Kaamatan: Daripada Sekadar Pesta Menuai Kepada Medium Perpaduan Rakyat

K
ehadiran saya ini beri simbol kepada semua pimpinan kerajaan dan semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, bahawa setiap perayaan mana-mana suku kaum, setiap perayaan mana-mana masyarakat dan wilayah adalah perayaan kita bersama yang harus kita muliakan.

Petikan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup Pesta Kaamatan tahun lepas itu paling cocok untuk menggambarkan kepentingan Pesta Kaamatan atau pesta menuai, yang disambut oleh seluruh rakyat negeri ini pada Mei setiap tahun.

Umumnya, mesej yang disampaikan oleh Anwar adalah Pesta Kaamatan ini wajar diraikan secara bersama-sama oleh rakyat Malaysia sebagai sebuah medium perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Di negeri ini, Pesta Kaamatan yang kemuncaknya pada 31 Mei, disambut meriah merentasi 35 etnik dan 217 subetnik. Justeru, bukanlah sesuatu yang canggung jika aktiviti bersempena dengan perayaan itu turut disertai oleh kaum-kaum lain yang mendiami bumi Malaysia ini.

 

ASAL USUL

Menelusuri sejarah sambutan Kaamatan, penulis yang merupakan “orang Semenanjung”, diberitahu bahawa setiap etnik di Sabah ada perayaan menuai masing-masing dengan Pesta Kaamatan pada asalnya diraikan oleh Kadazan Dusun.

Pesta Kaamatan kini bukan sahaja disambut di Sabah bahkan Sarawak serta beberapa negeri di Semenanjung sekali gus menjadi platform penyatuan rakyat berbilang kaum dan etnik di negara ini.

Namun, kata Erbi Ganang, anak etnik Dusun dari Ranau,  seiring peredaran masa, kini perayaan itu disambut oleh semua rakyat Sabah.

“Bagi etnik Kadazan Dusun, kisah Kaamatan ini bermula apabila berlaku satu bencana kemarau panjang yang menyebabkan kebuluran dan pelbagai penyakit sukar diubati.

“Situasi itu membuatkan Dewa Kinoingan, isterinya Suminundu serta anak gadis mereka Huminodun berasa sangat kasihan kepada rakyat mereka. Tidak sanggup melihat keadaan itu, Huminodun buat keputusan korbankan dirinya untuk mengakhiri bencana tersebut.

“Dewa Kinoingan dan isterinya keberatan tetapi Huminodun bersungguh-sungguh mahu membantu rakyatnya. Selepas Huminodun mengorbankan diri, jasadnya disemadikan dan di bumi tempat jasadnya dikebumi tumbuh padi  yang subur, menjadi sumber makanan yang menamatkan bencana itu,” cerita Erbi, 67, kepada Bernama sambil mulutnya "sibuk” mengunyah sirih.

Menurut pemburu dan pedagang hasil hutan ini lagi, sebagai menzahirkan penghargaan atas pengorbanan Huminodun, komuniti Kadazan Dusun mengadakan sambutan selepas selesai menuai padi.

Katanya lagi, dari kisah itu juga lahirnya pertandingan Unduk Ngadau pada Pesta Kaamatan, iaitu bagi memperingati Huminodun.

“Masa beredar, kami pelbagai etnik tidak kira Kadazan Dusun, Rungus, Murut dan etnik lain, mendiami kawasan sama, menuai padi bersama-sama. Walaupun lain etnik lain ceritanya, kami raikan Pesta Kaamatan bersama-sama selepas tuai padi,” katanya.

Menurut Erbi, "kaamatan” adalah istilah bahasa Kadazan Dusun yang bermaksud "menuai”.

 

MENANAM, MENUAI BERSAMA

Peluang bertemu dengan Limna Doradong, 65, yang berketurunan Rungus dari Kudat, dimanfaatkan oleh penulis untuk membongkar asal usul sambutan Kaamatan bagi etnik itu.

Pesta Kaamatan kini bukan sahaja disambut di Sabah bahkan Sarawak serta beberapa negeri di Semenanjung sekali gus menjadi platform penyatuan rakyat berbilang kaum dan etnik di negara ini.

“Kisah yang diturunkan kepada kami adalah pada satu ketika dulu, terdapat sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak tinggal di sebuah kampung.

“Pada suatu hari, datang seekor anjing ke rumah pasangan itu. Kasihan melihat haiwan berkenaan, suami isteri tersebut lantas menjaganya. Bagi membalas budi, si anjing ini bawa balik pelbagai benih tanaman yang bagus-bagus, seperti padi, jagung, tembikai dan timun. 

“Pasangan itu tanam kesemua benih terbabit dan tanaman mereka sangat subur. Kemudian, mereka kongsikan benih tersebut dengan etnik Rungus di kawasan mereka. Bagi meraikan aktiviti menuai, mereka adakan Pesta Magahau. Lama-kelamaan, benih ini dikongsi oleh Rungus dengan etnik lain untuk ditanam dan dituai bagi dinikmati bersama,” cerita penggubah seni manik Pinakol ini.

Pinakol adalah gubahan manik yang dipakai oleh masyarakat Rungus di utara Sabah dan menjadi warisan turun temurun dalam kalangan etnik Rungus di Kudat. 

Menurut wanita itu lagi, peredaran masa membuatkan etnik Rungus turut menyambut Pesta Kaamatan sebagai sebahagian daripada Pesta Magahau mereka yang juga diraikan pada Mei setiap tahun.

“Cerita asal usul itu datangnya berbeza, tetapi pengakhiran tetap sama, iaitu tuai hasil tanaman secara bersama dan menikmati (hasil) bersama. Itulah pengajaran paling berguna daripada kami orang tua Sabah... asal usul  berlainan, tetapi pengakhirannya kita rakyat Malaysia nikmati bersama,” katanya.

 

PESTA PERPADUAN

Detik Pesta Kaamatan beralih menjadi pesta perpaduan itu bermula apabila sambutan tersebut diraikan secara rasmi pada Jun 1960, menerusi usaha pemimpin negeri terutamanya Ketua Menteri Sabah yang pertama Tun Mohamad Fuad Stephens. 

Allahyarham memastikan Pesta Kaamatan tidak hanya disambut oleh etnik Kadazan Dusun tetapi oleh semua suku kaum di Sabah, yang seterusnya menyaksikan evolusi pesta itu sebagai perayaan perpaduan rakyat.

Pesta Kaamatan kini bukan sahaja disambut di Sabah bahkan Sarawak serta beberapa negeri di Semenanjung sekali gus menjadi platform penyatuan rakyat berbilang kaum dan etnik di negara ini.

Prof Madya Dr Romzi Ationg daripada Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, berkata dengan keadaan masyarakat yang semakin berubah disebabkan oleh migrasi dan perkahwinan campur, perayaan seperti Pesta Kaamatan kini diraikan tanpa sempadan.

Beliau berkata penghirahan penduduk Sabah ke kawasan lain, terutama ke Semenanjung, turut membawa budaya dan tradisi mereka yang kemudian "diperkenalkan” kepada masyarakat setempat, sebelum beransur-ansur diraikan secara bersama-sama oleh komuniti terbabit.

“Belakangan ini, kita menyaksikan perubahan besar cara Pesta Kaamatan ini disambut... daripada sebuah perayaan disambut khusus oleh penduduk sesebuah etnik atau negeri, sambutan kini berkembang kepada perayaan seluruh negara seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali  (yang) menyatukan kita semua.

“Diharapkan Kaamatan ini akan terus menjadi pemangkin penting dalam perpaduan, dalam kepelbagaian yang sinonim dengan negara kita, serta melestarikan kekayaan budaya Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya kepada Bernama.

 

PESTA KAAMATAN 2024

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri I, berkata selain diraikan di daerah-daerah negeri ini, Pesta Kaamatan turut disambut secara rasmi di negeri lain di Semenanjung.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) itu, Pesta Kaamatan 2024 disambut melalui cawangan KDCA di Semenanjung, antaranya Lembah Klang, Johor, Melaka, Putrajaya dan Pulau Pinang, selain di Labuan dan Sarawak.

Malah katanya, mereka turut “memahkotakan” Unduk Ngadau.

“Pesta Kaamatan kini sudah menjadi perayaan nasional kerana disambut bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, tetapi juga di Semenanjung. Mudah-mudahan dengan kerjasama rakyat Sabah, Sarawak, malah di seluruh Semenanjung, dapat meningkatkan ekonomi kita bersama,” katanya.

Beliau juga menasihati rakyat supaya merayakan Pesta Kaamatan dengan penuh mesra dan disiplin, serta diperkaya dengan nilai-nilai positif dalam hubungan sesama sendiri untuk mengukuhkan lagi kesatuan dan kesepaduan rakyat Malaysia.

Sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan di Ranau dan Kudat baru-baru ini dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Katanya, perayaan itu turut memberi ruang kepada masyarakat untuk mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi masing-masing di setiap daerah di Sabah.

“Kekayaan dan keunikan budaya masyarakat merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya sehingga menarik minat masyarakat dunia, sekali gus menjadi pemacu pembangunan sektor pelancongan Sabah,” tambah beliau.

 

ACARA KEMUNCAK

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata apapun kepercayaan etnik masing-masing, baik kisah pengorbanan Huminodun daripada Kadazan Dusun, atau pasangan berkongsi benih tanaman subur daripada Rungus, pengajaran yang diperoleh adalah untuk kita bersama-sama berusaha lebih gigih bagi mencapai matlamat yang sama.

Beliau berkata tema perayaan tahun ini, iaitu  “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan”,  menekankan fokus utama Sabah dalam usaha mencapai Tahap Sara Diri hasil pertanian yang tinggi bagi memastikan keterjaminan makanan rakyatnya. 

Katanya, Pesta Kaamatan juga penting sebagai platform mempromosikan kesepaduan sosial dan membantu membina jambatan persefahaman antara masyarakat yang mempunyai latar belakang berbeza, sama ada di Sabah, Semenanjung atau di Sarawak.

Hajiji turut mengingatkan rakyat agar tidak sewenang-wenangnya percaya dengan suara segelintir pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan menerusi politik.

 “Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat. Jadi, janganlah terpengaruh dengan politikus yang hanya pandai menghasut dan merosakkan keharmonian yang kita capai ini,” katanya.

Bersempena dengan Pesta Kaamatan 2024, Hajiji turut mengajak semua ahli masyarakat agar menyertai acara kemuncak pada akhir bulan ini di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Penampang.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dijadual merasmikan acara kemuncak sambutan pada 30 Mei ini, manakala Anwar pula dijangka merasmikan acara penutup pada keesokan harinya di tempat sama.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.