D
alam imaginasi pujangga serta penulis lakon Azerbaijan, Menara Maiden (Maiden Tower), atau Qiz Qalasi, tersohor dengan legenda seorag puteri yang dikurung di dalam menara itu bak kisah dongeng, Rapunzel.
Cuma puteri legenda ini tidaklah menjatuhkan rambut panjangnya untuk membolehkan kekasihnya memanjat ke menara, sebaliknya dia terjun ke dalam Laut Caspian. Puteri itu rela mati daripada dipaksa mengahwini lelaki yang bukan pilihan hatinya.
Kisah itu juga dipentaskan, menjadi inspirasi balet Menara Maiden, yang pertama diadakan di Azerbaijan dan sesuatu yang luar biasa dalam kalangan negara Islam. Pertama kali dipentaskan pada tahun 1940, lelaki yang sepatutnya berkahwin dengan puteri itu sebenarnya adalah ayahanda puteri itu sendiri, Khan Jhahangir, Raja ketika itu. Sekembali dari perang, baginda tidak gembira apabila isterinya melahirkan puteri Gulyanag kerana baginda mahukan seorang waris lelaki.
Baginda memerintahkan puteri itu dibunuh namun pengasuh puteri itu membawa lari puteri untuk menyelamatkannya.
Tujuh belas tahun berlalu, sang puteri membesar menjadi begitu jelita sehinggakan mencuri pandangan Raja. Baginda berhasrat mengambil sang puteri sebagai isteri muda, meskipun setelah mengetahui kemudiannya yang puteri itu adalah darah dagingnya sendiri. Menjijikkan!
Selama lima hari di Azerbaijan untuk membuat liputan Dialog Antarabudaya di Forum Dunia ke-6, saya berasa hampa tidak dapat menonton balet berkenaan yang dibuat pindaan pada tahun 1999 untuk menyisih sebarang pengaruh Soviet. Versi baharu masih ada Raja Khan Jhahangir sebagai lelaki yang ingin dikahwinkan dengan puteri, tetapi Gulyanag sendiri yang meminta Raja membina Menara Maiden sebagai helah untuk melambatkan perkahwinan mereka.
Akhir jalan cerita masih sama. Kekasih Gulyanag berjaya menewaskan Khan dan berkejar ke Menara untuk menyelamatkan puteri. Namun Gulyanag menyangka bunyi tapak kaki yang kedengaran adalah milik Raja lalu membuat keputusan untuk menamatkan riwayatnya dengan melompat dari menara.
Sebuah patung batu lama di dasar Menara Maiden (Qiz Qalasi) di Baku, Azerbaijan. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
MENARA MAIDEN
Pun begitu saya bernasib baik kerana berpeluang mengunjungi Menara Maiden, terletak di pesisir pantai. Yang memisahkannya dari Laut Caspian adalah jalan utama, taman dan Baku Promenade. Menara ini adalah salah satu pintu masuk ke Icheri Sheher, Bandar Tua Baku, yang wujud sekurang-kurangnya pada kurun ke-12.
Icheri Sheher adalah simbol kebanggaan orang Azerbaijan dan terutamanya Menara Maiden, menghiasi mata wang negara ini, yang dikenali sebagai manat. Bandar Tua Baku, termasuk Menara Maiden, diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) pada Disember 2000.
Bangunan itu memaparkan reka bentuk abad pertengahan, dengan menara berbentuk silinder, dibina daripada batu kapur dan bersambung dengan sebuah bangunan panjang dan sempit. Terdapat beberapa bangunan kecil dibina dekat menara utama. Pengunjung dibenar memasuki satu jalan masuk ke tingkat pertama ke dalam sebuah ruang berbentuk bundar, terdapat beberapa barangan tembikar dan sebuah perigi air.
Sebuah tangga berliku terletak di tengah bilik. Dengan membeli tiket, anda boleh menaiki tangga itu untuk ke tingkat-tingkat lain, yang mengandungi lebih banyak maklumat serta barangan bersejarah mengenai menara itu. Tangganya agak sempit dan boleh menyebabkan klaustrofobia. Saya mencari-cari jika ada lif tetapi malangnya tiada, bukan sesuatu yang luar biasa untuk bangunan bersejarah.
Beberapa periuk dan balang, yang ditemui di tapak, dipamerkan di Menara Maiden, atau Qiz Qalasi, iaitu salah satu simbol budaya Azerbaijan yang paling terkenal. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
Melompat dari bumbung Menara Maiden sekarang - anda tidak akan dibenarkan berbuat demikian - tidak akan membuatkan seseorang itu jatuh ke dalam Laut Caspian. Namun beberapa ratus tahun lalu, mungkin air laut ketika itu lebih tinggi, memandangkan Baku terletak 28 meter di bawah paras laut.
Pakar sejarah dan juga seorang wartawan Anar Turan memberitahu Bernama, tidak ada seorang pun yang benar-benar tahu mengapa Menara Maiden dibina.
“Satu misteri. Tidak ada rekod bila menara itu dibina, mengapa dan bagaimana ia mendapat nama, ” katanya menerusi WhatsApp.
Beliau menambah, banyak teori dan merujukkan saya kepada sebuah artikel, ‘The Mystery of the Maiden Tower’ oleh Dr Kamil Ibrahimov, yang diterbitkan dalam majalah Visions of Azerbaijan.
Artikel itu membincangkan kemungkinan menara itu sebuah kuil sebelum kedatangan Islam, dibina oleh penyembah api, atau sebuah menara kawalan, sebahagian daripada dinding kubu Icheri Sheher. Beberapa orang penyelidik mengesyaki menara itu mungkin sebuah balai cerap, memandangkan dari menara itu boleh dilihat langit malam dan terdapat bonjolan batu, kemungkinan kalendar purba.
Tidak juga diketahui berapa umur menara itu, meskipun pakar sejarah menjangka mungkin pembinaannya sekitar kurun ke-4 atau ke-12, atau kedua-duanya.
Perkataan Maiden pula mungkin ada kaitan dengan “kesucian”, yakni “tidak disentuh kejahatan” dalam kepercayaan agama Zoroastrian.
DAHULU DAN SEKARANG
Berjalan meninggalkan menara itu, penulis sampai ke sebuah laman besar dengan sebuah ‘rumah teh’. Anda dengan rasa nyaman boleh menghirup secangkir teh dan makan manisan baklava. Berhampiran terdapat sebuah kedai permaidani terletak di tingkat bawah tanah, dalam salah sebuah ‘caravanserai’ atau rumah penginapan tepi jalan.
Memandangkan Baku adalah salah sebuah persinggahan utama Laluan Sutera, caravanserai berkenaan sudah tentunya amat diperlukan oleh peniaga yang keletihan, kemungkinannya sebagai hab kegiatan perdagangan dan sosial di bandar tua itu.
Sebahagian daripada caravanserai atau rumah penginapan luar yang terletak di sebelah Qiz Qalasi di dalam Kota Lama Baku. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tidak banyak yang berubah sejak masa itu. Menara Maiden dan Bandar Tua Baku masih sibuk, dengan perniagaan penyajian makanan untuk ribuan pengunjung setiap hari. Terdapat 25 buah menara dan lima pintu pagar di tembok kubu itu.
Meneruskan perjalanan melalui sebuah laluan sempit, melewati sebuah kafe kedai buku, menuju ke kedai di tepi jalan. Terdapat tiang tanda menunjukkan pelbagai tempat dalam bandar berkenaan. Saya memilih untuk ke Palace of Shirvanshahs.
Permaidani pelbagai saiz dihampar di atas batu purba, cubaan menarik pengunjung untuk membelinya. Saya memang ada niat untuk membeli tetapi membatalkan hasrat selepas memikirkan betapa rumitnya nanti untuk membawa pulang gulungan permaidani. Cukuplah dengan magnet peti sejuk sebagai tanda saya sudah mengunjungi Baku, Azerbaijan. Saya cuba tawar-menawar dengan penjual barangan cenderahati itu namun dia masih berkeras dengan harga yang diletak. Terpaksalah juga bayar sembilan manat (RM25) untuk tiga magnet.
Permaidani menghiasi ‘caravanserai’ atau rumah penginapan tepi jalan yang ditemui berhampiran Qiz Qalasi, di dalam Kota Berdinding Baku. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Turan, Icheri Sheher masih ada penghuninya dan orang memiliki atau menyewa rumah bersejarah, kedai dan pangsapuri. Beliau berkata, seperti zaman dahulu, masih terdapat hotel, restoran, kafe dan masjid, malahan kedutaan di Bandar Tua itu.
“Kawasan ( di mana) Icheri-Shekher (terletak) didiami sejak Zaman Batu. Pada kurun ke-8, perdagangan serta kraf berkembang pesat di situ,” tambahnya.
Saya tidak nampak banyak kereta kecuali di kawasan tertentu, memandangkan bandar ini menggalakkan orang berjalan. Tidak menjadi masalah bagi saya kerana cuaca musim bunga dingin amat menyegarkan.
KUCING DAN KAITAN DENGAN BANDAR TUA
Ketika berjalan menuju ke istana itu, di luar kedai barangan cenderahati saya terpandang kucing pertama di Baku. Itu sahaja seekor yang saya nampak dalam masa sejam atau lebih.
Saya ada membaca Baku adalah seperti Istanbul, kucing amat popular dan dianggap sebagai haiwan komuniti dan saya berharap dapat melihat kucing-kucing itu. Di Gosha Gala Square, jauh dari laluan ke istana, saya singgah di sebuah kedai roti dan membeli sekeping roti keju berharga 5 manat.
“Mana kucing?” saya bertanya kepada wanita di kedai itu, menggunakan Google Translate. Dia hanya mengangkat bahu serta menggeleng-gelengkan kepala.
Saya boleh nampak salah sebuah pintu pagar ke Icheri Sheher dan tahu saya sudah berjalan jauh. Saya perlu balik ke laluan ke istana jika saya mahu melihat istana itu sebelum langit menjadi gelap. Jalan inilah yang menimbulkan banyak cabaran.
Apa yang saya perhatikan, di bandar berkurun umurnya di wilayah yang mudah dilanda gempa bumi, bandar dibina di atas bukit. Dari segi pertahanan, mungkin ada logiknya. Walaupun anda tinggal di bandar yang di kelilingi tembok, anda mungkin mahu tinggal di tempat tertinggi agar mudah melihat musuh dan mengambil langkah sewajarnya.
Turan mengesahkan perkara ini, dengan menyatakan, Palace of the Shirvanshahs memang dibina di atas tempat paling tinggi di bandar itu.
Bangunan tua serta balkoni yang cantik terdapat di kiri kanan lorong yang sempit dan terdapat benda menarik di dalam kedai-kedai yang ada. Icheri Sheher (Kota Tua Baku) didiami sejak Kurun ke-8. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
Bangunan tua serta balkoni yang cantik terdapat di kiri kanan lorong yang sempit dan terdapat benda menarik di dalam kedai-kedai yang ada. Terdapat sebuah kedai menjual saffron dan rumah teh tradisional serta butik yang nampak bergaya. Di celah-celahnya, ada rumah dan ramai orang tempatan duduk di depan rumah, melihat pelancong mengambil gambar dan pengguna Instagram tidak ketinggalan memuat naik untuk tatapan pengikut mereka.
Ketika saya melangkah ke sebuah lorong kecil, bermula detik cabaran buat saya. Ada ketikanya seperti berjalan mendaki dinding cenuram dan saya perlu berhenti beberapa kali untuk menarik nafas. Ketika itu, kelihatan beberapa orang tempatan berjalan melewati saya, tanpa sebarang masalah. Mungkin saya ada menjeling ke arah mereka.
Saat itulah saya mula terlihat kucing, cantik, berbulu tebal dan mesra. Lagi tinggi saya mendaki jalan, lagi banyak kucing yang saya nampak. Penduduk tempatan dan pelancong sibuk bermain dengan kucing dan mengambil gambar. Si bulus nampaknya sudah biasa dengan gelagat orang ramai dan berlaku manja.
Jadinya, mungkin apabila blog pelancongan mengenai Baku berkata bandar itu bandar kucing, maksud mereka bandar tua?
Akhirnya sampai juga saya ke istana, tetapi kesuntukan masa untuk meninjau di dalam istana itu. Saya bernasib baik, di kawasan luar juga terdapat banyak benda menarik. Di laman dan laluan terdapat permaidani serta kucing. Di sebuah taman kecil berhadapan dengan istana, ada sebuah rumah kecil untuk kucing dan terdapat seekor bulus sedang tidur.
Mungkin bilangan kucing tidak sebanyak seperti di Istanbul, namun lebih banyak kucing di istana ini berbanding di luar sana. Semuanya kelihatan dijaga dengan baik.
Saya mengajukan soalan kepada Turan, yang juga Pengerusi Pusat Pemikiran dan Perkembangan Kebangsaan tentang perkara itu. Beliau menggambarkan sikap orang Azerbaijan terhadap kucing sebagai “mistik”, kebanyakannya kerana Azerbaijan sebuah negara Islam, Kucing mempunyai kedudukan istimewa dalam kalangan orang Islam kerana Nabi Muhammad SAW sayang kucing.
“Memandangkan Shirvanshahs juga negeri yang diperintah menurut Syariah Islam, mungkin mereka juga bersikap sayangkan kucing sebagai haiwan peliharaan, yang mungkin juga berasal dari sini,” katanya.
Penduduk tempatan dan pelancong sibuk bermain dengan kucing dan mengambil gambar. Si bulus nampaknya sudah biasa dengan gelagat orang ramai dan berlaku manja. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
Sementara kunjungan ini mungkin bermula dengan kisah yang tragis - seorang gadis membunuh diri untuk mengelakkan diri berkahwin dengan ayah yang berperangai teruk - pastinya akhir kisah menggembirakan hati, terima kasih kepada si bulus di Icheri Sheher yang menambat hati.
Jika anda ingin berkunjung ke situ, pastikan anda meluangkan masa sehari untuk menjelajah bandar tua. Apabila mahu pulang ke tanah air, mungkin juga anda boleh beli permaidani, gulung dan bawa balik sebagai cenderahati.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff