Mentari Tawar Sinar Baharu Buat Pesakit Mental

S
ebati dalam masyarakat di negara ini apabila seseorang itu menghidap masalah atau gangguan mental maka dia adalah orang gila, menyebabkan golongan ini disisihkan kalaupun tidak “disembunyikan” oleh keluarga.

Natijahnya, mereka terpinggir daripada menerima rawatan, manakala peluang  menjalani kehidupan biasa sepertimana ahli masyarakat yang lain pula hampir tiada, walhal bukan semua pesakit mental tidak boleh dirawat.

Menurut pakar, bagi sesetengah kes, keadaan pesakit ada potensi bertambah baik serta mampu menyumbang kepada ekonomi sekiranya diberi rawatan yang sesuai dengan keadaan perubatannya, dan usaha itu dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Mentari Malaysia.

Mentari Malaysia ialah nama alternatif Pusat Kesihatan Mental Komuniti KKM yang dijenamakan semula, bagi memberi konotasi positif kepada masyarakat, sekali gus mendorong mereka yang mempunyai ahli keluarga menghidap masalah mental tampil dan membantu individu berkenaan mendapatkan rawatan.   

Diperkenalkan pada 2014, hingga kini terdapat 33 Mentari Malaysia di seluruh negara termasuk dua di Sabah, iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan.

 

SINAR BUAT PESAKIT MENTAL

Ditempatkan di Hospital Duchess of Kent di sini, Mentari Elopura mempunyai kira-kira 60 pesakit atau klien, sejak beroperasi pada 2018.

Dalam temu bual dengan Bernama, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Duchess of Kent Dr Cheang Yue Wen berkata perkhidmatan itu masih asing dalam kalangan warga setempat, namun mereka bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

"Mentari memudahkan akses masyarakat kepada rawatan penyakit mental dengan penekanan adalah pada rawatan diberi seawal mungkin agar keadaan pesakit tidak bertambah buruk.

“Umumnya, kedatangan pesakit adalah secara walk-in, namun di Sandakan ini, disebabkan kami masih baru dalam  komuniti (tidak ramai yang tahu), kami cuba pendekatan janji temu dulu,” katanya, menambah Mentari Elopura kini beroperasi di bangunan yang sama dengan Persatuan Kaunseling Ren Ai, Batu 1½ di sini.

Jelasnya, Mentari Elopura menekankan konsep pemulihan untuk kembali berfungsi dalam masyarakat, iaitu klien dirawat dan dilatih agar dia boleh berdikari serta menyumbang kepada komuniti.

"Kita positif, pesakit skizofrenia yang dengar suara, bercakap sendiri ini, jika menerima rawatan, mereka juga boleh bekerja,” katanya, menambah klien dirawat menerusi beberapa perkhidmatan teras, antaranya sokongan pekerjaan, program transisi pekerjaan dan kelab pekerjaan.

“Daripada lebih 60 klien yang ada sekarang, 27 orang mahu bekerja (dibimbing menerusi program sokongan pekerjaan). Namun, kalau klien tidak mahu (bekerja) kami tidak paksa. Biasanya kami letak mereka ini di bawah program transisi pekerjaan, iaitu mereka diajar bertani, memasak atau menjahit,” jelasnya.

 

PANTAU

Bercerita lanjut, Dr Cheang berkata daripada 27 klien yang mahu bekerja, 16 orang berjaya ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan, antaranya restoran, kedai runcit, pasar raya, perhotelan, syarikat guaman, selain ada yang menjadi penternak kambing dan pencipta kandungan.

"Kita ada seorang klien yang didiagnosis dengan kemurungan major, dan dia diterima bekerja di sebuah hotel di sini. Sebenarnya, bekerja membantu mereka mencari semula matlamat hidup, membuatkan mereka lebih gembira,” katanya. 

Jelas beliau, klien yang bekerja akan dipantau oleh jururawat, pegawai perubatan atau ahli terapi cara kerja.

Diperkenalkan pada 2014, hingga kini terdapat 33 Mentari Malaysia di seluruh negara termasuk dua di Sabah, iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan. Kredit gambar Facebook Vivian Wong.

“Pada bulan pertama bekerja, mereka akan melawat klien di tempat kerja seminggu sekali bagi mengenal pasti sama ada klien menghadapi masalah dalam pekerjaan atau kesihatan.

"Selepas itu, jika tiada masalah, lawatan akan diadakan sebulan sekali bagi tempoh setahun, atau apabila ada permintaan daripada majikan," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui, antara cabaran utama menempatkan klien dalam sektor pekerjaan ialah sikap masyarakat termasuk majikan.

“Beri peluang kepada mereka ini bekerja dan kembali ke khalayak. Malah, majikan yang mengupah mereka ini boleh memohon pengecualian cukai,” tambah beliau.

 

KERJASAMA MENTARI

Sementara itu, Dr Cheang menyeru masyarakat agar membantu golongan ini kembali ke khalayak dengan menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan Mentari Elopura.

"Bekerjasama dengan kami dalam penganjuran program termasuk seminar atau membuka peluang pekerjaan untuk klien Mentari yang ingin kembali ke alam pekerjaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Mentari Elopura menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi mempelbagaikan aktiviti rehabilitasi untuk klien. 

"Kita ada bekerjasama dengan Program Smart Community bersama-sama Politeknik Sandakan, selain program tanaman nanas dan pisang dengan Pusat Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun.

“Kami juga merancang bekerjasama dengan Persatuan Ren Ai yang bakal mengusahakan projek hortikultur dan hidroponik di belakang bangunan Ren Ai ini,” ujar beliau.

 

40 PUSAT MENTARI

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Psikiatri (Komuniti dan Rehabilitasi) Dr Nor Hayati Ali yang juga Ketua Kepakaran Psikiatri KKM, berkata pihaknya berharap untuk menambah Mentari kepada 40 buah menjelang tahun depan.

“Penduduk negara kita semakin bertambah, kalau kita buat dengan cara lama, iaitu tunggu pesakit sehingga masuk wad, lama-kelamaan wad akan penuh. Oleh sebab itu kita kena cegah sebelum menjadi lebih ramai.

"Pelanggan Mentari macam orang lain, cuma diuji sarafnya. Mereka ini makan ubat-ubatan, tetapi apabila ada interaksi secara langsung dengan mereka, klien akan rasa lebih baik.

“Orang ramai jangan takut kalau ada ahli keluarga kita sakit (mental)... yang penting bantu mereka dapatkan rawatan, teruskan hidup, sampai saraf itu steady (stabil). Bila tidak dirawat itu yang macam-macam perkara (berlaku)," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak memanfaatkan Mentari Malaysia dan ambil peduli ahli keluarga yang mengalami masalah kesihatan mental dengan menghantar mereka mendapatkan rawatan.

“Sistem sokongan, terutama oleh keluarga sendiri, amat penting sebagai kesinambungan rawatan,” tegas beliau.

 

Stigma masyarakat terhadap pesakit mental yang masih menebal membuatkan ada yang bertindak "menyembunyikan” ahli keluarga mereka yang didiagnosis mengalami masalah mental, sekali gus menyekat potensi individu itu daripada menerima rawatan dan kemungkinan menyumbang kepada masyarakat.

MENTARI, sebuah unit di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, dipertanggungjawabkan mengubah persepsi itu dan membantu pesakit mental yang berpotensi menjalani kehidupan seperti ahli masyarakat lain. Artikel pertama daripada laporan dua bahagian ini menyoroti peranan Mentari, khususnya di Sandakan, Sabah.  

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.