AHTV Bakal Ubah Tanjong Malim Jadi Hab Automotif Global

S
inonim dengan gelaran Bandar Pendidikan malah pernah juga mendapat julukan 'bandar mati’,  bandar yang terletak di selatan negeri Perak dan bersempadan dengan negeri Selangor ini bakal muncul sebagai hab automotif bertaraf global.

Keyakinan menebal potensi Tanjong Malim untuk mencapai status setaraf  "Motor City Detroit’ dan Wolfsburg di Jerman selaras dengan pembangunan Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang antaranya dirancang mengeluarkan kenderaan tenaga baharu (NEV).

Malah projek berkenaan juga dilapor akan juga dikembangkan merangkumi pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembandaran.

"Realistik biarpun dilihat masih jauh, " demikian kata pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idiris (UPSI), Prof Madya Dr Yazid Saleh ketika berkongsi pandangan dengan Bernama mengenai perubahan landskap Tanjong Malim sebagai hab automotif tersohor negara dan pusat penjanaan ekonomi .

Menurut beliau, pembangunan Tanjong Malim sebagai hab automotif negara akan dipacu oleh dua faktor besar iaitu perpindahan operasi kilang Proton Holdings Berhad (Proton) dari Shah Alam menjelang 2027 dan pelaburan  Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) bersama-sama DRB-HICOM Berhad berjumlah RM40 billion.

“Perpindahan Proton ke Tanjong Malim jika menurut Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad seramai 3,000 pekerja Proton sudah berpindah dari Shah Alam ke Tanjong Malim dan angka itu akan meningkat kepada 10,000 pekerja menjelang 2027.

“Dijangka juga seramai 50,000 orang membabitkan pekerja Proton dan ahli keluarga mereka yang berpindah dari Shah Alam akan menghuni kawasan Proton City pada 2027.

“Pemindahan tersebut turut membawa bersama vendor-vendor Proton sedia ada dan yang baharu,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Untuk rekod, Proton City atau Bandar raya Proton diwujudkan sekitar tahun 1990 dan terletak antara bandar Tanjung Malim dengan Slim River. Pengeluaran kereta Proton di kilang berkenaan sepatutnya bermula pada tahun 1998 namun ditangguhkan kerana krisis kewangan Asia 1997 dan operasi kilang hanya bermula November 2003.

 

AHTV TEROKA PEMBUATAN KERETA GENERASI BAHARU 

Mengulas lanjut mengenai AHTV, Yazid berkata, projek itu meneroka bidang kerjasama baharu termasuk pembuatan kereta generasi baharu menerusi projek membabitkan kawasan seluas 404.69 hektar, seterusnya menjadi pelengkap kepada perancangan di peringkat nasional sebelum ini iaitu Rancangan Fizikal Negara (2005).

Tanjong Malim bakal muncul sebagai hab automotif bertaraf global.

“Tanjong Malim-Proton City di kategorikan sebagai bandar yang mempunyai ciri-ciri tersendiri di bawah kategori ’Bandar Industri Khas’ bersama-sama dengan Peramu (Automobile) dan Kulim (Hitech Industries).

“Ini diperincikan melalui Rancangan Struktur Negeri  (RSN) Perak (2001-2020) yang meletakkan Bandar Proton – Tanjong Malim – Behrang sebagai Lembah Silikon Negeri (dalam konteks Industri Automotif). Serta hieraki petempatannya sebagai Pusat Separa Wilayah Negeri.

“Sekali lagi, penekanan Tanjong Malim sebagai bandar automotif jelas dapat dilihat dalam RSN Perak 2040 melalui Sektor Pertumbuhan Strategik Wilayah NCER yang mana antara strateginya ialah membangunkan Tanjong Malim sebagai pusat automotif terkemuka di Asia Tenggara,” katanya.

Jelasnya, menelusuri perancangan terkini, mengikut perancangan, Proton dan Geely akan mengeluarkan EV (kenderaan elektrik), jadi vendor EV akan bertambah di Tanjong Malim sebab ini teknologi baharu.

“Geely juga dikatakan berhasrat membangunkan sebuah universiti yang akan melatih serta melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan juga teknologi automotif.

“Kesemua ini andainya berjalan dengan lancar akan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan kepada belia tempatan dan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan di Tanjong Malim khususnya, ia akan berlaku dengan rantaian ‘pekerja-gaji-belanja-ekonomi-pembangunan,” katanya.

 

FAKTOR BANDAR PROTON KURANG BERJAYA 

Mengulas mengenai kegagalan Projek Bandar Proton yang dilihat tidak berjaya menaikkan bandar Tanjong Malim, Yazid berkata, Proton sebagai pengeluar kereta pertama Malaysia (sejak ia dikeluarkan pada 1984)  sehingga 2010 mencatat catat keuntungan yang tinggi kerana faktor tiada pesaing dan dasar automotif (cukai import) yang tinggi.

“Namun menjelang AFTA 2010, Dasar Automotif Negara dipinda menyebabkan berlaku liberalisasi harga kereta-kereta di Malaysia.

“Pengurusan polisi yang tidak cekap, dan kerajaan dahulu membenarkan masuk segala kereta tanpa memberi peluang kepada Proton untuk memasuki pasaran luar," menyukarkan Proton untuk menandingi syarikat-syarikat automotif besar dari negara luar.

"Apabila syarikat-syarikat gergasi ini memasuki pasaran, sudah pasti sukar untuk Proton menandingi produk keluaran mereka, ia juga termasuk kemerosotan jualan kerana model dan kualiti produk yang diragui," katanya. .

Beliau menambah, faktor paling ketara ialah apabila pada masa lalu Proton Tanjong Malim hanya memasang beberapa model sahaja iaitu Gen 2, Persona dan Preve (model sejuk yang kurang laku).

 

EMPAT PETUNJUK PERKEMBANGAN PEMBANGUNAN TANJONG MALIM 

Bagaimanapun, Yazid menekankan, perkembangan pelaburan terkini menunjukkan Tanjong Malim sedang menuju pembangunan walaupun ia tidak dilihat sebagai pantas. namun ia sedang berlaku.

Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idiris (UPSI), Prof Madya Dr Yazid Saleh.

“Empat petunjuk utama boleh menjelaskan keadaan ini. Pertama, pertumbuhan penduduk yang berlaku yang mana banci pada 2010 menunjukkan peningkatan 10 tahun kemudian (2020), daripada 50,575 penduduk kepada 76,688 orang.

“Kedua ialah Perubahan Guna Tenaga, pada tahun 1980, jumlah pekerja sektor pembuatan hanyalah sebanyak (6.7 peratus), namun pada tahun 1991, jumlah pekerja sektor pembuatan ialah sebanyak (7.4 peratus) dan meningkat 10.6 peratus pada 2000 dan 18.5 peratus pada 2010. Jumlah ini dijangka meningkat sehingga 20 hingga 21 peratus pada 2020,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sektor perkhidmatan pada tahun 1980 hanya menyumbang 5.7 peratus, namun pada tahun 2000, ia meningkat kepada 15.5 peratus, 17.3 peratus pada tahun 2010 dan jangkaan 18 sehingga 19 peratus pada tahun 2020.

“Petunjuk seterusnya ialah perubahan guna tanah. Walaupun 51 peratus dalam Daerah Muallim adalah pertanian, namun bila fokus kepada Tanjong Malim-Proton City, guna tanah banyak berubah. Komersial dan kediaman sudah mula menggantikan guna tanah pertanian dan perindustrian adalah guna tanah utama di Proton City.

Keempat, perubahan penawaran barangan dan perkhidmatan, bandar kecil lazimnya hanya tawar barangan asas untuk penduduk dan sektor pertanian, namun di Tanjong Malim keadaan berbeza, akhir-akhir ini barangan dan perkhidmatan pada aras tinggi mula bertapak di sini,” katanya.

 

PERANAN UPSI DALAM PEMBANGUNAN TANJONG MALIM 

Tidak boleh dinafikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memainkan peranan penting dalam memantapkan pembangunan Tanjong Malim dari kekal menjadi daerah 'bandar mati' .

“Tidak adil untuk mengatakan Tanjong Malim sebagai ‘bandar mati’, ini kerana bandar mati itu adalah bandar yang kehilangan fungsi dan penduduk.

“Kalau di Perak, bandar mati adalah bandar-bandar yang asalnya adalah kawasan bijih timah seperti Temoh, Chenderiang begitu juga Sungai Lembing di Pahang dan lain-lain.

“Cuma pembangunan Tanjong Malim itu adalah agak perlahan dan perubahannya bukan bersifat drastik,” katanya sambil menambah, UPSI dalam konteks ini membawa perubahan asas ekonomi Tanjong Malim berubah dari primer (yang utama) berubah kepada services (perkhidmatan).

Beliau menjelaskan, ia berlaku melalui pekerja dan pelajar membawa kepada kewujudan kesan pengganda yang akhirnya menbawa banyak perubahan dari segi fizikal dan penawaran barangan dan perkhdimatan kepada Tanjong Malim

“Secara keseluruhan, kehadiran ramai pelajar dan pekerja UPSI memesatkan pertumbuhan penduduk dan ekonomi Tanjong Malim. 

“UPSI membawa masuk pendapatan dari luar kawasan kerana gaji yang diterima oleh pekerja sebahagian besarnya adalah bersumber daripada kerajaan pusat,” jelasnya.

Pemandangan ketika tinjauan di sekitar Tanjong Malim.

Menurut beliau, pelajar turut berperanan membawa masuk pendapatan dari luar kawasan terutamanya melalui bantuan pinjaman pengajian mereka.

Sekiranya seorang pelajar menerima bantuan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), jumlah pinjaman yang diterima oleh setiap pelajar (sebelum ditolak yuran pengajian) bagi setiap semester selama lapan semester di UPSI ialah kira-kira RM3,500 per semester.

Kewujudkan UPSI juga membawa kepada perkembangan sektor-sektor sampingan seperti katering, pembersihan dan di samping pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Dari segi sumbangan perbelanjaan pula, ambil kira-kira mudah, seorang pelajar UPSI berbelanja RM10 sehari untuk perbelanjaan harian x 30 hari = RM 300, sejumlah 21, 558 pelajar Ijazah Sarjana Muda dan 2,424 pelajar diploma 23,682, ambil genap 23,000, jadi RM300 x 23,000 = RM 6.9 juta sebulan dibelanjakan di Tanjong Malim (tidak termasuk kakitangan), kerana itu penawaran barangan dan perkhidmatan di Tanjong Malim turut dicorakkan oleh UPSI,” katanya.

 

PROTON PERLU ‘GO GLOBAL’ DAN FOKUS PEMBANGUNAN

Bagaimanapun, katanya, seiiring pelaburan yang dicurahkan, Proton sendiri perlu mempunyai perancangan masa depan tersendiri termasuk mula merancang menempatkan syarikat itu di persada dunia (menjadi jenama dunia).

Sementara itu, pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI Muhammad Nadzir Ibrahim berpandangan, strategi Proton untuk menjadi antara tiga syarikat automotif terbesar ASEAN menjelang 2027 dengan rancangan memasuki semula dua pasaran terbesar rantau ini iaitu Indonesia dan Thailand adalah sangat baik dan menjadi asas kepada hasrat ini.

“Jika ini berjaya, nescaya hasrat itu akan tercapai, Proton sendiri harus bersedia mengeluarkan produk yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Bandar raya Proton.

Menyentuh mengenai perancangan pembangunan di Tanjong Malim, Nadzir berpandangan, fokus perlu dberikan kepada penyediaan infrastruktur untuk masyarakat dan kemudahan lain seperti rumah mampu milik dan sekolah baharu yang perlu disegerakan dari sekarang.

Selain itu, perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu ditambah baik, isu-isu alam sekitar seperti sampah, longkang dan rumput tidak boleh dipandang ringan.

“Walaupun mungkin pada masa kini aduan ketidakpuashatian terhadap perkhidmatan masih rendah namun persediaan itu penting kerana semakin ramai penduduk, semakin banyak ragamnya nanti.

“Kesemuanya berperanan untuk menampung keperluan dan memberi keselesaan kepada penduduk yang dijangka akan semakin bertambah.”

“Pada masa kini, isu-isu kecil pembandaran juga sudah mula di kesan seperti banjir kilat, pencemaran sungai dan pihak berkaitan perlu bersedia melihat isu ini,” katanya.

Beliau menambah, banyak lagi keistimewaan Tanjong Malim yang boleh dibangunkan sebagai eko-pelancongan seperti UPSI Adventure Park dan Ujana Muallim dan Sg Bil.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.