Perkukuh Ekosistem E-Dagang Bagi Membuka Potensi Penuh PMKS

T
atkala komuniti perniagaan sedang bergelut mendepani cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19 tiga tahun lalu, muncul Little Nut Tree Toys sebagai sinar di hujung terowong buat penggiat sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia.

Diasaskan pada 2021 ketika ketidaktentuan ekonomi memuncak, peruncit alat permainan dari Malaysia itu memulakan perjalanannya yang mengagumkan di sebuah gudang kecil.        

Walaupun mengecap kejayaan awal, laluan untuk pengembangan perniagaan sarat dengan rintangan yang lazim ditempuhi oleh kebanyakan perniagaan kecil, iaitu sumber terhad, kekangan kewangan dan gangguan rantaian bekalan luar jangka. Malah, pada satu ketika, akaun e-dagang mereka digantung secara tiba-tiba, sekali gus menjejaskan perkembangan syarikat.    

“Di peringkat permulaan, kedai yang diwujudkan oleh saya dan adik hanyalah berbentuk pusat sehenti, iaitu kami sendiri membungkus dan mengepos tempahan yang diterima. Pelbagai cabaran kami tempuh bersama,” kata pengasas Little Nut Tree Toys yang hanya mahu dikenali sebagai Tan.

Menyedari potensi perniagaan itu, pengurus akaun di sebuah platfrom e-dagang terkemuka di Malaysia berusaha memastikan penggantungan akaun syarikat tersebut ditarik balik, membolehkan syarikat kembali bertapak dan membuka lembaran baharu pertumbuhan.

Memanfaatkan sepenuhnya nasihat dan alat yang ditawarkan oleh platform e-dagang itu, pasukan adik-beradik tersebut mempertajam strategi perniagaan mereka, membawa kepada peningkatan jualan dan mengukuhkan kedudukan syarikat di pasaran. 

“Dalam tempoh itu, kami dapat meningkatkan pengetahuan tentang perniagaan menerusi sokongan berharga daripada platform e-dagang terkemuka di Malaysia, yang melengkapkan kami dengan nasihat dan analisis pasaran, mengupayakan kami untuk memahami permintaan pasaran dan seterusnya menggubal strategi jualan yang sangat berkesan.   

“Hasilnya, volum tempahan kami yang sebelum ini sederhana, meningkat secara mendadak, daripada ratusan kepada ribuan sebulan, sementara perolehan kami melonjak ke tahap luar biasa,” kata Tan, menambah syarikatnya memanfaatkan momentum itu dengan mengembangkan operasi serta memperbesar saiz tenaga kerja dan ruang gudang bagi menampung permintaan.

Menjelang 2024, prestasi syarikat itu di tahap mengagumkan  dengan volum tempahan bulanan sekitar 34,000 dan nilai jualan harian melebihi RM80,000.

 

PMKS SEBAGAI TULANG BELAKANG EKONOMI MALAYSIA

Little Nut Tree Toys merupakan contoh terbaik daya tahan dan potensi PMKS, menjelaskan bagaimana perkongsian strategik dan platform digital boleh memupuk pertumbuhan dan kejayaan yang mampan.

Pengasas Little Nut Tree Toys, Tan

Berdasarkan data 2022 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia (SME Corp), PMKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, mewakili 97.4 peratus daripada keseluruhan perusahaan dan menyumbang 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, serta 48 peratus kepada sektor pekerjaan.

Seiring dengan perkembangan landskap runcit, peningkatan kepentingan e-dagang juga semakin ketara. Platform e-dagang bukan hanya mengubah cara perusahaan beroperasi tetapi turut meluaskan jangkauan serta meningkatkan daya saing mereka di pasaran.

Perubahan ini membawa peluang dan juga cabaran, menekankan keperluan untuk PMKS menyesuaikan diri dan berinovasi  agar dapat berkembang maju dalam era digital, beralih dengan pantas kepada model e-dagang dan memanfaatkan platform dalam talian, bagi mengekalkan dan mengembangkan kelompok asas pelanggan mereka.

  Menurut Pengerusi Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Putrajaya Azrul Zafri Azmi, pertumbuhan e-dagang memberi manfaat besar kepada PMKS dengan mewujudkan pekerjaan, merangsang perbelanjaan pengguna dan meningkatkan ekonomi keseluruhan.

Memetik penyelidikan pasaran oleh Mordor Intelligence, beliau berkata e-dagang dapat mewujudkan hingga 12 juta pekerjaan baharu di Asia Tenggara menjelang 2025. 

“Di Malaysia, pasaran e-dagang diunjur mencecah US$10.72 bilion pada 2024 dan bertumbuh kepada  US$20.93 bilion menjelang 2029, mengetengahkan peluang besar dari segi pengambilan belia sebagai pekerja dan kegiatan keusahawanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azrul Zafri berkata agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, SME Corp dan Majlis Amanah Rakyat telah memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan dan sumber bagi membantu usahawan muda merebut peluang tersebut. 

“Sektor e-dagang Malaysia bernilai RM44.6 bilion pada 2023 dan diunjur berkembang sebanyak 12.8 peratus pada 2024. Peningkatan perbelanjaan pengguna merangsang permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan, memberikan manfaat kepada PMKS dan menggalakkan kestabilan ekonomi,” tambah beliau.

Katanya, dalam persekitaran di mana peningkatan kos operasi perniagaan menjadi isu mendesak buat PMKS, e-dagang muncul sebagai satu alat penting untuk mereka kekal berdaya saing. Menerusi penggunaan platform digital, PMKS dapat meluaskan jangkauan pasaran, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan penglibatan pengguna.

“E-dagang menyediakan peluang berharga bagi pertumbuhan dan inovasi, membantu PMKS berkembang maju di tengah-tengah keadaan pasaran yang berubah. Selain itu, mekanisme sokongan, khususnya oleh kerajaan, adalah penting bagi memastikan PMKS dapat memanfaatkan e-dagang dengan berkesan,” tambahnya. 

 

RAPATKAN JURANG 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Dr Carmelo Ferlito berkata alat-alat e-dagang berperanan sebagai mekanisme berkuasa bagi merapatkan jurang di antara perniagaan kecil dan pasaran sasaran mereka, menyediakan kaedah cekap kos untuk berhubung dengan pelanggan dan pengguna.

“Bagaimanapun, perlu juga dijelaskan bahawa e-dagang bukanlah penyelesaian: syarikat perlu ada saranan nilai yang jelas untuk dibawa ke pasaran dan platform e-dagang boleh mempermudah aspek itu. Akan tetapi, tanpa saranan nilai yang jelas, maka yang didagangkan di e-platform hanyalah ‘cakap kosong’.

“Oleh itu, walaupun platform e-dagang dapat merapatkan jurang di antara perniagaan dan pasaran, sebaiknya platform tersebut digunakan dalam konteks meningkatkan perniagaan dan mengeksploitasi ekonomi skala untuk berkembang dari segi nilai saranan, inovasi serta jangkauan pasaran untuk daya saing jangka panjang,” katanya.

Mengakui bahawa platform e-dagang mungkin melakukan perubahan bagi menambah baik ekosistem untuk PMKS melalui kemajuan teknologi  dan sokongan pemasaran, Ferlito menekankan betapa pentingnya kesemua penyesuaian terbabit untuk kemampanan dan daya tahan jangka panjang.

 Apabila ditanya tentang kepentingan meningkatkan kemahiran bagi PMKS di sektor e-dagang serta peranan platform e-dagang dalam  mempermudah pembelajaran dan pembangunan, Ferlito berkata sekalipun PMKS lazimnya lebih terbuka menerima e-dagang disebabkan oleh kelebihan secara langsung platform itu, pengukuhan dan peningkatan kemahiran selanjutnya penting demi kejayaan jangka panjang mereka.

 

CAPAI PENGGUNA GLOBAL

Mengulas tentang impak transformasi platform e-dagang, Ketua Pusat Pengajian Perniagaan di International University of Malaya-Wales Dr Nadisah Zakaria berkata platform e-dagang membolehkan PMKS meluaskan capaian mereka melangkaui pasaran tempatan, yang seterusnya menuntut pengembangan tenaga kerja mereka.

Ketua Pusat Pengajian Perniagaan di International University of Malaya-Wales Dr Nadisah Zakaria

Pengembangan ini termasuk peranan dalam perkhidmatan pelanggan, logistik, pemasaran dan sokongan teknologi maklumat, katanya dan menambah, e-dagang juga merangsang permintaan dalam sektor berkaitan seperti pembungkusan, perkhidmatan penghantaran dan agensi pemasaran digital.

“E-dagang menjadikan aktiviti beli-belah lebih mudah dilakukan, membolehkan pengguna membeli-belah 24 jam sehari, tujuh hari seminggu walau di mana sahaja. Tambahan pula platform e-dagang juga kerap menawarkan pelbagai promosi dan diskaun, menarik lebih ramai pengguna dan berpotensi meningkatkan jumlah jualan PMKS dan seterusnya melonjakkan perolehan mereka,” jelasnya.

Nadisah berkata ekosistem e-dagang juga memacu inovasi pada ketika PMKS berusaha mendapatkan pelanggan baharu di samping mengekalkan pelanggan sedia ada, menyaksikan penghasilan produk dan perkhidmatan lebih baik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih luas.

“PMKS boleh memanfaatkan platform media sosial dan penstriman langsung bagi berhubung dengan pelanggan, mempamerkan produk serta meningkatkan kesedaran jenama, dan chatbot yang menawarkan interaksi dalam masa sebenar dengan pelanggan. Penggunaan secara berkesan peranti-peranti ini memerlukan tumpuan pada penerbitan video, penceritaan dan penglibatan audiens.

“Di samping itu, kemahiran dalam reka bentuk grafik, fotografi dan penyuntingan video juga penting bagi pemasaran digital yang berimpak,” katanya yang menggalakkan PMKS mewujudkan perkongsian dengan pempengaruh dan blogger bagi pemasaran bergabung, menekankan kepentingan kemahiran insaniah seperti membina perhubungan dan perundingan.

Beliau juga berkata pertumbuhan lebih luas dirangsang menerusi analitik data yang menyertakan pandangan daripada data pengguna, mempermudah proses membuat keputusan yang lebih baik. 

 Tambahan pula, 30.25  juta rakyat atau  91.7 peratus daripada populasi merupakan pengguna media sosial aktif.

 Merujuk data DataReportal (2022), Nadisah berkata Malaysia merekodkan kadar penembusan Internet yang luar biasa dengan 89.6 peratus daripada 32.98 juta penduduk mempunyai akses Internet.  Tambahan pula, 30.25  juta rakyat atau  91.7 peratus daripada populasi merupakan pengguna media sosial aktif.

“Turut didedahkan ialah  54.7 peratus pengguna Internet di Malaysia kerap menggunakan jaringan sosial untuk mencari maklumat tentang produk dan perkhidmatan, jauh melebihi penggunaan peranti lain.

“Tidak seperti kebanyakan pasaran lain, audiens Malaysia amat terbuka kepada kandungan promosi dan berkaitan jualan. Menurut Digital Business Lab, penggunaan e-dagang tinggi dengan lebih 66.6 peratus penduduk membuat pembelian dalam talian,” tambahnya.

 

MEMBANGUNKAN EKOSISTEM LEBIH TEGUH

Anjakan ke arah e-dagang meninggalkan kesan besar ke atas sikap pengguna yang mahukan pengalaman dalam talian tanpa gangguan, penghantaran cepat dan kecekapan perkhidmatan pelanggan, sekali gus memberi tekanan kepada PMKS. 

Nadisah berpendapat platform  e-dagang harus terus melakukan pelaburan semula ke atas infrastruktur mereka bagi mewujudkan ekosistem yang lebih teguh, seterusnya memacu pertumbuhan jangka panjang bagi PMKS.

Beliau berkata penambahbaikan berterusan terhadap infrastruktur mereka, antara muka pengguna dan pengalaman pengguna, adalah amat penting bagi memastikan PMKS mempunyai akses kepada teknologi terkini. 

Platform e-dagang juga boleh menjadi hos kepada komuniti penjual dan forum di mana PMKS boleh berhubung, bertukar-tukar pengalaman serta belajar sesama sendiri, tambahnya.

Berbicara tentang bagaimana e-dagang mengurangkan kos operasi, beliau berkata ketersediaan kaedah pembayaran seperti e-dompet berserta sistem automatik, contohnya pengurusan inventori, membantu menurunkan kos dengan ketara.

Penambahbaikan perkhidmatan logistik juga membolehkan PMKS menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh negara dengan pelaburan minimum, katanya, menambah langkah itu mengurangkan kos penghantaran dan mengoptimumkan rantaian bekalan, membawa kepada perkhidmatan penghantaran lebih cepat yang seterusnya meningkatkan pengalaman pelanggan, memupuk perniagaan berulang dan meraih reviu positif. 

 

KERJASAMA PIHAK BERKEPENTINGAN

Sementara itu, Azrul Zafri berkata amat penting untuk menyokong pertumbuhan berterusan dan penambahbaikan ekosistem e-dagang Malaysia, terutamanya dalam mempermudah penjualan serantau.

Pengerusi Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Putrajaya Azrul Zafri Azmi

Katanya, semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, platform e-dagang, pemimpin industri serta penyedia logistik, harus bekerjasama bagi mewujudkan persekitaran menyokong untuk PMKS Malaysia dalam landskap e-dagang.

“Potensi e-dagang untuk memacu PMKS Malaysia ke arah daya saing serantau, kemakmuran ekonomi dan kejayaan jangka panjang adalah sangat besar. Usaha kolektif untuk mengukuhkan ekosistem e-dagang, dengan tumpuan pada perdagangan serantau, akan membuka potensi ini dan memacu pertumbuhan yang mampan untuk PMKS dan ekonomi lebih luas.

“Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), e-dagang di landasan untuk menyumbang RM1.65 trilion kepada KDNK Malaysia menjelang 2025, menekankan betapa pentingnya peranan sektor itu dalam pembangunan ekonomi. Menerima guna e-dagang dan menyokong PMKS dalam peralihan ini, terutama bagi menembusi pasaran serupa yang lebih besar, bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat rantau,” tambahnya.

Beliau berkata kerajaan, pada masa sama, harus meluaskan program latihan dengan tumpuan khusus pada pembangunan literasi digital, pemasaran dalam talian serta kemahiran berdagang rentas sempadan bagi usahawan muda.

Katanya, dengan menyediakan insentif seperti pelepasan cukai atau geran untuk PMKS yang terlibat dalam e-dagang rentas sempadan, akan menggalakkan lebih banyak perniagaan meluaskan jangkauan mereka.

“Kerajaan juga boleh meningkatkan lagi pelaburan dalam infrastruktur digital seperti menambah baik akses Internet dan langkah-langkah keselamatan siber yang amat penting bagi menjamin persekitaran perniagaan dalam talian yang selamat dan cekap.

“Peraturan perdagangan rentas sempadan juga perlu diperkemaskan bagi memudahkan PMKS memasuki pasaran baharu,” tambahnya.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.