S
i perayu, berambut pendek seolah tampak botak, dibawa masuk ke dalam bilik bicara mahkamah dengan kedua tangan dan kaki bergari, membuatkan dia sukar untuk berjalan.
Memakai cermin mata berbingkai hitam, matanya liar memandang mereka yang duduk di dalam ruang bilik bicara. Dia tersenyum apabila terpandang seseorang dan terus melambaikan tangan.
Dua orang wanita, seorang berumur 30-an dan yang seorang lagi lebih berusia, membalas lambaiannya, rasa kasih jelas terpancar di wajah.
Yang lain kelihatan serius, apabila berbual, dengan suara perlahan. Yang boleh bersuara kuat di Bilik Mahkamah 2, Istana Kehakiman di Putrajaya hanya bailif, peguam atau hakim.
Perayu bernama Usu, 43, berdepan sama ada hidup atau mati di Mahkamah Persekutuan itu.
Dia didapati bersalah kerana mengedar dadah pada November 2012 yang membawa hukuman mati mandatori di bawah undang-undang Malaysia. Seakan dia sudah tiada harapan, tinggal di bilik kecil sebagai banduan akhir, hanya dibenar keluar dari bilik itu hanya sejam sehari, untuk kegiatan fizikal.
Menurut keluarganya dan bekas banduan akhir lain, mereka yang ditempatkan di situ hanya mengikuti kelas agama, tiada sebarang latihan atau persediaan untuk kehidupan di luar.
Bukankah mereka banduan akhir, mana perlu kemahiran hidup kerana mereka akan mengakhiri hayat di tali gantung?
Mahkamah persekutuan. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
HUKUMAN MATI MANDATORI UNTUK SESETENGAH JENAYAH SERIUS DIMANSUHKAN
Pada 3 April 2023, Parlimen meluluskan undang-undang memansuhkan hukuman mati untuk sesetengah jenayah serius, seperti pengedaran dadah, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara hakim.
Ianya berkuatkuasa beberapa bulan kemudian pada 4 Julai. Pada 14 November, pengedar dadah pertama yang dijatuhi hukuman mati, dikurangkan hukuman kepada 30 tahun penjara, dan kemudiannya kepada 20 tahun penjara kerana berkelakuan baik. Lebih 455 banduan akhir diringankan hukuman setakat 24 Jun 2024.
Sepanjang sesi itu, beberapa banduan lain yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah terselamat daripada tali gantung apabila hukuman ditukar kepada penjara seumur hidup, dengan atau tanpa sebatan rotan, bergantung kepada umur si perayu. Usu berharap dia juga akan diberi pertimbangan yang sama oleh panel hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.
Akhirnya, pegawai mahkamah memanggil namanya. Usu berdiri, menghadap panel hakim. Peguamnya memohon agar hukuman mati ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup. Timbalan Pendakwa Raya berkata mereka tiada bantahan.
“Hukuman mari diketepikan,” kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun sambil memukul palu. Hukuman mati digantikan dengan penjara 30 tahun dari tarikh ditangkap dengan 12 sebatan rotan.
Usu membongkokkan badan dan mengucapkan terima kasih. Sempat dia melemparkan senyuman ke arah kedua wanita tadi - saudara tirinya Fiza dan ibu saudara tirinya, sebelum dibawa keluar untuk kembali ke penjara.
Setelah hampir 12 tahun merengkok di penjara, dia masih ada sekitar lapan tahun lagi. Fiza memberitahu Bernama, Usu berharap dia dapat menghabiskan baki tahanan penjaranya di Penjara Kajang.
“Dia nak sangat ke Penjara Kajang, dapat bekerja dan mengumpul wang,” katanya.
Fiza (kanan) dan ibu saudaranya (tengah) berbincang dengan Naib Presiden KeKasih, Shamala Manickarajah, mengenai pemindahan Usu dari hukuman mati ke penjara biasa di luar Istana Kehakiman di Putrajaya baru-baru ini.
Semestinya keluarga Usu gembira dengan hukuman mati yang diketepikan itu. Dari penjara khas untuk banduan akhir, dia kini kembali ke penjara “biasa” dan tidak lagi diasingkan. Di bawah sistem penjara Malaysia, kursus vokasional disediakan untuk banduan seperti memasak dan menjahit, di samping program pemulihan dan integrasi semula yang lain.
Ada banduan akhir yang lain, yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara lebih 20 tahun tidak bernasib baik seperti itu. Bila dibebaskan, mereka tidak ada banyak kemahiran pekerjaan, malah mempunyai rekod jenayah. Tidak hairanlah mereka ini sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup.
MACAM MANA SEKARANG?
Ada seorang wanita pertengahan umur duduk bersama wakil media. Dia bukan wakil mana-mana media, mahupun ada pertalian dengan banduan akhir yang ada di bilik mahkamah.
Dia adalah presiden KeKasih, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sokongan kepada banduan akhir. Wanita itu, Hayati Mohamed, 43, berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk hadir di mahkamah, sekiranya ada banduan yang memerlukan bantuannya. Tidak ramai yang bernasib baik mendapat sokongan keluarga sepanjang mereka berada di penjara.
Salah seorang daripadanya ialah Afi, 46, yang didapati bersalah atas kesalahan mengedar dadah pada tahun 2002. Dia dibebaskan daripada hukuman mati dan keluar dari penjara pada Februari 2024.
Namun dia menempuh kehidupan yang sukar. Dia tinggal di Subang dengan bantuan Hayat-Life, NGO yang menentang hukuman mati dan membantu bekas banduan akhir kembali hidup dalam pangkuan masyarakat.
Presiden NGO KeKasih Hayati Mohamed dan bekas banduan akhir "Afi." --Nina Muslim/Bernama
Bernama menemu bual Hayati di pejabatnya dan menurut beliau, Afi mengalami kesukaran mendapat pekerjaan kerana mempunyai rekod jenayah serta faktor lain.
“Ramai banduan akhir yang bebas, menganggur. Tambahan, mereka sudah pertengahan umur, hampir semuanya berusia hampir 50 tahun atau lebih. Ada yang mengalami kecederaan akibat sebatan rotan yang menyebabkan sedikit kecacatan,” katanya.
Tambahan, memandangkan Afi berada di dalam penjara untuk hukuman mati sejak berusia 23 tahun, dia tidak ada kemahiran yang boleh digunakan, selain daripada sedikit latihan hospitaliti sebelum dia ditangkap.
Afi memberitahu Bernama, dia tidak fikir ada yang akan mengambil dia bekerja. Jika tidak dapat kerja, dia mahu berniaga, tetapi itu pun memerlukan wang. Malahan perkara asas yang boleh menjadikannya dia berdikari seperti mengambil lesen memandu, melibatkan kos lebih RM1,000.
Dia berharap keluarganya dapat membantu menghulurkan sedikit wang untuk berniaga atau mencari kerja, namun dia akur, mungkin itu akan tinggal sebagai mimpi sahaja.
“Keluarga saya beranggapan sekarang saya sudah keluar penjara, saya tak ada wang. Mereka bimbang mereka perlu berbelanja untuk saya. Mereka banyak komitmen, anak-anak, kereta, rumah, isteri,” katanya.
PEKERJAAN UNTUK INTEGRASI SEMULA
Sistem penjara di Malaysia menyediakan program latihan dan integrasi semula, terdiri daripada beberapa fasa pra-pembebasan, yang kebanyakannya untuk banduan biasa, bukan banduan akhir. Matlamatnya untuk membolehkan banduan itu berdikari selepas keluar dari penjara, dan mengelakkan mereka daripada terperangkap dengan tabiat lama dan jenayah.
Bernama cuba menghubungi Jabatan Penjara Malaysia tetapi tidak menerima sebarang respons.
Kementerian Dalam Negeri melaporkan pada 7 Februari 2024 bahawa pesalah yang berulang melakukan jenayah selepas keluar penjara adalah sebanyak 17 peratus
Bagaimanapun, tidak ada data yang menunjukkan berapa ramai bekas banduan memperolehi pekerjaan, apatah lagi dalam kalangan banduan akhir.
Bekas tahanan, serta pakar di lapangan dan kerja sosial berkata, infrastruktur yang sedia ada tidak mampu membantu banduan yang dibebaskan dari penjara. Dalam mengalu-alukan pembebasan banduan akhir yang tidak ganas, mereka menekankan bahawa pengangguran dan menjadi gelandangan banyak berlaku dalam kalangan bekas banduan, malahan sebelum undang-undang baharu diperkenalkan.
Peguam hak asasi manusia Samantha Chong berkata, bantuan tidak mencukupi untuk bekas banduan, yang sudah menjalani hukuman, seperti banduan akhir yang merengkok di penjara begitu lama, selepas dibebaskan.
“Orang menganggap sebaik sahaja (banduan) keluar penjara, mereka sudah menjadi baik … (tanpa) memikirkan mereka mungkin mengalami kejutan budaya, masyarakat sudah berubah. Semuanya berlaku pantas,” katanya.
Samantha Chong,. --gambar ihsan
Pakar keadilan jenayah Dr Mohd Alif Jasni memberitahu Bernama, penyelidikan yang dilakukan dalam kalangan gelandangan di Kuala Lumpur, ramai yang mempunyai rekod jenayah, mendapati sokongan keluarga merupakan faktor kukuh menentukan kehidupan banduan selepas keluar penjara.
"Ada seorang yang dijatuhi hukuman mati kemudian dibebaskan, dan tidak dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat kerana keluarganya juga tidak mahu menerimanya semula. Akhirnya dia menjadi gelandangan," katanya menambah, kebanyakan penyelidikannya melibatkan bekas banduan biasa dan bukan banduan akhir.
Bagaimanapun, keluarga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Ada juga bekas banduan yang memilih tidak mahu hidup dengan keluarga mereka, kerana berasa malu atau tidak mahu menjadi beban.
Faktor lain termasuk penyakit mental dan kurang kemahiran daya tindak. Alif, seorang pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia, berkata, beliau berpengalaman bekerja dengan ramai bekas banduan yang disifatkannya sebagai “jujur,” tetapi kekurangan strategi daya tindak, berfikiran jangka panjang dan semangat tinggi.
Mereka lebih memilih hidup “kais pagi makan pagi kais petang makan petang”. Ada yang penagih dadah, ketagihan merosakkan otak mereka sehingga tidak mampu berfikir secara jelas dan berkesan.
Akibat mempunyai rekod jenayah, kebanyakannya bekerja di sektor tidak formal yang banyak eksploitasi dan ada yang menjadi mangsa penderaan.
REKOD JENAYAH
Walau berapa banyak pun latihan yang diterima bekas banduan dan meskipun mereka ada komitmen untuk berdikari, namun tidak banyak yang boleh dilakukan sekiranya tidak ada yang mahu mengambil mereka bekerja.
"Sukar. Semua kata dah penuh, mereka tak perlukan pekerja. Kami dah cuba," kata Hayati, yang berasal dari Kedah.
NGO lain melaporkan yang sama. Pengarah Urusan Persatuan Insan Murni, Afiq Khairi memberitahu Bernama bahawa beliau cuba merujukkan beberapa orang bekas banduan di bawah seliaannya - penagih dadah yang sedang menjalani rawatan metadon, ada yang mempunyai rekod jenayah - untuk mendapatkan pekerjaan, ada juga yang berjaya.
Beliau menambah, biasanya bekas banduan itu dirujukkan kepada sektor tidak formal, seperti pengawal di dalam bangunan atau tapak pembinaan, atau kedai makan. Bagaimanapun, ramai majikan akhirnya memberhentikan pekerja-pekerja itu.
"Metadon bukan masalah. Masalahnya latar belakang jenayah mereka,” tambahnya.
Para pakar bersetuju bahawa rekod jenayah adalah halangan besar untuk bekas banduan menyesuaikan diri dalam masyarakat. Sementara semua bersetuju rekod jenayah untuk pengguna dadah perlu dihapuskan, namun untuk mereka yang dihukum kerana mengedar dadah (tidak ganas), ia suatu perkara lain. Bekas banduan akhir turut menyokong idea ini, dan ada yang menyifatkannya sebagai "Durian runtuh."
Bekas banduan akhiri, Razali, menyokong pemadaman rekod jenayah bagi pesalah dadah yang tidak melakukan keganasan selepas bertahun-tahun berkelakuan baik untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan tetap. --Nina Muslim/Bernama
Bagaimanapun pakar melihat cadangan itu perlu diteliti.
“Perkara ini perlu dibincangkan lagi,” kata Palani Narayanan, ketua polisi dadah, Yayasan AIDS Malaysia. “Bagaimanapun, langkah pertama adalah untuk menyahdekriminalisasikan mereka yang menagih dadah, yang tidak pun terlibat dalam jualan atau membuat keuntungan.
Berhubung sama ada penghapusan rekod jenayah perlu diaplikasikan kepada semua pesalah dadah atau hanya yang bukan serius, Chong mencadangkan, Malaysia boleh mencontohi undang-undang SPENT Singapura. Undang-undang berkenaan menghapuskan atau menyembunyikan rekod jenayah individu yang dihukum kerana jenayah bukan serius, sekiranya mereka tidak melakukan jenayah lain, dalam masa lima hingga tujuh tahun.
Sekiranya tidak, pembuat dasar perlu melihat kepada pemindaan undang-undang yang sedia ada di Malaysia.
Menurut beliau, mekanisme menghapuskan kesalahan dadah bukan bersifat ganas, dari penggunaan dadah kepada pengedaran dadah, sudah wujud dalam undang-undang Malaysia, di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Jenayah dan Orang-Orang Tidak Diingini.
"Prosesnya sudah ada, mekanisme pun ada. Jadi sebenarnya undang-undang menyediakan sedikit kelonggaran. tetapi ia tidak dikemas kini (sejak tahun 1998)."
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff