Dulu Pekerja Pasar Borong, Kini Graduan ABM Jelajah Dunia Sertai Pertandingan TVET

T
idak pernah terlintas di fikiran Muhammad Habibullah Mohd Yusuff yang dia akan “terbang” ke pelbagai negara bagi menunjukkan kemahirannya dalam mencipta sistem untuk alat penyaman udara - satu bidang yang pada awalnya tidak diminati.

  Namun, bak kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Sejak dua tahun lalu, anak muda berusia 24 tahun ini sibuk mewakili negara ke pelbagai pertandingan kemahiran, dan September ini dia akan mempamerkan bakatnya pada Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2024 di Lyon, Perancis.

Mengimbas semula pembabitannya dalam bidang yang “tidak digemarinya” itu kepada Bernama, anak kelahiran Guar Chempedak, Kedah ini berkata selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2018, dia bekerja sambilan di sebuah syarikat katering dan juga pasar borong di daerah berkenaan.

“Tidak lama kemudian Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dan saya kehilangan kerja. Keadaan ini mendorong saya untuk menyambung semula pendidikan.

“Ketika mencari peluang terbaik, saya terjumpa pautan mempelawa lepasan SPM menghadiri temu duga di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara di Sintok. Saya cuba nasib, dan alhamdulillah berjaya.

“Di situ, saya ikuti kursus selama empat bulan, bermula Januari 2022, dalam bidang  Penyaman Udara dan Pengudaraan Mekanikal,” katanya.

 

CUBA NASIB 

Menurut pemuda itu lagi, minatnya terhadap bidang tersebut mula mendalam selepas menyertai dan memenangi Pertandingan Worldskill Malaysia Belia Pra-Kelayakan 2022.

Ceritanya, kala itu, tidak ada seorang pun pelajar yang mahu menyertai pertandingan tersebut, yang bertujuan memilih dan mengiktiraf belia atau pekerja berkemahiran unggul dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET.

Melihat sambutan hambar, dia kemudian menawarkan diri kepada guru di ABM untuk menyertai pertandingan itu yang berlangsung dari Jun hingga Oktober 2022, menyaksikan dia berentap dengan 84 peserta lain bagi merebut slot tujuh terbaik di peringkat akhir.

Tuah menyebelahi anak sulung daripada enam beradik ini. 

Walaupun hanya mengikuti latihan selama empat bulan, dia berjaya ke peringkat akhir pertandingan dan seterusnya meraih pingat perak serta menjadi satu-satunya pemenang dalam kategori   Refrigeration and Air Conditioning (RAC).

Bagaimanapun katanya, disebabkan ketika itu negara sedang mengharungi pandemik COVID-19, pengumuman akan kemenangannya  dilakukan sekadar dalam talian.

 

ANUGERAH DEMI ANUGERAH 

Kejayaan demi kejayaan terus dicipta oleh Muhammad Habibullah selepas itu, antaranya mewakili Malaysia di peringkat ASEAN dalam pertandingan di Singapura pada Julai 2023.

Kali ini, ahli keluarganya dapat menyaksikan sendiri dia naik ke pentas dan dikalungkan dengan pingat gangsa.

Kemenangan itu melayakkannya menjadi wakil tunggal Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan ABM dalam kategori RAC, bersama-sama barisan terbaik pasukan negara di Worldskill Asia Abu Dhabi dari 25 Nov hingga 1 Dis 2023.

Pada pertandingan itu, anak muda ini dianugerahi  Medallion of Excellence dalam kategori RAC. 

Kejayaannya di Abu Dhabi diiktiraf oleh ABM dan CIDB menerusi sijil khas Special Mention pada Majlis Graduasi ABM dan CIDB Technologies Sdn Bhd Wilayah Utara, Januari lalu. 

Muhammad Habibullah turut menerima anugerah khas daripada kerajaan negeri Kedah pada Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu peringkat negeri, yang diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik. 

 

ROAD TO LYON JADI IDAMAN 

Muhammad Habibullah kini sedang giat melakukan persiapan bagi menyertai WSC 2024 yang akan bermula dari 7 hingga 16 Sept depan di Lyon.

Dia antara 15 belia yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan itu. Pasukan negara akan mempamerkan kemahiran dalam 14 daripada 62 bidang yang dipertandingkan.

(WSC merupakan pertandingan kemahiran tertinggi dianjurkan oleh Worldskill International (WSI) yang diadakan setiap dua tahun. Malaysia menganggotai WSI pada 1992 dan hingga kini telah menyertai 15 WSC).

Mengakui di peringkat awal dia agak berat hati untuk menyertai kesemua kejohanan tersebut disebabkan oleh kekangan kewangan, anak muda ini berkata bantuan daripada pelbagai pihak termasuk CIDB, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia, membolehkan dia berbuat demikian.

“Ada pelbagai cabaran dalam menyertai pertandingan kemahiran ini dengan yang utama ialah masa. Saya perlu berlatih dari 8 pagi hingga 11 malam setiap hari. Malah, hujung minggu juga masuk bengkel macam biasa,” katanya, menambah latihan berterusan tanpa rehat yang cukup membuatkan dia pernah terfikir untuk berhenti kerana “terlalu penat”.  

Berhasrat membuka perniagaan berkaitan penyaman udara pada suatu hari nanti, Muhammad Habibullah berkata pengalamannya membuktikan TVET ialah satu bidang yang berpotensi besar dengan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 80 peratus. 

“Saya juga mahu banggakan keluarga dan hendak mengangkat nama Malaysia di persada dunia, bahawa negara kita pun ada bakat yang tinggi dalam bidang kemahiran, boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain,” katanya.  

 

CIDB, ABM FOKUS BANTU LAHIRKAN BELIA TVET BERKEMAHIRAN

Sementara itu, menurut Ketua Eksekutif CIDB Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria, organisasi tersebut telah melatih dan mengakreditasi lebih 420,000 pekerja mahir binaan melalui ABM dan CIDB Technologies (CIDB Tech) di enam wilayah seluruh Malaysia sejak 1997.

Katanya, CIDB terus memberi sokongan berterusan dalam melatih pekerja mahir binaan dengan memperuntukkan RM232 juta bagi tempoh 2018 hingga 2023.

“Peruntukan ini semakin meningkat dengan RM55 juta diperuntukkan bagi tahun ini dalam memastikan pekerja binaan mendapat latihan kompetensi yang sewajarnya,” kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama.

Tajaan yang ditawarkan oleh CIDB ialah menerusi Program Latihan Kompetensi Kemahiran Pembinaan (LKK) untuk golongan belia berumur 17 hingga 35 tahun yang merangkumi Kad Pendaftaran Personel Binaan (Kad Hijau), elaun latihan RM150 sebulan, yuran latihan, kemudahan asrama, elaun makan, pakaian latihan dan insurans.

Mohd Zaid berkata ABM juga mengambil langkah proaktif dalam mendepani era kecerdasan buatan  (AI) dan teknologi digital dengan memperkenalkan mekanisme latihan canggih menggunakan simulator dalam bidang kimpalan dan pengendalian jentera berat sejak 2014.

“Selain itu, ABM juga menjadi perintis dalam menyediakan pusat latihan Building Information Modelling (BIM) yang memanfaatkan perkongsian model 3D (tiga dimensi) melalui teknologi digital terkini yang dapat digunakan oleh semua pihak yang terlibat dalam projek,” katanya. 

Beliau berkata CIDB turut mengalami revolusi pendigitalan dalam latihan pembinaan di ABM dengan menyediakan peralatan berteknologi terkini seperti realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan dron bagi tred berimpak tinggi.

(ABM yang ditubuhkan pada 1997, merupakan pusat penilaian dan latihan CIDB yang bermatlamat memenuhi keperluan bagi pembangunan dan peningkatan kemahiran untuk pekerja binaan, dengan tumpuan adalah pada pembentukan kompetensi yang sesuai mengikut standard ditetapkan oleh industri.  

(Pusat ini menawarkan lebih 100 Tred Latihan seperti Scaffolding, Electrical, Crane Operator, Aircond, Chargeman IBS dan banyak lagi, bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga kerja binaan mahir dan separuh mahir tempatan)

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.