Labuan Tumpuan Penyelam Kaya Biodiversiti Marin, Tapak Bangkai Kapal

B
ukan sahaja kaya dengan sejarah, Labuan yang juga merupakan pusat kewangan dan perniagaan strategik, turut melakar nama sebagai destinasi utama pelancongan dengan keindahan alam semula jadi marin yang memukau.

Terumbu karang di Taman Laut Labuan yang menjadi kawasan pembiakan serta perlindungan khas pelbagai spesies flora serta fauna akuatik dan empat bangkai kapal (dua daripadanya dilaporkan tenggelam semasa Perang Dunia II), pastinya menjadi idaman untuk diteroka oleh peminat aktiviti menyelam . 

Menurut bekas duta DIVE Tourism Malaysia Clement Lee, berbanding destinasi pelancongan lain yang menjadi mangsa pembangunan yang berleluasa serta kebanjiran pelancong, Labuan masih mampu mengekalkan keindahan semula jadi serta ekologinya.

“Semuanya ini menjadikan Labuan lokasi terbaik untuk mereka yang mencari pengalaman menyelam yang autentik dengan perairan yang sangat tenang serta luar biasa, ” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama baru-baru ini. Beliau menyandang jawatan duta DIVE Tourism Malaysia selama empat tahun.

Kepelbagaian biologi marin Labuan sememangnya menakjubkan dengan terumbu karang sekitar pulau ini dikatakan sebagai antara yang paling ‘sihat’ di rantau ini, sebahagian besarnya kerana tahap impak manusia serta pencemaran yang boleh dikatakan rendah.

“Penyelam yang mencari pengalaman baharu akan terpukau dengan pancaran cahaya berwarna-warni yang menembusi permukaan laut ketika menyelam. 

“Taman terumbu karang adalah kediaman pelbagai jenis karang keras dan lembut, span dan bunga karang, yang menyediakan habitat untuk pelbagai spesies hidupan marin, daripada sekecil-kecil nudibranch dan unduk-unduk/kuda laut hingga kepada penyu laut serta jerung terumbu. Banyak hidupan laut yang menakjubkan di perairan Labuan,” kata Clement, anak jati Labuan.

 

KISAH EMPAT KAPAL KARAM

Perairan Labuan turut menyimpan warisan empat buah bangkai kapal yang dikenali sebagai ‘The Famous Four’ dan merupakan tapak menyelam ikonik yang menarik pengembara/penyelam dari seluruh dunia.

Menurut Clement, bangkai kapal itu dikenali sebagai  Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck, dan Blue Water Wreck. 

Mengenai the Australian Wreck, yang juga dikenali sebagai the SS De Klerk, ia adalah sebuah kapal kargo Belanda yang ambil alih oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dan tenggelam akibat periuk api pada tahun 1944. 

“Bangkai kapal ini terdampar di dasar laut di kedalaman sekitar 21 meter. Ia dipenuhi batu karang dan menjadi kediaman pelbagai hidupan laut, termasuk sekumpulan barakuda, kerapu dan siakap.

“Perasaan saya bercampur-baur ketika melihat bangkai kapal ini sewaktu menyelam baru-baru ini di tapak kapal itu tenggelam. Saya teringat kepada 330 orang penumpang yang berada di dalam kapal itu sewaktu ia tenggelam, ” katanya.

Mengenai American Wreck yang juga dikenali sebagai USS Salute, kapal penyapu periuk api ini milik tentera laut Amerika Syarikat yang tenggelam selepas melanggar periuk api pada tahun 1945. 

Bangkai kapal itu terdampar di kedalaman sekitar 30 meter dan salah satu tapak selaman yang lebih mencabar di Labuan kerana arus deras dan lokasi yang dalam.

“Bagaimanapun, untuk penyelam yang berpengalaman, tapak bangkai kapal itu amat berbaloi untuk diteroka dan banyak hidupan marin menjadikannya sebagai rumah, termasuk belut moray, ‘lionfish’ dan ‘batfish’.

“Pada 29 Jun lepas saya menyelam lagi ke tapak berkenaan dan melihat bangkai kapal itu semakin menyepai tapi masih banyak hidupan marin. Ada ‘sea fan coral’ tumbuh meskipun cahaya yang boleh tembus sehingga kepada bangkai kapal adalah terhad. 

“Meninjau bangkai kapal ini selepas 79 tahun karam saya tak berhenti memikirkan mereka yang menemui ajal dalam kapal ini…. Saya mendoakan mereka di dalam hati, ” katanya sambil menambah, beliau turut melihat ‘nudibranch’ yang jarang ditemui, yang dicari-carinya selama ini.

Cement Wreck, yang juga dikenali sebagai MV Tung Hwuang, adalah sebuah kapal pengangkut simen yang tenggelam pada tahun 1980. 

Menurut Clement, bangkai kapal itu terdampar di kedalaman sekitar 30 meter dan masih dalam bentuk asalnya, yang membolehkan penyelam meneroka kapal berkenaan.

“Bangkai kapal disalut karang dan menjadi habitat pelbagai spesies marin termasuk spesies ikan ‘batfish’, ‘trevally’, dan kerapu. 

“Cement Wreck popular dalam kalangan jurugambar kerana tapak semula jadi yang fotogenik dan banyak hidupan laut. Semasa menyelam di situ, kami nampak ‘black coral’ hidup segar dan membesar,” katanya.

Bangkai kapal keempat Blue Water Wreck yang juga dikenali sebagai Mabini Padre, sebuah kapal menangkap ikan Filipina yang terbakar dan tenggelam pada tahun 1982, berada di kedalaman sekitar 35 meter.

Banyak hidupan marin boleh dilihat di sekitar bangkai kapal itu termasuk kumpulan barakuda dan species ikan ‘trevally’ dan ‘jacks’ di samping ikan karang.

“Karang tumbuh di bangkai kapal ini hidup segar, menunjukkan tidak ada gangguan dari luar seperti perbuatan menggunakan bahan letupan dan penangkapan ikan. Tahniah kepada agensi penguatkuasaan di Labuan,” katanya.

 

CABARAN DAN PELUANG

Meskipun tapak menyelam di Labuan menawarkan pelbagai pengalaman yang mengujakan, ada cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan kelestarian dan keselamatan tapak-tapak berkenaan.

Keindahan hidupan marin di American Wreck yang juga dikenali sebagai USS Salute

Dalam hal ini, Clement menekankan beberapa isu utama dan mencadangkan langkah untuk meningkatkan lagi tarikan menyelam di Labuan dan dalam masa sama melindungi warisan marinnya.

Salah satu kebimbangan Clement ialah keadaan bangkai kapal yang semakin menyepai.

“Struktur yang bersejarah ini, sememangnya menakjubkan untuk diterokai tetapi tidak dibina untuk bertahan bagi jangka masa yang lama. Pendedahan berterusan kepada air laut, arus dan hidupan marin boleh menyebabkan keadaan bangkai kapal menjadi lebih teruk. 

“Ini bukan sahaja membahayakan kepada penyelam tetapi juga mengancam sistem ekologi marin yang sudah berkembang di sekitar struktur berkenaan, ” katanya.

Bagi menangani isu tersebut, Clement mencadangkan agar dibuat tukun tiruan sebagai langkah proaktif yang boleh menyediakan habitat yang stabil dan bermanfaat untuk hidupan marin, dan mengurangkan tekanan ke atas terumbu semula jadi dan bangkai kapa yang bersejarah.

“Dengan mewujudkan struktur bawah laut menggunakan bahan seperti konkrit, logam atau tukun yang direka khas, ini mungkin dapat meningkatkan biodiversiti serta mewujudkan tapak menyelam baharu yang selamat dan mampan,” katanya.

Penyelam-penyelam di Labuan juga menghadapi satu lagi cabaran iaitu kekurangan kemudahan tertentu atau yang diwartakan bagi kegiatan menyelam.

Menurut beliau, ramai penyelam, terutamanya dari luar Labuan, yang mungkin tidak tahu lokasi terbaik untuk ekspedisi menyelam atau mungkin mengalami kesukaran mencari jeti yang sesuai dan perkhidmatan sokongan. 

“Ini boleh menimbulkan kekeliruan dan potensi amalan yang tidak selamat, seperti menyelam di tempat yang tidak sesuai atau lokasi yang ‘sesak’, ” katanya yang turut mencadangkan agar diadakan kemudahan termasuk jeti, kedai yang menjual peralatan menyelam dan pusat maklumat.

 

FESTIVAL MENYELAM LABUAN  2024

Bercakap mengenai Festival Menyelam Labuan 2024 yang baru berakhir, Clement berkata, acara yang signifikan untuk mempamerkan potensi pulau itu sebagai destinasi menyelam bertaraf dunia.

Bekas duta DIVE Tourism Malaysia Clement Lee

Festival berkenaan menarik kehadiran ramai penyelam, pakar biologi marin, pendokong pemuliharaan, dan pemegang taruh pelancongan, untuk meraikan warisan marin Labuan serta membincangkan masa depan pelancongan marin di pulau itu.

“Sewaktu menyelam baru-baru ini di Pulau Rusukan Kecil (Labuan) di tapak menyelam ‘Lobster Point’ saya berasa amat seronok apabila terlihat tidak kurang daripada 10 ekor ‘jawfish’ tiba-tiba muncul daripada lubang di dasar laut. Secara berjenaka saya kata tapak menyelam ini boleh dipanggil ‘Jawfish Avenue’,”katanya.

Festival Menyelam Labuan menawarkan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti menyelam secara berpandu ke tapak bangkai kapal tenggelam, pertandingan fotografi bawah air serta bengkel pendidikan mengenai biologi marin dan pemuliharaan terumbu.

Menurut Clement, festival itu juga memberi peluang kepada perniagaan tempatan serta pengendali selam memperkenalkan perkhidmatan serta produk mereka.

“Dengan menarik penyelam dari seluruh dunia, Labuan boleh menjana pendapatan yang besar di samping mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor pelancongan.

“Pada masa sama, festival ini turut menekankan betapa pentingnya amalan pelancongan yang mampan serta keperluan melindungi sistem ekologi marin Labuan yang unik untuk generasi masa hadapan,” katanya.

 

PELIHARA WARISAN UNTUK GENERASI MASA DEPAN

Beliau turut menekankan keutamaan termasuk langkah menyekat penangkapan ikan yang berlebihan, mengurangkan pencemaran serta melindungi habitat seperti terumbu karang dan padang rumput laut.

Penting juga pelaburan dalam pemuliharaan marin dan infrastruktur pelancongan, seperti kemudahan menyelam, jaringan pengangkutan serta tempat penginapan berkualiti tinggi untuk menampung pertumbuhan Labuan sebagai destinasi menyelam. 

Clement turut menyentuh keperluan pelancongan mampan, menggalakkan amalan menyelam yang bertanggungjawab, mengurangkan sisa serta menyokong usaha pemuliharaan tempatan.

Menurut beliau, dengan adanya usaha menyemai budaya kelestarian, katanya, Labuan mampu memelihara sumber marin untuk generasi akan datang dan dalam masa sama menawarkan pengalaman unik untuk penyelam dan pencinta alam semula jadi.

Labuan, tambahnya, semakin mencipta nama gemilang dalam pelancongan selaman, berikutan terdapat terumbu karang yang mengagumkan, hidupan marin yang pelbagai serta bangkai kapal tenggelam yang menakjubkan,

Dengan komitmen berterusan untuk menangani cabaran-cabaran kelestarian dan melabur dalam prasarana pelancongan, pulau ini berpotensi muncul sebagai destinasi marin terkemuka di Asia Tenggara, serta menjamin peluang ekonomi serta memelihara kukuh warisan semula jadinya untuk generasi akan datang.

Ia juga diharap akan membuka mata pemain industri dan pihak berkuasa membuat sesuatu untuk merealisasikan impian ini

Sememangnya perjalanan untuk Labuan menjadi destinasi selaman bertaraf dunia baru bermula, namun masa depan penuh kegemilangan menanti pulau yang mempesonakan di Laut China Selatan ini.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.