Kontraktor Sah Jamin Kelangsungan Industri Pembinaan Negara

L
aporan media yang banyak membongkar kes ramai pemilik kediaman atau premis ditipu oleh kontraktor tidak berlesen sehingga menanggung kerugian ratusan ribu ringgit membuatkan tahap kesedaran masyarakat tentang perkara itu semakin meningkat.

Semakan Bernama dengan beberapa kontraktor berlesen mendapati semakin ramai yang mengupah mereka untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan kediaman atau premis sekalipun mungkin perlu “berbelanja lebih” berbanding mengambil kontraktor haram.

Menurut kontraktor berlesen itu, kebanyakan pelanggan mereka mengambil pendirian ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna’.

“Memang dalam tempoh dua ke tiga tahun sebelum ini kebanyakan pemilik kediaman mencari kontraktor yang menawarkan harga bajet atau murah, namun belakangan ini ramai mula membuka mata.

“Mungkin timbul kesedaran itu apabila banyak laporan media tentang kes ditipu kontraktor,” kata kontraktor Izanizam Mohd Ihsan kepada Bernama.

 

PROFIL CANTIK

Beliau yang berpengalaman enam tahun dalam bidang itu serta mempunyai syarikat sendiri yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengakui, ramai pelanggannya tidak tahu bahawa mereka memerlukan kebenaran pihak berkuasa untuk melakukan kerja pembinaan atau ubah suai yang melibatkan struktur bangunan.

“Kalau kerja itu dilakukan tanpa permit, mereka melakukan kesalahan di sisi undang-undang,” katanya, menambah, permit tersebut hanya dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada kontraktor berlesen sah. 

Izanizam Mohd Ihsan, pemilik syarikat Dillic Enterprise

Dalam masa yang sama, Izanizam, 39,  berkata, amat penting juga untuk kontraktor berdaftar mempunyai profil “cantik” yang boleh dianggap sebagai kayu pengukur bagi kontraktor berkenaan mendapat tempat dalam industri pembinaan negara.  

Menurut beliau, kontraktor yang berdaftar akan menjaga kualiti kerja dan tidak boleh sambil lewa melaksanakan sesuatu projek kerana  itu akan  menyebabkan mereka disenarai hitam.

“Sebagai kontraktor berdaftar, kami sehabis baik akan menjaga nama dan imej syarikat, sebab itu kontraktor seperti kami sangat menjaga kualiti kerja berbanding kontraktor persendirian atau yang tidak berlesen ini.

“Kami juga akan pastikan pelanggan tahu tentang latar belakang syarikat dan kami sendiri akan sediakan profil berkaitan projek-projek pembinaan yang telah dibuat sebelum ini untuk rujukan pelanggan,’’ katanya.

Beliau menambah, kebanyakan kontraktor berdaftar juga mempunyai penarafan yang baik dalam industri dan ia secara tidak langsung memberi kelebihan buat mereka untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan.

“Penarafan yang baik akan menjamin kelangsungan sesebuah syarikat kontraktor itu untuk turut sama bersaing dalam industri berkenaan,” katanya.

Kontraktor berdaftar, kata Izanizam, mempunyai jaminan yang lebih tinggi untuk sesebuah projek itu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, sekali gus memastikan tiada sebarang isu timbul daripada kontraktor bermasalah.

“Selain menjaga kualiti kerja, kami juga akan pastikan setiap projek yang dipertanggungjawabkan siap mengikut tempoh atau masa yang dijanjikan kepada pelanggan, sebab kami tidak mahu ada aduan daripada pelanggan.

Kontraktor berdaftar akan menjaga kualiti kerja supaya tidak disenaraikan hitam.

‘’Untuk syarikat saya, saya sendiri akan pastikan setiap projek itu ada garis masa, yang mana setiap peringkat kerja yang mesti  disiapkan mengikut garis masa, sekurang-kurangnyanya pelanggan tahu berapa peratus atau banyak mana kerja yang kita selesaikan... perkara ini walaupun nampak kecil namun ia akan membuatkan pelanggan yakin dengan kita,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, berbanding kontraktor haram, pemain industri yang berdaftar diakui berkemahiran dan mempunyai kepakaran masing-masing yang disahkan oleh agensi berkaitan termasuk CIDB.

“Kontraktor yang berhasrat mahu berdaftar, kena pastikan ada kewangan yang kukuh. Ini secara tidak langsung mengurangkan risiko  kontraktor yang tidak kompeten serta tidak berkeupayaan untuk  menyiapkan projek yang akhirnya menyebabkan ia terbengkalai,’’ kata Izanizam yang juga berpengalaman dalam pembuatan kamar mandi moden dan praktikal.

 

SEMAKAN DENGAN CIDB

Menurut Izanizam, rata-rata pelanggan yang mahu menggunakan khidmatnya turut melakukan semakan bertujuan memastikan syarikatnya adalah sah dan berdaftar dengan CIDB.

“Kami juga letak di profil media sosial syarikat kami, bahawa syarikat kami berdaftar sebagai antara usaha untuk menarik pelanggan dan mereka turut digalakkan untuk melakukan semakan sendiri di laman sesawang CIDB berhubung perkara itu,’’ katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Zainuldin,34, berkata, kontraktor berlesen mempunyai peluang untuk mendapatkan projek berskala besar sekali gus mampu menjana keuntungan untuk syarikat.

Ini kerana, katanya, kontraktor dalam kumpulan itu dilihat lebih berkredibiliti kerana memenuhi keperluan industri.

“Bahkan apabila kontraktor ini  ada lesen, mereka berpegang kepada undang-undang, peraturan dan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh CIDB.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Sr. Mohd Zaid Zakaria

‘’Perkara ini bukan sahaja mendorong mereka untuk melindungi perniagaan masing-masing, malahan juga pekerja dan orang awam di kawasan tapak bina,’’ katanya.

Zainuldin berkata, kontraktor berdaftar turut mempunyai kelebihan mendapatkan kontrak baharu serta mengambil bahagian dalam tender kerajaan.

“Sebagaimana saya, jika sebelum ini kerja saya terhad hanya dalam pembinaan rumah persendirian, tetapi bila kita berdaftar, ada lesen dan berpengalaman, kita diambil pula sebagai subkontraktor  untuk projek kerajaan.

“Secara tidak langsung sebagai pemain industri, saya sendiri mewujudkan peluang pekerjaan apabila syarikat perlu lebih ramai pekerja untuk melaksanakan projek-projek yang ditawarkan,’’ katanya.

 

TINGKATKAN KEMAHIRAN

Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria mengakui,  tidak ramai yang  tahu bahawa mereka perlu berdaftar dengan agensi itu bagi mendapatkan lesen rasmi sebagai seorang kontraktor.

Beliau berkata, kebanyakan orang awam menyifatkan untuk menjadi kontraktor hanya perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang pertukangan tertentu tanpa mengetahui mereka perlu berdaftar dengan CIDB.

“Ada yang ingat kerja pembinaan ini tidak perlu pendaftaran, sebenarnya perlu kerana ia  dikawal selia oleh CIDB. Selain kemampuan kewangan seseorang itu, juga perlu ada kemampuan daripada segi kemahiran teknikal untuk mendaftar sebagai kontraktor. 

“Ada juga individu yang ambil upah untuk buat projek kecil seperti baiki atap  atau buat kabinet, tetapi tidak buat kerja bersendirian apabila mengupah  pihak ketiga seperti pekerja Indonesia, kemudian pekerja ini dibayar upah sedangkan individu itu pula yang mengaut keuntungan, ini bagi saya tidak profesional,’’ katanya.

Ditanya tentang kontraktor haram yang kebanyakannya menjalankan projek pertukangan dan pembinaan di kampung-kampung, Mohd Zaid berkata sekiranya mereka mengambil projek itu nilainya kurang daripada RM10,000 serta mempunyai kurang daripada tiga pekerja, mereka ini diberi kelonggaran untuk menjalankan kerja berkaitan, tanpa perlu berdaftar dengan CIDB.

Kontraktor berdaftar mempunyai kelebihan mendapatkan kontrak baharu serta mengambil bahagian dalam tender kerajaan.

“Ada  tukang rumah yang pandai buat rumah dan ada kemahiran itu yang mungkin diwarisi daripada ahli keluarga, tetapi tetap kena  daftar supaya CIDB dapat sahkan kemahiran mereka…nak daftar ini mudah sahaja yang mana mereka hanya perlu mengisi borang secara dalam talian.

“Sekiranya kontraktor kecil, kekuatan kewangan yang diperlukan hanya RM5,000 sahaja  sama ada dari wang simpanan atau aset dan untuk ini kita boleh bagi mereka kontraktor gred G1 (had projek kurang dari RM200,000). Kita cuba mudahkan pendaftaran mereka, jadi tidak ada alasan lagi untuk mereka tidak mahu mendaftar,’’ katanya.

Sebagai usaha memperkukuhkan industri pembinaan negara, beliau berkata, CIDB turut membuka peluang kepada mereka yang berminat menjadi pemain industri untuk menjalani latihan dan kursus berkaitan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang diselia lembaga itu.

Beliau menambah, individu yang berhasrat menjadi kontraktor boleh mengikuti latihan dan kursus yang disediakan mengikut kemahiran atau minat mereka masing-masing termasuk ikatan bata, Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan elektrik.

Menurut Mohd Zaid, peluang yang sama turut diberikan kepada golongan belia yang berhasrat untuk meningkatkan kemahiran dalam berbagai bidang berkaitan industri pembinaan.

“Belia yang berjaya menamatkan latihan dan lulus penilaian akan dianugerahkan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan CIDB (SKKP) yang mengiktiraf mereka sebagai pekerja mahir.

“Penyertaan mereka yang kompeten dan terlatih ini secara tidak langsung berkeupayaan untuk meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir tempatan, yang mana ia memperkasakan lagi industri pembinaan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,’’ katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.