NADI Perkasa Komuniti Semporna Juga Penduduk Pulau

I
nisiatif kerajaan meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti termasuk kawasan luar bandar melalui pendedahan berkaitan kemahiran digital adalah langkah tepat untuk mereka mendepani era modenisasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Justeru, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) atau sebelum ini dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang diterajui Kementerian Komunikasi dilihat sebagai usaha berterusan untuk merealisasi hasrat kerajaan itu.

Sehingga kini terdapat 911 buah NADI di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diwujudkan di negara ini termasuk 118 di Sabah (dengan lima di Semporna).

Pengarah MCMC Sabah Ratnawaty Talib menjelaskan, NADI bermula dengan menyediakan perkhidmatan Internet secara kolektif kepada komuniti sebagai salah satu usaha untuk merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.

Namun begitu, peranan NADI kini ditransformasikan menjadi pusat bagi merapatkan jurang pengetahuan dengan memperkasakan komuniti setempat melalui pelbagai program serta latihan termasuk program keusahawanan, peningkatan kemahiran, kesihatan kendiri termasuk berkaitan advokasi.

"NADI juga berperanan untuk komuniti setempat mendapatkan maklumat yang betul dan tepat berkaitan inisiatif kerajaan," katanya dalam menjawab pertanyaan yang diajukan Bernama menerusi emel mengenai penubuhan NADI di Sabah.

 

TINGKAT KESEJAHTERAAN TINGGI

Menurut Ratnawaty lagi, NADI juga menjadi paksi untuk komuniti sekitar meningkatkan kesejahteraan hidup termasuk sosioekonomi, dan sebagai contoh, di Semporna, lima NADI diwujudkan dengan hasrat memperkasa penduduk Semporna termasuk yang tinggal di pulau-pulau.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tiga, kiri) bertanya sesuatu kepada penduduk yang menggunakan kemudahan komputer dan internet yang terdapat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sewaktu melawat pusat tersebut di Kampung Terusan Tengah, Pulau Bum-Bum baru-baru ini.

"Terdapat lima NADI di Semporna termasuk sebuah NADI yang kini beroperasi di pulau iaitu Pulau Bum Bum yang terletak di Kampung Terusan Tengah. Selain itu, terdapat tambahan sebuah lagi NADI baharu di Kampung Gelam-Gelam yang terletak di pulau yang sama.

"NADI Kampung Gelam-Gelam kini sedang dalam fasa pelaksanaan dan dijangka beroperasi pada penghujung 2024, tambahan NADI itu bakal memberikan manfaat kepada penduduk pulau itu," katanya.

Empat NADI lain terletak di tanah besar Semporna iaitu NADI Kampung Bubul Lama, NADI Kampung Menteritip, NADI Kampung Bugaya dan NADI Kampung Tagasan Tani.

 

PENDUDUK TERIMA MANFAAT

Pulau Bum-Bum terletak di tenggara Sabah bersempadan dengan selatan Filipina di Laut Sulu dan adalah pulau terbesar di daerah Semporna dengan keluasan kira-kira 54 kilometer persegi dan dihuni hampir 30,000 penduduk. 

Pembukaan NADI di Kampung Terusan Tengah, Pulau Bum Bum sejak tahun 2017 banyak memberi manfaat kepada penduduk di pulau itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang meluangkan masa melawat pusat itu pada 18 Mei lepas dipetik berkata, lebih 3,000 pengguna iaitu komuniti sekitar pulau berkenaan menggunakan perkhidmatan di NADI Kampung Terusan Tengah.

Menurut beliau, sambutan yang di terima sangat memberangsangkan apabila lebih 2,200 penyertaan komuniti direkodkan untuk latihan-latihan yang dikendalikan di NADI itu . Di samping itu, seramai 15 usahawan setempat pula berjaya dibimbing dan hasil jualan meningkat selepas menyertai program keusahawanan NADI.

Menurut Fahmi, berdasarkan kaji selidik, penduduk yang tinggal dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer daripada NADI adalah penduduk paling banyak menerima manfaat.

 

TINGKAT PENDAPATAN

Antara penduduk Pulau Bum Bum yang menggunakan khidmat NADI, Shueb Aribahal, 34, berkata, NADI Pulau Bum Bum banyak membantu melonjakkan perniagaan kraftangan menggunakan bahan resin selain anyaman beg yang diusahakan bersama isterinya sejak tahun 2022.

"Kami bermula dengan sekadar hobi. NADI bantu kami dari segi khidmat nasihat termasuk penggunaan teknologi untuk pemasaran atau promosi produk, NADI juga mengajar kami bagaimana mahu meluaskan jaringan perniagaan kami.

"Kemudian kami muat naik hasil kraftangan antaranya tali menggantung telefon bimbit dan bingkai gambar diperbuat daripada resin di Facebook untuk tatapan kawan-kawan sahaja. Bermula dari itu ada permintaan untuk membeli kraftangan, kemudian saya jadikan sebagai satu perniagaan," katanya yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mencuba peralatan telekesihatan yang terdapat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sewaktu melawat pusat tersebut di Kampung Terusan Tengah, Pulau Bum-Bum baru-baru ini.

Kewujudan NADI, katanya, dapat melahir dan memperkasakan usahawan kecil dari pulau, ke arah pendigitalan yang inovatif sekali gus membantu usahawan luar bandar memperkenalkan produk ke seluruh negara menerusi kaedah digital yang dipelajari di NADI Pulau Bum Bum.

Mengenai barangan kraftangan yang dihasilkannya, Shueb berkata, pihaknya menerima tempahan sehingga dari Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah.

"Saya juga bekalkan produk kraftangan kami ke pusat-pusat peranginan pulau-pulau sekitar Semporna dan paling banyak permintaan iaitu di Pulau Mabul. Produk kraftangan yang dijual bermula dari harga RM3 hingga RM25.

“Daripada kraftangan resin ini sahaja saya boleh dapat pendapatan sampingan, bersih lebih RM1,500 sebulan, lain lagi pendapatan untuk tempahan kraftangan bag antara RM500 hingga RM600," katanya.

 

PELBAGAI PELUANG

Bagi belia Kampung Gelam-Gelam, Nurimah Haja, 27, dia sentiasa mencari peluang untuk menyertai pelbagai bengkel atau kursus yang diadakan NADI di pulau itu, antaranya program mini usahawan serta aktiviti domestik seperti membuat kuih.

"Saya bukan setakat mendapat ilmu pengetahuan melalui aktiviti yang diadakan di NADI ini tetapi selepas aktiviti itu saya boleh aplikasi dalam kehidupan seharian misalnya membuat kuih untuk dijual sebagai pendapatan sampingan.

"Selain itu, melalui program usahawan di NADI, kita juga diajarkan cara bagaimana untuk menghasilkan risalah, logo perniagaan dan juga pelekat untuk ditampal pada produk. Pada masa sama, kita juga dibimbing bagaimana untuk mendaftarkan perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Menurut Nurimah, pelbagai bimbingan atau khidmat termasuk pemeriksaan kesihatan kendiri disediakan di NADI Kampung Terusan Tengah yang turut menjadi tumpuan penduduk kampung kerana dapat melakukan pemeriksaan pantas.

 

PEMERIKSAAN KESIHATAN EKSPRES 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Mudah Healthtech Sdn Bhd M Navinderan berkata, projek telekesihatan ditempatkan dalam bangunan NADI di Kampung Terusan Tengah.

Projek itu, katanya, memberi peluang kepada penduduk untuk memantau kesihatan mereka secara proaktif melalui pemeriksaan rutin dan konsultasi dalam talian tanpa perlu menghabiskan masa dan wang untuk perjalanan jauh ke klinik atau hospital.

Beliau menambah, ia juga menggalakkan penduduk luar bandar untuk memantau kesihatan mereka secara proaktif melalui pemeriksaan rutin dan konsultasi dalam talian.

"Kami sediakan alat peranti perubatan untuk memantau tekanan darah, tahap oksigen termasuk paras gula dan yang penting semua maklumat kesihatan yang diperolehi akan diberikan kepada doktor secara telekesihatan di NADI ini. Doktor yang jauh, meski pun di Kota Kinabalu, Kuala Lumpur boleh mendapat maklumat kesihatan mereka,

"Selain itu, penduduk juga boleh hadir ke kiosk telekesihatan di NADI ini untuk memeriksa tahap kesihatan mereka setiap minggu, boleh periksa obesiti, hipertensi atau diabetes," katanya yang memberitahu kiosk telekesihatan beroperasi di NADI itu sejak Mac tahun ini (2024).

Kiosk berkenaan, tambahnya, mendapat sambutan baik daripada penduduk sekitar pusat itu yang datang bagi pemeriksaan kesihatan kendiri kerana cepat, selain jarak tempat tinggal penduduk kampung itu ke klinik kesihatan yang jauh, melibatkan kos tinggi untuk ke sana.

"Seramai lebih 400 penduduk membuat saringan kesihatan dan kita dapati 42 peratus daripadanya ada prahipertensi, selepas itu, terdapat peningkatan penduduk datang untuk saringan kesihatan mereka di kiosk telekesihatan di sini," katanya.

Menurutnya, platform NADI yang dilengkapi kemudahan internet membolehkan penduduk untuk berhubung dengan doktor secara dalam talian bagi kes yang bukan kecemasan.

"Penempatan telekesihatan di dalam bangunan NADI ini adalah yang pertama dan selepas ini kita berharap diberi ruang di NADI yang lain untuk manfaat kepada penduduk. Mengesan penyakit pada peringkat awal dapat membantu untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya dengan kadar segera," katanya lagi.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.