Tambah Baik Dasar, Galak Pemilikan Rumah Pada Usia Muda

G
olongan muda perlu lebih cakna atau mengambil berat dalam isu pemilikan rumah kerana ia adalah antara langkah penting dalam memastikan kestabilan kewangan mereka pada jangka masa panjang.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia, Ar Ahmadsyafii’ei Abdul Kudos dalam menekankan perkara itu berkata, pemilikan rumah bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang tetap, tetapi satu pelaburan berpotensi meningkatkan nilai dari masa ke masa.

Menurut beliau, sekiranya golongan muda terus menyewa sahaja tanpa memiliki rumah, ia akan membawa kesan jangka panjang yang signifikan. 

"Pertama mereka akan terus membayar kos sewa yang mungkin meningkat seiring masa tanpa manfaat pemilikan aset dalam jangka panjang. Kedua, tidak memiliki rumah sendiri boleh menjejaskan kestabilan kewangan dan menyusahkan perancangan masa depan terutamanya pada usia tua," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas isu golongan muda tidak memiliki rumah yang sering menjadi topik perbincangan serta kebimbangan generasi itu akan berakhir sebagai gelandangan.

Bernama dalam laporannya sebelum ini mendedahkan orang muda lebih gemar menyewa disebabkan pelbagai faktor antaranya mempunyai komitmen kewangan yang tinggi.

"Dengan perancangan kewangan yang baik dan pemahaman mendalam tentang pasaran hartanah, golongan muda boleh mencapai impian mereka untuk memiliki rumah sendiri,' katanya.

 

PERLU TINGKAT KESEDARAN

Dalam menangani isu pemilikan rumah ini, beliau berkata, golongan muda perlu diberi kesedaran tentang manfaat memiliki rumah sebagai aset pelaburan, meningkatkan kestabilan kewangan dan keupayaan merancang masa depan dengan lebih baik.

Kerajaan dan agensi yang berkaitan, katanya, perlu memperbanyakkan lagi promosi berkenaan skim-skim perumahan mampu milik yang ada kepada golongan muda supaya mereka boleh mendapat gambaran yang lebih jelas.

Ar Ahmadsyafii’ei Abdul Kudos

Menyentuh tahap kesedaran orang muda terhadap pemilikan rumah, Ahmadsyafii’ei menyifatkan ia sebagai rendah kerana golongan itu tidak meletakkan pemilikan kediaman sebagai agenda utama dalam kehidupan mereka. 

"Anak-anak muda terutamanya lebih mengutamakan perbelanjaan untuk menjalani gaya hidup yang mengikut ‘trend’ semasa seperti memiliki kereta mewah, gaya hidup yang tidak sepadan dengan kewangan masing-masing," katanya.

Selain itu, Ahmadsyafii’ei berkata, ada anak muda yang menyimpan hasrat memiliki rumah impian mewah menyebabkan mereka lebih rela untuk menunggu sehingga benar-benar mampu untuk membeli rumah idaman. 

"Akan tetapi mereka tidak sedar harga rumah juga semakin meningkat. Ini menyebabkan golongan muda terperangkap dalam zon yang ‘sentiasa tidak mampu’ untuk membeli rumah.

"Memberi pendidikan kewangan yang lebih baik dan informasi tentang kos sewa yang tinggi perlu disampaikan untuk mendorong mereka memilih memiliki rumah sebagai pelaburan jangka panjang yang stabil," katanya.

 

 

TAMBAH BAIK DASAR 

Bagi menggalakkan orang muda membeli rumah, Ahmadsyafii’ei berkata, kerajaan perlu meningkatkan akses kepada program perumahan mampu milik seperti Perumahan 1 Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR)  di bawah skim Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). 

"Langkah ini perlu disokong dengan pendidikan kewangan yang lebih baik, insentif pajakan untuk pembeli rumah pertama, pembangunan infrastruktur yang memadai serta kerjasama yang erat dengan sektor swasta untuk memastikan rumah yang berkualiti dan berpatutan dapat disediakan kepada golongan muda," jelasnya.

Dalam memastikan rakyat termasuk golongan muda mampu mempunyai kediaman sendiri, kerajaan terus berusaha membina pelbagai jenis perumahan yang boleh dimiliki masyarakat.--fotoBERNAMA

Beliau turut mengulas mengenai Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) yang dianggapnya satu langkah positif tetapi masih memerlukan penambahbaikan.

Dalam hal ini, kerajaan, katanya, perlu mempertimbangkan peningkatan akses kepada pinjaman perumahan yang mudah, peningkatan peluang bagi golongan muda dengan pendapatan rendah serta menawarkan insentif pajakan untuk pembeli pertama. 

"Pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi memudahkan akses kepada pembeli untuk membuat pembiayaan perumahan seperti skim i-Biaya, skim Rent-to-Own dan skim Rumah Pertamaku perlu dipromosikan lagi supaya dapat menarik golongan muda untuk memiliki rumah," katanya. 

Selain itu, Ahmadsyafii’ei berkata, langkah tambahan yang harus dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ialah menjalankan kerjasama dengan sektor swasta untuk membangunkan perumahan yang lebih berpatutan dan berkualiti.

 

PASTIKAN TIADA YANG TERPINGGIR

Mengajukan perkara ini kepada KPKT,  pihak berkenaan menjelaskan, kerajaan MADANI sangat prihatin dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat tempat tinggal yang merupakan hak asasi setiap manusia. 

Dalam jawapan bertulis kepada Bernama, kementerian itu berkata, bagi meningkatkan bekalan Rumah Mampu Milik (RMM) yang berkualiti dan berdaya huni, kerajaan menetapkan sasaran penyediaan sebanyak 500,000 unit rumah berkenaan di seluruh negara dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu dari tahun 2021-2025.

"Dalam hal ini KPKT akan sentiasa mempertingkatkan kerjasama dengan semua agensi penyedia perumahan di peringkat Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta bagi memastikan sasaran ini tercapai. 

Laporan Bernama sebelum ini mendedahkan orang muda lebih gemar menyewa disebabkan pelbagai faktor antaranya mempunyai komitmen kewangan yang tinggi.--fotoBERNAMA

"KPKT juga komited untuk menyediakan rumah mampu milik melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk golongan B40 serta kediaman SPNB serta PR1MA  bagi golongan berpendapatan sederhana (M40)," kata kementerian itu.

Menurut KPKT, pelbagai perkara dilakukan bagi membantu golongan muda memperoleh rumah, antaranya menyediakan inisiatif di bawah aspek pembiayaan bagi menggalakkan pemilikan rumah di seluruh negara, seperti inisiatif i-Biaya melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP). 

"Melalui inisiatif ini kerajaan memberi jaminan pembiayaan rumah sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama termasuk bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti golongan ekonomi gig.

"Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji, Takaful Gadai Janji, yuran guaman dan yuran penilaian. Pembiayaan ini tidak terhad untuk kediaman baharu sahaja tetapi termasuk bagi rumah dalam pasaran sekunder," jelas KPKT.

 

 

TINGKATKAN PEMBINAAN PERUMAHAN MAMPU MILIK

 

Dalam memastikan rakyat termasuk golongan muda mampu mempunyai kediaman sendiri, kerajaan terus berusaha membina pelbagai jenis perumahan yang boleh dimiliki masyarakat termasuk memastikan sasaran 500,000 unit rumah mampu milik dalam RMK12 dicapai.

Menurut KPKT, sehingga 31 Mac 2024, rumah mampu milik siap dibina serta yang dalam fasa pembinaan adalah sebanyak 288,968 unit. Jumlah itu menyumbang kepada 57.8 peratus daripada 500,000 unit RMM yang disasarkan.

Kerajaan juga komited membangunkan rumah mampu milik bagi golongan B40 sama ada dimiliki atau disewa menerusi PPR.

"Sejak diperkenalkan pada 1982 hingga kini, terdapat 202 projek PPR dengan keseluruhan 115,039 unit rumah diluluskan pelaksanaannya di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 164 projek melibatkan 101,516 unit rumah yang siap dibina, 19 projek dengan 7,517 unit rumah dalam pembinaan serta 19 projek dengan 6,006 unit masih dalam perancangan," kata kementerian itu.

Di samping itu, KPKT turut melaksanakan rumah mesra rakyat di bawah kelolaan SPNB khusus kepada golongan B40 yang mempunyai tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga yang diberi kebenaran. 

"Sehingga kini terdapat 67,405 unit RMR diluluskan pelaksanaannya di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 65,610 unit rumah siap dibina, 1,442 unit sedang dalam pembinaan manakala 531 lagi dalam peringkat perancangan," katanya.

Terbaharu kerajaan sedang merancang untuk membina Rumah Belia MADANI (RBM) di kawasan Lembah Klang. Program itu bertujuan menyediakan perumahan secara transit untuk golongan belia yang berumur 35 tahun dan ke bawah.

 

GALAKAN INSENTIF

Dalam memberi galakan kepada pemaju untuk membina lebih banyak rumah dengan harga lebih rendah, kerajaan melalui DRMM turut menetapkan pemaju perumahan menyediakan sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam mana-mana pembangunan perumahan baharu.

Bagaimanapun, menurut KPKT, kerajaan negeri boleh melaksanakan dasar berkenaan mengikut keperluan setempat dan keadaan negeri mereka.

"Dalam penyediaan RMM, kerajaan MADANI memberikan galakan kepada pemaju swasta untuk membangunkan rumah sedemikian melalui pemberian insentif iaitu kemudahan bayaran deposit kepada pemaju perumahan yang membina rumah terbabit hanya perlu membayar deposit sebanyak RM200,000 ke dalam Housing Development Account (HDA) berbanding pemaju yang tidak membangunkan RMM  perlu membayar tiga peratus daripada kos pembinaan.

"Kedua kerajaan menyediakan "fast lane" untuk kelulusan Kebenaran Merancang (KM), Pelan Bangunan (PB) dan insentif lain di bawah kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dapat membantu pemaju untuk membangunkan rumah mampu milik termasuk memberi pengecualian sepenuhnya caj pematuhan dan caj pembangunan," kata kementerian itu.

PPR antara program perumahan sosial oleh KPKT khusus bagi membantu golongan setinggan dan golongan berpendapatan rendah termasuk golongan muda dapat menikmati kemudahan perumahan pada kadar harga jualan yang mampu dimilikI.--fotoBERNAMA

Berhubung langkah diamalkan Indonesia yang membina rumah di atas tanah pada kadar mampu milik untuk golongan muda walaupun bersaiz kecil, KPKT berkata, selaras dengan matlamat Dasar Perumahan Negara (DPN) 2018–2025, kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan perumahan yang inklusif, berkualiti, mampu dimiliki dan berdaya huni bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia. 

"PPR merupakan antara program perumahan sosial yang disediakan oleh KPKT khusus bagi membantu golongan setinggan dan golongan berpendapatan rendah termasuk golongan muda supaya dapat menikmati kemudahan perumahan yang lebih baik dan selesa pada kadar harga jualan yang mampu dimiliki atau kadar sewa yang rendah," kata KPKT. 

Jelas kementerian itu lagi, pada tahun 2022, kerajaan bersetuju dengan hala tuju pelaksanaan PPR berhubung penetapan saiz keluasan baharu iaitu seluas 69.67 meter persegi selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan daya huni penduduk PPR.

Menjawab cadangan agar kerajaan mengambil alih pembinaan fasiliti selain memberikan subsidi untuk bahan binaan berikutan ketika ini penyediaan kemudahan asas di kawasan petempatan dilakukan pemaju seterusnya mendorong kenaikan harga rumah, kementerian itu berkata, akses kepada rumah mampu milik yang berkualiti dan berdaya huni untuk rakyat akan terus diberi tumpuan dalam agenda pemilikan rumah negara. 

"KPKT sentiasa meneliti pelbagai aspek yang dapat membantu mengurangkan kos pembangunan rumah mampu milik antaranya mengenal pasti tapak-tapak lokasi yang strategik bersama kerajaan negeri bagi mengurangkan kos tambahan seperti penyediaan infrastruktur tambahan serta bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi meneliti isu-isu berkaitan perumahan khususnya harga rumah serta penyelesaiannya," katanya.

Selain itu kerajaan juga menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan atau Feasibility Study sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelakkan rumah tersebut tidak terjual.

Menyentuh tentang kerenah birokrasi yang menjadi antara punca kepada peningkatan kos pembinaan sekali gus menyebabkan pemaju menaikkan harga rumah yang dibina mereka, KPKT menjelaskan, berdasarkan kajian oleh beberapa pihak dalam industri dan institusi penyelidikan, harga rumah dipengaruhi pelbagai faktor.

"Antaranya, lokasi rumah yang strategik, kos pembinaan rumah, infrastruktur, tanah, pematuhan (compliance cost) selain keuntungan pemaju. 

"Dalam usaha memangkinkan pelaburan dan memperbaiki tahap memudahcara perniagaan (ease of doing business) di Malaysia, KPKT sentiasa menyelaras bersama PBT untuk mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan bagi memastikan proses yang cepat, tepat dan telus dalam sektor perumahan," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.