B
erlabuhnya tirai pementasan teater Hikayat Hang Tuah: ‘Ampun Tuanku Titah Dijunjung’ pada 1 Julai lepas ibarat membuka satu lembaran baharu untuk masyarakat lebih mengenali pahlawan legenda Melayu itu.
Putera kepada pasangan Dang Merdu Wati dan Hang@Tun Mahmud yang dilahirkan sekitar tahun 1431 di Sungai Duyong, di sini, pernah dianggap sebagai mitos walaupun secara jelas diperincikan dalam beberapa catatan sejarah terkenal.
Ini termasuklah peranannya yang pernah berkhidmat sebagai Laksamana di empat era kesultanan Melayu Melaka iaitu Sultan Muzafar Shah (1446-1456), Sultan Mansur Shah (1456-1477), Sultan Alauddin Ri'ayat Shah (1477-1488) dan Sultan Mahmud Shah (1488-1511).
LANTIK PAKAR PENYELIDIK
Sebagai usaha memperkukuh sejarah legenda ini, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sanggup turun padang serta melantik 10 penyelidik dan pakar sejarah dari beberapa universiti tempatan untuk melengkapkan kajian penyelidikan bagi mengukuhkan kewujudan Hang Tuah menerusi sumber baharu yang dikumpul dari 22 buah negara dalam 20 bahasa dunia.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri) menunjukkan Keris Sundang yang dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diserahkan Tun Muhammad Amin Tun Ahmad (kanan) iaitu waris ke-11 Hang Tuah yang berasal dari Kepulauan Bentan Riau Indonesia pada Mei lepas.
Ini susulan beberapa ahli kumpulan penyelidik itu berjaya mengenal pasti beberapa sumber baharu yang masih belum diteroka serta mengesan banyak khazanah serta artifak yang masih tersimpan di beberapa negara seperti Jepun, India, Portugal, Turkiye, China, Brunei, Indonesia dan Thailand.
Menurut Ab Rauf, salah faham termasuk dakwaan mitos sejarah Hang Tuah yang menabur jasa sehingga usia 80 tahun sebagai ‘perisai’ dan ‘kubu’ Kesultanan Melayu Melaka itu perlu diperbetulkan.
Malah beliau turut nekad untuk membawa pulang dokumen serta artifak berkaitan pahlawan tersohor itu kembali ke bumi Melaka dan mempamerkannya kepada umum.
Beliau menambah, pelbagai bukti kukuh berhubung kewujudan Hang Tuah kini giat dikumpul dan didokumentasikan.
Ianya termasuk Keris Lok 9 dan dokumen rekod rasmi 'Rekidai Hoan', kerajaan Ryukyu di Pusat Arkeologi Okinawa, Jepun yang mengandungi 19 surat kerajaan Ryukyu kepada kerajaan Melaka serta 11 surat daripada kerajaan Melaka sekitar tahun 1480, yang antara surat tersebut tertera nama Laksamana Hang Tuah.
MENGHAPUS MITOS
Mengulas perkara itu, Ketua Penyelidik Kajian Hang Tuah yang juga Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora berkata, masyarakat Melayu umumnya di Nusantara sememangnya menerima kewujudan Hang Tuah berbanding segelintir yang menganggapnya hanya sebagai mitos.
Justeru beliau berkata, satu kajian dan pengumpulan bukti perlu dilakukan, merangkumi pandangan sarjana dari luar negara.
Pameran Hang Tuah mengetengahkan kira-kira 20 artifak dan 20 manuskrip dipercayai mempunyai kaitan dengan pahlawan melayu dan zaman Kesultanan Melayu Melaka.
"Jadi apa yang dikatakan sumber-sumber baharu ini adalah merupakan bahan atau dapatan yang belum dianalisis sepenuhnya oleh mana-mana pengkaji sebelumnya seperti manuskrip Hikayat Hang Tuah yang masih ada yang belum dikaji, tapak kubur atau makam, senjata dan keris.
"Jadi kita perlu mengumpul, mengkaji dan mendokumentasikan dengan kaedah terbaik semua bahan ini bagi membetulkan fakta dan menolak apa yang dikatakan mitos itu," katanya.
Mengambil contoh tiga naskhah utama penceritaan iaitu Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin dan Tuhfat al-Nafis, Mohd Taib berkata, masing-masing bersetuju mengenai perihal asal usul kelahiran, salasilah keluarga, perjawatan, pelayaran dan pemakaman Hang Tuah adalah sangat jelas.
"Melalui dapatan kajian inilah kita bersetuju keberadaan dan kewujudan Hang Tuah adalah jelas dan boleh dibuktikan menerusi kajian di tempat yang disebut di dalam naskhah tersebut.
"Malah tugas Hang Tuah sebagai laksamana dan bertindak sebagai duta Kerajaan Melaka juga telah membawanya ke beberapa negara seperti India, China dan Majapahit selain catatan juga menjelaskan Hang Tuah fasih sekurang-kurangnya 10 bahasa,” katanya menambah, semua pihak seharusnya meraikan kepelbagaian kajian yang mempunyai objektif dan fakta tertentu.
Beliau pada masa sama menambah, sisi Hang Tuah tidak hanya sebagai pahlawan, sebaliknya juga seorang agamawan, pakar diplomasi, setia kawan dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
“Hasil (kajian) sumber baharu ini amat penting, bukan mahu mengubah sejarah Hang Tuah tetapi untuk memperkukuhkan sejarah itu sendiri dengan bukti dan bahan yang diperoleh bagi membetulkan apa yang dipertikaikan oleh segelintir pihak,” katanya.
ADAPTASI KISAH
Berkongsi pelbagai cabaran dalam pencarian bahan bukti baharu Hang Tuah, Mohd Taib berkata, ia termasuklah keadaan cuaca yang tidak menentu, ketidaktentuan lokasi atau susur-galur sumber dan kekuatan mental serta fizikal pengkaji.
Pameran Hang Tuah diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada awal bulan ini.
"Kita bergerak dalam tempoh waktu yang terhad untuk melakukan penyelidikan dan pengkaji pula dibahagikan mengikut negara dan kepakaran masing-masing, yang sudah arif dengan sumber-sumber tempatan. Namun apa yang mencabar adalah untuk menyusun kembali penyelidikan berlandaskan matlamat kajian yang ditentukan oleh kerajaan negeri," katanya.
Sungguhpun begitu, tambah beliau, kumpulan pengkaji bernasib baik kerana mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pelbagai pihak termasuk pejabat kedutaan Malaysia di luar negara dan agensi berkaitan.
"Sebagai contoh, kami turut mendapat bantuan daripada Perpustakaan University of Leiden, British Library, Royal Asiatic Society dan Arkib Negara Turkiye," katanya menambah, Indonesia, India dan Jepun turut memberi kerjasama dalam pencarian bukti kewujudan Hang Tuah.
Menurut Mohd Taib lagi, hasil kajian dan perbincangan yang dihuraikan ketika Simposium Antarabangsa Kajian Penyelidikan Hang Tuah 2024 baru-baru ini juga bukan sekadar meletakkan dokumen dalam bentuk penulisan tetapi perlu diadaptasi secara lebih kreatif menggunakan platform teknologi semasa seperti komik, media sosial, dokumentari, filem dan teater.
"Kena akui yang generasi sekarang ini tidak membaca buku (fizikal) sangat dan untuk itu kita kena letakkan hasil perolehan terkini mengenai Hang Tuah secara kreatif dan ini akan memberi lebih impak kepada masyarakat secara umumnya.
"Malah program seperti Jejak Hang Tuah boleh dilakukan bermula dengan di mana Hang Tuah lahir dan seterusnya menyusuri jejaknya di Melaka hingga ke Bentan, Indonesia. Cara ini secara tidak langsung menonjolkan Hang Tuah bukan sahaja tokoh di Malaysia bahkan dunia," katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff