Tanaman Pokok Asli Boleh Kurangkan Risiko Pokok Tumbang

P
enanaman pokok asli dalam landskap pinggiran jalan dilihat sebagai alternatif bagi meminimumkan risiko insiden pokok tumbang.

Berkongsi perkara ini, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLN) Mansor Mohamad berkata, ini kerana pokok asli merupakan pokok yang sememangnya berasal dari Malaysia yang boleh dikatakan amat ‘serasi’ dengan persekitaran negara,

Pada masa sama, kata beliau, pokok berkenaan juga boleh didapati di negara berhampiran seperti Thailand dan Myanmar yang berkongsi iklim serupa.

“Kalau pokok asli, ia bersesuaian dengan keadaan iklim di Malaysia dengan sumber cahaya mencukupi dan keadaan tanah subur.

“Jika pokok dari negara lain seperti pokok mahogani yang berasal dari Amerika Tengah, mungkin di kawasan asal, pokok itu tidak tumbuh dengan besar tapi di Malaysia, dengan keadaan tanah subur dan cahaya (matahari) banyak, mungkin tumbesaran pokok adalah lebih pesat (dan boleh menyumbang kepada insiden pokok tumbang),” katanya ketika diwawancara baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan spesies pokok bukan asli seperti pokok hujan-hujan dan tekoma (kedua-duanya asal Amerika Selatan) banyak terdapat di Malaysia, sekaligus menyumbang kepada biodiversiti serta mengindahkan kawasan.

Antara spesies pokok asli ialah medang, putat air, bunga kelat merah dan mata ketam.

Menurut Mansor, biarpun penanaman pokok asli mempunyai kelebihannya sendiri, insiden pokok tumbang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dengan mengambil kira faktor semula jadi, biologi dan faktor persekitaran kawasan penanaman pokok.

Untuk rekod, JLN adalah pusat akreditasi landskap negara yang menyediakan kepakaran teknikal serta merancang, menyelaras dan mengawal selia pembangunan landskap, keperluan kawasan lapang, kawasan hijau serta kemudahan rekreasi negara.

 

SEJARAH PENANAMAN DAN PEMILIHAN SPESIES POKOK

Menelusuri sejarah penanaman pokok di Malaysia, Mansor berkata, pada awalnya, budaya British yang sukakan persekitaran hijau dan konsep taman mengasimilasikannya di negara ini, dengan pokok angsana antara pilihan, untuk ditanam di sepanjang pinggiran jalan sehingga tahun 1990-an.

Selepas kemerdekaan, katanya, lebih banyak bandar mula dibuka dengan kemudahan infrastruktur berkembang pesat dan diwujudkan program awalan seperti ‘No Roads Without Trees’.

Skuad Kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja memotong dan mengalihkan sebatang pokok yang tumbang dan menghempap dua buah kenderaan akibat hujan lebat dan angin kencang di Jalan Rampai Niaga pada Jun lepas.

“Ia bertujuan mewujudkan kehijauan di hutan konkrit dengan penanaman lebih banyak pokok dan di situ lahirnya landskap menggunakan pelbagai spesies pokok popular seperti pokok kayu manis, hujan-hujan dan bungor,” tambahnya.

Bagi fasa ketiga iaitu konsep ‘Malaysia Ke Arah Negara Taman’, Mansor berkata, ia bermula dengan Perintah Pemeliharaan Pokok dari Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Ia disusuli penubuhan JLN pada tahun 1996, beberapa penerbitan garis panduan dan manual pengurusan pokok sehingga Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Mansor yang juga berpengetahuan luas dalam bidang arborikultur, pada masa sama mengakui, mungkin ada “kekhilafan” terdahulu dari segi pemilihan spesies pokok yang tidak bersesuaian, justeru JLN tampil dengan penerbitan buku 200 Malaysia’s Native Trees for Street Planting sebagai panduan umum yang dilancarkan pada Mei lepas.

 

INSIDEN POKOK TUMBANG

Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 1,085 kejadian pokok tumbang berlaku di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini (2024) dengan angka tertinggi dicatatkan di Selangor sebanyak 210 kes, diikuti Perak (169 kes) dan Sarawak (118 kes).

Insiden itu turut mengorbankan empat nyawa manakala 15 lagi cedera serta mengakibatkan kemusnahan harta benda.

Pada tahun 2023, JBPM merekodkan sebanyak 4,825 kes dengan 10 kematian berbanding pada tahun 2022 sebanyak 4,751 kes, 2021 (4,793 kes) dan 2020 (4,679 kes).

Menurut Mansor, setiap pokok yang ditanam merupakan satu pelaburan jangka panjang dengan harapan ia akan kekal selama-lamanya namun risiko pokok tumbang, tidak kira pokok asli atau bukan asli, akan tetap berlaku, jika tidak dijaga dengan baik.

“Skim penjagaan pokok bermula sejak kita tanam termasuk pembajaan, penyiraman, pemangkasan, antaranya buang dahan yang rosak dan sebagainya.

“Oleh itu pemahaman terhadap spesies pokok dan kaedah penanaman yang sesuai adalah penting supaya isu pokok termasuk kejadian pokok tumbang dapat ditangani daripada peringkat awal lagi,” katanya.

 

200 MALAYSIA’S NATIVE TREES FOR STREET PLANTING

Buku 200 Malaysia’s Native Trees for Street Planting  setebal 339 muka surat dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 26 Mei lepas. Ia diedarkan kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai panduan untuk menambah baik pengurusan pokok di kawasan perbandaran. 

Daripada 3,000 spesies pokok berkayu, sebanyak 200 spesies pokok terbaik ditampilkan di dalam buku tersebut, yang antara lain, mengandungi perincian khusus mengenai kategori saiz pokok yang boleh ditanam mengikut hierarki jalan bersesuaian dengan prinsip 'the right tree for the right place'.

Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLN) Mansor Mohamad.

Kajian 200 pokok terbaik untuk landskap pinggiran bandar itu meliputi kekerapan berbunga, kekerapan daun luruh dan kelenturan batang pokok.

Sebagai contoh, Mansor berkata, pokok dalam kategori kecil adalah pokok medang, mata ketam, raja dewa, meribut, kayu arang, tembusu bukit, kategori sederhana termasuk pokok putat air, bunga kelat merah, geronggang derum manakala kategori pokok besar termasuk cinta mula, merawan siput jantan dan bungor raya.

“Pengklasifikasian tersebut penting kerana ia mengesyorkan spesies pokok yang bersesuaian dengan kawasan penanaman memandangkan setiap pokok memerlukan ekosistem tumbesaran yang berbeza,” katanya.

Menariknya, buku itu juga menampilkan 50 spesies pokok yang diperincikan mengenai kadar penyerapan karbon optimum, sekali gus boleh dijadikan pilihan oleh PBT atau mana-mana pihak untuk dijadikan tanaman landskap untuk meminimumkan atau mengelakkan insiden pokok tumbang di samping menjayakan hasrat kerajaan dalam usaha penyahkarbonan.

 

PERANAN PBT DAN MASYARAKAT

Biarpun insiden pokok tumbang adalah di luar kawalan, namun Mansor menzahirkan harapan bahawa ia boleh ditangani dengan kesedaran dan persediaan awal penanaman pokok yang bersesuaian.

“Hampir 80 peratus PBT patuh kepada pengurusan landskap yang betul dari segi penjagaan pokok namun ada segelintir tidak dapat menguruskannya mengikut prosedur yang betul.

“Namun saya tidak salahkan mereka bulat-bulat, mungkin ada kekangan dari segi peruntukan atau aspek sumber manusia mahupun peralatan, tetapi ia sesuatu perkara yang boleh ditambah baik,” jelas Mansor.

Sebagai negara yang kaya dengan biodiversiti, Mansor berkata, pengurusan dan penanaman pokok yang optimum secara tidak langsung menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Matlamat ke-11 mengenai Bandar dan Masyarakat Mampan dan Matlamat ke-13 berhubung Tindakan Iklim.

Di samping memartabatkan peranan PBT, Mansor juga meminta orang ramai supaya menjadi ‘mata dan telinga’ agar melaporkan kepada PBT sekiranya mendapati mana-mana pokok di kawasan mereka tidak lagi ‘selamat’ atau sama ada terdapat rimbunan dahan yang boleh mendatangkan kecederaan.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.