Usaha Diperhebat Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah

M
ungkin bagi sesetengah orang tandas bersih dan selesa itu perkara biasa namun bagi para pelajar di tiga buah sekolah ini, perasaan gembira dan teruja jelas terpancar seakan mereka memperolehi hadiah yang amat bermakna.

Akhirnya mereka dapat menggunakan tandas sekolah yang lebih baik keadaannya, hasil daripada kerja penyelenggaraan yang berjaya diselesaikan hanya dalam tempoh beberapa bulan.

Reaksi ini dapat dilihat ketika tinjauan Bernama di sekolah berkenaan iaitu dua di bandar raya ini, Sekolah Menengah Maktab Sabah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Inanam Dua, serta SK Simpang, yang terletak jauh di pedalaman Tenom, Januari lepas.

Tinjauan itu dikelola oleh Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan rata-rata pelajar yang ditemui berasa seronok kerana dapat menggunakan tandas berwajah baharu dan tidak lagi berdepan dengan masalah berkaitan paip air, pintu tandas rosak serta bau busuk.

 

JADI MOTIVASI

Jika diamati, ada pengurusan sekolah menggunakan sepenuhnya peruntukan dengan memberi fokus kepada kefungsian tandas menerusi penambahan bilangan pintu tandas sementara tidak kurang juga yang menjadikan tandas sekolah seperti tandas hotel.

Sekolah berkenaan menerapkan konsep Bersih, Menarik dan Wangi agar ia memberi persekitaran tandas yang kondusif dan selesa kepada pelajar. Ini termasuk menggunakan jubin berwarna cerah dengan pencahayaan lebih baik ditambah hiasan bingkai gambar dan pokok hiasan, selain pewangi di setiap ruangan tandas.

Apa yang menarik perhatian bukan hanya hasil kerja penyelenggaraan, tetapi semangat dan motivasi setiap pelajar untuk memikul tanggungjawab menjaga kebersihan bagi mengekalkan keceriaan tandas sekolah mereka.

Tandas Sekolah Menengah Maktab Sabah di Kota Kinabalu berwajah baharu selepas kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, projek penyelenggaraan tandas sekolah melibatkan kerja-kerja membaik pulih tandas bagi 8,354 sekolah di seluruh negara dengan peruntukan RM630.77 juta bermula pertengahan Julai 2023.

Ia selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kemudahan tandas bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan "Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat" pada Oktober 2023, Perdana Menteri berkata, tidak boleh diterima akal selama ini anak-anak dibiarkan mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas rosak dan uzur.

Beliau memberi jaminan untuk meneliti dan mempercepat usaha menyelesaikan masalah tandas sekolah demi kesejahteraan pelajar, lebih-lebih lagi, selepas seorang murid berusia sembilan tahun bernama Maryam menulis surat kepada beliau menceritakan keadaan tandas di sekolahnya.

 

KAYU UKUR

Kerja menyelenggara kerosakan kemudahan tandas di tiga sekolah itu menunjukkan ia mampu disiapkan segera tanpa sebarang kelewatan dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, kejayaan itu boleh menjadi kayu ukur terutama dalam konteks membaik pulih bangunan sekolah daif di negeri itu.

Untuk itu, Raisin mahu setiap kerja membaik pulih bangunan sekolah daif di Sabah ketika ini disiapkan mengikut jadual ditetapkan supaya setiap masalah kekurangan prasarana dapat diselesaikan secara cekap.

“Prasarana sekolah yang baik penting untuk persekitaran berkualiti kepada pelajar dan sekolah sebagai asas kepada pembangunan modal insan seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, sahsiah dan intelek,” katanya kepada Bernama.

Menurut Raisin, JPNS bertekad membina landskap baharu pendidikan di bawah Pelan Strategik Hala Tuju Sepakat Sabah Hebat dengan sembilan fokus dikenal pasti untuk dicapai dan diselesaikan.

Perancangan infrastruktur pembangunan dan perolehan menjadi antara fokus utama agar peruntukan disalurkan bagi menjalankan projek penyelenggaraan dan dibelanjakan secara optimum untuk memastikan sasaran JPNS ke arah sifar sekolah daif di Sabah menjelang 2029 tercapai.

Sebuah sekolah rendah di Kota Belud yang masih menggunakan struktur bangunan kayu

Justeru, beliau mengingatkan pegawai-pegawai JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) agar segala peruntukan kepada Sabah digunakan segera bagi memastikan faedahnya dapat dinikmati pelajar pada tahun semasa.

JPNS, katanya, sentiasa mengenal pasti bangunan sekolah daif dan dalam masa sama memastikan kerja penyelenggaraan dijalankan di setiap sekolah yang belum lagi masuk dalam kategori skala enam atau tujuh, bagi menjamin keselamatan dan memanjangkan hayat bangunan sedia ada.

(Skala 6 merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dilakukan oleh PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) manakala skala 7 merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).)

Berdasarkan data dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada April lepas, sebanyak 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif diselesaikan di Sabah sehingga kini.  Angka itu menyaksikan penurunan ketara berbanding 414 sekolah dikesan pada skala enam dan tujuh yang dimulakan secara komprehensif pada tahun 2020.

Sementara itu, 60 projek lagi sedang dalam proses pembinaan dan dijangka selesai tidak lama lagi, manakala baki 60 projek, sedang dalam peringkat prabina.

“Jumlah peruntukan menangani isu sekolah daif di Sabah juga turut meningkat menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12, sementara keperluan pembaikan sekolah daif serta penyelenggaraan bangunan sekolah akan terus diangkat dalam RMK13,” kata Raisin.

Setakat ini, seramai 514,070 pelajar di Sabah menikmati prasarana sekolah lebih baik berdasarkan bilangan sekolah daif yang dinaik taraf dan peruntukan projek penyelenggaraan prasarana sekolah harian biasa disalurkan kepada negeri itu.

JPNS, katanya,  turut menjalin hubungan baik dengan kerajaan Sabah merangkumi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta bagi mencapai sasaran sifar sekolah daif di Sabah.

 

CABARAN INFRASTRUKTUR

Mengulas cabaran prasarana sekolah di Sabah, Raisin berkata, ada bangunan menempatkan kelas dan bilik pembelajaran lain yang sangat daif kerana diperbuat daripada kayu dan ia masih digunakan walaupun sudah mencecah usia lebih 50 tahun termasuk sekolah di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu.

“Ini memberi gambaran keadaan sekolah daif pada skala enam dan tujuh masih agak tinggi di Sabah. Ada juga sekolah terkesan akibat banjir serta bencana alam lain seperti runtuhan cerun dan menyebabkan bangunan rosak serta memerlukan pembaikan segera, ”katanya.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin

Selain berdepan cabaran kekurangan bilik darjah khususnya dalam usaha memperluas permintaan pembukaan prasekolah dan pendidikan khas, terdapat juga kekurangan peralatan makmal sains dan reka bentuk teknologi menyebabkan ada bilik di sekolah tidak dapat digunakan sebaiknya.

Sabah dilaporkan mempunyai lebih 1,200 sekolah di seluruh negeri, dengan menyaksikan pelbagai ciri bangunan iaitu ada yang dalam keadaan baik, ada yang memerlukan penyelenggaraan dan ada yang dikategorikan sebagai daif.

Untuk menangani masalah ini, Raisin berkata, JPNS menggariskan rancangan jangka panjang dan pendek demi menjamin keselamatan warga sekolah serta memacu kualiti pengajaran dan pembelajaran di Sabah.

Untuk jangka pendek, jabatan itu memohon peruntukan melaksanakan penyelenggaraan di sekolah yang mempunyai bangunan berskala lima dan enam bagi memanjangkan jangka hayat bangunan, peruntukan kecemasan bagi penyelenggaraan segera sekolah terlibat bencana serta permohonan keperluan peralatan makmal sains, reka bentuk teknologi dan kemudahan sukan di sekolah memerlukan.

Bagi rancangan jangka panjang, JPNS akan terus mengangkat permohonan sekolah daif dengan memberi fokus kepada sekolah pada skala tujuh yang mendapat pengesahan tidak selamat dan tidak ekonomi untuk dibaiki.

“Tumpuan permohonan peruntukan turut diberikan kepada bangunan tambahan seperti prasekolah dan asrama, selain rawatan tanah bagi sekolah yang berada di kawasan tanah cerun.

“Permohonan sekolah baharu juga akan diangkat sebagai usaha menangani isu sekolah padat yang dapat menampung permintaan penduduk setempat, selain permohonan bangunan pejabat PPD,” katanya menambah, langkah itu bertujuan menangani isu pejabat PPD yang masih menumpang bangunan, menyewa bangunan serta keadaan bangunan PPD yang tidak selamat atau usang.

 

PERLU PERHATIAN SEGERA

Setiap perancangan rapi dan holistik yang disediakan menerusi Landskap Baharu Pendidikan Sabah dan dilancarkan pada Januari lepas, diharap dapat dicapai terutama melibatkan usaha mensifarkan sekolah daif.

Menurut Raisin, jabatannya mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak khususnya KPM dan Kementerian Ekonomi, serta mendapat kerjasama kerajaan Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur negeri serta Jabatan Kerja Raya Sabah.

Ini, katanya, amat penting bagi mempercepat proses permohonan dan pelaksanaan projek sekolah daif sebagai tanda komitmen bersepadu menyelesaikan permasalahan itu daripada terus membelenggu Sabah.

“Dengan adanya sokongan penuh pelbagai pihak, saya amat mengharapkan agar kita mampu melahirkan modal insan yang unggul melalui persekitaran pembelajaran menyeronokkan.

“Selain turut disokong kepimpinan berkualiti dan berwawasan, guru kompeten dan beraspirasi tinggi serta komitmen ibu bapa dan komuniti yang padu,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan Sabah konsisten menangani dan berusaha menoktahkan isu sekolah daif yang sudah lama membelenggu sektor pendidikan di negeri itu.

Beliau yang juga Exco Pendidikan Sabah baru-baru ini turun padang meninjau keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau yang terletak kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar, yang tular di media sosial awal tahun ini berikutan struktur bangunan yang daif dan tidak selamat.

Mohd Arifin berkata, JPNS telah memohon dana kecemasan kira-kira RM500,000 bagi menangani masalah itu selain KPM turut memberi maklum balas mengenai isu tersebut untuk menyegerakan permohonan peruntukan bagi membaiki kemudahan dan infrastruktur di sekolah rendah berkenaan.

Di sebalik pelbagai usaha yang dijalankan, masih banyak lagi isu bangunan sekolah daif di Sabah, tidak kira berhampiran bandar mahupun terletak jauh di pedalaman.

Kesemua sekolah terbabit memerlukan perhatian sewajarnya untuk memastikan setiap masalah infrastruktur dialami diselesaikan dan kemudahan lengkap disediakan memandangkan prasarana sekolah kondusif serta selamat amat penting dalam memperkasa pendidikan negeri ini.

Meskipun pembangunan prasarana sekolah terletak di bawah tanggungjawab KPM, Mohd Arifin berkata, kerajaan Sabah sentiasa prihatin dan mengambil perhatian serius tentang perkara tersebut.

Hasrat kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga jelas dalam isu memastikan akses pendidikan sama rata kepada anak-anak Sabah khususnya menerusi prasarana sekolah lengkap, kondusif dan selesa ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.

“Ini kerana usaha menaik taraf infrastruktur sekolah turut menjadi antara intipati terangkum dalam pembangunan modal insan menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), ” katanya.

Ia  juga seiring dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu sekolah daif bagi memastikan semua pelajar mendapat pendidikan lebih baik seiring arus pembangunan dan tranfromasi digital melalui penyediaan infrastruktur sekolah lebih kondusif.

“Matlamat kerajaan Sabah mengenai pembangunan modal insan dan prasarana sekolah sememangnya selari serta seiring dengan usaha Kerajaan Perpaduan yang ingin menambah baik fasiliti pembelajaran.

“Kerajaan Sabah sentiasa mengambil inisiatif membantu sekolah yang memerlukan penambahbaikan prasarana termasuk melalui beberapa agensi negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

 

KUKUH KERJASAMA

Infrastruktur sekolah daif akan hanya menyebabkan pelajar bukan sahaja tidak mampu menikmati sesi pembelajaran sempurna dan selesa tetapi juga memberi cabaran dalam usaha merapatkan jurang antara pengetahuan dan kemahiran dengan keperluan industri.

Dalam hal ini, Mohd Arifin berkata, Sabah akan terus memperkukuh kerjasama dengan KPM menerusi JPNS bagi memastikan negeri ini terus diberi keutamaan dalam pemberian peruntukan penyelenggaraan dan penggantian bangunan sekolah daif memandangkan bilangannya masih agak tinggi.

Dalam masa yang sama, beliau turut berpendapat kerjasama rentas agensi antara kementerian dan jabatan lain serta GLC dan syarikat swasta perlu terus diperkasa.

Beliau juga menekankan bahawa budaya bekerja secara silo bukanlah pendekatan sesuai, sebaliknya semua entiti perlu membentuk kerjasama bersepadu sebagai satu pasukan bagi memastikan masalah sekolah daif di Sabah dapat diselesaikan secara tuntas.

Isu berkenaan, tegasnya, mampu dinoktahkan melihat kepada kesungguhan JPNS meletakkan sasaran untuk mensifarkan sekolah daif yang dikategorikan pada skala tujuh dalam masa lima tahun.

Ini memandangkan bilangan sekolah daif di Sabah yang masih banyak, selain penyelenggaraan bangunan sekolah perlu mengambil kira faktor masa dan peruntukan besar.

Beliau turut berharap Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan permohonan projek sekolah daif yang dikemukakan JPNS terutama untuk disenaraikan dalam Rancangan Malaysia bagi memastikan aspirasi tersebut dapat dicapai agar tidak ada lagi bangunan sekolah daif di Sabah menjelang 2029.

Selain menangani isu sekolah daif, kata beliau, Landskap Baharu Pendidikan Sabah turut menggariskan usaha untuk memastikan Sabah mencapai sekurang-sekurangnya 4.99 gred purata negeri dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

“Kedua-dua iltizam ini juga adalah matlamat kerajaan Sabah yang ingin melahirkan lebih ramai pelajar berkualiti dalam bidang akademik sesuai dengan bidang pengetahuan dan kemahiran serta mewujudkan kepadanan antara penawaran dan permintaan dalam pasaran pekerjaan,” jelasnya.

Mohd Arifin berharap isu sekolah daif di Sabah dapat diselesaikan ke arah meningkatkan kemenjadian murid di negeri ini seiring dengan hasrat membina landskap baharu pendidikan itu.

Beliau berkata, pendidikan serta pembangunan modal insan berilmu serta berkemahiran mampu menjadi elemen penting dalam membantu mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan, seterusnya menghapuskan kemiskinan bergenerasi, selain menyelesaikan masalah sosial dan kemunduran.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.