Jadikan Rumah Kos Rendah, Unit Berstrata Lebih "Hijau", Tambah Baik Pengalihudaraan

<
strong>Artikel ini adalah yang terakhir daripada laporan khas dua bahagian tentang kesan cuaca panas ke atas penghuni pangsapuri kos rendah tanpa sistem pengalihudaraan. Artikel ini menumpukan pada strategi yang disyorkan oleh pakar bagi mencegah bangunan kediaman berstrata menjadi “pulau haba bandar”.

 

Selepas lebih 11 tahun tinggal di pangsapuri kos sederhana, pereka seni bina Huda Mahmud amat memahami cabaran dihadapi oleh keluarga B40 yang mendiami unit kecil bangunan berstrata semasa cuaca panas.  

“Saya suka sinaran matahari tetapi tidak tahan dengan bahang di dalam rumah. Apabila berada di rumah, saya tidak akan berenggang kipas tangan yang saya guna untuk sejukkan badan.

“Walaupun saya hendak galakkan kaedah penyejukan pasif di rumah kecil, yang sebenarnya sangat ideal dan boleh dilakukan, saya akui reka bentuk kediaman sekarang tidak memenuhi keperluan pengalihudaraan yang cekap.

“Oleh sebab itulah kebanyakan penghuni rumah kos rendah memilih pengalihudaraan mekanikal dengan memasang pendingin hawa dan turbin bumbung bagi memberi kelegaan segera daripada bahang,” kata wanita berusia 45  itu yang menetap di Rawang, Selangor kepada Bernama.

Menurut laporan media, gelombang haba yang melanda Malaysia sekarang dijangka berterusan selama beberapa bulan lagi.

Pada 2 Mei lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata fenomena El Nino yang sedang berlaku di negara ini dijangka berterusan hingga dua bulan akan datang. Beliau juga berkata ramalan cuaca membayangkan tahun ini mungkin menjadi tahun terpanas negara.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan dijangka bertambah kering dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pada 25 Mei, MetMalaysia mengeluarkan amaran gelombang haba Tahap Satu di tiga daerah di Semenanjung Malaysia serta dua di Sabah, selepas masing-masing merekodkan suhu maksimum 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Pada 26 Mei, 13 daerah di Semenanjung Malaysia serta dua di Sabah mencatatkan suhu Tahap Satu, dan pada keesokannya, meningkat kepada 21 daerah di Semenanjung, namun hanya satu di Sabah.

 

KURANGKAN BAHANG DALAM RUMAH

Mereka yang tinggal di pangsapuri dan flat kos rendah dengan keluasan lantai 900 kaki persegi ke bawah, lebih merasai kesan gelombang haba berbanding yang lain, disebabkan bangunan mereka amnya direka bentuk berdasarkan kecekapan kos, iaitu lebih kompak dan sesak serta tidak mempunyai kitaran udara dan sistem pengalihudaraan yang baik.

Dalam kes Huda, dia cuba mengekalkan kesejukan di dalam kediamannya dengan membuka kesemua tingkap pada awal pagi agar udara sejuk dapat masuk dan menutup kesemua jendela pada sebelah petang untuk menghalang kemasukan udara panas.

Kebanyakan pangsapuri dan flat kos rendah mempunyai keluasan lantai 900 kaki persegi ke bawah

“Saya juga membuka tingkap pada waktu malam agar udara sejuk dapat masuk, dan ini merendahkan sedikit suhu di dalam rumah. Saya turut menggunakan langsir separa gelap dan langsir muslin atau bidai bagi mengurangkan kadar sinaran matahari ke dalam rumah, tetapi pada masa sama masih ada cahaya semula jadi,” katanya.

Berkongsi beberapa tip tentang perkara yang dapat dilakukan oleh penghuni untuk menyejukkan rumah mereka, Huda berkata mengecat dinding dengan warna terang juga mampu mengurangkan penyerapan haba, dan jika pihak pengurusan pangsapuri benarkan, penghuni boleh memasang sengkuap di bahagian atas tingkap.

Bagi Huda, pengalihudaraan yang baik bermakna membenarkan kemasukan udara sejuk dan menolak keluar udara panas yang terkumpul di dalam rumah.

“Bagi mendapatkan keadaan ini, kaedah mudah ialah membuat bukaan di bahagian bawah dan atas dinding luar, seperti pintu dan tingkap, namun bergantung juga pada lokasi bukaan ini dibuat bagi mempermudah pengalihudaraan silang.

“Dengan dua hingga empat unit kediaman di setiap tingkat (bangunan pangsapuri), pelan lantai direka bentuk bagi membenarkan pengalihudaraan silang berlaku dari depan ke belakang unit,” jelasnya, menambah penanaman tumbuhan hijau di premis juga dapat menapis bahang. 

Bagaimanapun kata Huda, reka bentuk perumahan telah berubah sekarang, dari rumah pangsa tanpa lif kepada pencakar langit dengan lif. Dahulu, hanya ada dua hingga empat unit kediaman bagi setiap aras, kini terdapat 16 hingga 22 unit di setiap tingkat.  

“Keadaan ini berlaku kerana pemaju mahu memaksimumkan penggunaan lantai dengan menempatkan sebanyak mungkin unit di setiap tingkat,” katanya.  

Beliau berkata di kebanyakan bangunan tinggi atau pangsapuri, unit kediaman dibina di sepanjang koridor utama, bermakna pintu utama setiap unit menghadap pintu utama unit bertentangan. Bagaimanapun, atas faktor privasi dan keselamatan, penghuni lazimnya menutup pintu rumah mereka, sekali gus meminimumkan pengalihudaraan di dalam rumah.  

 

IMPLIKASI KOS, TIADA INSENTIF

Kebanyakan pakar yang ditemu bual Bernama bersetuju bahawa pengalihudaraan semula jadi telah menjadi komponen utama bangunan pada hari ini, terutama pangsapuri mampu milik, dalam usaha menyediakan kaedah cekap kos bagi menjimatkan tenaga selain memberikan udara segar kepada penghuni.

Pengalihudaraan semula jadi amnya bermakna menggunakan strategi pasif bagi menyalurkan udara di luar ke dalam bangunan untuk pengalihudaraan dan penyejukan tanpa menggunakan sistem mekanikal.

Kebanyakan penghuni pangsapuri akan memilih untuk memasang pendingin hawa untuk menyejukkan bahagian dalam rumah mereka

Bagaimanapun, kebanyakan skim perumahan mampu milik di Malaysia - yang dari jauh kelihatan seperti sarang burung merpati - direka bentuk dengan cara yang tidak membenarkan pengalihudaraan semula jadi.

Menurut laporan Institut REHDA  bertajuk  “Affordable Housing II – Closing the Gap: A Strategic Approach to Balancing Supply & Demand” yang dilancarkan pada 14 Mei lalu, walaupun semakin banyak permintaan agar bangunan diakreditasikan sebagai mesra alam sekitar, iaitu dengan mendapatkan pensijilan bangunan hijau yang turut mensyaratkan pengalihudaraan semula jadi sebagai antara elemen bangunan - aspek itu tidak diutamakan oleh pemaju dalam membina perumahan mampu milik di Malaysia. 

(Institut REHDA adalah pusat latihan, pendidikan dan penyelidikan milik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan [REHDA] Malaysia).

Pengarah Pendidikan dan Penyelidikan Institut REHDA Malathi Thevendran berkata hal ini disebabkan pelaksanaan aspek itu memerlukan kos yang besar.

“Pemaju telah menerima guna beberapa aspek ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) di beberapa projek perumahan mampu milik terpilih, dengan inisiatif ESG berkaitan alam sekitar yang menjadi pilihan adalah kecekapan tenaga, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman,” katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, ada kekangan terhadap pelaksanaan ESG di skim perumahan mampu milik.

Merujuk laporan 14 Mei, Malathi berkata 82 peratus pemaju berasakan kekangan itu disebabkan oleh implikasi kos, sementara 45 peratus lagi menyatakan ketiadaan insentif kerajaan, 21 peratus berkata ketiadaan bahan lestari tempatan, 15 peratus memetik kesedaran awam yang rendah, dan 15 peratus menyatakan tidak ada kepakaran. 

 

PENGALIHUDARAAN SEMULA JADI

Pensyarah kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata projek perumahan mampu milik pada masa akan datang harus mengambil kira orientasi bangunan bagi memaksimumkan pengalihudaraan semula jadi dan meminimumkan kemasukan haba.

“Mereka bentuk bangunan dengan teduhan yang mencukupi, balkoni dan laluan pengalihudaraan dapat meningkatkan keselesaan di dalam rumah.

“Melaksanakan ‘bumbung hijau’ (membina taman di atas bumbung) serta dinding ruang tamu (meletakkan pokok hiasan yang ditanam di dalam pasu atau bahan khas yang ditampal di dinding), akan membantu menebat bangunan dan mengurangkan penyerapan haba. Sistem sebegini menyediakan penyejukan semula jadi dan meningkatkan kualiti udara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tanam pokok dan tumbuhan hijau di sekeliling bangunan bagi menyediakan teduhan dan mengurangkan kesan pulau haba bandar.

Beliau berkata penebatan yang sempurna pada dinding dan bumbung, iaitu kaedah cekap kos bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan keselesaan, juga dapat menurunkan suhu dalaman dengan mencegah kemasukan haba secara melampau pada waktu siang dan menurunkan suhu pada waktu malam.

“Menggunakan bahan yang sejuk untuk bumbung, yang memantulkan cahaya dan kurang menyerap haba, dapat merendahkan suhu bumbung dan mengurangkan perpindahan haba ke dalam bangunan. Bahan bumbung yang berwarna cerah serta memantul amat berkesan,” katanya. 

Elemen reka bentuk lain yang dapat disepadukan dalam pembangunan perumahan baharu adalah prinsip solar pasif seperti penempatan tingkap dan teduhan yang strategik mampu membantu mengawal suhu dalaman secara semula jadi, tambah beliau.

  Mohd Shahrul yang juga pakar kualiti udara, menyarankan agar pemaju bangunan berstrata menanam pokok dan tumbuhan  lain di sekeliling bangunan bagi menyediakan teduhan dan mengurangkan kesan pulau haba bandar.

Beliau berkata bangunan yang terletak di kawasan berpenduduk padat biasanya menerima kesan pulau haba bandar, di mana suhu adalah lebih tinggi disebabkan oleh kepadatan bangunan, asfalt dan kekurangan tumbuhan.

“Kompleks pangsapuri berkepadatan tinggi lazimnya mempunyai aliran udara dan pengalihudaraan yang terhad, membawa kepada peningkatan suhu dalaman. Isu ini boleh diatasi dengan memberikan jarak bersesuaian di antara bangunan serta menggembleng elemen yang dapat menggalakkan pengalihudaraan silang dalam reka bentuk,” tambahnya. 

 

MITIGASI JANGKA PANJANG

 

Andrew Tirta, prinsipal dan pengarah VERITAS Indonesia, firma yang menawarkan penyelesaian reka bentuk cekap kos kepada pemaju hartanah, berkata pemaju boleh melaksanakan mitigasi jangka panjang dengan memilih bahan bangunan lestari tempatan yang mempunyai faedah penebatan haba bagi menambah baik kecekapan tenaga dan keselesaan.

“Mereka boleh guna bahan dengan tenaga terwujud yang rendah dan berketahanan tinggi bagi mengurangkan kesan alam sekitar serta kos penyelenggaraan,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel.

Prinsipal dan pengarah VERITAS Indonesia, Andrew Tirta,

Andrew yang merupakan arkitek bertauliah di Indonesia, juga berkata penggunaan pendingin hawa yang tinggi di kawasan perumahan berkepadatan tinggi boleh menyumbang kepada kesan pulau haba bandar, di mana kawasan berkepadatan tinggi “menyimpan” lebih banyak haba berbanding kawasan sekitar, mengakibatkan suhu lebih tinggi dan risiko kesihatan.

“Bagaimanapun, jika perlu (memasang pendingin hawa), dinasihatkan agar memasang sistem HVAC cekap tenaga bagi meminimumkan penggunaan tenaga dan kos operasi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahrul berkata penggunaan meluas pendingin hawa (AC) boleh menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau dan memburukkan lagi perubahan iklim kerana alat itu melepaskan haba ke persekitaran.

“Kebanyakan unit AC menggunakan bahan penyejuk yang merupakan gas rumah hijau yang kuat seperti karbon tetraklorida, hidroklorofluorokarbon dan klorofluorokarbon yang boleh menyebabkan penipisan ozon.

“Sekalipun model AC terkini lebih mesra alam, pelupusan yang tidak kena dengan cara serta kebocoran masih boleh mendatangkan ancaman kepada  alam sekitar,” katanya.

Mohd Shahrul turut menyarankan agar kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menyediakan insentif bagi memasang penyelesaian penyejukan cekap tenaga di bangunan sedia ada dan melaksanakan langkah penyejukan pasif.

Katanya, badan pengurusan atau persatuan penduduk harus menggalakkan komuniti mereka terlibat dalam usaha kolektif menambah baik persekitaran kediaman mereka dengan menanam pokok.

“Perlu dijalankan lebih banyak kempen kesedaran tentang langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh pemilik rumah untuk menangani kepanasan melampau di dalam rumah. Kempen pendidikan juga boleh memberikan ilmu kepada pemilik rumah untuk membangunkan penyelesaian sendiri,” katanya.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.