuk jati diri penuntut kerana untuk berbahas tentang Rukun Negara, mereka perlu melakukan penyelidikan mendalam tentang sejarah negara.
"Apa yang dipelajari di sekolah hanya bersifat asas, sebab itu ramai generasi muda sekarang masih tidak tahu sejarah negara dan hanya bergantung kepada media popular sebagai sumber ilmu,” katanya.
Mohd Nizam pula menyifatkan debat anjuran kementerian itu sebagai satu usaha murni yang dapat melatih ahli masyarakat agar berwaspada dalam perilaku dan kata-kata.
"Program debat ini sepatutnya diadakan antara pelbagai kaum dan bangsa di peringkat sekolah dan universiti supaya mereka terbiasa untuk mengkritik dengan penuh kesopanan dan kesusilaan," katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff