Perspektif: Antara Peperangan Dan Keamanan Di Nagorno-Karabakh

P
erjalanan dari Baku, ibu negara Azerbaijan ke Fuzuli yang terletak di wilayah Nagorno-Karabakh memgambil masa sekitar empat jam dan sepanjang jalan masih boleh dilihat tinggalan perang, meskipun ada yang sudah ditutupi semak serta lalang yang tumbuh tinggi.

Begitu banyak rumah, bangunan, sekolah dan pejabat yang musnah akibat konflik merebut wilayah sejak berdekad lamanya dan perang hanya berakhir baru-baru ini.  

Meskipun suasana musim bunga membawa udara segar namun kawasan sekitar Fuzuli seolah-olah seperti ‘bandar mati’, lengang. Kawasan itu sudah banyak menyaksikan kesengsaraan serta kematian dan mungkin sukar untuk dilupakan segala-gala yang telah berlaku.

Namun begitu masih ada tanda bandar ini berpenghuni. Terdapat sebuah depoh gas yang besar untuk memberi perkhidmatan kepada trak dan kereta. Jalan pun cantik, lurus dan rata tetapi tidak banyak kereta yang lalu-lalang. 

Runtuhan menghiasi landskap Fuzuli, sebuah bandar yang terletak di wilayah Nagorno-Karabakh, telah menjadi lokasi pertempuran sengit dalam dua peperangan yang berlaku di wilayah tersebut. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Tempat apa ni?” Saya mengajukan soalan kepada pemandu dan jurugambar yang peramah. Saya berada di Azerbaijan sebagai wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia untuk membuat liputan Forum Dunia ke-6 mengenai Dialog Antarakebudayaan. Turut berada dalam kereta yang saya naiki adalah kakitangan media Azerbaijan. Mereka boleh bertutur bahasa Inggeris asas sedangkan saya tidak tahu sepatah pun perkataan bahasa mereka. Namun kami masih boleh berkomunikasi, kebanyakan masa menggunakan Google Translate. 

“Fuzuli,” mereka menjawab soalan saya serentak. Saya menggeleng-gelengkan kepala. Saya tahu kami berada di Fuzuli, salah satu wilayah yang dikuasai pasukan tentera Armenia. Meskipun saya berasa kurang sihat kerana selesema, tetapi saya tahu di mana kami berada. Saya bertanya lagi dan kali ini dengan bantuan Google Translate. “Mana pergi semua orang?”

“Dah tak ada. Mereka dah tinggalkan bandar ini,” mereka menjawab, sambil mengangkat bahu.

Kemusnahan yang berlaku di bandar itu seolah-olah sudah dinoktahkah. Lebih 700,000 orang menjadi pelarian akibat perang. Apakah masih ada rumah mereka seandainya mereka mahu kembali?

Sisa-sisa bangunan sebuah akhbar di Fuzuli, di wilayah Karabakh di Azerbaijan. Fuzuli adalah salah satu kawasan konflik di wilayah Karabakh, yang berlarutan sekurang-kurangnya satu abad atau 100 tahun lamanya selepas Perang Dunia Pertama. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

 

PERANG BERPANJANGAN

Fuzuli adalah salah satu kawasan konflik di Karabakh, yang berlarutan sekurang-kurangnya satu abad atau 100 tahun lamanya. Kami juga berpeluang berkunjung ke Susha, bandar kebudayaan Azerbaijan dan bekas wilayah jajahan. 

Di bawah undang-undang antarabangsa, Nagorno-Karabakh dan tujuh wilayah sekelilingnya adalah milik Azerbaijan. Bagaimanapun, penguasaan ke atas wilayah ini sering bertukar, antara Azerbaijan dan Armenia, dan adakalanya di bawah pemerintahan Kesatuan Soviet. 

Sepanjang tempoh itu juga meletus rusuhan ganas yang didakwa dilakukan antara pihak Armenia dan Azerbaijan, terhadap masing-masing.

Fuzuli digelar bandar hantu tetapi bukan seperti yang saya faham. Perniagaan berkubur di bandar ini bukan kerana penduduk akhirnya berpindah untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Apa sahaja punca yang membuatkan mereka semua berpindah berlaku dengan pantas dan tiada yang datang untuk menggantikan yang pergi. Tidak ada tanda-tanda peradaban atau komuniti, selain daripada apa yang sudah musnah.

Pada Perang Nagorno-Karabakh yang pertama, berlaku dari 1988 hingga 1994 selepas Kesatuan Soviet mula jatuh, etnik Armenia yang merupakan majoriti di kawasan pentadbiran era-Soviet (oblast), mewujudkan Republik Artsakh dan mengusir penduduk Azerbaijan dengan bantuan tentera Armenia. Mereka menawan wilayah sekeliling termasuk Fuzuli, yang sebelumnya milik Azerbaijan, menjadi “benteng keselamatan” daripada serangan pasukan tentera Azerbaijan.

Fuzuli kembali kepada penguasaan Azerbaijan pada tahun 2020 dan Azerbaijan menguasai semula semua wilayahnya selepas tamat Perang Nagorno-Karabakh kedua, yang berakhir pada tahun 2020. Perjanjian gencatan senjata yang ditaja oleh Rusia pada November 2020 menghentikan pertempuran ini, namun kesan konflik masih dirasai oleh penduduk tempatan. Setakat ini, masih tidak ramai yang tinggal di kawasan berkenaan.

Penulis Nina Muslim bersama Mardiana Mohamed Rohani, kaunselor di Kedutaan Malaysia di Azerbaijan, di monument yang didirikan bagi memperingati rakyat Azerbaijan yang terkorban semasa perang Nagorno-Karabakh. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

Di atas bukit kecil, berkibar bendera Azerbaijan. Sebuah monumen batu terdapat di tepi tiang bendera dengan tulisan Azerbaijan tertera di atasnya. Kedua-dua bendera dan monumen itu dimaklumkan baharu dibuat.

Fariz, penterjemah dan pegawai perhubungan untuk delegasi Malaysia berkata, monumen itu didirikan bagi memperingati rakyat Azerbaijan yang terkorban ketika menentang tentera Armenia.

“Tiga ribu rakyat Azerbaijan terbunuh,” beliau memberitahu saya.

Konflik berdarah itu akhirnya tamat pada 1 Januari tahun ini (2024) dengan pembubaran Republik Artsakh, namun ramai dalam kalangan rakyat Azerbaikan, “luka mereka masih berdarah”.

Menjadi kebanggaan negara Azerbaijan berjaya menawan kembali wilayah yang ditawan Armenia dan mereka yang gugur dianggap “mati syahid.” 

Semangat untuk membina semula kehidupan semakin membara. Sudah dibina sebuah lapangan terbang serantau di Fuzuli dan kerajaan Azerbaijan berharap pembinaan itu dapat membantu membina semula bandar itu dan menarik penduduknya kembali.

(Dari kiri) Ahli Dewan Negara Senator Tan Sri Low Kian Chuan; Ketua Perunding Pejabat Perwakilan Khas Presiden Azerbaijan di wilayah Wilayah Ekonomi Karabakh yang dibebaskan daripada pendudukan Armenia, Eldar Seyidov; Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan bin Mohamed, bekas Presiden Dewan Negara mendiang Datuk Mutang Tagal dan Ahli Parlimen Azerbaijan Vugar Bayramov bergambar kenangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Fuzuli yang baharu. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun, zon perang masih belum boleh dikatakan selamat selepas gencatan senjata. Meskipun daripada apa yang saya boleh lihat Fuzuli dan Susha adalah selamat, masih banyak yang perlu dilakukan. Aghdam, yang terletak sejam setengah (dengan menaiki kereta) ke utara Fuzuli, dipenuhi dengan periuk api, dan ini menghalang penduduk asalnya untuk kembali dan menuntut kembali rumah masing-masing.

Perang mungkin sudah berakhir tetapi kesannya masih membayangi kehidupan masyarakat setempat.

 

PERJALANAN PULANG

Sekurang-kurangnya di Susha, terletak di altitud antara 1,400 dan 1,800 meter di pergunungan Karabakh, sesetengah penduduk mula kembali atau membuat rancangan untuk pulang ke kampung halaman mereka. Antaranya Fidan Alibayli, 27, yang tahu benar bagaimana kehidupan selepas perang.

Dia malah menjadi pelarian sebelum dilahirkan lagi. Ini kerana ibu bapanya terpaksa meninggalkan Susha. Begitu juga datuk neneknya dan mereka menjadi pelarian sewaktu meletus perang pertama pada tahun 1992. Fidan memang lama memasang impian untuk kembali ke kampung halamannya. Dia memberitahu penulis, dia amat bangga dapat kembali ke Susha, dan jiwanya berasa begitu dekat dengan bandar yang terletak di kawasan pergunungan itu.

“Saya membesar dengan mendengar cerita tentang bandar ini daripada keluarga saya, setiap pelusuk Susha dan saya berasa bahagia dapat kembali ke sini,” katanya dengan senyuman. “Kami memang berasa putus asa untuk dapat kembali ke sini tetapi sekarang saya sudah ada di sini.”

Ini adalah kunjungannya yang ketiga. Menurut Fidan, keluarganya akan berpindah ke bandar ini dalam masa tiga atau empat bulan lagi.

Restoran Khari Bulbul Susha yang mewah dan baru dibuka di Susha, Karabakh. Susha telah diduduki tentera Armenia semasa dua perang Nagorno-Karabakh. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

Sewaktu era Soviet, Susha adalah sebuah tempat peranginan pergunungan. Diwujudkan pada tahun 1700an, bandar ini tidak sesepi Fuzuli dan juga tidak musnah sama sekali. Namun kesan konflik boleh dilihat pada patung yang dirobek peluru. Industri pelancongan di sini mula rancak dengan sebuah hotel mewah mula beroperasi, juga sebuah restoran. Kerja-kerja pembinaan pusat pelancongan Isa Bulagi sedang berjalan.

Terdapat sebuah masjid di Susha iaitu Masjid Yukhari Govhar Agha, mungkin satu daripada dua masjid, daripada 67 buah yang disebut oleh Presiden Ilham Aliyev, terselamat daripada perang, dalam ucapan pembukaan di Forum dunia itu. Menurut datuk bandar Susha, masjid tersebut terpaksa dibina semula selepas terbiar begitu lama semasa tentera Armenia menguasai kawasan itu.

 

NORMALISASI

Berakhirnya konflik Nagorno-Karabakh mempunyai kesan yang mendalam bagi ramai peserta di Forum dunia itu. Dalam salah satu ceramah, penganalis politik dan wartawan Azerbaijan Orkhan Amashov melahirkan harapan akan wujud keamanan yang berpanjangan antara Armenia dan Azerbaijan.

Beliau menambah, “perdamaian bukanlah mustahil. (Menerusi media sosial dan interaksi) orang ramai sedar, sebagai manusia, kita bukanlah jauh berbeza. Kita ada banyak persamaan daripada perbezaan,” katanya.

Bagaimana, melalui percakapan saya dengan banyak pihak, saya dapati respons yang berbeza. Ramai yang masih menyimpan rasa kebencian, terutama jika seseorang itu adalah mangsa secara langsung konflik.

Fidan tidak yakin Armenia dan Azerbaijan boleh menjadi kawan. Terlampau banyak sejarah antara keduanya. 

Bagaimanapun, dia bersetuju bahawa keamanan adalah perkara baik untuk semua orang.

Begitu juga halnya dengan Bakhtiyar, jurugambar yang menyertai kunjungan ke Karabakh. Saya bertanya sekiranya ada orang Armenia di Azerbaijan, mungkin ada yang berkahwin dengan orang tempatan.

Dengan pantas Bakhtiyar menafikan masih ada orang Armenia di negara itu, apatah lagi berkahwin dengan orang Azerbaijan.

Fuzuli adalah salah satu tapak peperangan Nagorno-Karabakh, yang bermula pada tahun 1988 ketika Kesatuan Soviet mula jatuh. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

Namun rakan Fidan, Nubar Bargdarova, mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya, terdapat 10,000 orang Armenia tinggal di Azerbaijan dengan keluarga mereka.

“Kami tak ada masalah untuk tinggal bersama mereka,” katanya, menambah agar normalisasi hubungan dan keamanan akan dapat diwujudkan segera.

“KIta perlu mencari jalan (penyelesaian).”

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.