Penggunaan Dron Tingkatkan Prestasi Sektor Pembinaan Negara

P
enggunaan teknologi dron dilihat semakin mendapat tempat dalam industri pembinaan di negara ini sekalipun langkah itu melibatkan peningkatan kos sesebuah projek.

Menurut pakar, pemaju bersedia berbelanja lebih bagi memastikan projek mereka berjalan lancar dan menepati jadual, berikutan banyak projek tertangguh semasa penularan pandemik COVID-19 kira-kira tiga tahun lalu.

Lebih-lebih lagi sektor itu juga semakin rancak susulan langkah kerajaan menjadikan industri pembinaan sebagai antara strategi pemulihan ekonomi negara, menerusi pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia ke-12 seperti pengangkutan dan utiliti, selain projek perumahan mampu milik.

Menurut Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, peruntukan belanjawan untuk industri pembinaan pada 2024 yang berjumlah melebihi RM70 bilion, dijangka meningkat kepada RM100 bilion berdasarkan trend tahun-tahun sebelum ini, membabitkan projek baharu sektor awam dan swasta.

Justeru, tidak menghairankan jika pemain industri pembinaan negara memanfaatkan teknologi dron yang dapat meningkatkan pengurusan projek. Namun, sejauh manakah teknologi dron dapat membantu merancakkan lagi sektor ini?

 

PERKEMBANGAN POSITIF

Memetik laporan Drone Industry Insights, pakar geospatial Prof Gs. Dr Rosmadi Fauzi  berkata penggunaan teknologi dron dalam sektor pembinaan global menunjukkan trend meningkat dengan nilai pasaran 2024 dianggar mencecah US$4.8 bilion dan diunjur melonjak kepada US$602 bilion pada 2030.

Katanya, banyak syarikat pembinaan di negara maju seperti Jepun, memanfaatkan teknologi itu bagi memantau perkembangan projek dan juga aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Malah katanya, syarikat pengeluar peralatan dan jentera berat di Jepun seperti Komatsu telah membangunkan teknologi yang dapat mengintergrasikan data daripada dron dengan peralatan, agar jentera dapat berfungsi dengan lebih baik berdasarkan pelan yang dirancang. 

“Di Malaysia juga kita lihat ada perkembangan positif dari segi penggunaan dron, iaitu syarikat pembinaan bersedia melabur lebih banyak untuk teknologi dron berbanding tahun-tahun sebelum ini, kerana peranti itu dapat menjejaki kemajuan projek dengan lebih cekap selain mampu mengenal pasti sebarang masalah lebih pantas,” katanya kepada Bernama.

Dron kini turut dilengkapi pelbagai teknologi canggih antaranya LiDAR dan Kecerdasan Buatan (A.I).

Menurut pensyarah di Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya itu lagi, dron dapat dimanfaatkan dari awal hingga selepas projek siap.

Di peringkat prapembangunan, dron digunakan untuk membuat tinjauan tapak, seperti bentuk muka bumi, yang penting bagi perancangan tapak termasuk saliran dan penempatan struktur bangunan.

Di fasa pembangunan pula, dron dapat menjejaki perkembangan projek sekali gus membantu penyediaan laporan kemajuan untuk dihantar kepada pihak berkepentingan.

"Data daripada dron ini boleh diproses bagi menghasilkan output dalam bentuk tiga dimensi (3D)  untuk tujuan dokumentasi, perancangan penyelenggaraan dan merekodkan sejarah proses pembangunan, selain boleh dijadikan rujukan penting oleh pihak berkenaan sekiranya timbul isu di kemudian hari," tambahnya lagi.

Apabila projek siap, dron digunakan bagi meninjau struktur bangunan dan pemeriksaan bumbung, memandangkan peranti itu dilengkapi kamera yang canggih dan pengimejan terma  untuk mengesan sebarang kerosakan pada struktur dan lain-lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengimejan radiometrik terma di dalam sistem dron yang mampu mengesan tenaga infra merah, dapat dimanfaatkan bagi mengenal pasti dengan pantas isu peralatan terlalu panas atau kerosakan elektrik yang merupakan pelopor biasa kepada bahaya kebakaran, membolehkan pihak pemaju mengambil langkah mitigasi segera bagi mengelakkan risiko tidak baik kepada pemilik bangunan kelak.

Menurutnya, dron juga amat sesuai digunakan di projek berskala besar yang lazimnya memerlukan pasukan pemantau bergerak dari satu plot ke plot lain menggunakan kenderaan, yang bukan sahaja tidak cekap guna tenaga tetapi turut menyumbang kepada pelepasan karbon.

 

PANTAU ASPEK KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

Mengulas lanjut, Rosmadi berkata penggunaan dron juga dapat membantu penyelia projek memantau aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi menjamin kesejahteraan setiap pekerja.

Katanya, dengan memanfaatkan data yang dikumpul oleh dron, pemaju dapat menentukan langkah keselamatan yang perlu diambil di tapak projek masing-masing, selain menggantikan tenaga manusia dengan peranti itu bagi memeriksa kawasan yang berisiko.

Dron dapat membantu pihak pemaju pembinaan melaksanakan pemantauan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja masing-masing dengan lebih berkesan.

Sementara itu, wakil pengurusan tertinggi Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Zanuddin Kisman berkata terdapat banyak manfaat dalam penggunaan dron di sektor pembinaan, khususnya dari segi keselamatan dan kesihatan pekerja.

Menurutnya, ada dron yang dilengkapi teknologi tertentu seperti kecerdasan buatan dan boleh diprogramkan untuk mengenali peralatan keselamatan seperti topi keledar, jaket pantulan cahaya dan lain-lain pakaian perlindungan diri, sekali gus membantu mengawasi pekerja.

"MSOSH berpandangan penggunaan dron ini cukup penting memandangkan kes kemalangan dan kematian pekerja industri pembinaan kian meningkat saban tahun. Laporan statistik kemalangan pekerjaan dalam 10 sektor utama sepanjang Januari-November 2022 menunjukkan 6,306 kes Tidak Hilang Upaya Kekal (THUK), 227 kes Hilang Upaya Kekal (HUK) dan 186 kematian.

"Daripada jumlah itu, 87 kes THUK,  dua HUK, dan 59 kematian membabitkan pekerja pembinaan dengan total 148 kes dan data ini amat membimbangkan. Diharapkan penggunaan dron dapat mengurangkan jumlah kes kemalangan menerusi aktiviti pemantauan KKP yang lebih efektif oleh pemaju," katanya. 

Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan yang didapati melanggar aspek KKP boleh dikenakan denda hingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berwajib menggubal garis panduan dan peraturan yang jelas tentang penggunaan dron di tapak pembinaan, selain memberikan insentif kepada pemaju yang menggunakan teknologi tersebut untuk meningkatkan tahap KKP dan kecekapan projek.

 

MOHON PERMIT

Penggunaan dron di negara ini bagaimanapun perlu mendapat permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dan bagi pemaju, mereka perlu memohon permit khas, iaitu   Standard Authorisation to Fly (ATF) bagi operasi dron berisiko rendah dengan tempoh kebenaran maksimum selama tiga bulan selepas tarikh diluluskan.

Menurut Pegawai Kawal Selia UAS CAAM Muhammad Fadillah Rosli, permit itu hanya boleh dikeluarkan dengan kebenaran Ketua Pegawai Eksekutif CAAM berdasarkan ketetapan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (CAR) 2016 di bawah peruntukan Peraturan 140 hingga 144.

Antara syarat yang ditetapkan bagi pengeluaran permit ialah pemohon hanya boleh menerbangkan dron bawah ketinggian 400 kaki di atas paras bumi, berat dron tidak melebihi 20 kilogram, dron mestilah berdaftar dengan SIRIM serta mematuhi pancaran frekuensi dibenarkan yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, mempunyai permit penggambaran udara daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, serta juruterbang dron mestilah membuktikan kompetensi mengendalikan dron.

"Dalam borang permohonan permit, pemohon perlu menyatakan spesifikasi dron yang digunakan, butiran peribadi dan bukti kompetensi juruterbang dron, butiran penerbangan seperti tujuan, lokasi, tarikh, masa dan ketinggian penerbangan yang diperlukan. Di samping itu, penilaian risiko juga perlu dibuat oleh pemohon sebelum permit boleh dikeluarkan.

"Maksud penilaian risiko ialah sebelum borang permit dihantar, pemohon perlu melakukan tinjauan tapak bagi mengenal pasti jajaran kawasan tapak pembinaan dan halangan fizikal yang ada. Mereka juga perlu lakukan pemetaan geospatial secara digital untuk disertakan dalam borang permit, bagi membolehkan kita menilai kawasan tapak tersebut selamat atau tidak untuk dron diterbangkan, supaya tidak memasuki ruang udara kawasan larangan kerajaan seperti penjara dan mengganggu privasi orang ramai," katanya.

Tambah beliau, penggunaan dron dalam industri pembinaan secara umumnya adalah di bawah kategori risiko rendah, iaitu juruterbang dron mampu mengekalkan perhubungan visual secara langsung atau dalam garis lingkungan visual (VLOS), dan biasanya permit boleh diluluskan dalam tempoh 14 hari bekerja.

Setelah semua kriteria permit dipenuhi serta bayaran fi sebanyak RM250 (untuk satu dron di bawah 20 kg) dan RM1,000 (untuk satu dron melebihi 20 kg) disertakan bagi setiap dron dan setiap lokasi, barulah permit boleh dikeluarkan bersama Notice to Airmen (NOTAM) yang akan dijadikan rujukan pihak pengawal trafik udara terdekat, bagi mengelakkan berlaku sebarang kemalangan dengan pengguna udara yang lain.

Keadaan ini berbeza dengan penilaian risiko di bawah kategori risiko sederhana, iaitu penerbangan dron secara jarak jauh dan luar dari VLOS, yang memerlukan pemohon menjalankan penilaian risiko yang lebih komprehensif.

Juruterbang dron perlu memiliki sijil Remote Pilot Certificate of Competency – Basic (RCOC-B) yang dikeluarkan oleh Remote Pilot Training Organisation (RPTO) yang diperakui CAAM, modul tambahan Extended Visual Line-of-Sight (Module 1 - EVLOS) dan mengikuti skim latihan penerbangan yang ditetapkan oleh pengeluar dron. Pengeluaran permit juga mengambil masa lebih lama iaitu sekitar 80 hari memandangkan prosedur kelulusannya yang lebih ketat.

Beliau berkata bagi tempoh 2023 hingga Julai 2024, pihaknya menerima hampir 1,300 permohonan permit daripada pelbagai industri termasuk pembinaan dan dijangka terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.

 

TERBANGKAN DRON TANPA PERMIT

Ditanya tentang kesalahan yang biasa dilakukan berhubung penggunaan dron, Muhammad Fadillah berkata ada pihak yang dengan sengaja tidak memohon permit sah ataupun menerbangkan dron melebihi tempoh permit dibenarkan, penggunaan dron yang tidak mematuhi spesifikasi selain tidak melaporkan kemalangan membabitkan dron kepada CAAM.

Selain itu, ada juga yang melanggar privasi orang ramai dengan cara menerbangkan dron melebihi tapak kawasan yang dibenarkan permit dan memasuki kawasan perumahan serta kawasan larangan awam.

Bagi tempoh 2020 hingga sekarang, CAAM menerima 57 aduan tentang salah guna dron termasuk memasuki kawasan perumahan.

Pegawai Kawal Selia UAS CAAM Muhammad Fadillah Rosli

"Sebarang salah laku adalah tertakluk di bawah CAR 2016 yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu yang didapati bersalah.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000. Ketetapan kadar hukuman adalah bergantung pada budi bicara mahkamah," katanya.

Tambah beliau, CAAM merancang untuk menambah baik undang-undang dan peraturan sedia ada dengan mengenakan hukuman lebih berat.

"Oleh itu, kita berharap semua pihak, baik industri ataupun orang awam dapat bersama-sama memanfaatkan portal aduan https://safetyreporting.caam.gov.my/ sekiranya mendapati ada dron yang diterbangkan tidak mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya.

 

TERUS DIDIK

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Sr. Mohd Zaid Zakaria berkata pihaknya bersedia untuk terus mendidik syarikat pembinaan berhubung pematuhan undang-undang dron.

Katanya langkah itu selaras dengan usaha sama CIDB dan pihak berkepentingan bagi membangunkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (2021-2025) untuk membantu industri mendepani perubahan teknologi.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Sr. Mohd Zaid Zakaria

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, CIDB telah menerbitkan buku panduan Construction 4.0 (A Guide For Digital Transformation) yang berfungsi sebagai rujukan utama untuk semua pemain industri di Malaysia.

Menurutnya, buku panduan C4.0 ini mengenal pasti 12 teknologi utama dalam Construction 4.0 yang memainkan peranan penting dalam transformasi digital industri pembinaan, antaranya Building Information Modeling (BIM), teknologi robotik dan teknologi dron. 

“CIDB juga sedang merangka untuk melaksanakan siri jelajah pembinaan C4.0 bagi teknologi baharu muncul dalam industri pembinaan di seluruh Malaysia meliputi pelbagai zon untuk memfokuskan pada peningkatan kesedaran dan pengetahuan berkenaan penggunaan teknologi baharu muncul

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita demi memastikan pemain industri memahami setiap undang-undang berkaitan, seterusnya mengadaptasi teknologi terkini dalam pelaksanaan kerja pembinaan di Malaysia,” tambah beliau.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.