Labi-Labi Gergasi Diancam Kepupusan, UiTM Ambil Langkah Pencegahan

H
anya ditemukan di kawasan Taman Negara Kuala Tahan, khususnya Sungai Tembeling, Pahang, kelibat resing atau labi-labi gergasi air tawar kini semakin jarang kelihatan.

Reptilia daripada keluarga Trionychidae ini yang merupakan spesies “jarang jumpa”, menjadikan Sungai Tembeling sebagai habitat, dan menurut penyelidik Mohd Ruzed Embong, begitu mudah melihat haiwan ini bertelur di beting pasir apabila tiba musim, iaitu antara Disember hingga Julai, pada era 1970-an.

“Ketika waktu puncak bertelur, iaitu Mac hingga April, antara lima hingga enam ekor resing betina boleh dilihat naik bertelur saban hari pada waktu itu. Namun sekarang memang sukar.

“Setakat (musim bertelur) tahun ini, kita hanya kesan tujuh ekor dan kita kenal pasti tujuh lokasi aktif haiwan ini bertelur dalam lingkungan 100 kilometer di sepanjang sungai berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak menemukan sebarang telur, sebaliknya cuma kesan-kesan sarang dengan sisa kulit telur yang bersepah.

 

PULIHARA

Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Taman dan Kemudahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam itu berkata kemerosotan bilangan labi-labi gergasi terbabit berkait rapat dengan fenomena semula jadi, termasuk ancaman haiwan pemangsa seperti biawak dan burung helang malah manusia.

Arif Ahmad yang mesra disapa Aki bersama pihak UiTM dan Perhilitan menggali pasir untuk mencari telur resing ketika melawat ke tapak penyelidikan reptilia itu.

“Keadaan ini diburukkan lagi oleh aktiviti perlombongan, selain telur resing ini juga menjadi buruan penduduk setempat kerana rasanya yang enak. Malah, resing turut dipercayai mempunyai faedah perubatan,” kata beliau lagi.

Bimbang dengan masa depan reptilia terbabit, beliau berkata UiTM Shah Alam bekerjasama dengan penduduk Kampung Gol di Tembeling Tengah dekat sini, serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), menubuhkan pusat pemuliharaan bagi melindungi spesies yang amat terancam berkenaan.

“Pusat Konservasi Resing Kampung Gol adalah satu-satunya pusat pemuliharaan resing di negara ini, dan di peringkat Asia Tenggara pula ada dua lagi pusat, iaitu di Kemboja dan Vietnam,” jelas beliau, menambah penubuhan pusat itu menelan belanja sekitar RM90,000 yang disalurkan oleh Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional dan Geran Bestari UiTM.

Beroperasi sejak dua tahun lalu, pusat yang dibangunkan di atas kawasan seluas lapan hektar itu berperanan sebagai tempat pengeraman dan penetasan telur resing serta aktiviti pendidikan dan kesedaran awam tentang hidupan liar tersebut.

“Pada masa ini kita ada kira-kira 100 biji telur yang sedang dieram. Pengeraman mengambil masa dua bulan dan selepas menetas kita akan jaga hingga anak-anak resing ini mencapai usia matang, iaitu setahun, sebelum kita lepaskan ke habitat asal  mereka,” katanya.

Seekor resing Pelochelys cantorii dijumpai mati di sekitar Sungai Tembeling dipercayai akibat terkena bilah kipas bot.

Kata beliau lagi, selain dikutip sendiri, telur-telur terbabit turut dibeli daripada nelayan pada harga RM3 sebiji.

“Kita upah nelayan cari kerana bukan mudah untuk kesan telur-telur ini yang ditimbus dengan pasir,” tambahnya.

Buat masa ini, pusat yang diuruskan oleh komuniti Kampung Gol itu menempatkan beberapa spesies resing, antaranya ialah labi-labi gergasi cengkerang lembut atau nama saintifiknya Pelochelys cantorii dan labi-labi bintang (Chitra chitra) yang mampu mencapai saiz hingga 60 sentimeter panjang dengan berat sekitar 20 hingga 30 kilogram.

 

MENJADI BURUAN 

Sementara itu, menurut seorang penduduk Kampung Gol yang turut terlibat dalam projek pemuliharaan tersebut, Arif Ahmad, 54, antara cabaran utama usaha berkenaan ialah mencari telur untuk ditetaskan.

“Orang kata telur resing ini lebih enak berbanding telur penyu… lebih berlemak, justeru memang jadi buruan penduduk setempat. Lebih-lebih lagi telur resing hanya boleh didapati secara bermusim,” katanya kepada Bernama.

Sisa kulit telur resing selepas dimakan oleh haiwan pemangsa seperti biawak.

Percaya resing akan pupus di negara ini jika kegiatan mencuri telur reptilia itu tidak dikekang, beliau berkata mereka berusaha memantau kegiatan penduduk dengan menyusuri sungai sepanjang musim resing bertelur.

“Usaha ini tidak mudah kerana keadaan sungai itu sendiri. Kadangkala kami terpaksa bermalam di tepi sungai kerana perjalanan pergi dan balik amat jauh. Apatah lagi resing ini sukar dijumpai,” katanya, menambah seekor resing betina mampu mengeluarkan hingga 100 biji telur.    

Labi-labi gergasi merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya oleh pihak berkuasa menerusi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 selain turut tersenarai sebagai haiwan yang dilarang daripada didagangkan dalam apa juga bentuk di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Dalam pada itu, Perhilitan berkata penubuhan pusat konservasi tersebut adalah penting bagi menjamin ekosistem hidupan akuatik.

Menurut jabatan itu, resing memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada kitaran semula jadi ekosistem di dalam sungai, iaitu selaku pemangsa buat hidupan air seperti krustasea, serangga akuatik dan juga ikan.

Justeru, kewujudan reptilia ini menjamin keseimbangan populasi hidupan akuatik, kata Perhilitan dalam kenyataan.

Perhilitan juga melihat penubuhan pusat konservasi itu dapat membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat menerusi kedatangan pelancong dan lain-lain.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.